dari tarikh hukuman itu dijatuhkan melainkan jika Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu mengarahkan selainnya. [16] Barisan ayat “melainkan jika Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu mengarahkan selainnya” boleh membawa maksud, mahkamah tersebut boleh menjatuhkan hukuman pemenjaraan bukan sahaja bermula dari tarikh jatuh hukum tetapi boleh juga memerintahkan agar hukuman pemenjaraan tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap atau direman. [17] Dengan itu, berdasarkan kepada kedua-dua peruntukan undang-undang di atas, pada hemat kami mahkamah yang menjatuhkan hukuman hanya boleh melaksanakan kuasa budibicaranya terhad kepada keadaan sahaja sepertimana yang dinyatakan di atas. (penekanan ditambah) [18] Oleh yang demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi meminda hukuman terhadap responden seperti yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dari hukuman pemenjaraan selama tempoh enam puluh (60) bulan dari tarikh sabitan iaitu 26 Ogos 2024 kepada hukuman pemenjaraan selama enam puluh (60) bulan dari tarikh laporan patologi dikeluarkan iaitu pada 26 Julai 2023 adalah bertentangan dengan peruntukan di bawah seksyen 282(d) dan seksyen 292 Kanun Prosedur Jenayah. [19] Selanjutnya Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana di dalam alasan penghakimannya di para 7 juga mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan dengan kata-kata beliau seperti berikut yang kami petik semula. “7. Berdasarkan fakta kes keputusan urin Perayu, P7 telah diperolehi pada 26/7/2023 tetapi dia dituduh atas kesalahan dibawah s. 15(1)(a)/s. 39C(1)(b) ADB pada 26/8/2024. Isunya kenapa dia tidak dituduh lebih awal sedangkan keputusan urin telah diperolehi sejak 26/7/2023 dan Perayu boleh dikesan kerana berada di Penjara Marang sejak 26/7/2023. Jika dituduh lebih awal sudah tentu hukuman penjara akan berkuatkuasa lebih awal dari tarikh hukuman penjara oleh Hakim Bicara. Keadilan untuk Perayu tidak boleh diabaikan disebabkan oleh kekhilafan dan kealpaan pihak polis/pendakwaan. Adalah jelas bahawa tindakan ini telah memprejudiskan Perayu untuk mendapatkan hukuman penjara yang lebih ringan.” [20] Pada hemat kami, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan dengan jelas bahawa kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding berkenaan apa-apa kesalahan terletak pada kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara. “Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.” [21] Kuasa ini dijelaskan lagi melalui peruntukan seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan seperti yang berikut: “Peguam Negara hendaklah menjadi Pendakwa Raya dan hendaklah mempunyai kawalan dan arahan atas segala pendakwaan dan prosiding jenayah di bawah Kanun ini.” [22] Justeru itu pada hemat kami, Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana telah terkhilaf apabila mempertikaikan kegagalan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding terhadap responden lebih awal dari yang sepatutnya serta memerintahkan hukuman pemenjaran terhadap responden dalam kes ini bermula dari tarikh laporan patologi dikeluarkan. [23] Penjelasan tentang kuasa Peguam Negara ini telah dinyatakan di dalam Karpal Singh & Anor v. Public Prosecutor [1991] 2 MLJ 544 di mana Mahkamah Agung melalui penghakiman yang disampaikan oleh Abdul Hamid Omar LP (beliau pada ketika itu) menyatakan seperti yang berikut: “Perhaps it is appropriate that we now pause to consider the constitutional consequence of relying on the English Common Law concept. Unlike, UK, the Constitution of the Federation which is a written law is specifically declared to be supreme law of the land. Also, it is to be noted that UK has no criminal procedure code as enacted by our Legislature. For our immediate purpose we wish to refer to art 145(3) of the Constitution which states that the Attorney General shall have power, exercisable at his discretion, to institute, conduct or discontinue any proceedings for an offence, other than proceedings before Syariah Court etc. The discretion vested in the Attorney General is unfettered and cannot be challenged and substituted by that of the Court’s.” (Penambahan ditambah) [24] Di dalam kes Long bin Samat & Ors v. Public Prosecutor [1974] 2 MLJ 152, Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti yang berikut: “In our view, this clause from the supreme law clearly gives the Attorney General very wide discretion over the control and direction of all criminal prosecutions. Not only may he institute and conduct any proceedings for an offence, he may also discontinue criminal proceedings that he has instituted, and the Courts cannot compel him to institute any criminal proceedings which he does not wish to institute or to go on with any criminal proceedings which he has decided to discontinue.” (Penambahan ditambah) Kesimpulan [25] Setelah mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak berkaitan hukuman, kami mendapati terdapat merit di dalam rayuan ini. Dengan itu kami sebulat suara membenarkan rayuan perayu. Keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan hukuman pemenjaran terhadap responden bermula dari tarikh laporan patologi diketepikan. Perintah hukuman pemenjaraan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen bermula dari tarikh jatuh hukum dikembalikan. Tarikh: 6 November 2025 - Sgd - Azmi bin Ariffin Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Kaunsel Bagi Perayu : Abdul Malik bin Ayob [Timbalan Pendakwa Raya] Bagi Responden : Ravin Jay Kumar [Ravin Jay (Kuala Lumpur)]