Content
1
WA-42R-2-04/2021
High Court of Malaysia28 Mar 2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO.: /2023 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU LAWAN TAN TAI KWAN ... RESPONDEN
2
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO.: /2023 ANTARA TAN TAI KWAN ... PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur Dalam Wilayah Persekutuan Malaysia Rayuan Jenayah No.: WA-42R-2-04/2021 Antara Pendakwa Raya ... Perayu Dengan Tan Tai Kwan ... Responden/Tertuduh Dalam Perkara Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur Kes Tangkap No.: WA-14-62R-19-04/2019 Antara Pendakwa Raya Dengan Tan Tai Kwan] ALASAN PENGHAKIMAN (Terhadap Sabitan dan Hukuman) A. PENDAHULUAN [1] Tertuduh telah dituduh dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama kerana telah secara rasuah memberikan sejumlah wang RM19,050.00 kepada Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (“JPN”) iaitu Rosidi bin Basri (“SP1”) supaya tidak diambil tindakan undang-undang terhadap seorang rakan wanitanya bernama Li Ting (“SD3”) yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. [2] Tertuduh tidak mengaku bersalah, justeru satu perbicaraan penuh dijalankan. Di akhir kes pembelaan, Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) telah melepaskan dan membebaskan Tan Tai Kwan (“Tertuduh”) daripada pertuduhan. [3] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Pendakwa Raya telah merayu kepada Mahkamah ini. Setelah mendengar rayuan Pendakwa Raya, Mahkamah ini telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya di mana Tertuduh didapati bersalah seperti pertuduhan, disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara 1 hari, denda RM30,000.00 (jika tidak bayar, 6 bulan penjara). [4] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Tertuduh telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman. Pendakwa Raya juga telah merayu terhadap hukuman. Ini merupakan alasan-alasan bagi keputusan tersebut. B. PERTUDUHAN [5] Pertuduhan Bahawa kamu, pada 28 Jun 2018 jam lebih kurang 09:00 malam, di Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya, telah secara rasuah memberi satu suapan, iaitu wang tunai RM 19,050.00 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia, Rosidi Bin Basri, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara sebagai dorongan supaya tidak melakukan satu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan ke atas kamu dan seorang lagi individu warganegara China bernama Li Ting kerana telah melakukan satu kesalahan masing-masing di bawah Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama. Hukuman:
a
Dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan
b
Didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu didapati dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000.00
Preamble
mengikut mana-mana yang lebih tinggi. C. FAKTA KES [6] Pada 28.6.2018, SP3 (Pegawai JPN) serta pasukan telah pergi ke Bank CIMB cawangan Bandar Puteri, Puchong dan telah menahan dan membawa balik ke Ibu Pejabat JPN Putrajaya seorang warganegara China bernama Li Ting (SD3) kerana disyakki melakukan satu kesalahan berkaitan pemalsuan kad pengenalan. Li Ting (SD3) telah di bawa ke Ibu Pejabat JPN, Putrajaya untuk tindakan lanjut. [7] Sebelum di bawa ke Putrajaya, Li Ting (SD3) telah menghubungi Tan Tai Kwan (Tertuduh), kawan SD3. Li Ting tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Apabila Tertuduh tiba di Bank CIMB cawangan Bandar Puteri tersebut, Tertuduh telah cuba memujuk dan merayu kepada Pegawai JPN supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Li Ting (SD3). Walau bagaimanapun, Pegawai