a
(a) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang dan apabila memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Responden.
/akn/my/judgment/high-court/2026/1feb3e60-8632-4003-b585-551459d77698
High Court of Malaysia12 May 2026PA-41LB-4-06/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“tuan dalam kes PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337; [2007] 5 MLJ 1; [2007] 1 MLRA 568 telah merujuk kepada penghakiman Thompson J dalam kes Chan Pean Leon v PP [1956] 1 MLJ 237; [1956] 1 MLRH 44; [1956] CLJU 17 yang mentakrifkan konsep "possession" seperti berikut: "A moveable thing is said to be in possession of a”
“31. Tertuduh/Responden turut merujuk kepada prinsip dalam PP v Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi [2015] 1 CLJ 979; [2014] AMEJ 1565; [2014] MLRAU 457 ("Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi") bahawa wujudnya "missing link" atau jurang dalam rantaian keterangan boleh menimbulkan keraguan yang perlu memihak kepada te”
“31. Tertuduh/Responden turut merujuk kepada prinsip dalam PP v Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi [2015] 1 CLJ 979; [2014] AMEJ 1565; [2014] MLRAU 457 ("Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi") bahawa wujudnya "missing link" atau jurang dalam rantaian keterangan boleh menimbulkan keraguan yang perlu memihak kepada te”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
PA-41LB-4-06/2025 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI PULAU PINANG DI NEGERI PULAU PINANG RAYUAN JENAYAH NO: PA-41LB-4-06/2025 DI ANTARA PENDAKWA RAYA PERAYU DAN YAHAYA BIN MAJID (NO. KP: 651120-07-5015) RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
section
1. Tertuduh/Responden di dalam kes ini telah dituduh di bawah Seksyen 6 dan dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret (3) Georgetown, Pulau Pinang.
section
2. Di akhir kes pendakwaan, Tertuduh/Responden telah diperintahkan dilepaskan dan dibebaskan pada 22 Mei 2025.
section
3. Berikutan keputusan di atas, pihak Pendakwa Raya telah memfailkan Notis Rayuan pada 30 Mei 2025 ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Majistret tersebut. Tuduhan
section
4. Pertuduhan ke atas Tertuduh/Responden adalah seperti berikut: PERTUDUHAN PINDAAN BAHAWA KAMU PADA 12/05/2023 JAM LEBIH KURANG 1215 TENGAH HARI DI HADAPAN RUMAH ALAMAT 21-2-14 SOLOK SUNGAI PINANG 6 GEORGETOWN, DALAM DAERAH TIMUR LAUT, DALAM NEGERI PULAU PINANG, TELAH DIDAPATI DALAM MILIKAN KAMU DADAH BERBAHAYA JENIS CANNABIS BERAT BERSIH 44.77 GRAM DAN DENGAN ITU KAMU TELAH MELAKUKAN KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 6 AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952. HUKUMAN: PENJARA TIDAK KURANG 2 TAHUN TETAPI TIDAK MELEBIHI DARIPADA 5 TAHUN DAN HUKUMAN SEBATAN TIDAK KURANG DARIPADA TIGA KALI SEBATAN TETAPI TIDAK MELEBIHI DARIPADA 9 KALI SEBATAN Keputusan dan Alasan Penghakiman Majistret di Akhir Kes Pendakwaan
section
5. Kesimpulan yang dicapai oleh Majistret Yang Bijaksana untuk melepaskan dan membebaskan Tertuduh/Responden tanpa dipanggil untuk membela diri dapat diteliti daripada petikan-petikan dalam Alasan Penghakimannya seperti berikut. [38] Dalam membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh, adalah penting bagi pihak Pendakwaan untuk membuktikan kesemua elemen kesalahan di bawah pertuduhan di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sekiranya mana-mana satu elemen gagal dibuktikan, maka Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk Tertuduh dipanggil untuk membela diri. Dalam kes ini, Mahkamah ini memutuskan bahawa elemen utama berhubung milikan Tertuduh terhadap dadah tersebut tidak berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. [39] Merujuk kepada kes Magendran a/I Mohan v PP [2011] 1 CLJ 805; [2011] 6 MLJ 1; [2012] 5 MLRA; [2011] 2 AMR 680, Mahkamah Persekutuan telah menegaskan prinsip penilaian maksimum terhadap keterangan, yang antara lain menyatakan: "The evidence has to be scrutinized properly and not perfunctorily, cursory or superficially. If the evaluation of the evidence results in doubts in the prosecution case, then a prima facie case has not been made out. The defence ought not to be called merely to clear or clarify such doubt." [40] Oleh yang demikian, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Berdasarkan keseluruhan keterangan di hadapan Mahkamah, adalah tidak selamat untuk Mahkamah ini memanggil Tertuduh untuk membela diri terhadap pertuduhan tersebut, kerana Mahkamah ini tidak bersedia untuk mensabitkan Tertuduh sekiranya pembelaan dipanggil dan Tertuduh memilih untuk berdiam diri.
section
6. Kesimpulan yang dibuat oleh Majistret Yang Bijaksana adalah berasaskan kepada dua dapatan utama. Pertama, kegagalan pihak Pendakwaan membuktikan elemen milikan terhadap dadah berbahaya tersebut. Kedua, kegagalan keterangan saksi-saksi Pendakwaan untuk mencapai tahap kredibiliti yang diperlukan, termasuk kejayaan Responden mencabar kredibiliti saksi-saksi Pendakwaan (lihat perenggan-perenggan [17] hingga [31] Alasan Penghakiman), serta wujudnya kelemahan dalam siasatan oleh Pegawai Penyiasat (lihat perenggan-perenggan [32] hingga [37] Alasan Penghakiman). Petisyen Rayuan
section
7. Di dalam Petisyen Rayuan Pihak Pendakwaan bertarikh 7 Disember 2025, Pendakwa Raya/Perayu telah mengemukakan alasan-alasan rayuan seperti yang berikut:
a
(a) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang dan apabila memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Responden.
b
(b) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila gagal membuat penilaian secarakeseluruhan terhadap keterangan dalam kespendakwaan.
c
(c) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila membuat dapatan fakta bahawa SP1adalah saksi yang tidak jelas, konsisten dan tidakmenyakinkan sebagai pegawai kanan polis yang terlibatsecara langsung dalam serbuan dan tangkapan.
d
(d) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila membuat dapatan fakta bahawa SP1 adalah saksi yang tidak kredible atas alasan menukar keterangannya berkenaan lokasi kejadian semasa serbuan.
e
(e) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila memutuskan bahawa SP1 tidak berhatihati atau tidak membuat rujukan kepada laporan rasmi dan dokumen sokongan yang tepat.
f
(f) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila memutuskan bahawa terdapat keraguanberhubung dengan keseluruhan keterangan SP1.
g
(g) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila membuat dapatan bahawa borangbongkar yang telah diisi oleh SP1 di rumah Responden,yang tidak mempunyai apa-apa barang rampasan telahmewujudkan kelompangan dalam kes pendakwaankerana tidak dikemukakan semasa kes pendakwaan.
h
(h) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila memutuskan bahawa keterangan SP2 telah dipengaruhi oleh keterangan SP1 yang menjejaskan tahap kebebasan dan kebolehpercayaan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan.
i
(i) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila memutuskan keterangan SP4 yangmenyatakan gambar-gambar yang diambil oleh beliauadalah tidak berkaitan dengan Responden telahmewujudkan kelompangan dalam kes pendakwaan.
j
(j) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila membuat dapatan nilai hasil siasatan yang dikemukakan oleh SP5 adalah tidak teratur danterdapat kelompangan yang ketara dalam menyokongkes pendakwaan.
k
(k) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila memutuskan bahawa terdapat keraguanserius berkenaan dengan lokasi dan kaedah barang kesdirampas.
subsection
(1) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila memutuskan bahawa terdapat keraguanutama mengenai pemilikan dan kawalan barang kesterhadap Responden.
