Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(SH)-622-12/2023 ANTARA YEW WEI LIANG (NO. K/P: 781006-03-5023) … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA DENGAN DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(SH)-630-12/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA … PERAYU DAN YEW WEI LIANG (NO. K/P: 781006-03-5023) … RESPONDEN (Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No. BA-45B-45-12/2019 Antara Pendakwa Raya Dan Yew Wei Liang) KORAM CHE MOHD RUZIMA BIN GHAZALI, HMR MOHAMED ZAINI BIN MAZLAN, HMR AZMI BIN ARIFFIN, HMR PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Benarlah pepatah Melayu, “ikut rasa binasa, ikut hati mati” yang membawa maksud setiap perkara perlu dilakukan secara berhati-hati dan pertimbangan akal waras bagi mengelakkan sebarang kesan mudarat pada diri sendiri atau pun pada orang lain. Lumrahnya, kita cenderung untuk tidak berfikir panjang apabila amarah menguasai diri. Oleh itu, tidak kiralah sesuatu perkara itu kecil atau besar, kita perlulah berfikir sebelum bertindak, lebih-lebih lagi keputusan tersebut akan melibatkan orang lain. [2] Begitulah yang terjadi dalam satu kejadian tragis di Lebuh Raya PLUS iaitu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Seremban, di dalam kawasan Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor pada 10.8.2019. Akibat daripada “ikut rasa” dan “ikut hati” yang berbangkit daripada kemarahan di jalan raya (road rage), pemandu kereta Toyota Innova dengan nombor pendaftaran MBV 1689 (kereta Innova) iaitu Yew Wei Liang (OKT) telah dituduh melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial bin Syed Shakir (arwah Syed), pemandu kereta Perodua Axia dengan nombor pendaftaran WC 4354 R (kereta Axia). Tuduhan yang dikenakan terhadap OKT ialah sepertimana berikut: Bahawa kamu pada 10.8.2019, jam lebih kurang 1.00 petang hingga jam lebih kurang 2.00 petang, di alamat kilometer 293.6, Lebuh Raya PLUS (Kuala Lumpur menghala ke Seremban), Kajang di dalam Daerah Hulu Langat, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial bin Syed Shakir, KP: 900711- 14-5729. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. [3] Di akhir kes, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi (YA HMT) telah melepaskan dan membebaskan OKT daripada kesalahan membunuh menurut s 302 Kanun Keseksaan (KK). Namun begitu, YA HMT telah mendapati OKT bersalah dan mensabitkan OKT dengan kesalahan menurut s 304(a) KK. Susulan itu, OKT telah dijatuhi hukuman pemenjaraan selama 16 tahun. Terkilan dengan keputusan YA HMT, kedua-dua pihak iaitu OKT dan Pendakwa Raya mengemukakan rayuan ke Mahkamah ini. Rayuan OKT ialah terhadap sabitan dan hukuman. Sementara itu rayuan Pendakwa Raya ialah terhadap keseluruhan keputusan YA HMT. [4] Untuk memudahkan sebutan, pihak-pihak akan dirujuk sama sepertimana di Mahkamah Tinggi, iaitu OKT dan pihak pendakwaan (PP). Kedua-dua rayuan OKT dan Pendakwa Raya didengar serentak. Ringkasan Fakta Kejadian [5] Fakta berkaitan kejadian di Lebuh Raya PLUS pada awal petang 10.8.2019 tidak dipertikaikan. Episod malang yang menimpa arwah Syed bermula apabila laluan kereta Innova yang sedang dipandu oleh OKT dan ditumpangi isterinya iaitu Ser Hwee Yean (SP19) yang sedang mengandung telah secara tiba-tiba diterjah masuk oleh kereta Axia yang dipandu oleh arwah Syed kerana dikatakan sedang mengelak sebuah kereta Honda yang sedang memecut laju di lorong paling kanan lebuh raya. Akibat daripada terjahan tersebut, berlaku sedikit pergeseran di antara kereta Innova dan kereta Axia. OKT membunyikan hon keretanya agar arwah Syed memberhentikan kereta Axia untuk diselesaikan masalah pergeseran pada kereta OKT. Permintaan OKT tidak diendahkan, malahan arwah Syed dikatakan telah menunjukkan isyarat lucah menggunakan jarinya kepada OKT. [6] Kemudiannya, berlaku kejadian kejar mengejar pada kelajuan yang tinggi di antara kereta Innova dan kereta Axia sehinggalah perjalanan mereka tersekat akibat daripada kesesakan lalu lintas di KM 293.6 Lebuh Raya PLUS. OKT telah keluar daripada kereta Innova walaupun ditegah oleh SP19 dan terus mendekati kereta Axia. OKT telah menendang pintu kereta Axia di bahagian pemandu sambil menjerit meminta arwah Syed keluar. OKT kemudiannya membuka pintu kereta Axia yang tidak dikunci lalu mula melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke arah arwah Syed yang berada di dalam kereta Axia dan cuba menyeretnya keluar daripada kereta Axia. Setelah berjaya menyeret arwah Syed keluar, berlakulah lagi insiden tumbuk menumbuk sehinggalah dileraikan oleh pengguna lebuh raya yang lain. Kedua-duanya kembali ke kereta masing-masing selepas berjaya dileraikan. [7] Namun begitu, api kemarahan belum lagi reda apabila arwah Syed membuka but kereta Axia lalu mengambil sebatang kayu besbol dan menghala semula ke arah