(d) Perayu mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan Writ dan Pernyataan Tuntutan di Mahkamah Sesyen. Analisis dan Dapatan [15] Untuk tujuan rayuan ini pada hemat Mahkamah ini isu utama yang perlu diputuskan ialah: Adakah dengan memfailkan satu kes yang berlainan untuk mendapatkan satu relif yang sama di dalam keadaan kes yang terdahulu belum lagi dilupuskan sepenuhnya di peringkat rayuan, terjumlah kepada satu penyalahgunaan proses Mahkamah? [16] Di dalam meneliti persoalan ini, Mahkamah ini tidak akan merujuk kepada persoalan res judicata kerana OS No. 2 dan Writ Distress No. 3 adalah tertakluk kepada rayuan dan oleh itu adalah merupakan isu hidup atau live issue. Tetapi Mahkamah ini akan meneliti samada perayu boleh mengendalikan tuntutannya secara instalmen atau beransur-ansur seperti apa yang dibuat olehnya. [17] Di dalam kes Osman Daud (trading under the name and style of RSZ Trading) v Asal Bina Sdn Bhd [2010] 9 MLJ 840, plaintif gagal mengemukakan keseluruhan kesnya dengan sekali gus. Apa yang dibuat oleh plaintif ialah dia membawa sebahagian kesnya di Mahkamah Sesyen dan cuba membawa kes yang selebihnya ke Mahkamah Tinggi walaupun kes yang sama boleh diselesaikan secara adil dalam prosiding yang terdahulu antara pihak yang sama. Ringkasnya, plaintif telah membawa kesnya secara instalmen. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah mestilah berjaga-jaga dalam menghalang satu pihak daripada mendesak semula dalam prosiding berikutnya aduan yang boleh diselesaikan secara adil dalam prosiding terdahulu antara pihak-pihak yang sama di Mahkamah Sesyen. [18] Ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim PK (kemudiannya HMR) memutuskan bahawa tingkah plaintif adalah terjumlah kepada satu penyalahgunaan proses Mahkamah. Yang Arif Hakim kemudian membuat pengamatan: The plaintiff had failed to bring forward its whole case and instead appears to have brought part of its case in the sessions court and now attempts to bring the rest of its case in the High Court although the same could fairly have been disposed in earlier proceedings between the same parties. This court must be vigilant in precluding a party from re-agitating in subsequent proceedings a complaint which could fairly have been disposed in earlier proceedings between the same parties in the sessions court. [19] Mahkamah Tinggi di dalam kes Hadi bin Hassan v Suria Records Sdn Bhd & Ors [2005] 3 MLJ 522 juga membincangkan keadaan di mana penyalahgunaan proses Mahkamah boleh berlaku di dalam konteks A 18 k 19(1)(d) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (“KMT”) pada masa itu. Mahkamah memutuskan bahawa pembatalan atas alasan penyalahgunaan proses mahkamah di bawah A 18 k 19(1)(d) KMT membayangkan situasi di mana proses mahkamah tidak digunakan secara bona fide dan bahawa ianya disalahgunakan. Mahkamah akan menghalang fungsinya daripada disalahgunakan. Ketika menyampaikan penghakiman Mahkamah, Abdul Malik Ishak H (kemudiannya HMR) mengatakan: Striking out for being an abuse of the process of the court under O 18 r 19(1)(d) of the RHC envisages the situation where the process of the court has not been used in a bona fide manner and that it has been abused. It goes without saying that the court will prevent its machinery from being used improperly. [20] Menggunapakai kedudukan undang-undang tersebut di dalam kedua-dua kes tersebut, yang Mahkamah dengan hormatnya bersetuju, perayu telah gagal menunjukkan apakah keadaan- keadaan khas yang menyebabkan perayu tidak dapat menunggu pelupusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan di dalam OS No. 2 dan Writ Distress No. 3. [21] Bahkan, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa keputusan HMS yang bijaksana tidak dibuat di atas merit. Dengan mengetepikan perintah ex parte, apa yang dibuat oleh HMS ialah memutuskan OS No. 2 dan Writ Distress No. 3 tersebut di atas merit. Keputusan ini disahkan oleh Mahkamah Tinggi. Oleh itu, tidak ada apa lagi yang boleh dibuat kerana ia bukan satu permohonan interlokutori tetapi merupakan satu permohonan substantif. [22] Adalah jelas bahawa proses mahkamah di dalam rayuan tidak digunakan secara bona fide. Apakah yang akan terjadi jika sekiranya rayuan perayu diterima di Mahkamah Rayuan dan mengekalkan perintah pemilikan kosong yang dibuat secara ex parte tersebut? Adakah ini bermakna perayu akan menarik balik kes yang menjadi subjek perkara rayuan ini? Membenarkan perayu memfailkan dan menarik balik kes sesuka hati adalah membenarkan satu penyalahgunaan proses Mahkamah. Ini tidak boleh dibenarkan. [23] Sepatutnya perayu menunggu untuk kes ini dilupuskan di Mahkamah Rayuan, sebelum mengambil apa-apa langkah selanjutnya. [24] Memfailkan kes secara instalmen seperti yang dibuat oleh perayu jelas merupakan satu penyalahgunaan proses Mahkamah. [25] Berdasarkan kepada apa yang dinyatakan sebelum ini, tuntutan perayu di Mahkamah Sesyen adalah terjumlah kepada “obviously unsustainable” seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Agung di dalam Bandar Builder Sdn Bhd & Ors v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 4 CLJ 7 MA. Oleh itu ia wajar dibatalkan. [26] Atas alasan-alasan tersebut, rayuan ini adalah ditolak dengan kos RM15,000 tertakluk kepada alokatur. Keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu adalah dikekalkan. Tarikh: 25 November 2021. (WAN AHMAD FARID BIN WAN SALLEH) Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.