(e) Terdapat kesan luka yang sedang sembuh pada bahagian belakang telinga kanan dan lengan kiri akibat kesan kuku tetapi bukan akibat digaru. Kesan ini tidak boleh diakibatkan sendiri. [28] Berhubung isu kedua, TPR terpelajar berhujah bahawa, ketiadaan keterangan DNA yang mengaitkan Responden di dalam kes ini bukan suatu kelompangan atau ‘fatal’ kepada kes pendakwaan kerana keterangan DNA itu sendiri hanyalah bersifat keterangan sokongan. Tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan untuk mensabitkan seseorang itu, pihak pendakwa perlu membawa keterangan forensik yang secara konklusif mengesahkan kehadiran tertuduh di tempat kejadian. 10 Penilaian dan Keputusan Mahkamah Ini [29] Meneliti Rekod Rayuan, kami mendapati kes pendakwaan bergantung sepenuhnya atas keterangan mengikut keadaan. Keterangan sedemikian dalam undang-undang mesti dipertimbangkan secara keseluruhannya. Mahkamah bukan sahaja mesti menimbangkan kekuatan setiap keterangan secara individu, tetapi juga kekuatan hasil gabungan keterangan-keterangan tersebut. Ini supaya apabila diambil secara keseluruhannya keterangan yang ada, ianya cukup untuk menimbulkan satu kesimpulan fakta bahawa Respondenlah orang yang membunuh simati. [30] Dari alasan penghakiman hakim bicara bijaksana, jelas hakim bicara bijaksana telah meneliti keterangan-keterangan yang dirujuk oleh TPR di atas dan memutuskan ianya tidak cukup kuat untuk dibuat kesimpulan fakta bahawa Respondenlah orang yang menyebabkan kematian simati dan bukan orang lain. Hakim bicara bijaksana menulis dalam penghakiman beliau: “[35] Keterangan mengikut keadaan bahawa barang-barang kemas kepunyaan simati iaitu seutas rantai leher emas (P16), seutas gelang tangan emas berbentuk manik (P18), sebentuk cincin belah rotan (P15) dan telefon bimbit kepunyaan simati jenama Samsung Galaxy Note 2 (P9) berada dalam milikan tertuduh sehari selepas simati ditemui mati tidak dapat mengaitkan tertuduh dengan kematian simati dan seksyen 114(a) Akta keterangan tidak boleh digunakan. Pihak pendakwa hanya dapat menunjukkan tertuduh menjual barang-barang kemas dan telefon bimbit kepunyaan simati. Pihak pendakwa telah gagal menunjukkan masa dan tempat barang-barang kepunyaan simati dicuri serta bila sebenarnya barang-barang tersebut mula-mula sekali berada dalam milikan tertuduh. Ini ditambah dengan fakta bahawa tidak terdapat apa- 11 apa profil DNA tertuduh ditemui pada tubuh simati dan/atau pakaian simati sebagaimana keterangan SP11. Sebaliknya profil DNA SP38 yang ditemui pada tubuh simati dan pakaian simati iaitu dari kesan darah dan kesan air mani SP38. Pihak pendakwa tidak dapat menjelaskan bagaimana profil DNA SP38 iaitu kesan darah dan kesan air mani SP38 boleh berada pada tubuh simati dan pakaian simati. [36] Keterangan mengikut keadaan iaitu kesan luka akibat kuku pada tertuduh dan simati sebagaimana keterangan SP12 tidak dapat mengaitkan tertuduh dengan kematian simati. Keterangan SP11 adalah tiada profil DNA asing yang dikesan daripada keratan kuku simati (‘E8, ‘E9’). Dalam perkataan lain, tiada profil DNA tertuduh ditemui pada keratan kuku simati. Ini menunjukkan kesan luka akibat kuku pada tertuduh tidak dapat dikaitkan dengan simati. Begitu juga dengan bulu kemaluan tertuduh yang telah dicukur tidak dapat mengaitkan tertuduh dengan kematian simati. Pihak pendakwa telah gagal menunjukkan apa hubung kaitnya bulu kemaluan tertuduh yang dicukur dengan kematian simati. Tiada apa-apa keterangan bahawa bulu kemaluan tertuduh ditemui pada tubuh simati dan atau pakaian simati. [37] Kelakuan tertuduh yang bertindak melarikan diri ketika SP28 dan SP34 membawa tertuduh ke bilik soal siasat Ibu Pejabat Polis Daerah Muar walaupun relevan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan, tetapi tidak boleh dibuat inferens bahawa tertuduh terlibat dalam menyebabkan kematian simati. Pada tubuh simati dan atau pakaian simati tidak ditemui apa-apa profil DNA tertuduh. Sebaliknya profil DNA SP38 iaitu dari kesan darah dan