kereta Innova yang sedang mengundur. Arwah Syed mula menghentam bahagian bonet hadapan sebelah kanan kereta Innova menggunakan kayu besbol. Terkesan dengan tindakan arwah Syed tersebut, OKT menukar gear kereta Innova dan mula bergerak ke hadapan. Melihat keadaan tersebut, arwah Syed menghentikan tindakannya dan mula berlari semula ke arah kereta Axia. OKT tidak memberhentikan kereta Innova, malah terus melanggar arwah Syed hingga terjatuh dan tayar depan sebelah kanan kereta Innova telah menggilis di bahagian dada arwah Syed. [8] Tersedar daripada perbuatannya, OKT keluar daripada kereta Innova dan cuba memberikan pertolongan kepada arwah Syed. SP19 telah menelefon ambulans tetapi ianya tidak kunjung tiba mungkin akibat daripada kesesakan lalu lintas. Arwah Syed telah dibawa ke Pusat Perubatan Nilai oleh adik iparnya, Azraei Arief bin Mohd Roslan (SP10) yang juga seorang pelajar perubatan yang kebetulan lalu di situ. Arwah Syed telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, iaitu Dr. Mohd Amin bin Kamaruzzaman (SP12) setibanya di Pusat Perubatan Nilai. Kes PP [9] PP telah memanggil 20 orang saksi di peringkat pendakwaan. Kejadian arwah Syed menerjah masuk ke laluan OKT dan seterusnya berlaku insiden kejar mengejar di antara kereta Innova dan kereta Axia telah disaksikan oleh Bahanizam bin Hassan (SP6). Setelah kedua-dua kereta hilang daripada pandangan semasa kejar mengejar tersebut, SP6 melihat semula kedua-dua kereta tersebut dalam keadaan selepas berlanggar ketika dia sampai di KM 293.6 Lebuh Raya PLUS. SP6 juga melihat arwah Syed sedang berpegang pada pembahagi jalan pada masa itu. [10] Insiden pergelutan di antara OKT dan arwah Syed disaksikan oleh Hendri Yayon bin Azman (SP17). SP17 berjaya meleraikan pergaduhan tersebut lalu kembali ke keretanya. Sebelum bergerak, SP17 menoleh semula ke arah tempat pergaduhan dan nampak kereta Innova meluru ke hadapan melanggar arwah Syed. SP17 meneruskan perjalanannya dan hanya membuat laporan polis pada keesokan harinya setelah tular video kejadian kemalangan dan mendapat tahu tentang kematian arwah Syed. [11] SP10 telah membawa arwah Syed ke Pusat Perubatan Nilai dan telah disahkan meninggal dunia oleh SP12. Bedah siasat terhadap jenazah arwah Syed telah dilakukan oleh Dr. Emizam bin Mohamadon (SP8), Pakar Perubatan Forensik di Hospital Serdang dan sebab kematian disahkan sebagai “chest and abdominal injuries due to impact by Motor Vehicle”. [12] Saksi penting PP yang menyaksikan kejadian ialah SP19 yang ada bersama di dalam kereta Innova pada masa material. SP19 juga telah merakam hampir keseluruhan kejadian menggunakan telefon bimbitnya (eksibit P13B(2)). Video selama 13 minit tersebut telah dikemukakan sebagai eksibit P13B(2)(b)/P13F(1)(i)(a)(2) (Video kejadian). Sementara itu, Lans Koperal Henry Yek Cheng Hock (SP15) telah menyediakan transkrip bagi Video kejadian yang dikemukakan sebagai eksibit P45. Keputusan YA HMT di Akhir Kes PP [13] Setelah meneliti keseluruhan keterangan di peringkat kes PP, YA HMT mendapati dan memutuskan bahawa PP telah berjaya membuktikan kesemua inti pati atau elemen pertuduhan yang dikenakan terhadap OKT, iaitu pertuduhan menurut s 302 KK. Secara ringkasnya, YA HMT telah mendapati PP telah membuktikan bahawa arwah Syed telah meninggal dunia untuk memenuhi kehendak elemen pertama. Bagi elemen kedua, YA HMT mendapati PP telah membuktikan bahawa kematian arwah Syed disebabkan kecederaan yang dialaminya dan kecederaan tersebut bersesuaian dengan apa yang diperuntukkan di perenggan 300(c) KK. Akhirnya, bagi elemen ketiga, YA HMT mendapati bahawa kecederaan yang dilakukan oleh OKT terhadap arwah Syed adalah dengan niat untuk menyebabkan kecederaan yang boleh menyebabkan kematian yang telah memenuhi kehendak di perenggan 300(c) KK. Oleh itu, YA HMT telah memanggil OKT membela diri. Pembelaan OKT [14] OKT memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan memanggil dua orang saksi bagi pihak pembelaan. Secara ringkasnya, pembelaan OKT tertumpu kepada isu provokasi yang dibangkitkan oleh arwah Syed dan haknya untuk membela diri, iaitu Kecualian 1 dan Kecualian 2 yang diperuntukkan di dalam s 300 KK. Untuk hak membela diri, OKT juga bergantung kepada peruntukan menurut s 103 KK. Selain itu, OKT juga membangkitkan dakwaan bahawa dia amat takut semasa melihat arwah Syed meluru ke arah keretanya dengan memegang kayu besbol. Bimbang nyawanya dan SP19 terancam, OKT yang dalam keadaan ketakutan telah memegang stereng kereta Innova dengan kuat dan tidak tahu apa yang dibuat setelah itu. Fikiran OKT menjadi kosong (blank) pada masa tersebut dan hanya tersedar apabila mendengar jeritan kuat SP19. Keputusan YA HMT di Akhir Kes Pembelaan [15] YA HMT telah mendapati dan memutuskan bahawa OKT berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes PP bagi pertuduhan