sumbangan kepada kelab. [24] SP8 turut mengakui bahawa beliau tidak dapat mengingati atau mengenal pasti transaksi mana yang merupakan pembayaran saman dan transaksi mana yang merupakan sumbangan kepada kelab. [25] Perlu diberi perhatian bahawa keterangan tersebut bukan datang daripada pihak Pembelaan. Sebaliknya, ia merupakan keterangan yang diberikan oleh saksi utama Pendakwaan sendiri. [26] Apa yang lebih signifikan ialah Pegawai Penyiasat, SP9, juga mengakui bahawa hasil siasatan tidak berjaya menentukan transaksi tertentu yang merupakan pembayaran saman dan transaksi tertentu yang merupakan sumbangan. [27] SP9 turut mengakui bahawa beliau tidak dapat menentukan jumlah sebenar yang dikatakan merupakan suapan. [28] Pada pandangan Mahkamah, pengakuan tersebut mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap kekuatan kes Pendakwaan. [29] la bermaksud bahawa pada akhir kes Pendakwaan, Mahkamah berhadapan dengan keterangan bahawa transaksi-transaksi tersebut mungkin terdiri daripada dua kategori yang berbeza, iaitu transaksi yang mempunyai tujuan yang sah dan transaksi yang didakwa mempunyai unsur jenayah. [30] Namun demikian, pihak Pendakwaan gagal membuktikan transaksi yang mana satu tergolong dalam kategori yang mana. [31] Sebagai contoh, Mahkamah tidak dapat menentukan sama ada transaksi yang menjadi asas pertuduhan pertama merupakan pembayaran saman, sumbangan kelab atau transaksi yang dikatakan diterima tanpa balasan. Begitu juga dengan pertuduhan kedua sehingga pertuduhan kedua puluh empat. [32] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak boleh membuat andaian bahawa kesemua dua puluh empat transaksi tersebut merupakan penerimaan wang tanpa balasan semata-mata kerana jumlah yang dipindahkan adalah sama. [33] Beban untuk membuktikan sifat sebenar transaksi yang menjadi asas kepada setiap pertuduhan kekal terletak pada bahu pihak Pendakwaan. Mahkamah tidak boleh mengisi kekosongan tersebut melalui spekulasi atau inferens yang tidak disokong oleh keterangan. [34] Pada hemat Mahkamah ini, kegagalan mengenal pasti sifat sebenar transaksi yang menjadi asas kepada setiap pertuduhan bukanlah suatu kelemahan kecil atau sampingan. Sebaliknya, ia menyentuh secara langsung elemen penting pertuduhan yang perlu dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. [35] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini berpendapat Mahkamah Sesyen adalah berhak membuat dapatan bahawa suatu kes prima facie tidak berjaya dibuktikan. KESAN KETERANGAN SP8 TERHADAP KES PENDAKWAAN [36] Pihak Pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila menyatakan bahawa keterangan SP8 telah mematahkan kes Pendakwaan. [37] Mahkamah berpendapat bahawa alasan penghakiman Mahkamah Sesyen perlu dibaca secara keseluruhan. [38] Apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Mahkamah Sesyen ialah bahawa keterangan SP8 telah menimbulkan keraguan yang nyata terhadap teori kes Pendakwaan sendiri. [39] SP8 mengesahkan bahawa beliau meminta bantuan Responden untuk membantu menjelaskan saman trafik. [40] SP8 juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah memberikan sebarang imbuhan kepada Responden supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang atau supaya Responden memberikan apa-apa layanan istimewa kepadanya. [41] SP8 turut mengesahkan bahawa Responden tidak pernah meminta apa-apa keuntungan atau faedah peribadi daripadanya. [42] Keterangan tersebut kekal sebagai sebahagian daripada kes Pendakwaan. Tiada prosiding untuk mencabar kredibiliti SP8 dijalankan oleh pihak Pendakwaan. [43] Oleh itu Mahkamah Sesyen berhak mengambil kira keseluruhan keterangan SP8 ketika menilai sama ada suatu kes prima facie telah dibuktikan. ISU HUBUNGAN DENGAN KERJA RASMI [44] Kedua-dua pihak telah menghujahkan secara panjang lebar mengenai isu sama ada SP8 mempunyai hubungan dengan kerja rasmi Responden. [45] Pada pandangan Mahkamah