JPN tidak mengendahkan rayuan dan pujukan Tertuduh tersebut. Tertuduh turut dibawa bersama ke Ibu Pejabat JPN kerana Li Ting (SD3) tidak memberikan kerjasama kepada Pegawai JPN serta tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. [8] Dalam perjalanan ke Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Tertuduh masih meminta agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap Li Ting (SD3). [9] Apabila tiba di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Tertuduh dan Li Ting (SD3) dibawa untuk proses temu-siasat bersama Pegawai JPN yang diketuai oleh SP1, Encik Rosidi bin Basri, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Semasa SP1 menemu-siasat Tertuduh, Tertuduh telah menawarkan wang rasuah berjumlah RM20,000.00 kepada SP1 supaya SP1 tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Li Ting (SD3) yang disyakki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Apabila berlakunya penawaran tersebut, pihak JPN telah menghubungi pihak SPRM kerana dipercayai akan berlakunya satu transaksi pemberian wang suapan berhubung kes yang sedang disiasat oleh pihak JPN tersebut. [10] Pasukan SPRM tiba di pejabat JPN Putrajaya yang terdiri daripada SP2, SP6 dan SP7. Tertuduh telah menghubungi seorang kawan Soo Chong Lim (SD2) melalui panggilan telefon meminta beliau membawakan wang sebanyak RM20,000.00 untuk diserahkan kepada Tertuduh bagi maksud untuk diberikan kepada SP1. Soo Chong Lim (SD2) tiba di pejabat JPN Putrajaya dan telah berjumpa dengan Tertuduh dan menyerahkan wang tersebut. [11] Tertuduh telah menunjukkan wang tersebut kepada SP1. SP1 telah memberi amaran sewajarnya kepada Tertuduh. Tertuduh telah mengira wang tersebut dihadapan SP1 dan menambahkan RM50.00 dalam jumlah tersebut dari wangnya sendiri. Seterusnya Tertuduh telah memberikan wang tersebut kepada SP1. Apabila transaksi pemberian wang daripada Tertuduh kepada SP1 telah berlaku, SP2 telah membuat tangkapan terhadap Tertuduh. D. INTIPATI PERTUDUHAN [12] Secara ringkasnya intipati pertuduhan yang perlu dibuktikan Pendakwa Raya adalah:
a
SP1 merupakan Pegawai/Agen Kerajaan Malaysia (Jabatan
b
Tertuduh telah memberi wang suapan tersebut kepada SP1;
c
Sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap SD3 kerana memiliki kad pengenalan palsu (sebagai dorongan supaya tidak melakukan satu perbuatan berhubung hal-ehwal prinsipalnya). Setelah kedua-dua intipati ini telah berjaya dibuktikan, anggapan di bawah Seksyen 50 ASPRM 2009 terpakai. E. PENGANALISAAN DAN DAPATAN MAHKAMAH
a
Sama ada satu Kes Prima Facie telah Berjaya Dibuktikan? [13] Setelah meneliti Rekod Rayuan, Mahkamah mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) adalah betul apabila setelah membuat penilaian maksima, HMS mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan kerana Pendakwa Raya telah berjaya membuktikan intipati-intipati pertuduhan seperti berikut:
i
Intipati Pertama [14] Bagi intipati pertama, telah dibuktikan bahawa ketika kejadian SP1 adalah Agen atau Pegawai Kerajaan (Pegawai JPN). Ianya tidak dipertikaikan dan ini telah disahkan oleh SP1 sendiri serta SP4.
II