m
(m) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila tidak mempertimbangkan bahawarantaian keterangan barang kes semasa kespendakwaan yang tidak terputus.
n
(n) Puan Majistret telah terkhilaf dari segi fakta dan undangundang apabila gagal untuk mempertimbangkan keseluruhan keterangan yang menunjukkan Responden sahaja berada bersama barang kes semasa serbuan dan tangkapan dilakukan.
section
8. Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, Pendakwa Raya/Perayu memohon supaya Mahkamah ini mengetepikan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Majistret (3) Georgetown, Pulau Pinang dan memerintahkan agar Tertuduh/Responden dipanggil membela diri terhadap pertuduhan atau menggantikan dengan perintah yang Mahkamah Tinggi ini yang dirasakan suai manfaat dan/atau apa-apa perintah lain sebagaimana yang difikirkan wajar dan adil oleh Mahkamah ini. Hujahan-Hujahan Perayu Menyokong Alasan-Alasan Dalam Petisyen Rayuan
section
9. Pendakwa Raya/Perayu menghujahkan bahawa rayuan ini bertujuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret yang telah melepaskan dan membebaskan Tertuduh/Responden di akhir kes pendakwaan di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
section
10. Pendakwa Raya/Perayu menegaskan bahawa di akhir kes pendakwaan, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh/Responden, justeru Tertuduh/Responden sepatutnya dipanggil untuk membela diri.
section
11. Berhubung elemen pertuduhan, Pendakwa Raya/Perayu menghujahkan bahawa kedua-dua elemen penting di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dibuktikan, iaitu:
a
(a) bahan yang dirampas telah disahkan oleh SP3 (ahli kimia) sebagai dadah berbahaya jenis cannabis seberat 44.77 gram; dan
b
(b) Tertuduh/Responden mempunyai pemilikan ke atas dadah tersebut sama ada secara fizikal, kawalan dan pengetahuan.
section
12. Pendakwa Raya/Perayu bergantung kepada keterangan SP1 dan SP2 yang menunjukkan bahawa Tertuduh/Responden telah ditahan di hadapan rumahnya, dan semasa tangkapan, Tertuduh/Responden sendiri telah menyerahkan dadah tersebut kepada SP1. Ini, menurut Pendakwa Raya/Perayu, menunjukkan pemilikan fizikal yang jelas.
section
13. Pendakwa Raya/Perayu turut menghujahkan bahawa berdasarkan autoriti undang-undang, pemilikan melibatkan unsur fizikal dan mental (animus possidendi), serta pengetahuan terhadap kewujudan dadah, yang boleh disimpulkan daripada keadaan kes.
section
14. Pendakwa Raya/Perayu seterusnya berhujah bahawa keterangan SP1 dan SP2 adalah konsisten dan saling menyokong, termasuk berkenaan lokasi tangkapan, keadaan rampasan, serta tindakan Tertuduh/Responden ketika tangkapan dibuat.
section
15. Isu berkaitan pembetulan keterangan SP1 (berhubung tangga/lif) dihujahkan sebagai tidak material dan telah diperjelaskan segera semasa pemeriksaan semula, dan oleh itu tidak menjejaskan kredibiliti saksi tersebut.
section
16. Pendakwa Raya/Perayu juga menegaskan bahawa SP4 hanyalah jurufoto dan keterangannya terhad kepada dokumentasi tempat kejadian, manakala SP5 sebagai pegawai penyiasat telah memberikan keterangan yang menyokong keseluruhan rantaian siasatan.
section
17. Berhubung isu kredibiliti saksi, Pendakwa Raya/Perayu berhujah bahawa tiada percanggahan material antara saksi saksi pendakwaan, dan keseluruhan keterangan adalah konsisten apabila dinilai secara holistic.
section
18. Pendakwa Raya/Perayu juga bergantung kepada prinsip undang-undang bahawa penilaian kredibiliti saksi tidak boleh dibuat secara terasing, tetapi perlu dilihat bersama keseluruhan keterangan dan keadaan kes.
section
19. Mengenai isu rantaian keterangan (chain of evidence), Pendakwa Raya/Perayu menghujahkan bahawa ia adalah lengkap dan tidak terputus, bermula daripada tangkapan oleh SP1, penyerahan kepada SP5, analisis oleh SP3, sehingga pengemukaan semula barang kes di Mahkamah melalui SP6.
section
20. Pendakwa Raya/Perayu menegaskan bahawa tiada bukti gangguan atau pemalsuan terhadap barang kes, dan oleh itu integriti eksibit adalah terpelihara sepanjang masa material.
section
21. Pendakwa Raya/Perayu juga menghujahkan bahawa isu borang bongkar di dalam rumah Tertuduh/Responden adalah tidak relevan kerana tangkapan dan rampasan berlaku di luar rumah, dan bukan di dalam premis tersebut.
section
22. Akhir sekali, Pendakwa Raya/Perayu berhujah bahawa Mahkamah Majistret telah tersilap apabila mendapati wujud keraguan dalam kes pendakwaan, sedangkan keseluruhan keterangan menunjukkan bahawa kesalahan telah dibuktikan pada tahap prima facie.
section
23. Sehubungan itu, Pendakwa Raya/Perayu memohon supaya keputusan Mahkamah Majistret diketepikan dan Tertuduh/Responden diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan yang dikenakan. Hujahan Tertuduh/Responden dalam Menentang Rayuan Perayu
section
24. Tertuduh/Responden berhujah bahawa keputusan Mahkamah Majistret yang melepaskan dan membebaskan Tertuduh/Responden di akhir kes pendakwaan adalah satu keputusan yang betul, berasaskan penilaian keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan, serta tidak wajar diganggu oleh Mahkamah Rayuan melainkan terdapat kekhilafan nyata.
section
25. Tertuduh/Responden menegaskan prinsip undang-undang bahawa Mahkamah Rayuan hendaklah bersikap berhati-hati dan tidak mudah campur tangan dengan dapatan fakta Mahkamah bicara yang mempunyai kelebihan melihat dan mendengar saksi-saksi secara langsung.
section
26. Turut dihujahkan bahawa Mahkamah Majistret dengan betul mendapati wujud percanggahan material dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya antara SP1 dan SP2 yang merupakan pegawai serbuan utama.
section
27. Tertuduh/Responden menekankan bahawa terdapat ketidakselarasan versi keterangan berkaitan pergerakan dan pengendalian barang kes, termasuk bagaimana dadah tersebut ditemui, dipegang, dan dibawa selepas rampasan.
section
28. Percanggahan tersebut, menurut Tertuduh/Responden, menimbulkan keraguan munasabah terhadap keseluruhan kes pendakwaan, khususnya isu pemilikan dadah oleh Tertuduh/Responden.
section
29. Tertuduh/Responden juga menghujahkan bahawa hanya dua daripada sepuluh anggota operasi "Ops Tapis" dipanggil sebagai saksi, dan kegagalan memanggil saksi lain menjejaskan keutuhan versi pendakwaan.
section
30. Tambahan pula, keterangan SP1 dan SP2 dikatakan tidak konsisten berkaitan keadaan tangkapan, termasuk isu lokasi (lif/tangga) serta pergerakan barang kes, yang melemahkan kredibiliti mereka.
section
31. Tertuduh/Responden turut merujuk kepada prinsip dalam PP v Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi [2015] 1 CLJ 979; [2014] AMEJ 1565; [2014] MLRAU 457 ("Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi") bahawa wujudnya "missing link" atau jurang dalam rantaian keterangan boleh menimbulkan keraguan yang perlu memihak kepada tertuduh.
section
32. Tertuduh/Responden berhujah bahawa rantaian keterangan (chain of evidence) adalah tidak kukuh, khususnya berkaitan pergerakan dan pengendalian barang kes dari masa rampasan hingga analisis kimia, yang dikatakan tidak bebas daripada keraguan.
section
33. Selain itu, ketiadaan bukti sokongan seperti cap jari, ujian DNA atau rakaman tambahan turut dihujahkan sebagai kelemahan material dalam kes pendakwaan.
section
34. Tertuduh/Responden juga menekankan bahawa keterangan SP4 tidak menyokong identiti Responden, manakala keterangan SP5 pula dikatakan menunjukkan siasatan yang tidak lengkap, termasuk kegagalan mengemukakan borang bongkar.
section
35. Tertuduh/Responden seterusnya berhujah bahawa keseluruhan keterangan pendakwaan mengandungi kelompongan, percanggahan dan ketidakpastian yang mewajarkan dapatan bahawa tiada kes prima facie dibuktikan.
section
36. Oleh yang demikian, Tertuduh/Responden menghujahkan bahawa Mahkamah Majistret telah membuat dapatan yang betul apabila memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan Tertuduh/Responden wajar dilepaskan dan dibebaskan. Undang-Undang dan Prinsip-Prinsip Mantap
section
37. Adalah undang-undang yang telah mantap bahawa dalam menentukan sama ada pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie, Hakim bicara hendaklah menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah pada tahap penilaian maksimum (maximum evaluation test).
section
38. Adalah juga prinsip undang-undang yang telah mantap bahawa Mahkamah Rayuan hendaklah bersikap berhati-hati dan tidak mudah campur tangan terhadap dapatan fakta dan penilaian keterangan oleh Mahkamah bicara, khususnya apabila dapatan tersebut bergantung kepada kredibiliti saksi-saksi serta pemberatan keterangan mereka.
section
39. Dalam kes Tan Kim Ho & Anor v Public Prosecutor [2009] 3 MLJ 151; [2009] 3 CLJ 236; [2009] 1 MLRA 200, Zaki Tun Azmi KHN menegaskan prinsip keengganan Mahkamah Rayuan untuk mengganggu dapatan fakta Mahkamah bicara seperti berikut: "It is an established principle of law that when dealing with finding of facts, the trial judge is more often than not, in a better position to decide. The appellate court must be reluctant to interfere with such findings, unless the facts obviously disclose the courts below had clearly and wrongly evaluated the facts."
section
40. Dalam kes Mohd Johi bin Said & Anor v Public Prosecutor [2005] 5 MLJ 409; [2005] 1 CLJ 389; [2004] 6 AMR 825; [2004] 2 MLRA 425, Mahkamah Rayuan memutuskan seperti berikut: "Unlike civil appeals, where the appellant carries the burden of showing that the judge at first instance went wrong, in a criminal case the duty of the court is to consider whether the conviction is right. The correct approach is therefore not whether the decision is wrong but whether the conviction is safe."
section
41. Berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang yang telah mantap ini, Mahkamah ini telah meneliti rayuan ini secara berhati-hati dan berpandukan pendekatan yang betul sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Analisis dan Dapatan Mahkamah
section
42. Salah satu daripada persoalan utama yang dibangkitkan dalam rayuan ini ialah sama ada pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen pertuduhan pada tahap prima facie di akhir kes pendakwaan.
section
43. Mahkamah ini mengambil maklum bahawa elemen pertama berhubung identiti bahan yang dirampas sebagai dadah berbahaya jenis cannabis seberat 44.77 gram, sebagaimana yang telah disahkan oleh SP3 selaku Ahli Kimia, tidak dipertikaikan oleh Tertuduh/Responden.
section
44. Persoalan utama yang menjadi teras rayuan ini ialah sama adap pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa Tertuduh/Responden mempunyai pemilikan terhadap dadah tersebut, sama ada dari sudut milikan fizikal, kawalan mahupun pengetahuan.
section
45. Dalam hal ini, adalah wajar untuk Mahkamah ini meneliti semula prinsip undang-undang yang terpakai berhubung konsep "pemilikan" dalam kesalahan dadah.
section
46. Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337; [2007] 5 MLJ 1; [2007] 1 MLRA 568 telah merujuk kepada penghakiman Thompson J dalam kes Chan Pean Leon v PP [1956] 1 MLJ 237; [1956] 1 MLRH 44; [1956] CLJU 17 yang mentakrifkan konsep "possession" seperti berikut: "A moveable thing is said to be in possession of a person when he is so situated with respect to it that he has the power to deal with it as owner to the exclusion of all other persons, and when the circumstances are such that he may be presumed to do so in case of need."
section
47. Mahkamah Persekutuan selanjutnya menjelaskan bahawa bagi membuktikan pemilikan, dua elemen perlu wujud secara serentak, iaitu elemen fizikal dan elemen mental (animus possidendi). Tertuduh bukan sahaja perlu mempunyai keupayaan untuk mengawal atau mengendalikan barang tersebut seolah-olah ia miliknya, malah perlu juga dibuktikan bahawa beliau mempunyai niat untuk berurusan dengan barang tersebut sebagai pemiliknya.
section
48. Oleh itu, persoalan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada Majistret Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan tersebut diakhir kes pendakwaan.
section
49. SP1 selaku Pegawai Serbuan telah memberi keterangan bahawa semasa pemeriksaan hendak dijalankan ke atas Tertuduh/Responden, Tertuduh/Responden telah menyerahkan satu plastik lutsinar yang mengandungi tiga balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja kepada beliau.
section
50. SP1 turut menegaskan bahawa ketika tangkapan dibuat, Tertuduh/Responden sedang memegang plastik tersebut menggunakan tangan kanannya.
section
51. Sementara itu, SP2 selaku anggota serbuan pula memberi keterangan bahawa beliau bersama SP1 telah menaiki tangga menuju ke tingkat dua sebelum SP1 menahan seorang lelaki India Muslim di hadapan alamat 22-2-14 Solok Sungai Pinang 6, Pulau Pinang.
section
52. SP2 seterusnya mengesahkan bahawa barang kes telah diserahkan kepada SP1 dalam bentuk satu plastik lutsinar yang mengandungi tiga plastik lutsinar berisi daun-daun kering disyaki dadah ganja.
section
53. Setakat ini, keterangan SP2 dilihat menyokong versi SP1 bahawa dadah tersebut berada dalam milikan fizikal Tertuduh/Responden ketika tangkapan dibuat.
section
54. Namun demikian, isu yang timbul dan menjadi pertikaian utama ialah berhubung kredibiliti serta kebolehpercayaan saksi-saksi Pendakwaan, khususnya SP1 dan SP2.
section
55. Mahkamah ini mendapati bahawa Majistret Yang Bijaksana telah menjalankan penilaian yang teliti terhadap keseluruhan keterangan saksi-saksi Pendakwaan, khususnya berkaitan isu lokasi kejadian, cara rampasan dibuat, serta pergerakan barang kes.
section
56. Seperti yang dihuraikan oleh Majistret Yang Bijaksana dalam Alasan Penghakiman, SP1 pada mulanya memberi keterangan bahawa lokasi kejadian mempunyai tangga dan lif, dan bahawa anggota serbuan telah dibahagikan kepada dua kumpulan, satu menggunakan tangga dan satu lagi menggunakan lif.
section
57. Walau bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula, SP1 mengakui bahawa beliau telah tersilap mengenai lokasi kejadian dan sebenarnya telah terkeliru dengan satu lagi operasi di flat Sungai Pinang. SP1 kemudiannya membetulkan keterangannya dengan menyatakan bahawa lokasi sebenar hanya mempunyai tangga dan tiada lif.
section
58. Mahkamah ini berpendapat bahawa dapatan Majistret Yang Bijaksana bahawa pembetulan tersebut menimbulkan keraguan terhadap ketepatan dan kebolehpercayaan ingatan SP1 adalah suatu dapatan yang munasabah dan berasas.
section
59. Lebih-lebih lagi apabila pembetulan tersebut hanya dibuat selepas SP1 disoal balas secara intensif oleh pihak Pembelaan, sedangkan beliau telah dirujuk kepada gambar tempat kejadian, laporan polis serta dokumen-dokumen berkaitan semasa pemeriksaan utama.
