(vi) the trial judge had so fundamentally misdirected himself that one may safely say that no reasonable court which had properly directed itself and asked the correct questions would have arrived at the same conclusion, then an appellate court will intervene to rectify that error so that injustice is not occasioned.” [8] Penelitian kepada prinsip-prinsip di atas dan duluan kehakiman yang dinyatakan sudah terang lagi bersuluh apakah yang boleh dilakukan oleh hakim yang mendengar rayuan terhadap keputusan dari mahkamah bicara. Apakah yang boleh dibuat terhadap dapatan yang dilakukan oleh hakim bicara. Apa yang dapat difahami daripada prinsip tersebut ialah hakim yang mendengar rayuan tidak akan dengan sewenang-wenangnya mengganggu dapatan hakim bicara melainkan terdapat kesilapan yang ketara dan kegagalan membuat penilaian secara kehakiman. Rasional kepada pendekatan ini ialah hakim bicara mempunyai peluang untuk meneliti keterangan saksi-saksi disebabkan berkesempatan untuk melihat saksi-saksi tersebut semasa memberikan keterangan. Ia juga membolehkan hakim bicara melihat tingkah laku saksi semasa memberikan keterangan bagi membuat penilaian berkenaan dengan kebolehterimaan saksi-saksi tersebut. Ini tidak dapat dinikmati oleh hakim yang mendengar rayuan. [9] Pada masa yang sama majistret yang menjalankan perbicaraan adalah diharapkan mempunyai pengetahuan dan kefahaman undang-undang yang secukupnya. Dia tidak sewajarnya melakukan kesilapan yang asasi. Ini membawa maksud majistret yang mendengar perbicaraan tersebut perlu memahami undang-undang berkenaan dengan keterangan, elemen-elemen kesalahan, penerimaan atau penolakan keterangan-keterangan dan prosedur perbicaraan yang sewajarnya. [10] Oleh itu hakim atau majistret yang menjalankan perbicaraan harus sentiasa mengemaskini dan memantapkan pengetahuan berkaitan dengan perkara-perkara tersebut. Ini bagi mengelakkan sebarang kesalahan yang ketara serta kegagalan meneliti keterangan mengikut prinsip undang-undang. Ia dapat dilakukan dengan penambahan pengetahuan undang-undang melalui latihan-latihan yang disediakan sepanjang perkhidmatan sebagai pegawai kehakiman melalui Akademi Perundangan Negara (APN) yang dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (ILKAP) dan latihan-latihan dalaman lain serta keterujaan meneliti dan memahami prinsip undang-undang berdasarkan keputusan-keputusan Mahkamah Atasan. Jika ini dilakukan ia akan dapat mengelakkan daripada berlaku kesilapan yang ketara sehingga menjejaskan keadilan kepada pihak yang terlibat dalam satu perbicaraan jenayah. Ini adalah disebabkan tidak semua Tertuduh yang disabitkan akan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi bagi meneliti keputusan hakim dan majistret yang berkenaan. Oleh itu kesedaran untuk memastikan dapatan dan sabitan yang dibuat oleh hakim bicara di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret amatlah diperlukan bagi memastikan keputusan dan dapatan tersebut adalah sejajar dengan prinsip undang-undang. [11] Mahkamah ini berpendapat sekiranya keputusan mahkamah rendah sering diakaskan disebabkan kesilapan yang ketara serta kegagalan meneliti keterangan berdasarkan prinsip undang-undang ia akan menjejaskan kualiti penghakiman oleh mahkamah rendah. Sekiranya berterusan ia boleh menjejaskan keyakinan kepada proses perbicaraan di mahkamah rendah. Ia wajar dielakkan bagi menjamin kelestarian sistem pertadbiran keadilan jenayah di mahkamah rendah. [12] Pada hemat Mahkamah adalah tidak tepat untuk Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret mengambil pendekatan bahawa sebarang kesilapan yang dilakukan semasa perbicaraan akan diperbetulkan oleh mahkamah yang