Pihak responden di dalam rayuan ini menghadapi 2 pertuduhan di hadapan Mahkamah Sesyen Pasir Mas. Diperturunkan di sini pertuduhan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) setelah responden mengaku salah terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi: Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu pada 21 Jun 2022 jam lebih kurang 5.30 petang, di sebuah rumah beralamat Lot 921, Kg Cabang Empat, Cabang Empat, dalam daerah Tumpat, dalam negeri Kelantan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas ibu mertua kamu bernama Tuan Azizah binti Tuan Bongsu (No. K/P: 610729715122) dengan menggunakan 1 bilah pisau yang mana boleh menyebabkan kematian, oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 326A Kanun Keseksaan. Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu pada 21 Jun 2022 jam lebih kurang 5.30 petang, di sebuah rumah beralamat Lot 921, Kg Cabang Empat, Cabang Empat, dalam daerah Tumpat, dalam negeri Kelantan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas isteri kamu bernama Nik Salma binti Joni (No. K/P: 960511035132) dengan menggunakan pisau yang mana boleh menyebabkan kematian, 3 oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 326A Kanun Keseksaan. Hukuman seksyen 324 KK: Penjara boleh sampai 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan. Hukuman seksyen 326 KK: Penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan. Hukuman seksyen 326A KK: Barang siapa mencederakan pasangan, bekas pasangan, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan dan anggota lain keluarga dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan, hendaklah dihukum penjara bagi tempoh yang boleh dilanjutkan hingga dua kali dari jangka masa maksimum yang mana dia akan disabitkan atas kesalahan itu di bawah bahagian yang berkenaan walaupun ada hukuman lain yang diperuntukkan untuk kesalahan itu.