Content
DA-42LB(A)-1-07/2025 Kand. 26 30/05/2026 08:04:05 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN JENAYAH NO. DA-42LB(A)-1-07/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU DAN MOHD ADNAN BIN MAT ISA [740427-03-5565] ... RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Sesyen Kota Bharu Dalam Negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia Kes Jenayah No. DA-61-4-07/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA DAN MOHD ADNAN BIN MAT ISA] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Kes ini merupakan rayuan oleh Pendakwa Raya ("Perayu") yang tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu ("HMS") yang telah melepas dan membebaskan Mohd Adnan bin Mat Isa ("Responden") di akhir perbicaraan daripada pertuduhan di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A Kanun Keseksaan. [2] Pada 23.4.2026, Mahkamah ini telah memutuskan bahawa rayuan Perayu ditolak. Oleh yang demikian, keputusan atau perintah pelepasan dan pembebasan Responden oleh HMS tersebut dikekalkan. [3] Perayu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia pada 7.5.2026. Pertuduhan [4] Pertuduhan-pertuduhan ke atas Responden adalah seperti berikut: "Bahawa kamu pada 10/1/2023 lebih kurang jam 3.00 petang, di pejabat Biro Bantuan Guaman Jalan Sultanah Zainab, dalam daerah Kota Bharu, dalam Negeri Kelantan telah dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas bekas isteri kamu nama: Fadilah binti Jusoh, No. KPT: 780908035028 dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang bioleh dihukum di bawah s 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama s 326A Kanun Keseksaan." Ringkasan Fakta Kes Pendakwaan [5] Kejadian dikatakan berlaku pada 10/1/2023 jam lebih kurang 3.00 petang di pejabat Biro Bantuan Guaman, Kota Bharu, Kelantan ("BBG"). Pengadu bernama Fadilah binti Jusoh (SP1) yang merupakan bekas isteri kepada Responden bersama dengan anak tirinya bernama Puteri Mamiza binti Mohd Adnan (SP3) serta bekas madu SP1 bernama Nurkhasanah telah ke pejabat BBG untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan harta sepencarian. [6] Semasa SP1 dan anak tiri beliau iaitu SP3 berada di pejabat BBG, mereka telah didatangi bekas suami SP1 iaitu Responden. Responden telah memanggil anaknya SP3 tetapi tidak diendahkan oleh SP3. [7] Menurut SP1, selepas proses pendaftaran, mereka bertiga beratur untuk berjumpa dengan Pegawai Biro Bantuan Guaman. Apabila Nurkhasanah masuk ke dalam bilik untuk berjumpa dengan Pegawai BBG, Responden dikatakan telah datang mendekati dan duduk di kerusi belakang SP1 dan SP3 yang masa itu berada di kerusi barisan kedua seperti dalam gambar ekshibit P2 (a-b). [8] Responden dikatakan telah menuduh SP1 menghasut anaknya SP3 untuk datang ke BBG tersebut. [9] Oleh kerana tidak berpuas hati, Responden dikatakan telah bertindak menarik tangan SP1 hingga menyebabkannya terjatuh di atas lantai simen. Kemudian Responden telah beredar dari pejabat BBG tersebut. [10] Akibat tindakan Responden, SP1 telah mengalami kesakitan dan bengkak di kaki kanan menyebabkannya mengalami kesukaran untuk berjalan dan terpaksa dibantu untuk berjalan keluar daripada pejabat BBG tersebut. [11] Keterangan Dr Nor Amalina Muhamad (SP7) mengatakan pemeriksaan telah dijalankan ke atas SP1 dan mendapati kesan kecederaan bengkak pada buku lali, limited range of motion due to pain and swelling. Hasil pemeriksaan juga mendapati kepatahan a right lateral malleolus fracture is a break in the fibula bone. SP1 telah ditahan di wad daripada 10.1.2023 hingga 16.1.2023. Permohonan pihak polis dan keterangan ringkas pemeriksaan pegawai perubatan sepertimana dalam ekshibit P8. [12] SP1 juga telah membuat laporan polis iaitu Kota Bharu Report No. 767/23 (ekshibit P1). Dapatan HMS Di Akhir Kes Pendakwaan [13] HMS yang bijaksana telah mengarahkan dirinya membuat penilaian maksimum berasaskan kepada keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan elemen kesalahan-kesalahan tersebut. [14] Untuk membuktikan pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan tersebut, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan elemen-elemen berikut: