kenderaan tersebut ialah hal perkara bagi kesalahan itu. [49] Perayu menegaskan bahawa kedua-dua prasyarat tersebut telah dipenuhi dalam kes ini. Responden telah mengaku salah dan disabitkan di bawah seksyen 57(1)(b)(vi) yang boleh dihukum di bawah seksyen 57(3), iaitu salah satu kesalahan yang disebut dalam seksyen 80(1). Kenderaan tersebut pula jelas digunakan untuk membawa lebihan muatan dan menjadi hal perkara kesalahan. [50] Perayu bergantung kepada keputusan Reza Kianmehr v PP [2012] MLJU 1514, di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa apabila syarat-syarat di bawah seksyen 80(4) dipenuhi, pelucuthakan menjadi mandatori dan Majistret tidak mempunyai budi bicara untuk menolak pelucuthakan. [51] Perayu juga merujuk kepada Pendakwa Raya Iwn Ever Youth Sdn Bhd dan 5 Lagi [2024] MLJU 3072, yang mengambil pendekatan sama bahawa seksyen 80(4) mewajibkan pelucuthakan apabila prasyarat statutori dipenuhi. [52] Berdasarkan autoriti-autoriti tersebut, Perayu menghujahkan bahawa Mahkamah Majistret telah tersalah arah apabila menolak permohonan pelucuthakan. Hujahan Responden [53] Responden pula menghujahkan bahawa seksyen 80(4) APAD 2010 hendaklah dibaca bersama seksyen 80(3) APAD 2010. Seksyen 80(3) APAD 2010 secara jelas memberikan pilihan kepada Mahkamah sama ada untuk membuat perintah pelucuthakan atau pelepasan. [54] Responden bergantung kepada keputusan Sierra Solution Sdn Bhd v Pendakwa Raya [2025] MLRHU 2972, di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perkataan "or" dalam seksyen 80(3) perlu dibaca secara disjunctive dan memberikan Mahkamah kuasa untuk memilih sama ada melucuthakkan atau melepaskan kenderaan yang disita. [55] Responden juga merujuk kepada keputusan terkini Mahkamah Tinggi Ipoh dalam kes Pendakwa Raya Iwn Tong Xhin Trading [2026] MLJU 2217, di mana Hakim Moses Susayan dalam penghakimannya, mengambil pendekatan bahawa pelucuthakan di bawah seksyen 80 APAD 2010 bukan suatu akibat automatik dan budi bicara Mahkamah hendaklah digunakan secara kehakiman bagi mengelakkan keputusan yang tidak adil atau tidak seimbang. [56] Responden menegaskan bahawa dalam kes ini, Responden merupakan pesalah kali pertama, telah mengaku salah, telah membayar denda RM15,000.00, tiada kemalangan atau kecederaan berlaku, dan kenderaan tersebut sebelum ini telah dilepaskan sementara tanpa sebarang pelanggaran syarat. Dua Aliran Autoriti [57] Mahkamah ini menerima bahawa terdapat keputusan yang menyokong pendekatan Perayu. [58] Dalam Reza Kianmehr, Mahkamah Tinggi mentafsirkan seksyen 80(4) sebagai mandatori. Pendekatan yang sama diikuti dalam Ever Youth. [59] Namun, terdapat juga keputusan Mahkamah Tinggi yang mengambil pendekatan berbeza. [60] Dalam Sierra Solution, Mahkamah Tinggi menekankan bahawa seksyen 80(3) menggunakan perkataan "pelucuthakan atau pelepasan". Perkataan "atau" tersebut hendaklah dibaca secara disjunctive dan menunjukkan bahawa Mahkamah diberi kuasa untuk memilih antara dua perintah. [61] Dalam Tong Xhin Trading, Mahkamah Tinggi Ipoh turut mengambil pendekatan bahawa pelucuthakan tidak berlaku secara automatik dan bahawa budi bicara Mahkamah hendaklah digunakan secara kehakiman serta berkadar dengan fakta kes. [62] Oleh itu, terdapat dua aliran keputusan Mahkamah Tinggi yang bersifat persuasif. [63] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini perlu menentukan pendekatan mana yang lebih selaras dengan bahasa statut, struktur seksyen 80 dan prinsip tafsiran undang-undang. Tafsiran Seksyen 80(3) dan 80(4) [64] Oleh itu, seksyen 80(3) tidak boleh diketepikan atau dibaca seolah-olah ia tidak mempunyai kesan atau kaitan dengan seksyen 80(4). Seksyen 80(4) jelas merujuk kepada seksyen 80(3). Pada hemat Mahkamah, seksyen 80(4) Adalah merupakan kesinambungan kepada seksyen 80(3). [65] Seksyen 80(3) secara jelas menyatakan bahawa Mahkamah hendaklah membuat perintah bagi "pelucuthakan atau pelepasan". [66] Jika pelucuthakan dianggap mandatori dalam setiap kes selepas kesalahan dibuktikan, maka perkataan "atau pelepasan" dalam seksyen 80(3) akan menjadi hampir tidak bermakna dalam kebanyakan kes pendakwaan. [67] Prinsip tafsiran statut memerlukan Mahkamah memberi makna kepada setiap perkataan yang digunakan oleh Parlimen. Mahkamah tidak seharusnya mentafsirkan sesuatu peruntukan sehingga sebahagian perkataan dalam statut menjadi lebihan atau sia-sia. [68] Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa kes Lock Wee Kock v Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri & Anor [1993] 1 MLRA 463, yang dirujuk oleh Perayu, sebenarnya menegaskan bahawa perkataan "may" dan "shall" hendaklah ditafsirkan mengikut konteks dan niat perundangan. [69] Oleh itu, penggunaan perkataan "hendaklah" dalam seksyen 80(4) tidak secara automatik menyelesaikan persoalan tafsiran. Mahkamah masih perlu membaca keseluruhan seksyen 80 bagi memahami struktur kuasa yang diberikan kepada Mahkamah. [70] Pada pandangan Mahkamah ini, seksyen 80(4) menetapkan keadaan di mana suatu perintah pelucuthakan boleh dibuat di bawah seksyen 80(3), iaitu apabila Mahkamah berpuas hati bahawa kesalahan telah dilakukan dan kenderaan itu ialah hal perkara kesalahan. [71] Namun, seksyen 80(4) tidak wajar dibaca secara terasing sehingga menafikan sepenuhnya pilihan yang diberikan oleh seksyen 80(3) antara pelucuthakan dan pelepasan. [72] Dengan hormat, Mahkamah ini lebih cenderung kepada pendekatan dalam Sierra Solution dan Tong Xhin Trading, kerana pendekatan tersebut membaca seksyen 80 secara keseluruhan dan memberi kesan kepada kedua-dua subseksyen 80(3) dan 80(4). Pelaksanaan Budi Bicara Dalam Kes Ini [73] Persoalan seterusnya ialah sama ada Mahkamah Majistret telah menggunakan budi bicaranya secara salah apabila melepaskan kenderaan tersebut. [74] Dalam kes ini, beberapa faktor material telah dipertimbangkan oleh Mahkamah Majistret. [75] Pertama, Responden merupakan pesalah kali pertama. [76] Kedua, Responden telah mengaku salah. Walaupun pengakuan salah dibuat pada tarikh perbicaraan, ia tetap menjimatkan masa Mahkamah dan mengelakkan keperluan memanggil saksi-saksi. [77] Ketiga, tiada bukti bahawa kesalahan ini menyebabkan kemalangan, kecederaan, kematian atau kerosakan harta tertentu. [78] Keempat, Mahkamah Majistret telah mengenakan denda sebanyak RM15,000.00. Ini bukan hukuman nominal. [79] Mahkamah ini tidak memperkecilkan keseriusan kesalahan. Lebihan muatan sebanyak 92.92% adalah tinggi. la membawa risiko kepada keselamatan jalan raya dan berpotensi merosakkan infrastruktur awam. [80] Namun, keseriusan kesalahan telah diambil kira oleh Mahkamah Majistret dalam menjatuhkan hukuman denda yang substantif. [81] Persoalan di peringkat rayuan bukan sama ada Mahkamah ini mungkin akan memilih pelucuthakan jika mendengar perkara ini di peringkat pertama. Persoalannya ialah sama ada keputusan Mahkamah Majistret untuk melepaskan kenderaan adalah satu keputusan yang tidak munasabah, salah dari segi prinsip atau berada di luar lingkungan budi bicara yang dibenarkan oleh undang-undang. [82] Setelah meneliti keseluruhan keadaan kes, Mahkamah ini tidak mendapati