(ii) Intipati Kedua [15] Tertuduh telah memberi wang suapan RM20,000.00 secara rasuah kepada SP1. Ianya dapat dibuktikan melalui keterangan SP1 di mana keterangannya telah disokong. Keterangan SP1 adalah seperti di dalam Rekod Rayuan P1 Jld. 3 (dari ms 4 hingga 6) yang mana SP1 telah dengan jelas menerangkan bagaimana kejadian berlaku di mana akhirnya Tertuduh telah memberi wang RM20,000.00 itu secara rasuah kepada SP1. Berikut adalah sedutan keterangan SP1: “Para 8) Lebih kurang jam 1900hrs, saya masuk semula di kawasan soalsiasat dan saya mendapati rakaman percakapan telah selesai diambil dan kedudukan perempuan cina tersebut telah berubah ke meja hujung dan dikawal oleh seorang anggota perempuan bernama Puan Norbaizura binti Kader Maidin. Tujuan saya adalah untuk membaca rakaman percakapan dan membaca deraf repot polis yang telah disediakan. Semasa saya menjalankan tindakan saya lelaki cina tersebut sekali lagi membuat tawaran yang sama seperti sebelum ini. Lelaki cina tersebut juga mengulangi ayat lebih kurang sama iaitu “tolong la bos, tak terus kes la” dan saya juga tegaskan perkara yang sama iaitu lebih kurang “u tau tak ni salah”, dan beliau menjawab saya tau tapi tolong la dan saya menjawab “please la u dah salah saya buat keja saya”. Ketika ini, pegawai SPRM iaitu Rommel, seorang lelaki india (nama tidak tahu) dan seorang wanita ketinggian sederhana (nama tidak tahu) telah berada bersama. Para 9) Pada masa yang sama, saya telah arahkan anggota untuk mengambil rakaman cap jari ke atas kedua-dua mereka. Rakaman cap jari telah dibuat oleh anggota saya bernama Azizi bin Alias. Pada masa ini juga saya terus ditawarkan oleh lelaki cina tersebut berulang-ulang kali dan saya telah menolak tawaran beliau. Selepas itu, saya melihat beliau telah menjawab satu paggilan telefon dan bercakap dalam bahasa cina. Saya telah meminta Zulkarnain bin Ahmad untuk menterjemahkan butiran percakapan lelaki cina tersebut kepada saya. Zulkarnain telah menyatakan bahawa terdapat 2 orang cina telah berada di sekitar JPN beserta wang tunai RM20,000 dan akan naik ke atas bahagian kami berada iaitu tingkat 3 untuk menyerahkan wang tunai. Para 10) ... Beliau kemudiannya telah mengumpul semula wang yang telah dikira tadi dan dengan menggunakan tangan kanan beliau menghulurkan wang tersebut kepada saya. Saya menerima menggunakan tangan kanan. Selepas berlaku penyerahan pegawai SPRM Rommel datang kepada saya dan pegawai India pergi lelaki cina tersebut. Selepas itu, Rommel terus membawa saya ke pejabat SPRM untuk membuat aduan rasmi. Para 11) ... Antara individu-individu yang menyaksikan penyerahan wang tersebut adalah saya sendiri, Rommel, pegawai India, perempuan ketinggian sederhana. Bagi anggota saya, saya tidak pasti siapa yang menyaksikan penyerahan tersebut. Duit yang saya terima ini adalah sebagai balasan supaya tidak diambil tindakan ke atas perempuan cina yang memilik MYPR palsu dan lelaki cina yang tidak mengemukakan kad pengenalan.” [16] Penyerahan wang ini turut disaksikan oleh SP2, Mugilan a/l Maniam, seorang Penguasa Kanan SPRM, yang turut berada di tempat kejadian (Kaunter Soal-Siasat). Kehadiran SP2 dan beberapa orang i.e PPS Rommel Andries (SP7) dan PPS Nur Raihanah (SP6) kedua-dua orang pegawai SPRM di situ adalah di atas aduan Pengarah SP1 yang telah memaklumkan kepada SPRM sebelum itu. SP2 telah melihat apa yang berlaku termasuk pengiraan dan pemberian wang rasuah tersebut oleh Tertuduh kepada SP1. Di mukasurat 15 Rekod Rayuan, Jilid 3, SP2 menyatakan di dalam Pernyataan Saksinya: “(7) ... Setelah lelaki Cina itu selesai memberikan wang, En. Rosidi memberikan isyarat mata kepada saya bahawa wang telah diberikan.” [17] Keterangan SP1 turut disokong oleh SP6 Nur Raihanah Penolong Pegawai Siasatan SPRM. [18] Berikut adalah sedutan daripada Pernyataan Saksi SP6. Di mukasurat 88 para (5) dan para (7) beliau berkata: “(5) Saya duduk di meja yang berhampiran dengan tempat duduk Encik Rosidi dan lelaki Cina itu. Saya dengar lelaki Cina itu berkata kepada Encik Rosidi, “Tolong lah ..” dan saya dengar Encik Rosidi berkata, “Ni salah..”, namun begitu lelaki Cina tersebut tetap meminta-minta supaya Encik Rosidi menolong beliau. Saya juga dengar PPS Rommel ada memberi amaran kepada lelaki Cina itu, “You tahu tak apa you buat ni salah? Boleh kena tangkap”. Amaran tersebut telah diberi lebih daripada tiga kali dan saya dapat lihat lelaki Cina itu tetap berdegil mahu Encik Rosidi tolong beliau.” “(7) Selepas itu, Encik Rosidi memberikan isyarat mata kepada PsK Mugilen bahawa penyerahan wang telah berlaku. Kemudian, tangkapan telah dilakukan oleh PsK Mugilen pada jam lebih kurang 9.00 malam.” [19] Keterangan SP1 turut disokong oleh Rommel Andries, SP7, Penolong Pegawai Siasatan SPRM. Di mukasurat 104 Jilid 3, saksi ini di dalam Pernyataan Keterangannya menyatakan seperti berikut: “(7) Semasa Encik Rosidi meneruskan soal-siasat mereka, lelaki Cina tersebut ada mengatakan seperti ini, “Tolong lah bos, kalau boleh jangan teruskan kes ni” dan Encik Rosidi berkata, “Ni salah ..”, namun begitu lelaki Cina tersebut tetap meminta tolong supaya Encik Rosidi menolong beliau. Saya juga ada memberi amaran kepada lelaki Cina itu, “You tahu tak apa you buat ni salah? Boleh kena tangkap”. Amaran ini telah saya beri lebih daripada tiga kali dimana setiap kali suspek menawarkan untuk settle kes dan beliau tetap berdegil dan terus mendesak dan mahu Encik Rosidi menolong beliau. Untuk makluman pihak SPRM juga, Encik Rosidi juga telah banyak kali memberi amaran kepada lelaki Cina tersebut tapi lelaki Cina tersebut tetap berdegil.” [20] Di atas keterangan-keterangan di atas Mahkamah bersetuju bahawa intipati kedua iaitu wang suapan/rasuah tersebut telah Tertuduh berikan kepada SP1 sebagai balasan supaya tidak diambil tindakan terhadap SD3 kerana kesalahan memiliki kad pengenalan palsu, telah berjaya dibuktikan.
III
(iii) Intipati Ketiga [21] Ini telah dibuktikan oleh SP1 secara khusus di mana wang tersebut diberikan oleh Tertuduh kepada SP1 supaya tindakan tidak dikenakan terhadap SD3 kerana memiliki kad pengenalan palsu dan terhadap Tertuduh sendiri kerana tidak membawa kad pengenalannya. Keterangan disokong oleh SP5 yang mengesahkan sedang menyiasat Tertuduh dan SD3 untuk kedua-dua kesalahan itu, di bawah Peraturan 25 (1) (n) dan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara. Keterangan-keterangan ini mencukupi untuk membuktikan intipati ketiga. [22] Hakim Bicara di dalam Alasan Penghakimannya di Jld. 1 ms 31 RR memutuskan bahawa anggapan di bawah Seksyen 50 adalah terpakai di dalam prosiding ini melainkan dibuktikan sebaliknya. Oleh itu, Tertuduh adalah dianggap telah memberikan suapan wang tunai sebanyak RM19,050.00 secara rasuah sebagai dorongan untuk tidak dikenakan apa-apa tindakan terhadap Li Ting (“SD3”). Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh dan seterusnya memanggil Tertuduh untuk membela diri. [23] Seksyen 50 ASPRM 2009 berbunyi:
50
Anggapan dalam kesalahan tertentu.
1
Jika dalam mana-mana prosiding terhadap mana-mana orang atas sesuatu kesalahan di bawah seksyen 16, 17, 18, 20, 21, 22 atau 23 adalah dibuktikan bahawa apa-apa suapan telah diterima atau dipersetujui untuk diterima, disetuju terima atau dipersetujui untuk disetuju terima, diperoleh atau cuba diperoleh, diminta, diberikan atau dipersetujui untuk diberikan, dijanjikan, atau ditawarkan oleh atau kepada tertuduh, suapan itu hendaklah dianggap telah diterima atau dipersetujui untuk diterima, disetuju terima atau dipersetujui untuk disetuju terima, diperoleh atau cuba diperoleh, diminta, diberikan atau dipersetujui untuk diberikan, dijanjikan atau ditawarkan secara rasuah sebagai suatu dorongan atau upah bagi atau kerana perkara-perkara yang dinyatakan dalam butir kesalahan itu, rnelainkan jika akasnya dibuktikan.
b
Adakah HMS betul apabila melepas dan membebaskan Tertuduh setelah memanggil Tertuduh membela diri? [24] Namun apabila Tertuduh dipanggil membela diri, di akhir kes pembelaan, HMS telah melepas dan membebaskan Tertuduh. [25] Perlu ditekan di sini bahawa adalah menjadi tanggungjawab Tertuduh setelah diperintah membela diri untuk mematahkan anggapan statutori tersebut di bawah Seksyen 50 ASPRM 2009 dengan membuktikan bahawa wang yang diberikan itu bukanlah wang rasuah/wang suapan. [26] Ke arah itu, Tertuduh perlu memberi penjelasan yang jujur dan benar pada tahap di atas “imbangan kebarangkalian” yang lebih tinggi lagi dari tahap menimbulkan keraguan yang munasabah bagi maksud mematah anggapan ini (lihat kes Mahkamah Rayuan PP v. Ku Yahya Ku Bahari [2002] 1 CLJ 113 dan kes Mahkamah Agung, Thavanathan v. PP [1997] 3 CLJ 150 dan PP v. Yuvaraj [1969] 2 MLJ 89). [27] Apa yang berlaku di sini adalah Tertuduh cuba menimbulkan pembelaan berikut:
a
wang yang diberikan kepada SP1 itu adalah bertujuan menjamin SD3;
b
menafikan membayar rasuah kepada SP1 supaya tidak mengambil tindakan terhadap SD3. [28] Mahkamah mendapati bahawa alasan bahawa wang dimaksudkan tersebut adalah untuk menjamin SD3 adalah tidak boleh diterima. Ini adalah kerana Tertuduh tidak pernah bertanyakan apa-apa mengenai wang jaminan ataupun jumlah wang jaminan yang perlu dibayar kepada SP1 khususnya atau dengan Pegawai Penyiasat. Keterangan sebaliknya menunjukkan usaha gigihnya di dalam menyogok SP1 supaya dapat melepaskan SD3 dari ditahan lanjut. [29] Tambah-tambah lagi ianya tidak logik kerana jaminan hanya ditawarkan apabila satu soal-siasat telah selesai dan ianya perlu ditawarkan oleh pihak berkuasa/JPN secara dokumentasi/mengisi borang dan Tertuduh perlu menandatanganinya. Perkara ini tidak berlaku. [30] Pembelaan Tertuduh bahawa SD3 mempunyai bayi kecil pada masa kejadian dan menyebabkan Tertuduh berusaha menolong SD3 untuk menjaminnya juga tidak boleh diterima. [31] Isu ini adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought) kerana ianya tidak pernah ditimbulkan daripada awal-awal lagi. Isu ini langsung tidak diberitahu kepada pihak siasatan semasa kejadian berlaku dan langsung tidak diberitahu oleh SD3 sendiri atau Tertuduh yang berusaha menolong SD3. Malahan, sepanjang siasatan berlangsung, saksi-saksi lain terutamanya SP1 dan Pegawai Penyiasat sendiri tidak ada dimaklumkan oleh SD3 atau Tertuduh bahawa SD3 mempunyai anak kecil yang masih menyusu. Justeru, bukan sahaja ianya pembelaan yang difikirkan kemudian malahan ianya tidak mampu menyangkal anggapan statutori tersebut. [32] Di dalam kes PP v. Mohd Bandar Shah bin Nordin & Anor [2008] 4 MLJ 556 Mahkamah menyatakan: “Another relevant consideration are probabilities of the case. If a witness’ evidence is improbable, this would be a good reason for rejecting his evidence or according it very little weight. By the same token, where the evidence of a witness accords with the probabilities of the case, it would be a serious misdirection on the part of trial court to give it little or no weight on grounds or credibility.” [33] Ke arah itu, Mahkamah berpendapat alasan jaminan dan mempunyai bayi yang sedang menyusu ini adalah tidak logik dan probable kerana jika ianya benar, secara logiknya Tertuduh pastinya akan berulangkali merayu untuk SD3 dilepaskan segera atas alasan bahawa SD3 mempunyai anak kecil. Namun jika diteliti, Tertuduh langsung tidak ada menyatakan berkenaan anak kecil SD3. Sebaliknya berulang-ulang kali Tertuduh hanya menyatakan “… tolong la …” dan sedaya-upaya ingin menyogok SP1 walaupun SP1 bersama saksi-saksi lain telah memberi arahan bahawa memberi suapan itu adalah salah. [34] Jelas HMS telah gagal mengambil-kira keterangan kukuh SP1 