Content
CA-41LB-8-12/2025 Kand. 19 25/06/2026 15:09:00 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR RAYUAN JENAYAH NO: CA-41LB-8-12/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU DAN MUHAMAD NASRU KHALISH BIN KHALIL (NO. K/P: 900729-11-5309) ... RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini merupakan rayuan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Bicara Kuantan yang telah melepas dan membebaskan Responden daripada satu pertuduhan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ("ADB 1952") setelah dipanggil membela diri. [2] Pertuduhan terhadap Responden adalah bahawa pada 23.6.2023 jam lebih kurang 2.05 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Pahang, Responden telah didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. [3] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah Bicara telah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan suatu kes prima facie dan memanggil Responden membela diri. [4] Responden kemudiannya memberikan keterangan bersumpah dan memanggil dua orang saksi pembelaan. [5] Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan, Mahkamah Bicara memutuskan bahawa pembelaan telah berjaya mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(k) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian dan seterusnya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. [6] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Pendakwa Raya memfailkan rayuan ini. Prinsip campur tangan Mahkamah diperingkat rayuan [7] Sebelum meneliti merit rayuan, adalah perlu ditegaskan bahawa rayuan ini merupakan rayuan terhadap suatu keputusan pelepasan dan pembebasan yang dibuat setelah Mahkamah Bicara mendengar keseluruhan keterangan saksi-saksi. [8] Prinsip undang-undang dalam keadaan sedemikian adalah mantap bahawa Mahkamah diperingkat rayuan hendaklah berhati-hati sebelum mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh Mahkamah Bicara yang mempunyai kelebihan melihat dan mendengar sendiri saksi-saksi memberikan keterangan. [9] Dalam Abdul Mohd Desa Iwn Pendakwa Raya & Satu Lagi Rayuan [2026] MLRAU 105, Mahkamah Rayuan mengulangi prinsip bahawa: "An appellate Court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the Judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding." [10] Prinsip yang sama turut ditegaskan dalam PP v Som Ai Deng [2008] 8 MLRH 334 bahawa dalam rayuan terhadap pembebasan, anggapan tidak bersalah terus kekal dan campur tangan hanya wajar dilakukan sekiranya terdapat alasan yang benar-benar kukuh dan memaksa. [11] Justeru, persoalan sebenar di hadapan Mahkamah ini bukanlah sama ada Mahkamah ini mungkin sampai kepada kesimpulan yang berbeza jika mendengar perbicaraan tersebut pada peringkat pertama. [12] Sebaliknya persoalannya ialah sama ada dapatan Mahkamah Bicara adalah begitu songsang, tidak disokong oleh keterangan atau terhasil daripada salah arah undang-undang sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Isu-Isu Untuk Diputuskan [13] Setelah meneliti petisyen rayuan dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah merumuskan isu-isu berikut: i. Sama ada Mahkamah Bicara terkhilaf menerima keterangan Responden dan SD3 berhubung proses pengambilan sampel urin; ii. Sama ada Mahkamah Bicara terkhilaf menerima keterangan SD3 walaupun beliau merupakan saksi berkepentingan; iii. Sama ada Mahkamah Bicara terkhilaf menerima keterangan SD2 dan Ekshibit D9; dan iv. Sama ada Mahkamah Bicara terkhilaf memutuskan bahawa anggapan di bawah seksyen 37(k) ADB 1952 telah berjaya dipatahkan. Analisa dan Dapatan Mahkamah Sama ada Mahkamah Bicara terkhilaf menerima keterangan Responden dan SD3 berhubung proses pengambilan sampel urin [14] Hujah utama Pendakwa Raya ialah Mahkamah Bicara telah tersalah arah apabila menerima versi pembelaan bahawa proses pengambilan sampel urin telah dijalankan secara beramai-ramai sehingga menimbulkan kemungkinan pertukaran botol urin. Setelah meneliti rekod rayuan, Mahkamah ini tidak bersetuju. [15] Apa yang penting bukanlah sama ada Mahkamah ini bersetuju atau tidak dengan versi pembelaan tersebut tetapi sama ada versi tersebut merupakan suatu pembelaan yang benar-benar dikemukakan sejak awal atau sekadar rekaan terkemudian. [16] Rekod rayuan menunjukkan bahawa isu mengenai jumlah tangkapan, cara pengambilan urin, peletakan botol-botol urin di atas meja serta kemungkinan berlakunya kekeliruan identiti botol telah dicadangkan kepada saksi-saksi pendakwaan semasa pemeriksaan balas. [17] Oleh yang demikian Mahkamah Bicara berhak membuat dapatan bahawa pembelaan tersebut bukanlah suatu afterthought. [18] Mahkamah juga mendapati bahawa isu yang diketengahkan oleh pembelaan bukanlah isu berkaitan kandungan sampel urin atau kesahihan analisis makmal. [19] Sebaliknya isu yang dibangkitkan menyentuh persoalan yang lebih asas iaitu identiti sampel urin itu sendiri. [20] Dalam suatu pertuduhan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB 1952, identiti sampel urin yang menjadi asas kepada keseluruhan pertuduhan merupakan suatu fakta yang amat material. [21] Jika terdapat keraguan yang munasabah sama ada sampel yang dihantar untuk analisis benar-benar merupakan sampel milik tertuduh, maka keraguan tersebut tidak boleh diketepikan sebagai isu teknikal semata-mata. [22] Mahkamah Bicara telah menerima keterangan Responden dan SD3 mengenai perkara ini. [23] Penilaian terhadap kredibiliti saksi merupakan fungsi utama Mahkamah Bicara dan Mahkamah ini tidak melihat sebarang alasan yang mencukupi untuk campur tangan terhadap dapatan tersebut. Sama ada Mahkamah Bicara terkhilaf menerima keterangan SD3 [24] Pendakwa Raya berhujah bahawa SD3 merupakan saksi berkepentingan kerana beliau ialah rakan kepada Responden. [25] Hujahan tersebut pada prinsipnya adalah betul bahawa keterangan saksi berkepentingan hendaklah dinilai dengan berhati-hati. [26] Namun demikian, undang-undang tidak pernah memperuntukkan bahawa keterangan seorang saksi berkepentingan hendaklah ditolak secara automatik. [27] Sebagaimana ditegaskan dalam Balasingham v PP [1959] 1 MLRH 585 dan autoriti-autoriti yang kemudiannya, seorang saksi berkepentingan tetap merupakan saksi yang kompeten dan keterangannya boleh diterima sekiranya Mahkamah berpuas hati dengan kebolehpercayaannya. [28] Dalam kes ini, Mahkamah Bicara telah menilai sendiri keterangan SD3 dan memilih untuk menerimanya. [29] Mahkamah ini tidak mendapati bahawa penerimaan tersebut dibuat secara arbitrari atau tanpa asas. [30] Oleh itu tiada sebab untuk Mahkamah ini menggantikan penilaian kredibiliti yang telah dibuat oleh Mahkamah Bicara. Sama ada Mahkamah Majistret terkhilaf menerima keterangan SD2 dan Ekshibit D9 [31] Pendakwa Raya turut berhujah bahawa keputusan negatif yang diperolehi melalui D9 tidak seharusnya diberikan pemberat kerana ujian tersebut dijalankan tujuh hari selepas kejadian. Mahkamah ini menerima bahawa nilai probatif D9 adalah terhad. [32] Berdasarkan keterangan SP2 sendiri, Amphetamine dan Methamphetamine lazimnya hanya dapat dikesan dalam badan untuk tempoh beberapa hari sahaja. [33] Oleh itu keputusan negatif selepas tujuh hari tidak semestinya bercanggah dengan keputusan positif yang diperolehi sebelumnya. [34] Walau bagaimanapun, setelah meneliti keseluruhan alasan penghakiman Mahkamah Bicara, Mahkamah ini berpendapat bahawa D9 bukanlah faktor penentu yang membawa kepada pelepasan dan pembebasan Responden. [35] Asas utama keputusan Mahkamah Bicara adalah keraguan yang timbul berhubung identiti sampel urin dan bukannya keputusan D9 semata-mata. [36] Oleh yang demikian, walaupun Mahkamah ini menerima bahawa pemberat terhadap D9 perlu dilihat secara berhati-hati, perkara tersebut tidak menjejaskan keseluruhan dapatan Mahkamah Bicara. Sama ada anggapan seksyen 37(k) telah berjaya dipatahkan [37] Mahkamah ini mendapati bahawa Mahkamah Bicara tidak terkhilaf dalam pendekatannya terhadap seksyen 37(k). [38] Mahkamah Bicara terlebih dahulu menerima bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan fakta-fakta yang mencukupi untuk membolehkan anggapan tersebut digunapakai. [39] Oleh itu isu sebenar bukanlah sama ada anggapan tersebut timbul. [40] lsu sebenar ialah sama ada pembelaan telah berjaya mematahkannya. [41] Undang-undang adalah jelas bahawa beban yang dipikul oleh tertuduh bagi mematahkan anggapan statutori hanyalah atas imbangan kebarangkalian dan bukannya melampaui keraguan munasabah. [42] Setelah menilai keseluruhan keterangan pembelaan termasuk keterangan Responden dan SD3 mengenai identiti sampel urin, Mahkamah Bicara telah memutuskan bahawa pembelaan telah berjaya mematahkan anggapan tersebut. [43] Mahkamah ini tidak mendapati bahawa dapatan tersebut merupakan suatu dapatan yang tidak munasabah atau bercanggah dengan rekod rayuan. [44] Yang dipersoalkan oleh Pendakwa Raya pada hakikatnya ialah berat yang diberikan oleh Mahkamah Bicara kepada keterangan tertentu berbanding keterangan yang lain. [45] Itu bukan alasan yang mencukupi untuk campur tangan oleh Mahkamah ini. Kesimpulan dan Keputusan [46] Setelah meneliti keseluruhan rekod rayuan, Mahkamah ini mendapati bahawa rayuan Pendakwa Raya pada asasnya mengajak Mahkamah ini menggantikan penilaian fakta dan kredibiliti yang telah dibuat oleh Mahkamah Bicara dengan penilaian yang berbeza. [47] Walaupun terdapat beberapa aspek hujahan pembelaan yang boleh diperdebatkan, Mahkamah ini tidak mendapati bahawa keputusan Mahkamah Bicara adalah suatu keputusan yang songsang, tidak disokong oleh keterangan atau terhasil daripada salah arah undang-undang. [48] Dapatan bahawa pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan terhadap identiti sampel urin yang menjadi asas pertuduhan merupakan dapatan fakta yang terbuka kepada Mahkamah Bicara berdasarkan keterangan yang ada di hadapannya. [49] Dalam keadaan sedemikian, prinsip campur tangan terhad oleh Mahkamah diperingkat rayuan hendaklah dihormati. [50] Oleh yang demikian, rayuan Pendakwa Raya adalah ditolak dan keputusan Mahkamah Bicara yang telah melepas dan membebaskan Responden dikekalkan. Tarikh: 25 Jun 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak : Timbalan Pendakwa Raya Perayu Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang No. 402, Tingkat 4, Mahkota Square Jalan Mahkota 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur Tetuan Fatin & Zaharman Responden Peguambela & Peguamcara No. A5, Tingkat 2 Lorong Tun Ismail 9 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur