Where an offence has been compounded under subsection (2), no prosecution shall thereafter be instituted against such person in respect of such offence and where seizure has been taken of any carcass, semen, fodder, litter, dung or any product of animals or birds or any article or substance, conveyance or documents under this Act or any subsidiary legislation made under this Act or the proceeds of any sale under it, the Director General, the State Director or any veterinary authority, may destroy, forfeit or release such property in a manner as he may think fit with the approval of court. [12] Mahkamah telah membuat keputusan berdasarkan pertimbangan undang-undang yang terperinci, khususnya merujuk kepada seksyen 73B(5) Akta Binatang 1953, yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa veterinar untuk mengambil tindakan destroy, forfeit or release such property terhadap harta yang terlibat dalam kesalahan berkaitan, termasuk untuk melucuthak hasil jualan atau barangan yang disita, seperti motorlori dan karkas lembu yang dibawa tanpa permit yang sah dalam kes ini. [13] Seksyen 73B(5) memperuntukkan bahawa apabila sesuatu kesalahan dikompaun di bawah subseksyen (2), dan pihak berkuasa veterinar telah menyita mana-mana harta yang terlibat—seperti karkas, makanan atau alat pengangkutan, pihak veterinar berkuasa untuk memusnahkan, melucuthak, atau melepaskan harta tersebut mengikut cara yang difikirkan sesuai dengan kelulusan daripada Mahkamah. [14] Berdasarkan fakta kes ini, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor selaku pemohon telah menjalankan pemeriksaan terhadap motorlori yang membawa lembu yang berpenyakit, yang mana disahkan terjangkit penyakit berbahaya seperti FMD dan Brucella (Kand. 4). Penyakit-penyakit ini bukan sahaja memberi ancaman terhadap kesihatan ternakan lain, tetapi juga boleh merebak kepada manusia, terutamanya penyakit Brucella yang boleh menyebabkan kemandulan. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat langkah untuk menyita dan melupuskan lembu-lembu yang berpenyakit adalah penting bagi mengelakkan risiko wabak penyakit berbahaya di Negeri Selangor. [15] Sehubungan dengan itu, tindakan melucuthak motorlori dan wang hasil lelongan karkas adalah berlandaskan kepada seksyen 73B(5), yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa veterinar untuk bertindak demikian, dengan kelulusan Mahkamah. Mahkamah telah mempertimbangkan semua bukti, dokumen dan hujahan yang dikemukakan oleh pihak pemohon, termasuk laporan polis yang menyatakan responden telah membawa lembu tanpa permit sah. [16] Selain itu, meskipun responden mendakwa bahawa dia mempunyai permit yang sah, alasan tersebut tidak diterima oleh Mahkamah, kerana permit tersebut telah tamat tempoh dan lembu yang dibawa tidak sama dengan yang dinyatakan dalam permit asal sebagaimana dihujahkan pihak pemohon dan tidak dipertikaikan oleh responden. Responden juga tidak dapat menunjukkan alasan atau sebab-sebab yang kuat dan munasabah untuk memuaskan Mahkamah ini untuk tidak memberikan kelulusan permohonan lucuthak yang dimohon oleh pihak pemohon di Kand. 3. [17] Oleh itu, berdasarkan kuasa yang diberikan oleh seksyen 73B(5), hujahan pihak-pihak dan semua dokumen yang telah dikemukakan serta trend-trend hukuman atau perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah di Negeri Selangor, Mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon untuk untuk mendapatkan kelulusan melucuthakkan motorlori jenis ISUZU (KFP 2133) dan wang hasil lelongan karkas seberat 733.3 kg yang bernilai RM10,999.50 kepada kerajaan, sebagai hasil negara. Ini merupakan langkah yang munasabah dan penting untuk menjaga keselamatan awam dan mencegah penyebaran penyakit haiwan berbahaya yang boleh memberi impak besar kepada kesihatan awam, kepentingan awam dan ekonomi negara. [18] Dengan mengambil kira semua pertimbangan undang-undang dan faktor keselamatan awam, keputusan ini mencerminkan keutamaan pihak berkuasa veterinar dan Mahkamah dalam memastikan bahawa tindakan yang diambil adalah untuk kebaikan bersama dan untuk melindungi masyarakat daripada ancaman penyakit yang boleh merugikan semua pihak. Bertarikh: 5.2.2025 t.t (CHAI GUAN HOCK) Majistret Selayang (2) Selangor Pendakwa Raya / Responden Pegawai Pendakwa Raya: Tuan Mohamad Sharif Safuan (Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Responden: Mohd Shahrollizam bin Abd Rahman (Tidak diwakili peguam)