a
(a) reaksi mangsa yang tidak menjerit, menangis atau melarikan diri;
/akn/my/judgment/high-court/2026/c3acf9f8-fbc5-4c87-8504-5873c2214fa5
High Court of Malaysia4 Jun 2026CA-41LB-3-06/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Text
CA-41LB-3-06/2025 Kand. 16 25/06/2026 08:23:20 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR RAYUAN JENAYAH NO: CA-41LB-2-06/2025 & CA-41LB-3-06/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU DAN MOHAMAD FAIZAL BIN SUPIAN (NO. K/P:000610-06-0183) ... RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Rayuan ini difailkan oleh Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuantan yang telah memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Responden di akhir kes Pendakwaan bagi empat pertuduhan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan dan seterusnya melepaskan serta membebaskan Responden tanpa dipanggil membela diri. [2] Pertuduhan-pertuduhan tersebut melibatkan dakwaan bahawa Responden telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua orang kanak-kanak perempuan iaitu SP3 dan SP6 dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan mereka serta memegang dada dan menyentuh kemaluan mereka dengan niat mencabul kehormatan masing-masing. [3] Setelah pihak Pendakwaan menutup kesnya dan memanggil seramai sembilan orang saksi, Mahkamah Majistret telah menjalankan penilaian maksimum terhadap keterangan yang dikemukakan dan memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan elemen penggunaan kekerasan jenayah serta gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Responden. [4] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Pendakwa Raya telah memfailkan rayuan ini. LATAR BELAKANG RINGKAS [5] Kes Pendakwaan pada asasnya bergantung kepada keterangan dua orang mangsa kanak-kanak iaitu SP3 dan SP6. [6] Menurut keterangan mereka, terdapat dua kejadian berasingan yang berlaku pada tahun 2017. [7] Bagi kejadian pertama, kedua-dua mangsa mendakwa bahawa Responden telah memasukkan jari ke dalam kemaluan mereka secara bergilir-gilir ketika mereka berada di dalam sebuah bilik di rumah keluarga Responden. [8] Bagi kejadian kedua pula, kedua-dua mangsa mendakwa bahawa Responden telah memegang dada dan menyentuh kemaluan mereka ketika berada di dalam sebuah bilik di rumah keluarga mangsa. [9] Kedua-dua mangsa hanya mendedahkan kejadian tersebut beberapa tahun kemudian sebelum laporan polis dibuat oleh ibu mereka. KEPUTUSAN MAHKAMAH MAJISTRET [10] Dalam alasan penghakimannya, Mahkamah Majistret pada asasnya memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan elemen penggunaan kekerasan jenayah. [11] Mahkamah Majistret antara lain memberi penekanan kepada faktor-faktor berikut:
a
(a) reaksi mangsa yang tidak menjerit, menangis atau melarikan diri;
b
(b) kelewatan membuat laporan polis;
c
(c) ketiadaan corroboration;
d
(d) ketiadaan kecederaan fizikal;
e
(e) percanggahan tertentu dalam keterangan mangsa;
f
(f) kemungkinan alibi Responden; dan
g
(g) kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat. [12] Berdasarkan faktor-faktor tersebut, Mahkamah Majistret memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie dan Responden dilepaskan serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. ISU-ISU RAYUAN [13] Setelah meneliti rekod rayuan serta alasan penghakiman yang dirayu, Mahkamah ini merumuskan isu-isu berikut: i. Sama ada Mahkamah Majistret telah mengaplikasikan ujian prima facie yang betul di akhir kes Pendakwaan; ii. Sama ada Mahkamah Majistret telah tersalah arah dalam penilaian terhadap keterangan mangsa-mangsa kanakkanak; iii. Sama ada Mahkamah Majistret telah tersalah arah dengan menjadikan ketladaan corroboration sebagai faktor utama menolak kes Pendakwaan; iv. Sama ada Mahkamah Majistret telah tersalah arah dalam menilai element penggunaan kekerasan jenayah; v. Sama ada Mahkamah Majistret telah memberi kesan yang berlebihan kepada percanggahan, kelewatan laporan polis, isu alibi serta kelemahan siasatan; dan vi. Sama ada keterangan Pendakwaan, jika tidak dipatahkan, mampu menyokong suatu sabitan. ANALISA DAN DAPATAN Sama ada Mahkamah Majistret telah mengaplikasikan ujian prima facie yang betul [14] Prinsip yang terpakai telah dijelaskan dengan terang oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85. [15] Persoalan yang perlu diputuskan pada akhir kes Pendakwaan bukanlah sama ada tertuduh telah dibuktikan bersalah melampaui keraguan munasabah. [16] Sebaliknya, persoalan yang perlu diputuskan ialah sama ada terdapat keterangan yang, jika tidak dipatahkan atau dijelaskan oleh pihak pembelaan, mampu menyokong suatu sabitan. [17] Walaupun Mahkamah wajib menjalankan penilaian maksimum terhadap keterangan Pendakwaan, penilaian tersebut tidak boleh disamakan dengan penentuan muktamad mengenai kesalahan tertuduh. [18] Setelah meneliti keseluruhan alasan penghakiman yang dirayu, Mahkamah ini berpendapat bahawa Mahkamah Majistret telah menilai kes Pendakwaan seolah-olah Mahkamah sedang menentukan sama ada kesalahan telah dibuktikan secara muktamad dan bukannya menentukan sama ada suatu jawapan perlu diberikan oleh Responden. [19] Kesilapan asas inilah yang pada pandangan Mahkamah ini telah mempengaruhi sebahagian besar dapatan seterusnya. Penilaian terhadap keterangan mangsa-mangsa kanak-kanak [20] Mahkamah Majistret memberi penekanan yang besar kepada fakta bahawa kedua-dua mangsa tidak menjerit, tidak menangis, tidak melarikan diri, tidak meminta pertolongan dan tidak membuat aduan serta-merta. [21] Mahkamah Majistret juga menyatakan bahawa sekiranya kejadian tersebut benar berlaku, mangsa "sudah semestinya" akan cuba melarikan diri atau mendapatkan bantuan. [22] Dengan hormat, Mahkamah ini tidak dapat bersetuju dengan pendekatan tersebut. [23] Tiada prinsip undang-undang yang menetapkan bahawa mangsa jenayah seksual mesti menunjukkan reaksi tertentu sebelum keterangannya boleh dipercayai. [24] Persoalan sebenar bukanlah bagaimana Mahkamah beranggapan seseorang mangsa patut bertindak. [25] Persoalan sebenar ialah sama ada keterangan yang diberikan oleh mangsa berhubung perlakuan yang didakwa dilakukan oleh Responden mempunyai nilai probatif yang mencukupi untuk menyokong pertuduhan. [26] Pada masa kejadian, kedua-dua mangsa masih kanak-kanak. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini berpendapat bahawa ketiadaan tindakan seperti menjerit, menangis, melarikan diri atau membuat aduan serta-merta tidak boleh dijadikan asas utama untuk menolak keseluruhan keterangan mereka. [27] Dengan hormat, Mahkamah Majistret telah memberikan pemberat yang berlebihan kepada apa yang tidak dilakukan oleh mangsa berbanding apa yang sebenarnya dinyatakan oleh mangsa di dalam keterangannya. Corroboration [28] Mahkamah Majistret mengakui prinsip yang diputuskan dalam Chiu Nang Hong v PP [1963] 1 MLRH 378 bahawa sabitan boleh diasaskan kepada keterangan mangsa semata-mata jika Mahkamah menerima keterangan tersebut sebagai benar. [29] Namun demikian, Mahkamah Majistret pada masa yang sama menyatakan bahawa adalah penting untuk mendapatkan corroboration dalam kesalahan seksual. [30] Setelah meneliti keseluruhan alasan penghakiman, Mahkamah ini mendapati bahawa ketiadaan corroboration telah diberikan pemberat yang sangat besar sehingga menjadi salah satu faktor utama yang membawa kepada dapatan bahawa tiada kes prima facie diwujudkan. [31] Dengan hormat, pendekatan tersebut berisiko meletakkan suatu keperluan corroboration secara tersirat walaupun undangundang tidak mensyaratkannya. [32] Ketiadaan corroboration mungkin merupakan faktor yang relevan dalam menilai berat keterangan. [33] Namun ia tidak boleh dengan sendirinya menafikan kewujudan suatu kes prima facie apabila terdapat keterangan langsung yang menyokong elemen-elemen pertuduhan. Elemen penggunaan kekerasan jenayah [34] Mahkamah Majistret memutuskan bahawa elemen penggunaan kekerasan jenayah gagal dibuktikan. [35] Dengan hormat, Mahkamah ini berpendapat bahawa dapatan tersebut berpunca daripada salah faham terhadap isu sebenar yang perlu diputuskan. [36] Keterangan SP3 dan SP6 adalah bahawa Responden telah:
i
(i) memasukkan jari ke dalam kemaluan mereka;
subparagraph
(ii) memegang dada mereka; dan
subparagraph
