Plaintif mendakwa defendan-defendan telah melakukan kerja-kerja pengubahsuaian Musolla Avenham tanpa kebenaran plaintif dan melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada. Melalui Saman Pemula, plaintif memohon antara lain perintah-perintah berikut – a) Deklarasi bahawa defendan-defendan tertakluk kepada pematuhan Undang-undang Kecil Tambahan Avenham Garden, Eco Grandeur dan undang-undang berkuatkuasa tentang penggunaan hartanah masing-masing bagi defendan-defendan. b) Satu Deklarasi bahawa Musolla yang terletak di Bangunan Community Centre, Eco Grandeur, Avenham Garden, 42300 Bandar Puncak Alam (“Musolla Avenham”) merupakan harta bersama, dan pengurusan dan pentadbiran Musolla Avenham adalah tertakluk kepada Undang-Undang Kecil Tambahan Avenham Garden, Eco Grandeur dan undang-undang dan peraturan-peraturan semasa yang berkuatkuasa. c) Satu Deklarasi bahawa kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan oleh atau disebabkan dilakukan oleh Defendan-Defendan ke atas Musolla Avenham, tanpa usul yang telah dibentangkan dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Agung plaintif dan tanpa kelulusan sewajarnya melalui resolusi, adalah pelanggaran Undang-Undang Kecil Tambahan Avenham Garden, Eco Grandeur dan undang-undang dan peraturan peraturan semasa yang berkuatkuasa, dan adalah salah dan tidak sah. d) Satu Deklarasi bahawa defendan pertama telah melanggar Undang-Undang Kecil Tambahan Avenham Garden, Eco Grandeur dengan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian ke atas Musolla Avenham tanpa kebenaran, membenarkan bahan-bahan binaan / pengubahsuaian dihantar secara tidak sah dan diletakkan di Musolla Avenham, membenarkan bahan-bahan binaan / pengubahsuaian disimpan di Musolla Avenham tanpa kebenaran; dan membenarkan pelawat atau kontraktornya masuk ke Avenham Garden, Eco Grandeur dan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian yang melanggar Undang-Undang Kecil Tambahan Avenham Garden, Eco Grandeur. e) Satu Deklarasi bahawa penalti sebanyak RM800.00 yang dikenakan oleh plaintif terhadap defendan pertama adalah sah dan teratur. f) Satu Perintah bahawa defendan-defendan dikehendaki mengalihkan dan mengeluarkan semua bahan-bahan binaan / pengubahsuaian dari Musolla Avenham, dan membaikpulih atau mengembalikan keadaan dan rupa asal Musolla Avenham sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan, mengikut kepuasan plaintif (“Kerja Kerja Baikpulih”), dengan serta-merta dan dalam apa jua keadaan, disempurnakan dalam tempoh masa tidak melebihi satu (1) bulan dari tarikh perintah Mahkamah. g) Satu Perintah bahawa defendan-defendan dikehendaki mengemukakan permohonan untuk Kerja-Kerja Baikpulih tesebut kepada plaintif untuk kelulusan dalam tempoh masa empat belas (14) hari dari tarikh perintah Mahkamah dan adalah tertakluk kepada mana-mana terma-terma dan pindaan-pindaan yang ditetapkan oleh plaintif. h) Satu Perintah bahawa sekiranya defendan-defendan gagal mematuhi perintah perintah 7 dan 8 di atas, plaintif, agen(- agen) dan/atau wakil(-wakil) plaintif dibenarkan bertindak untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan / pemulihan bagi tujuan Kerja Kerja Baikpulih tersebut, dan segala kos berkenaan dengan Kerja-Kerja Baikpulih tersebut perlu ditanggung oleh defendan-defendan, dan defendan- defendan adalah dilarang, sama ada melalui diri mereka, agen(-agen) dan/atau wakil(-wakil) mereka atau melalui apa carapun menghalang plaintif, agen(-agen) dan/atau wakil(- wakil) plaintif daripada menjalankan Kerja-Kerja Baikpulih tersebut.