kesan air mani SP38 yang ditemui pada tubuh simati dan pakaian simati. Justeru itu kelakuan tertuduh tidak dapat mengaitkan tertuduh dengan kematian simati. [38] Perkara yang penting ialah tiadanya profil DNA tertuduh ditemui pada tubuh simati dan atau pakaian simati. Keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa sendiri melalui SP11 jelas 12 menunjukkan bahawa tiadanya profil DNA tertuduh ditemui pada tubuh simati dan atau pakaian simati. Tetapi sebaliknya SP11 telah menemui pada tubuh simati dan pakaian simati profil DNA SP38 dari kesan darah dan kesan air mani SP38. Penemuan profil DNA SP38 pada tubuh simati dan pakaian simati telah mewujudkan lompang dalam kes pendakwaan. Lompang tersebut ialah sama ada tertuduh atau SP38 yang merupakan orang terakhir bersama simati sebelum kematian simati. Menurut SP12 terdapat luka-luka lebam dan koyak pada kemaluan dan dubur simati akibat kemasukan objek tumpul seperti zakar, jari, kayu yang menunjukkan kesan pendarahan melalui pemeriksaan mikroskopik, luka-luka ini terhasil ketika simati masih hidup (perimortem injuries) dan dilakukan sekali dengan jerutan dalam masa kurang setengah jam daripada kematian simati. Ini boleh dibuat inferens bahawa kecederaan ini berkait dengan hubungan seksual dan orang yang mengadakan hubungan seksual dengan simati sebelum kematian simati adalah SP38. Lompang ini tidak berjaya ditutup oleh pihak pendakwa. Keterangan SP38 tidak dapat menutup lompang ini. Keterangan SP38 bahawa kali terakhir dia mengadakan hubungan seksual dengan simati pada 15 November 2015 selepas waktu zuhur, kemudiannya mandi bersama, mengambil anak mereka, pergi makan di KFC dan simati menghantar SP38 ke tempat menunggu bas tidak dapat menjelaskan dan menyangkal keterangan saintifik dan forensik bahawa adanya kesan air mani SP38 pada tubuh simati dan pakaian simati pada 16 November 2015 serta kesan darah SP38 pada pakaian simati. [39] Justeru itu tidak dapat dibuat kesimpulan dari keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa yang menunjukkan bahawa tertuduh yang menyebabkan kematian simati dan bukannya disebabkan oleh orang lain. [40] Pihak pendakwa telah gagal membuktikan elemen (iii) bahawa kematian simati disebabkan oleh perbuatan tertuduh.” 13 [31] Setelah Rekod Rayuan diteliti, kami bersetuju dengan penilaian dan penemuan hakim bicara bijaksana bahawa keterangan ikut keadaan yang ada tidak cukup kuat untuk menjurus kepada satu-satunya penemuan fakta penting iaitu Responden dan bukan orang lain yang menyebabkan kematian simati. Malah kami dapati, kes pendakwaan penuh dengan kecacatan dan kelompangan yang gagal dijelaskan oleh pihak pendakwa. Ini dapat dilihat jika keterangan berikut diteliti. [32] Keterangan dari pihak pendakwa sendiri dengan jelas mengatakan profil DNA “Male 1” tidak bersepadan dengan profil DNA Responden. Laporan kimia P45 pula jelas menyatakan profil DNA “Male 1” bersepadan dengan DNA Mohd Fariz Bin Jaffar, iaitu SP 38. Tiada sebarang DNA Responden dijumpai di tempat kejadian. Darah SP38 hanya diambil untuk siasatan DNA pada 19.12.2016 iaitu lebih daripada setahun dari tarikh kejadian. Dengan wujudnya DNA SP38, suami simati, pada diri simati dan dengan tiadanya apa-apa DNA Responden, kelewatan sebegini sudah semestinya bukan sahaja telah menjejaskan keseluruhan siasatan yang dijalankan malah telah menyebabkan kecacatan yang amat ketara di dalam kes pendakwaan. Ini ditambah pula dengan Laporan DNA P43 yang jelas menunjukkan wujudnya kecederaan di bahagian kemaluan dan dubur simati yang berkaitan dengan hubungan seksual di mana air mani SP38 sahaja yang berada di bahagian kemaluan dan dubur simati. Terdapat campuran darah simati dan SP38 di baju kurung simati, iaitu P6J(1). Dalam keadaan sebegini, kami berpendapat hakim bicara bijaksana tidak khilaf apabila mendapati terdapat keraguan siapakah orang terakhir bersama simati sebelum simati ditemui mati. 14 [33] Berdasarkan alasan-alasan ini, kami dapati hakim bicara bijaksana adalah betul