Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET KUALA SELANGOR DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN KES NO: BJ-89-670-12/2023 MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR LWN NAGAMUTHU A/L KATHAN ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Pemohon melalui Notis Permohonan Jenayah memohon di bawah Seksyen 91(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ke atas bangunan melencong yang telah didirikan oleh Responden tanpa mengikut pelan kelulusan asal bagi mendapatkan perintah-perintah seperti berikut: i. Merobohkan struktur bangunan melencong iaitu di tingkat bawah berukuran lebih kurang 18m dan di tingkat atas lebih kurang 12m di atas petak harta bersama bangunan strata hendaklah diruntuhkan oleh Responden; ii. Merobohkan binaan tersebut dalam tempoh masa 30 hari dari tarikh perintah mandotori dikeluarkan dan tertakluk kepada budi bicara Pemohon; iii. Sekiranya Responden enggan atau gagal meruntuhkan binaan tersebut dalam tempoh yang diberikan, Pemohon pada bila-bila masa boleh menggunakan apa-apa peralatan untuk memasukki mana-mana pintuatau pagar bagi tujuan melaksanakan kerja-kerja perobohan dan memindahkan apa-apa harta alih yang terdapat di dalamnya; dan iv. Kos, belanja dan apa-apa kerosakan struktur sekiranya Pemohon melaksanakan perobohan binaan tersebut hendaklah ditanggung oleh Responden S/N /5yplWR6nU23vp8jq5pOw [2] Responden telah membantah permohonan ini dengan memfailkan Afidavit Jawapan. Kemudian, Afidavit Balasan difailkan oleh Pemohon. Mahkamah telah meneliti dan mendengar permohonan ini dan akhirnya memutuskan untuk menolak permohonan ini dengan kos atas alasan-alasan seperti di bawah. LATAR BELAKANG [3] Pada 9.4.2012, Pemohon telah meluluskan pembinaan ubahsuai kediaman Responden iaitu anjung kereta berukuran 3m x 3.6m dan teres terbuka berukuran 12m x 1.5m. Kelulusan tersebut diberikan oleh Pemohon berpadanan dengan surat dikeluarkan kepada Responden bertarikh 9.4.2012 bersama dengan pelan cadangan tambahan dan pindaan seperti eksibit KAK-5 dalam Afidavit Tambahan Pemohon. Akan tetapi, Pemohon telah menerima surat aduan bertarikh 28.3.2012 seperti eksibit KAK-8 dalam Afidavit Balasan Pemohon dan rentetan itu hasil lawatan tapak awal pada 9.5.2012 dilakukan Pemohon telah mendapati Responden telah melencong dari pelan kelulusan asal dan tidak mematuhi pelan asal yang telah diluluskan oleh Pemohon. ISU-ISU BERBANGKIT [4] Setelah mahkamah ini telah meneliti afidavit dan hujahan bertulis Pegawai Pendakwa terpelajar dan Peguambela Repsonden yang terpelajar bagi permohonan ini, maka terdapat isu utama dalam permohonan ini yang mahkamah ini perlu menjawab terlebih dahulu iaitu: Sama ada Majistret dibenarkan oleh undang-undang untuk mengeluarkan perintah mandatori di bawah Seksyen 91 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu memerintahkan Responden untuk meruntuhkan struktur binaan tersebut dalam masa 30 hari dari tarikh perintah diberikan mahkamah tanpa Responden disabitkan terlebih dahulu di bawah Seksyen 70 (13) Akta yang sama. [5] Pemohon berhujah bahawa sabitan di bawah Seksyen 70(13)(b) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bukan satu pra syarat untuk Pemohon mendapatkan perintah di bawah Seksyen 91(1) Akta yang sama. Notis-notis yang telah disampaikan kepada Responden sebelum permohonan ini difailkan di mahkamah adalah memadai untuk mahkamah memberikan perintah mandatori kepada Responden. Pemohon menegaskan bahawa notis-notis tersebut adalah satu peluang bagi Responden didengar di atas kesalahan yang telah dilakukan dan meruntuhkan sendiri bangunan melencong tersebut. Malah pengakuan salah sepertimana dalam eksibit KAK-3 dalam Afidavit Tambahan Pemohon di atas kesalahan S/N /5yplWR6nU23vp8jq5pOw melencong telah dilakukan dan sekaligus membolehkan Pemohonan mendapatkan perintah mandotori tersebut terhadap Responden di mahkamah ini. [6] Pemohon telah merujuk mahkamah ini kepada kes EU LIAN HANG V MAJLIS PERBANDARAN PETALING JAYA [1992] 1 MLJ 692. Kes tersebut telah membenarkan pihak berkuasa tempatan boleh terus mendapatkan perintah mandatori di bawah Seksyen 91(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 tanpa perlu mendapatkan sabitan di bawah Seksyen 70(13)(b) terlebih dahulu kerana Seksyen 70(13)(b) tersebut adalah perlu dibaca bersama Seksyen 70(15) Akta yang sama sahaja. [7] Adalah baiknya sebelum mahkamah ini menerokai isu ini, peruntukan Seksyen 91(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 diperturunkan seperti berikut: