Walau bagaimanapun, apabila satu-satu Akta memperuntukkan satu prosedur khusus, prosedur itu mesti dipatuhi dengan teliti dan kes-kes common law tidak boleh mengatasi peruntukan Akta tersebut serta keulungan Perlembagaan Persekutuan. Dalam kes ini, terdapat perlanggaran s. 31A (1A) ADB dan perlanggaran tersebut tidak boleh diatasi oleh prinsip-prinsip yang diperuntukkan dalam kes common law Kuruma v. R serta R v. Sang. Satu-satunya peruntukan statut jenayah mesti dipatuhi dengan ketat, dan kegagalannya membentuk perlanggaran kaedah undang-undang. Kes ini adalah kes yang sesuai dan wajar untuk sampel air kencing dikecualikan dan/atau dipadamkan daripada keterangan. Dengan berbuat demikian, tiada keterangan menyalahkan yang mencukupi untuk mensabitkan tertuduh. [37] Di dalam nas Muhamad Alhaan Lias Dan Pendakwa Raya [2019] 1 LNS 1809 di para [10], [11] & [12] dinyatakan: “[10] Berdasarkan di atas Mahkamah berpendapat niat sebenar dan tujuan Parlimen meminda s. 31A (1A) ADB ialah untuk menghadkan pengambilan air kencing orang yang ditangkap oleh anggota-anggota polis kepada yang berpangkat Sarjan ke atas sahaja. Oleh itu Koperal Roslee telah bertindak di luar kuasa yang diberikan oleh badan perundangan apabila beliau sendiri mengambil sampel air kencing Perayu. Dalam hal keadaan kes ini memadailah untuk mahkamah mengatakan pihak pendakwaan tidak menjalankan mandat Parlimen dengan tidak melaksanakan hasrat parlimen berdasarkan peruntukan s. 31 A (1 A) ADB. [11] Keputusan kes Aizuddin Syah Ahmad (supra] adalah selaras dengan niat dan tujuan badan perundangan meminda s. 31 A (1A) ADB. Oleh kerana isu yang dipertikaikan adalah sinonim dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan kegagalan untuk mematuhi tatacara pengambilan air kencing seperti yang ditetapkan di bawah s. 31A(1A) ADB adalah fatal maka Mahkamah ini terikat dengan keputusan Mahkamah Atasan, Dalip Bhagwan Singh v. PP [1997] 1 MLRA 653, Timbalan Menteri dalam Negeri Malaysia & ors v. Arasa Kumaran (2006] 2 MLRH 283. [12] Oleh kerana dalam kes ini sampel air kencing itu diambil oleh anggota polis yang berpangkat Koperal, keterangan ini wajar dipadamkan dan tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan. Kesannya ialah tiada lagi keterangan yang boleh membuktikan elemen pertuduhan ke atas Perayu. Rayuan dibenarkan dan Perayu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Perintah Hakim Mahkamah Sesyen diketepikan.” [38] Kes Pendakwaan semakin goyah bilamana tiada sekelumit keterangan terutamanya daripada keterangan dokumen sebagai ekshibit di hadapan Hakim Bicara yang secara terus menunjukkan bahawa responden telah memilih botol urin yang bernombor siri 0110938 tersebut untuk kencing ke dalam botol urin tersebut mengambilkira bahawa tiada sebarang pembuktian melalui gambar yang menunjukkan responden telah memilih botol urin yang bernombor siri sedemikian. [39] Tiada juga sebarang gambar dirakam yang menunjukkan responden telah memegang botol urin yang bernombor siri tersebut di hadapan Hakim Bicara sebelum ini yang boleh memberi petunjuk bahawa responden telah memilih botol urin bernombor siri tersebut. Juga tiada sebarang gambar dirakam berkenaan dengan responden telah membawa botol urin tersebut ke tandas untuk kencing ditambah pula dengan keadaan di mana tiada juga sebarang gambar dirakam untuk menunjukkan bahawa test strip telah dicelup ke dalam botol urin yang dikatakan mengandungi air kencing responden di hadapan beliau pada masa ujian saringan awal dibuat dalam kes ini. Oleh yang demikian, atas isu ini juga tiada sebarang keterangan yong boleh mengaitkan responden dengan kes yang dihadapinya. Percanggahan fakta dan keterangan (SP5 dan SP6) [40] Setelah mengambilkira keterangan yang telah dikemukakan pihak Pendakwaan terutama daripada SP5 dan SP6, ternyata terdapatnya percanggahan fakta dan keterangan yang serius dan material tentang siapakah yang telah menjalankan ujian urin ke atas responden di dalam kes ini. Keterangan SP5 menyatakan semasa di dalam pemeriksaan balas bahawa beliau yang telah menjalankan ujian urin responden dan bukannya SP1 yang hanya bertindak sebagai Pengadu sebagaimana P1. Walau bagaimanapun, keterangan daripada SP6 menyatakan sebaliknya apabila menyatakan dalam kes ini bahawa SP1 yang telah menjalankan ujian saringan urin ke atas responden dan bukannya SP5. Ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya dua (2) versi keterangan yang dibawakan oleh pihak Pendakwaan atas perkara yang menjadi tunjang kepada kes Pendakwaan di dalam kes ini. [41] Di dalam nas Mahkamah Rayuan Satish Mohanadran v. PP [2022] 3 CLJ 844 diputuskan: “(1) The prosecution had adduced two conflicting versions of evidence - one striking against the other - which went to the heart of the prosecution's case and, on this ground alone, it could not be said that a prima facie case had been made out by the prosecution. Consequent to the surviving of the impeachment proceedings, (i) the witness' credibility was preserved and, accordingly, credible; and (ii) the evidence of the contradictory witness must be evaluated and tested carefully. It certainly gave rise to a doubt on the credibility of the contradictory witness to the extent that evidence may be rejected in totality on the contradicted particulars. The prosecution, having availed the impeachment proceedings and failed, could not then submit on the falsity of the version offered by the witness that survived impeachment. This should be applied with greater rigour when the conflicting evidence comes from the prosecution's witness. SP4’s credibility having been compromised, the prosecution’s case was killed by its own witness and, in consequence, there was no reliable evidence that the drugs were found inside the house. (para 36)” [42] Tuan Majistret Yang Bijaksana telah secara tuntas membuat dapatan di dalam Alasan Penghakiman berkenaan isu bilamana terdapat dua (2) versi keterangan daripada saksi-saksi Pendakwaan, maka telah timbul inferens berkenaan berapakah ujian saringan urin yang telah dibuat ke atas responden mengambil kira terdapat keterangan daripada SP-5 yang menyatakan beliau yang telah menjalankan ujian urin di samping wujud pula keterangan daripada SP-6 yang menyatakan bahawa dalam kes ini SP-1 yang telah membuat ujian urin ke atas responden. (M.S 21 JILID 1 RR) “23. Selain daripada itu, lebih memburukkan kes pendakwaan ialah, SP1 sendiri telah mengemukakan dua set keterangan di mahkamah iaitu di dalam laporan polisnya dia menyatakan bahawa dia yang menjalankan ujian saringan awal dengan dibantu oleh SP5 dan anggota lain, namun semasa memberikan keterangan lisan pula dia menyatakan bahawa SP5 yang jalankan ujian atas arahan dia. Walaupun kekeliruan ini cuba dijelaskan oleh SP1 dan SP5, namun ianya dimusnahkan sekali lagi oleh SP1 dan SP5. Oleh itu telah timbul beberapa inferen iaitu adakah ada dua ujian saringan dibuat iaitu satu ujian yang dibuat oleh SP1 dan SP5 bersama dan satu ujian yang dibuat oleh SP5 sahaja. Sekiranya ada dua ujian dibuat, sampel manakan yang dihantar ke Makmal Patologi untuk ujian pengesahan dilakukan.