bila membuat dapatan bahawa pihak pendakwa gagal membuktikan Respondenlah orang yang menyebabkan kematian simati. [34] Berhubung isu kedua, kami dapati TPR tersilap apabila mencadangkan dalam hujahan beliau bahawa hakim bicara bijaksana telah memutuskan pihak pendakwa perlu membawa keterangan forensik yang secara konklusif mengesahkan kehadiran Responden di tempat kejadian sebelum Responden boleh didapati bersalah. [35] Memang benar, seperti dihujahkan oleh TPR terpelajar, bahawa keterangan DNA hanyalah bersifat keterangan sokongan. Tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan untuk mensabitkan seseorang itu, pihak pendakwa perlu membawa keterangan forensik yang secara konklusif mengesahkan kehadiran tertuduh di tempat kejadian. Dalam kes ini, dari penghakiman hakim bicara bijaksana, hakim bicara bijaksana hanya sekadar menyatakan bahawa dengan wujudnya DNA pihak ketiga dan tiada langsung DNA Responden di tempat kejadian, maka tidak dapat dibuat kesimpulan siapa orang terakhir bersama simati sebelum simati meninggal dunia dan juga tidak dapat dibuat kesimpulan bahawa Responden dan bukan orang lain yang telah menyebabkan kematian simati. Kesimpulan [36] Sebagai kesimpulan, kami dapati kedua-dua isu yang dibangkit oleh TRP tiada merit. Sebaliknya, meneliti keterangan yang ada secara keseluruhannya, kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara bijaksana bahawa keterangan yang ada tidak cukup untuk membolehkan mahkamah 15 membuat satu kesimpulan iaitu Respondenlah orang yang menyebabkan kematian simati dan bukan orang lain. Keputusan kami ini dibuat setelah meneliti kedudukan undang-undang berhubung keterangan ikut keadaan seperti mana yang telah dinyatakan oleh Mahkamah ini dalam kes Ahmad Najib Aris v. Public Prosecutor [2007] 2 CLJ 229 dan telah diterima oleh Mahkamah Persekutuan dalam Pathmanabhan Nalliannen v. Public Prosecutor & Other Appeals [2017] 4 CLJ 137 di mana dinyatakan di muka surat 185 seperti berikut: “[175] In Ahmad Najib Aris v. PP [2007] 2 CLJ 229, Abdul Aziz Mohamad JCA (as he then was), delivering the judgment of the Court of Appeal said: ...As to what circumstantial evidence is, it is needful to quote only that part of the summing up to the jury that is set out in Idris v. Public Prosecutor [1960] 1 LNS 40; [1960] 26 MLJ 296 at p 297: With regard to the definition of circumstantial evidence I can give you no better definition than quote to you the words of Lord Cairns in the case of Belhaven & Stenton Peerage reported in 1875 - 6 Appeal Cases, page 279: My Lords, in dealing with circumstantial evidence we have to consider the weight which is to be given to the united force of all the circumstances put together. You may have a ray of light so feeble that by itself it will do little to elucidate a dark corner. But on the other hand you may have a number of rays, each of them insufficient, but all converging and brought to bear upon the same point, and when united, producing a body of illumination which will clear away the darkness which you are endeavouring to dispel. In other words circumstantial evidence consists of this: that when you look at all the surrounding circumstances, you find such a series of undesigned, unexpected coincidences that, as a reasonable person, you find your judgment is compelled to one conclusion. If the circumstantial 16 evidence is such as to fall short of the standard, if it does not satisfy that test, if it leaves gaps then it is of no use at all...” [37] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami sebulat suara menolak rayuan oleh TPR. Keputusan hakim bicara bijaksana melepaskan dan membebaskan Responden dari pertuduhan dikekalkan. Bertarikh 29 September 2020 t.t MOHAMAD ZABIDIN MOHD DIAH Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia Mewakili Perayu: Ku Hayati binti Ku Haron Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Mewakili Responden: Nahdan Rengganathan binti Abdullah (JJ Lee bersamanya) (Tetuan A. Rengganathan & Co)