(iii) menyentuh kemaluan mereka. [37] Sekiranya keterangan tersebut diterima sebagai benar, Mahkamah ini tidak melihat bagaimana dapat dihujahkan bahawa unsur penggunaan kekerasan di bawah seksyen 349 dan seksyen 350 Kanun Keseksaan tidak wujud. [38] Oleh itu, isu sebenar bukanlah sama ada perlakuan yang didakwa itu merupakan penggunaan kekerasan. [39] Isu sebenar ialah sama ada perlakuan tersebut benar-benar berlaku. [40] Dengan hormat, Mahkamah Majistret telah menggabungkan kedua-dua persoalan tersebut sehingga menghasilkan dapatan bahawa kerana mangsa tidak menunjukkan reaksi tertentu, maka elemen kekerasan jenayah tidak dibuktikan. [41] Pada pandangan Mahkamah ini, pendekatan tersebut merupakan suatu salah arah dari sudut undang-undang. Percanggahan, demeanour, kelewatan laporan polis, alibi dan kelemahan siasatan [42] Mahkamah ini menerima bahawa terdapat beberapa percanggahan dan ketidakselarasan dalam keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan. [43] Walau bagaimanapun, Mahkamah Majistret sendiri telah memutuskan bahawa percanggahan-percanggahan yang dikenal pasti hanyalah discrepancies dan bukannya contradictions yang material. [44] Setelah dapatan tersebut dibuat, Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan tersebut tidak lagi mampu memusnahkan keseluruhan asas kes Pendakwaan. [45] Berhubung isu demeanour pula, Mahkamah Majistret memberi perhatian kepada fakta bahawa SP3 kerap meminta soalan diulang dan SP6 kadangkala berdiam diri semasa pemeriksaan balas. [46] Pada pandangan Mahkamah ini, keadaan tersebut tidak semestinya menunjukkan bahawa keterangan mereka tidak boleh dipercayai, lebih-lebih lagi apabila melibatkan saksi kanak-kanak yang memberi keterangan mengenai peristiwa yang dikatakan berlaku beberapa tahun sebelumnya. [47] Mengenai kelewatan laporan polis, Mahkamah ini menerima bahawa kelewatan merupakan faktor yang relevan. Walau bagaimanapun, kelewatan semata-mata tidak secara automatik menjadikan sesuatu aduan seksual tidak benar. [48] Berhubung isu alibi dan kelemahan siasatan pula, Mahkamah ini menerima bahawa siasatan yang lebih menyeluruh mungkin dapat membantu menjelaskan beberapa aspek kes. [49] Namun demikian, notis alibi bukanlah keterangan. Pada masa keputusan di akhir kes Pendakwaan dibuat, tiada saksi pembelaan dipanggil dan tiada keterangan alibi dikemukakan. [50] Oleh itu, kemungkinan kewujudan alibi tidak boleh diberikan nilai probatif yang mengatasi keterangan langsung yang telah diberikan oleh SP3 dan SP6. Sama ada keterangan Pendakwaan mampu menyokong suatu sabitan jika tidak dipatahkan [51] Mahkamah ini mendapati bahawa terdapat suatu kesukaran untuk menyelaraskan dapatan Mahkamah Majistret di perenggan-perenggan yang menyatakan bahawa percanggahan yang dikenal pasti tidak material dan bahawa terdapat kelompangan untuk menidakkan keterangan SP3 dan SP6, dengan dapatan akhirnya bahawa tiada kes prima facie diwujudkan. [52] Jika percanggahan yang dikenal pasti bukanlah percanggahan material dan jika keterangan SP3 serta SP6 masih tidak dapat diketepikan sepenuhnya, maka persoalan seterusnya ialah sama ada keterangan tersebut, jika tidak dipatahkan, mampu menyokong suatu sabitan. [53] Pada pandangan Mahkamah ini, jawapan kepada persoalan tersebut adalah jelas dalam bentuk afirmatif. [54] Keterangan SP3 dan SP6 merupakan keterangan langsung mengenai perlakuan yang menjadi asas kepada pertuduhan. [55] Sekiranya keterangan tersebut diterima dan tidak dipatahkan melalui pembelaan, setiap elemen pertuduhan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan adalah berupaya dibuktikan. [56] Dalam keadaan sedemikian, suatu kes prima facie telah diwujudkan dan Responden sepatutnya dipanggil membela diri. KESIMPULAN DAN PERINTAH [57] Setelah menimbangkan keseluruhan rekod rayuan dan alasan penghakiman yang dirayu, Mahkamah ini mendapati bahawa Mahkamah Majistret telah tersalah arah dalam beberapa aspek material termasuk:
i
(i) pengaplikasian ujian prima facie;
subparagraph
(ii) penilaian terhadap keterangan mangsa-mangsa kanakkanak;
subparagraph
(iii) pemberat yang diberikan kepada isu corroboration;
subparagraph
(iv) penilaian terhadap elemen penggunaan kekerasan jenayah;
v
(v) kesan yang diberikan kepada percanggahan, kelewatan laporan, isu alibi dan kelemahan siasatan. [58] Mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap Responden bagi kesemua pertuduhan. [59] Oleh yang demikian, rayuan Pendakwa Raya adalah dibenarkan. [60] Perintah pelepasan dan pembebasan yang direkodkan oleh Mahkamah Majistret diketepikan. [61] Responden diperintahkan untuk dipanggil membela diri terhadap kesemua pertuduhan. Tarikh: 25 Jun 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak Perayu : Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang No.402, Tingkat 4, Mahkota Square Jalan Mahkota 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur Peguam Bagi Pihak Tetuan Fatin & Zaharman Responden Peguam Bela & Peguam Cara No. A5, Tingkat 2 Lorong Tun Ismail 9 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.