section
60. Mahkamah ini bersetuju dengan pemerhatian Majistret Yang Bijaksana bahawa dalam operasi besar seperti "Ops Tapis", yang melibatkan pelbagai tangkapan dan rampasan, kemungkinan berlakunya kekeliruan antara kes sememangnya wujud sekiranya saksi tidak memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap fakta-fakta kes yang sedang dibicarakan.
section
61. Dalam konteks ini, Mahkamah ini tidak dapat mengatakan bahawa Majistret Yang Bijaksana telah tersilap apabila menyatakan bahawa kegagalan SP1 untuk memastikan ketepatan keterangannya menimbulkan keraguan munasabah terhadap keseluruhan versi Pendakwaan.
section
62. Begitu juga berhubung keterangan SP2. Mahkamah ini mendapati bahawa Majistret Yang Bijaksana telah memberikan alasan yang munasabah apabila berhati-hati dalam menerima keterangan SP2.
section
63. Keterangan SP2 mengenai lokasi kejadian didapati amat selari dengan pembetulan yang dibuat oleh SP1 semasa pemeriksaan semula, sedangkan bagi persoalan-persoalan lain, SP2 banyak memberikan jawapan yang tidak pasti.
section
64. Keadaan tersebut sememangnya boleh menimbulkan persoalan sama ada keterangan SP2 telah dipengaruhi oleh pembetulan yang dibuat oleh SP1, sekali gus menjejaskan kebebasan serta kebolehpercayaan keterangannya.
section
65. Mahkamah ini juga mendapati bahawa isu mengenai rantaian keterangan (chain of evidence) adalah amat penting dalam kes ini.
section
66. Tertuduh/Responden telah berhujah bahawa terdapat jurang yang ketara dalam rantaian keterangan, khususnya berkaitan pergerakan dan pengendalian barang kes selepas rampasan dibuat.
section
67. Dalam hal ini, Mahkamah ini mendapati prinsip yang diputuskan dalam kes Farzaneh Khayatytorbaty Mohammadmahdi adalah relevan dan terpakai.
section
68. Mahkamah dalam kes tersebut menegaskan bahawa kewujudan "gap in the chain of evidence" boleh menimbulkan keraguan munasabah terhadap integriti barang kes dan seterusnya menjejaskan keseluruhan kes Pendakwaan.
section
69. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, terdapat percanggahan yang nyata antara SP1 dan SP2 berhubung keadaan rampasan serta pergerakan barang kes.
section
70. SP2 ketika disoal balas turut mengakui bahawa terdapat kemungkinan barang kes bercampur dengan rampasan lain memandangkan operasi yang dijalankan merupakan "Ops Tapis" yang melibatkan pelbagai tangkapan dan rampasan.
section
71. Sebaliknya, SP1 pula menyatakan bahawa tiada rampasan lain pada masa tersebut.
section
72. Percanggahan antara dua pegawai serbuan utama ini bukanlah suatu percanggahan kecil atau remeh, tetapi menyentuh secara langsung integriti barang kes dan persoalan sama ada dadah tersebut benar-benar berada dalam milikan Tertuduh/Responden.
section
73. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Tertuduh/Responden bahawa percanggahan sedemikian telah mewujudkan keraguan yang munasabah terhadap keseluruhan versi Pendakwaan.
section
74. Mahkamah ini menerima bahawa pihak Pendakwaan tidak semestinya diwajibkan untuk memanggil kesemua anggota operasi sebagai saksi bagi membuktikan kesnya. Kegagalan memanggil baki anggota serbuan semata-mata tidak dengan sendirinya membawa kepada inferens yang memudaratkan terhadap kes pendakwaan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kes ini, percanggahan material yang wujud dalam keterangan saksi-saksi utama Pendakwaan berhubung lokasi kejadian, cara rampasan, serta pergerakan barang kes tetap menimbulkan keraguan munasabah yang tidak berjaya diperjelaskan melalui keterangan yang dikemukakan.