yang disokong oleh saksi-saksi lain yang dengan jelas menyatakan wang yang diterimanya itu adalah wang rasuah yang disogok oleh Tertuduh seperti berikut semasa di peringkat prima facie lagi: “Pemeriksaan Utama Semasa soalsiasat dijalankan oleh saya, lelaki cina tersebut telah menawarkan saya wang suapan dengan ayat lebih kurang “kita cita sini la, settle, saya offer u 20 ribu” dan saya membalas pernyataan beliau “20 ribu untuk apa” dan beliau menjawab lebih kurang “tidak terus kes la” dan saya menjawab “u tau dak ni salah u offer ni” dan dia menjawab “saya tau salah”. Beliau meneruskan percakapan dengan banyak kali “tolongla”. Saya jawab lebih kurang “x boleh saya jalankan kerja saya.” [35] Dengan kegagalan HMS ini untuk mengambil-kira keterangan semasa kes Pendakwaan dan dibandingkan dengan kes Pembelaan, HMS telah membuat kesilapan yang ketara. Justeru, keputusan HMS perlu diketepikan.
c
Kredibiliti – siapa yang perlu dipercayai [36] Di dalam mana-mana kes, Mahkamah perlu menentukan mengenai kredibiliti seseorang saksi. Ini adalah mustahak bagi Mahkamah meneliti saksi mana yang perlu dipercayai khususnya di mana tidak terdapat saksi mata atau saksi sokongan (corroboration witness). Perlu ditekankan di sini bahawa tindakan SP1 ini sepanjang tempoh kejadian berlaku adalah di dalam pengelihatan Pegawai-Pegawai SPRM dan keterangan SP1 ini disahkan dan disokong oleh Pegawai-Pegawai SPRM sendiri (SP2, SP4 dan SP6). Jelas bukan sahaja keterangan SP1 perlu dipercayai kerana beliau adalah saksi yang tidak mempunyai kepentingan dan yang kredibel malahan keterangannya telah disokong. HMS telah tersalah arah apabila memberi kepercayaan kepada keterangan Tertuduh yang mempunyai kepentingan sendiri dan tidak jujur, lebih daripada keterangan SP1 yang kredibel dan telah disokong itu. [37] Malahan adalah menjadi undang-undang mantap bahawa di dalam kes rasuah apabila seseorang Pegawai Kerajaan/Agen Kerajaan bertindak menerima wang suapan di bawah pengawasan dan arahan Pegawai SPRM/pihak berkuasa, beliau adalah diibaratkan sebagai seorang “Agent Provocateur” dan keterangannya perlu diterima dan boleh berdiri dengan sendirinya tanpa keterangan sokongan. Di sini SP1 adalah seorang “Agent Provocateur” dan saksi yang kredibel, dan terdapat keterangan sokongan yang melimpah-ruah yang membuktikan kebersalahan Tertuduh dan sekaligus membuat Tertuduh gagal mematuhi anggapan yang dibangkitkan terhadapnya. Saksi-saksi Tertuduh i.e SD2 dan SD3 gagal memberi keterangan yang kredibel untuk menyokong keterangan SD1. [38] Jelas HMS telah tersalah arah dan tersilap, kerana tidak mengambil-kira fakta di atas dan telah mengambil pendekatan yang salah. Justeru keputusan HMS perlu diganggu.
d
Pembelaan Penafian – Boleh menyangkal anggapan? [39] Adalah menjadi tanggungjawab Tertuduh untuk mematahkan anggapan statutori tersebut. Tanggungjawab Pendakwa Raya sepanjang kes adalah untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Sementara itu, di akhir kes, menurut Seksyen 173 (m) (i) Kanun Acara Jenayah, Mahkamah perlu mengambil-kira kesemua keterangan-keterangan yang telah dikemukakan. [40] Di sini, pembelaan kes Tertuduh adalah juga berbentuk penafian semata-mata, iaitu wang itu bukanlah wang suapan tetapi wang untuk jaminan. Di dalam kes PP v. Ling-Tee Huah [1982] 2 MLJ 324, Mahkamah memutuskan “a mere denial without other proof to reasonably dislodge the prosecution’s evidence is not sufficient”. Justeru, pembelaan Tertuduh gagal mematahkan anggapan tersebut. [41] Jelas, HMS telah terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan faktor-faktor di atas dan gagal mengambil-kira pendekatan yang betul. Di atas sebab-sebab di atas, Tertuduh didapati bersalah seperti pertuduhan dan keputusan HMS diketepikan.
e
Lain-Lain [42] Untuk melengkapkan Alasan Penghakiman ini, beberapa isu yang Mahkamah ini menganggap remeh telah dibangkitkan oleh pihak Pembelaan. Pertama ialah wang yang diterima bukanlah RM20,000.00 tetapi RM19.050.00. Bagi kes ini, apa yang penting adalah Tertuduh telah dibuktikan memberi wang rasuah kepada SP1. Jumlah wang sebenar adalah tidak penting. Malahan jika wang rasuah tersebut tidak dijumpai selepas itu juga tidak memudaratkan kes Pendakwaan. Di dalam kes Che Din bin Ahmad v. PP [1976] 1 MLJ 289, Mahkamah memutuskan: “It is not incumbent on the prosecution to prove that the money was found in the possession of the appellant, so long as the court is satisfied that it was the appellant who received the money.” Jelas di sini bahawa apa yang penting ialah sejumlah wang (bukan jumlah sebenar) telah dibuktikan diberikan secara rasuah oleh Tertuduh kepada SP1. [43] Mengenai cadangan bahawa SD2 telah dipaksa menandatangani P26 iaitu Kenyataan Kedua, Mahkamah mendapati ini adalah tidak benar. Ini diakibatkan oleh kekeliruan SD2 sendiri. Apapun ia tidak memudaratkan kes Pendawaan, kerana ianya bukannya merupakan sebahagian daripada intipati pertuduhan dan ianya juga tidak mampu mematahkan anggapan statutori tersebut.
f
Hukuman [44] Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman telah mendengar dan telah mengambil-kira mitigasi Tertuduh supaya satu hukuman yang ringan dikenakan. Manakala Timbalan Pendakwa Raya telah menghujahkan pendirian Pendakwa Raya supaya satu hukuman yang sewajarnya yang berbentuk pengajaran dan deteren dikenakan. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 1 hari penjara dan denda RM30,000.00, jika tidak bayar 6 bulan penjara. F. KESIMPULAN [45] Rayuan Pendakwa Raya dibenarkan dan keputusan HMS diketepikan. Tertuduh didapati bersalah, disabitkan dan dihukum 1 hari penjara dan denda RM30,000.00, jika tidak bayar, 6 bulan penjara. G. RAYUAN PENDAKWA RAYA TERHADAP HUKUMAN [46] Pendakwa Raya telah merayu terhadap hukuman yang mengikut Pendakwa Raya adalah terlalu ringan dan tidak mencukupi. [47] Mahkamah ini mengambil-maklum bahawa kesalahan memberi rasuah adalah satu kesalahan serius. Ini dilambangkan dengan hukuman maksima yang boleh dikenakan bagi kesalahan tersebut adalah maksima 20 tahun penjara serta denda berkali-ganda. Adalah menjadi tanggung jawab Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman supaya memberi keutamaan kepada kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi Tertuduh/Perayu sendiri sepertimana yang ditekankan di dalam kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256. [48] Namun kepentingan seseorang Tertuduh tidak boleh diketepikan langsung. (Lihat kes Tan Sri Abdul Rahim Noor v. PP [2001] 1 MLJ 193). Bergantung kepada keadaan masing-masing, terdapat keadaan di mana kepentingan awam sendiri mewajarkan seseorang Tertuduh itu tidak dimasukkan ke dalam penjara di dalam tempoh yang panjang kerana ia akan membawa banyak keburukan daripada kebaikan, di mana seseorang pesalah itu akan menjadi penjenayah tegar (hardened criminal) selepas menjalani hukuman penjara. [49] Justeru itu, Mahkamah ini sebagai Mahkamah yang mendengar rayuan perlu menjalankan satu kaedah pengimbangan (balancing exercise) untuk memastikan keadilan dilaksanakan kepada mangsa/orang awam dan juga Tertuduh/Perayu di dalam menentukan hukuman