ini, persoalan ini tidak perlu diputuskan secara muktamad bagi tujuan rayuan ini. [46] Ini kerana walaupun Mahkamah menerima hujahan pihak Pendakwaan bahawa isu hubungan dengan kerja rasmi boleh ditafsirkan secara lebih luas daripada sekadar saman yang dikeluarkan sendiri oleh Responden, rayuan ini masih berdepan dengan masalah yang lebih asas. [47] Masalah tersebut ialah kegagalan pihak Pendakwaan membuktikan sifat sebenar transaksi-transaksi yang menjadi asas kepada pertuduhan. [48] Oleh itu, Mahkamah ini tidak menganggap isu hubungan dengan kerja rasmi sebagai isu yang menentukan keputusan rayuan ini. PEMAKAIAN SEKSYEN 50(3) AKTA SPRM 2009 [49] Pihak Pendakwaan turut berhujah bahawa Mahkamah Sesyen terkhilaf kerana gagal mengguna pakai anggapan statutori di bawah seksyen 50(3) Akta SPRM 2009. [50] Mahkamah ini tidak bersetuju. Sesuatu anggapan statutori tidak boleh digunakan bagi menggantikan keperluan untuk membuktikan fakta-fakta asas yang menjadi syarat kepada kewujudannya. [51] Dalam kes ini, persoalan asas mengenai sifat sebenar transaksi yang menjadi asas kepada setiap pertuduhan masih gagal dibuktikan dengan memuaskan. [52] Oleh yang demikian, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf apabila enggan menggunakan anggapan statutori tersebut untuk menampung kekurangan pembuktian fakta asas. KELONGGARAN SIASATAN [53] Mahkamah ini juga bersetuju bahawa kegagalan siasatan semata-mata tidak semestinya membawa kepada pembebasan. Walau bagaimanapun, dalam kes ini kegagalan siasatan yang dibangkitkan bukanlah perkara remeh. [54] Kegagalan mengenal pasti transaksi yang merupakan pembayaran saman, transaksi yang merupakan sumbangan dan jumlah sebenar yang didakwa sebagai suapan mempunyai kaitan langsung dengan elemen penting pertuduhan. [55] Oleh itu, Mahkamah Sesyen berhak mengambil kira kesan kelemahan tersebut terhadap kekuatan keseluruhan kes Pendakwaan. KESIMPULAN [56] Setelah meneliti keseluruhan rekod rayuan, Mahkamah ini tidak mendapati bahawa Mahkamah Sesyen telah melakukan salah arah yang mewajarkan campur tangan oleh Mahkamah ini. [57] Pada pandangan Mahkamah ini, isu yang paling kritikal dalam kes ini ialah kegagalan pihak Pendakwaan membuktikan sifat sebenar transaksi yang menjadi asas kepada setiap satu daripada dua puluh empat pertuduhan yang dikemukakan. [58] Keterangan saksi-saksi Pendakwaan sendiri menunjukkan bahawa ada di antara transaksi-transaksi tersebut mungkin terdiri daripada pembayaran saman trafik dan sumbangan kelab, namun pihak Pendakwaan gagal mengenal pasti transaksi yang mana satu tergolong dalam kategori yang mana. [59] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak boleh secara pukul rata membuat inferens bahawa kesemua transaksi tersebut merupakan penerimaan wang tanpa balasan sebagaimana yang dipertuduhkan. [60] Mahkamah juga kekurangan panduan untuk memilih dan membezakan di antara 24 pertuduhan yang boleh mensabitkan Responden dan yang mana Responden tidak boleh disabitkan. Kekurangan pembuktian tersebut telah wujud dalam kes Pendakwaan sendiri dan menyentuh elemen penting kesalahan yang dipertuduhkan. Dalam keadaan tersebut, benefit perlu diberikan memihak kepada Responden. [61] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpuas hati bahawa keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskan dan membebaskan Responden pada akhir kes pendakwaan adalah suatu keputusan yang selamat dan wajar dikekalkan. [62] Rayuan Pendakwa Raya dengan ini ditolak dan keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan. Tarikh: 9 Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak : Timbalan Pendakwa Raya Perayu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Aras 18 & 19, Blok C, No. 2 Lebuh Wawasan, Presint 7 62250 Putrajaya Peguam Bagi Pihak : Tetuan Wan Haron Sukri & Nordin Responden Peguambela & Peguamcara Unit 22.09, Level 22, Plaza 138 No. 138, Jalan Ampang 50450 Kuala Lumpur