sedemikian. [83] Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor yang relevan, tidak mengambil kira faktor yang jelas tidak relevan dan telah membuat keputusan dalam lingkungan budi bicara yang diberikan oleh seksyen 80 APAD 2010. [84] Oleh itu, rayuan Perayu terhadap perintah pelepasan kenderaan selepas sabitan juga ditolak. [85] Perayu turut menghujahkan bahawa hukuman denda RM15,000.00 adalah tidak memadai. [86] Perayu menekankan bahawa lebihan muatan sebanyak 92.92% adalah sangat serius. Menurut Perayu, kesalahan sedemikian meningkatkan risiko kegagalan sistem brek, menjejaskan kestabilan kenderaan, memanjangkan jarak membrek dan mempercepatkan kehausan komponen kritikal kenderaan. [87] Perayu juga menegaskan bahawa kesalahan membawa lebihan muatan mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur awam. [88] Oleh itu, Perayu memohon supaya hukuman denda yang lebih tinggi dikenakan. Prinsip Rayuan Terhadap Hukuman [89] Prinsip campur tangan terhadap hukuman adalah jelas. Mahkamah Rayuan tidak akan menaikkan atau mengurangkan hukuman semata-mata kerana ia mungkin akan menjatuhkan hukuman berbeza. [90] Campur tangan hanya wajar jika hukuman tersebut salah dari segi prinsip, mengambil kira faktor yang tidak relevan, gagal mengambil kira faktor yang relevan atau nyata tidak memadai atau berlebihan. [91] Dalam Public Prosecutor v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315, Mahkamah menegaskan bahawa hukuman mengikut undangundang bukan sahaja bermaksud hukuman itu berada dalamjulat yang diperuntukkan, tetapi juga mestilah dinilai berdasarkan prinsip kehakiman yang mantap. [92] Dalam Public Prosecutor v Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256, Mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam merupakan pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman, namun kepentingan awam perlu diimbangi dengan keadaan pesalah dan fakta kes. [93] Dalam Sau Soo Kim v PP [1975] 2 MLJ 134, Mahkamah menerima bahawa pengakuan salah ialah faktor mitigasi kerana ia menjimatkan masa dan kos perbicaraan. Analysis Hukuman [94] Kesalahan di bawah seksyen 57(3) APAD 2010 membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000.00 dan tidak lebih daripada RM500,000.00 atau pemenjaraan tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya. [95] Denda RM15,000.00 memang jauh lebih rendah daripada maksimum RM500,000.00. [96] Namun, hakikat bahawa hukuman maksimum tinggi tidak bermaksud setiap kes perlu dihukum hampir kepada maksimum. Hukuman maksimum lazimnya dikhaskan untuk kes yang paling serius, termasuk kes yang melibatkan rekod lampau, pengulangan kesalahan, kecederaan, kematian, kerosakan harta yang terbukti atau keadaan pemberatan lain yang luar biasa. [97] Dalam kes ini, Mahkamah Majistret mengambil kira bahawa Responden merupakan pesalah kali pertama. [98] Mahkamah Majistret juga mengambil kira pengakuan salah Responden. [99] Tiada kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku akibat kesalahan Respondan. [100] Pada masa yang sama, Mahkamah Majistret turut mengambil kira keseriusan lebihan muatan, risiko keselamatan jalan raya, kepentingan awam dan keperluan pencegahan. [101] Ini jelas daripada alasan penghakiman Mahkamah Majistret, yang secara panjang lebar menyentuh mengenai bahaya kenderaan berat yang membawa lebihan muatan kepada pengguna jalan raya dan infrastruktur awam. [102] Oleh itu, Mahkamah tidak menerima bahawa Mahkamah Majistret gagal mengambil kira kepentingan awam. [103] Selain itu, denda RM15,000.00 tidak boleh disifatkan sebagai hukuman nominal. [104] Malah, berdasarkan kes-kes bandingan yang dirujuk oleh Mahkamah Majistret sendiri, terdapat kes lebihan muatan yang serius di mana denda yang dikenakan adalah lebih rendah daripada RM15,000.00. [105] Dalam PP v Yewan Maju Enterprise [2024] MLJU 669, lebihan muatan ialah 74.52% dan denda yang dikenakan ialah RM9,000.00. [106] Dalam Pendakwa Raya Iwn Bukit Buloh Premix Sdn Bhd [2024] MLJU 1109, lebihan muatan dikatakan melibatkan julat sekitar 90% hingga 130% dan denda yang dikenakan ialah RM9,000.00. [107] Dalam kes semasa, denda RM15,000.00 adalah di dalam julat kes-kes bandingan tersebut. [108] Mahkamah ini menerima bahawa setiap kes bergantung kepada faktanya sendiri dan kes bandingan bukan formula matematik. Namun, kes-kes tersebut menunjukkan bahawa denda RM15,000.00 dalam kes ini tidak boleh dikatakan begitu rendah sehingga nyata tidak memadai. [109] Perayu juga bergantung kepada keseriusan lebihan muatan 92.92%. Mahkamah ini bersetuju bahawa ini faktor pemberatan yang serius. [110] Tetapi Mahkamah di peringkat rayuan tidak hanya menimbang satu faktor secara terasing. Keseluruhan faktor perlu ditimbang secara seimbang. [111] Setelah mengambil kira kesalahan pertama, pengakuan salah, ketiadaan kemalangan atau kecederaan, serta denda yang telah dikenakan, Mahkamah ini tidak berpuas hati bahawa hukuman RM15,000.00 adalah manifestly inadequate. [112] Oleh itu, rayuan Perayu terhadap hukuman juga ditolak. KESIMPULAN DAN KEPUTUSAN [113] Setelah mempertimbangkan keseluruhan Rekod Rayuan, alasan penghakiman Mahkamah Majistret, serta hujahan kedua dua pihak, Mahkamah ini mendapati tiada asas yang mencukupi untuk Mahkamah ini mencampuri keputusan Mahkamah Majistret. [114] Berhubung rayuan terhadap pelepasan sementara, Mahkamah ini mendapati bahawa Mahkamah Majistret mempunyai kuasa untuk membuat perintah pelepasan sementara secara bersyarat terhadap kenderaan yang menjadi subjek prosiding di hadapannya. Tiada prasyarat mandatori dalam seksyen 80 APAD 2010 yang mewajibkan Responden memohon kepada JPJ terlebih dahulu sebelum memohon kepada Mahkamah. [115] Berhubung rayuan terhadap pelepasan kenderaan selepas sabitan, Mahkamah ini mendapati seksyen 80(3) dan 80(4) APAD 2010 hendaklah dibaca secara harmoni. Mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada pelucuthakan atau pelepasan merupakan perintah yang adil dan sesuai berdasarkan fakta kes. [116] Berhubung hukuman, Mahkamah ini mendapati denda RM15,000.00 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret tidak boleh disifatkan sebagai nyata tidak memadai sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah ini. [117] Oleh itu, Mahkamah membuat perintah berikut: i. Rayuan Perayu dalam kes No. CA-41(Ors)-2-06/2024 terhadap perintah pelepasan sementara kenderaan bertarikh 11.6.2024 adalah ditolak; ii. Rayuan Perayu dalam kes CA-41(Ors)-7-11/2024 terhadap perintah pelepasan kenderaan selepas sabitan bertarikh 11.11.2024 adalah ditolak; iii. Rayuan Perayu dalam kes CA-41(Ors)-7-11/2024 terhadap hukuman denda RM15,000.00 adalah ditolak; dan iv. Perintah dan Keputusan Mahkamah Majistret adalah dikekalkan. Tarikh: 7 Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak Perayu : Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang No. 402, Tingkat 4, Mahkota Square Jalan Mahkota 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur Peguam Bagi Pihak : Tetuan Bob. S. Arumugam & Co Responden Peguambela & Peguamcara No. A15, 1 $ ^{1 \mathrm{st}} $ Floor Lorong Tun Ismail 10 Seri Dagangan Dua 25000 Kuantan