mendengar rayuan. Jika ini dilakukan ia dibimbangi akan berlaku ketidakadilan kepada pihak-pihak dalam satu perbicaraan jenayah. Ini wajar dielakkan. Adakah terdapat kesilapan ketara atau kegagalan Majistret dalam kes ini meneliti keterangan-keterangan saksi-saksi? [13] Bagi menjawab persoalan tersebut wajar sekiranya Mahkamah meneliti kepada nota keterangan. Penelitian kepada nota keterangan mendapati bahawa SP 2 dalam keterangannya telah memperihalkan berkenaan dengan kejadian tersebut dengan menyatakan seperti berikut: “Pada 28/02/2022 jam 3 petang saya berada di dalam kereta, balik dari kedai Maxis dari bandar Maran nak balik ke rumah No 16 Peringkat Dua Felda Bukit Tajau 26500 Maran. Di dalam kereta saya bersama suami saya Zulkefly bin Mamat. Dalam perjalanan saya telefon anak saya Shahira untuk minta tolong bawa saya ke Centre Maxis Temerloh sebab saya nak minta dia bawa ke sana. Selepas itu saya tanya anak saya “Kakya(Shahirah) dah mandi belum, dia kata belum. Saya cakap cepatlah dalam 10 minit ibu sampai kakya dah mandi. Setelah tiba di rumah saya dapati anak saya ni tak mandi lagi dan dia sedang sapu di laman kereta. Saya keluar dari kereta dan saya tegur mandi cepat dan dia bangun dari menyapu terus menuju masuk ke rumah. Saya menuju ke dapur. Saya nampak Zulkefly ke arah kanan rumah menuju ke belakang. Shahirah pergi ke bilik air untuk mandi. Bilik air terletak di belakang rumah. Kemudian saya ambil sampah untuk buang ke belakang. Sampah dari sinki dapur nak buang ke longkang belakang rumah. Saya dengar Shahirah tengah mandi sebab saya dengar bunyi air mandi. Saya buang sampah dan belah kiri pandangan saya nampak Zulkefly sedang membongkok ke arah kiri bilik air. Saya nampak Zulkefly sedang mengintai anak saya. Saya nampak dia membongkok lalu meniarap ke arah kiri juga. Saya tegur, abang sedang buat apa. Zulkefly bergegas bangun dan dia jawab abang nak tangkap kucing, dia jawab macam takut-takut macam salah. Saya kata mengapa nak tangkap kucing, sebab itu kucing kita, saya kata mengapa nak tangkap kucing kita dia jawab sebab dia berak merata-rata, saya kata betul lah dia berak di tanah. Shahirah masih di dalam bilik air. Saya bertanya dia lagi saya tanya betul ke abang intai anak saya, dia tak mengaku. Zulkefly kemudian beredar ke arah kanan rumah menghala ke depan. Saya tak puas hati saya tanya dia di ruang tamu pula. Di ruang tamu itu berlaku 10 minit pertengkaran saya cakap saya nampak abang intai anak saya dan dia tak mengaku. Dia kemudian balik ke rumah isteri pertama, naik motor. Saya isteri kedua. Selepas dia balik saya nampak Shahirah masuk ke balik salin pakaian dan saya ajak Shahirah pergi ke dinding yang Zulkefly mengintai tadi, saya dapati ada dua lubang dari paras atas.” [14] Sementara itu SP 3 iaitu anak SP 2 dalam keterangannya menyatakan seperti berikut berkenaan dengan kejadian tersebut: “Semasa sedang mandi saya terdengar bunyi pertengkaran dari luar, tetapi tak pasti kedudukannya. Pertengkaran antara ibu dan bapa tiri saya. Saya tak pasti pertengkaran sebab apa, tak dengar dengan jelas. Selepas itu saya teruskan saja mandi. Selepas saya siap mandi saya keluar dan nampak ibu saya di ruang tamu dan Zulkifli tiada dalam rumah. Saya bertanyakan pada ibu apa yang terjadi. Ibu saya mengatakan cik zul telah mengintai saya masa mandi. Kemudian kami terus pergi ke belakang dan lihat lubang tersebut. Kami berada di bahagian gambar K. Pada mulanya saya masuk semula ke dalam bilik air dan ibu saya cuba lihat dari luar, selepas itu ibu saya pula dalam bilik air dan saya pula cuba melihat dari luar. Ada dua lubang lubang atas, nampak paras dada, lubang bawah bila cangkung boleh nampak kemaluan dari lubang tersebut. Saya ada melihat melalui lubang tersebut. Berdasarkan gambar L lubang atas dan gambar N lubang di bahagian bawah. Saya pasti sebab di gambar L dinding paras dada. Saya yakin sebab gambar L gambar kertas gambar N dia zoom lagi. Gambar L dan gambar N sama. Kertas itu berfungsi macam corong untuk nampak lebih jelas. Bahagian atas sahaja ada corong kertas bawah tiada.” [15] Gambar-gambar lubang di bilik mandi tersebut dapat dilihat di gambar P3 J, K dan I seperti yang dinyatakan oleh SP 4 iaitu pegawai penyiasat kes. Majistret semasa meneliti keterangan tersebut telah membuat dapatan seperti yang berikut: “[30] Mahkamah berpendapat adalah menjadi beban pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa lubang yang dikatakan oleh SP2 dan SP3 adalah wujud dan dapat melihat ke dalam bilik air sepertimana keterangan SP2 dan SP3 dan bukan beban kepada Tertuduh untuk membuktikan sebaliknya. Mahkamah juga tidak boleh membuat andaian bahawa melihat kepada lubang tersebut sepertimana di dalam gambar eksibit P3 H, I, J, K, L, M dan N dan menyatakan bahawa melalui keterangan bergambar ini memang benar Tertuduh telah mengintai SP3 mandi. Melalui bukti bergambar ini Mahkamah boleh menyatakan sepertimana hujahan pihak peguambela bahawa lubang yang diambil hanyalah lekuk simen dan bukannya lubang yang boleh menembusi ke dalam bilik air. [31] Mahkamah turut berpendapat bahawa keterangan SP2 yang menyatakan nampak Tertuduh berada di belakang bilik air tersebut sedang dalam keadaan membongkok tidak dapat membuktikan bahawa Tertuduh sedang mengintai SP3 mandi dan sekaligus mengganggu kesantunan SP3 yang sedang mandi di dalam bilik air tersebut.” [16] Majistret juga telah membuat kesimpulan di akhir penelitian tersebut di perenggan [33] dan [34] seperti yang berikut: “[33] Merujuk kes Public Prosecutor v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 menjelaskan sejauh manakah tugas pendakwaan untuk membentuk satu kes prima facie iaitu apakah maksud prima facie yang boleh menunjukkan pendakwaan telah membuktikan kes pendakwaan di tahap prima facie. Di dalam kes tersebut dinyatakan, “Mahkamah mesti membuat penilaian maksima (penilaian positif) ke atas semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan bertanya kepada diri sendiri soalan: Jika saya memanggil tertuduh-tertuduh untuk membela diri dan tertuduh-tertuduh memilih untuk berdiam diri adakah saya bersedia untuk mensabitkan kedua-dua tertuduh atas keterangan di hadapan saya sekarang. Jika jawapan adalah “ya” maka satu kes prima facie telah dibuktikan dan pembelaan hendaklah dipanggil. Jika jawapan adalah “tidak” maka satu kes prima facie tidak dibuktikan dan tertuduh hendaklah dibebaskan.” [34] Oleh yang demikian, elemen-elemen pertuduhan yang penting sebagaimana yang diulaskan di atas telah gagal dibuktikan oleh pendakwaan di dalam kes ini. Maka, dengan ini diputuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh bagi kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Oleh yang demikian, Mahkamah selaras dengan seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah melepaskan dan membebaskan Tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kesalahan ini.” [17] Timbalan Pendakwa Raya dalam hujahan bertulisnya telah menyatakan bahawa Majistret telah terhilaf apabia gagal memberikan tumpuan kepada keterangan SP 4 berkenaan dengan kewujudan lubang di bilik mandi tersebut yang boleh mengesahkan bahawa Responden telah melakukan perbuatan pengintaian tersebut. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan seperti yang dipertuduhkan kepada Responden hendaklah mempunyai unsur-unsur kesalahan seperti yang berikut: Unsur-unsur