yang sesuai yang akan dijatuhkan. Ke arah itu, Mahkamah akan menggunakan kaedah ini di dalam menentukan hukuman yang sesuai di dalam kes ini. [50] Mahkamah telah mengambil-maklum bahawa otoriti-otoriti kebanyakkan menyatakan bahawa di dalam kes rasuah adalah wajar hukuman penjara dikenakan. (Lihat contoh kes Hamidon bin Mat Yatim v. PP [1995] 3 CLJ 724. Namun pengecualian perlu diberi kepada kes yang mempunyai keadaan khas tertentu. Di dalam kes PP v. Dato’ Waad Mansor [2005] 1 CLJ 421 Mahkamah memutuskan: “.. there is no doubt that in cases involving corruption imprinsonment would be a proper sentence unless there are extenuating circumstances against the imposition of such a sentence”. Justeru Seksyen 24 Akta SPRM tidak menjadikan hukuman penjara mandatori. Peguambela Tertuduh di dalam Hujahan Bertulisnya bertarikh 24.3.2023 ada menjelaskan beberapa contoh kes di mana hukuman nominal diberikan. [51] Di dalam kes Tertuduh ini, tindakan yang dilakukannya walaupun menyalahi undang-undang adalah bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk seorang wanita rakyat China yang tidak tahu Bahasa Melayu dan Inggeris. Tertuduh sendiri mempunyai keluarga termasuk seorang isteri serta anak untuk ditanggung. [52] Tertuduh juga menanggung dan membela ibu dan bapanya yang sakit. Jika satu hukuman penjara yang panjang dikenakan terhadap Tertuduh, ini akan memberi kesan “crushing” (crushing effect) bukan sahaja kepada Tertuduh secara langsung malahan kepada ahli-ahli keluarganya yang disebut di atas, secara tidak langsung. [53] Anak-anaknya juga akan terkesan secara langsung kerana tidak mendapat perhatian dan kasih sayang ketika dalam tempoh sesuatu pemenjaraan. Isterinya juga akan terkesan secara langsung jika satu tempoh pemenjaraan yang panjang dikenakan kerana beliau terpaksa mengambil-alih tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka termasuk kedua-dua ibu bapa Tertuduh yang telah uzur itu. Lebih terkesan lagi apabila isterinya perlu bekerja untuk mencari nafkah untuk membela mereka semua. [54] Tertuduh juga telah insaf dan juga terkesan kerana ekoran daripada kejadian ini perniagaannya telah amat terjejas begitu juga namanya. Justeru, hukuman yang Mahkamah berikan ini adalah wajar dan memadai. H. RAYUAN TERHADAP HUKUMAN OLEH TERTUDUH [55] Tertuduh telah merayu terhadap hukuman tersebut dan mohon supaya Tertuduh diberikan “hukuman” dengan ditawarkan bon berkelakuan baik. [56] Mahkamah berpendapat “hukuman” ini tidak wajar diberikan. Malahan pemenjaraan walaupun 1 hari perlu dikenakan sebagai rekod di dalam Buku Pendaftaran Jenayah sebagai peringatan dan pengajaran kepada Tertuduh bahawa Tertuduh pernah dihukum penjara dan juga telah dikenakan denda. [57] Mahkamah juga berpendapat Tertuduh sepatutnya bersyukur dengan keputusan ini dan tidak sepatutnya memfailkan rayuan ini. Tarikh: 25 Jun 2023 (DATO’ AHMAD BIN BACHE) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur. Pihak-Pihak Tertuduh/Perayu: Encik Wong Chiang Kiat (Encik Jason Ng Kau dan Cik Sherlene Lai Yee Ling bersamanya) TETUAN JASON NG & PARTNERS 10-02A, Level 10, Menara HLX No. 3, Jalan Kia Peng 50450 KUALA LUMPUR Pendakwa Raya/ Puan Aznika Responden: (Puan Nor Asma binti Ahmad bersamanya) Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 62250 PUTRAJAYA
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.