section
75. Mahkamah ini turut mengambil kira bahawa tiada bukti sokongan seperti cap jari, ujian DNA atau rakaman lain yang boleh mengaitkan secara langsung Tertuduh/Responden dengan barang kes.
section
76. Meskipun bukti-bukti sedemikian bukan suatu keperluan mandatori dalam setiap kes dadah, namun dalam keadaan di mana telah wujud percanggahan material serta kelemahan dalam keterangan saksi utama Pendakwaan, ketiadaan bukti sokongan tersebut menjadi suatu faktor yang relevan untuk dipertimbangkan.
section
77. Berhubung SP4, Mahkamah ini juga mendapati bahawa Majistret Yang Bijaksana telah mengambil pendekatan yang betul apabila menimbangkan bahawa keterangan jurufoto tersebut lebih menimbulkan kekeliruan terhadap kes Pendakwaan.
section
78. SP4 telah mengakui bahawa gambar-gambar yang diambil olehnya tidak berkaitan dengan Tertuduh/Responden, dan tiada pemeriksaan semula dilakukan oleh pihak Pendakwaan untuk menjelaskan keadaan tersebut.
section
79. Keadaan ini sememangnya memberi kesan terhadap kekuatan keseluruhan kes pendakwaan.
section
80. Berhubung SP5 pula, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Majistret Yang Bijaksana bahawa terdapat kelemahan yang nyata dalam siasatan yang dijalankan.
section
81. Antara lain, SP5 gagal memastikan rakaman percakapan Tertuduh/Responden direkodkan secara teliti, termasuk percanggahan berkaitan jenis dadah yang disebut dalam rakaman percakapan tersebut.
section
82. Kegagalan mengemukakan borang bongkar walaupun SP5 mengakui bahawa pemeriksaan telah dilakukan di dalam rumah Tertuduh/Responden juga merupakan suatu kelemahan yang relevan dan tidak boleh dipandang ringan.
section
83. Mahkamah ini bersetuju bahawa kelemahan-kelemahan tersebut, apabila dilihat secara keseluruhan, telah mewujudkan kelompongan yang ketara dalam kes Pendakwaan.
section
84. Dapatan Mahkamah ini dibuat setelah penelitian secara rapi terhadap Rekod Rayuan, Nota Keterangan, Alasan Penghakiman Majistret Yang Bijaksana, Petisyen Rayuan, serta hujahan-hujahan bertulis kedua-dua pihak.
section
85. Setelah meneliti keseluruhan keterangan dan alasan penghakiman Mahkamah bicara, Mahkamah ini tidak mendapati bahawa Majistret Yang Bijaksana telah tersalah arah dari segi fakta mahupun undang-undang.
section
86. Sebaliknya, Mahkamah ini mendapati bahawa dapatan Majistret Yang Bijaksana adalah berasaskan penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan serta selaras dengan prinsip undang-undang yang mantap.
section
87. Mahkamah ini turut mendapati bahawa wujud keraguan munasabah terhadap elemen milikan, kawalan dan pengetahuan Tertuduh/Responden terhadap barang kes.
section
88. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini bersetuju bahawa adalah tidak selamat untuk Tertuduh/Responden dipanggil membela diri.
section
89. Oleh yang demikian, Mahkamah ini mendapati rayuan Pendakwa Raya/Perayu adalah tanpa merit dan wajar ditolak.
section
90. Keputusan Mahkamah Majistret yang melepaskan dan membebaskan Tertuduh/Responden di akhir kes pendakwaan adalah dengan ini dikekalkan. 6 Jun 2026 (CHOONG YEOW CHOY) HAKIM MAHKAMAH TINGGI 2 GEORGETOWN, PULAU PINANG PIHAK-PIHAK: Perayu Pn. Darrshini a/p S. Murgan (Timbalan Pendakwa Raya) Responden En. Muhammed Nazreen bin Mohd Najeeb (N. Ahilan & Associates)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.