Lampiran
Lampiran 16 untuk mendapatkan lanjutan masa dan seterusnya mengetepikan Perintah Mahkamah bertarikh 30 Mei 2022. 2. Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan Rekod Rayuan, Rekod Rayuan Tambahan, hujahan bertulis Perayu, hujahan bertulis Responden serta hujahan balas Perayu. Setelah mempertimbangkan keseluruhan rekod dan kertas kausa tersebut, Mahkamah ini berpuas hati bahawa dapatan Hakim Mahkamah Sesyen adalah selaras dengan prinsip undang-undang yang mantap dan tidak menunjukkan sebarang salah arah prinsip atau ketidakadilan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi dalam kapasiti rayuan. 3. Pendekatan Mahkamah ini terhadap Rayuan Fakta & Undang-Undang, jarang mengganggu dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim perbicaraan kecuali jika wujud salah arah yang nyata. Saya rujuk kes Mahkamah Rayuan, Lim Peng Hock & Anor v. Chuah Peng San & Anor [2021] CLJU 119 yang memutuskan – "It is trite law that an appellate court will not intervene unless the trial court is shown to be plainly wrong in arriving at its conclusion and where there has been insufficient judicial appreciation of the evidence. The appellate court will intervene in a case where the trial court had so fundamentally misdirected itself." 4. Prinsip yang sama juga telah diiktiraf di dalam kes Mahkamah Rayuan Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng v. Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 CLJ 19 dan kes Goh Bak Ming v Yeoh Eng Kong & Other Appeals [2019] 1 CLJ 461. 5. Oleh itu berdasarkan kes otoriti di atas, Mahkamah ini tidak akan mengganggu dapatan fakta Hakim Mahkamah Sesyen kecuali dapatan tersebut ‘plainly wrong’, pihak yang merayu mempunyai beban untuk membuktikan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tersebut telah membuat dapatan dengan salah arah yang material. LATAR BELAKANG KES 6. Responden (Plaintif di Mahkamah Sesyen) telah memulakan tindakan sivil terhadap Perayu (Defendan di Mahkamah Sesyen) berasaskan satu perjanjian bertulis bertarikh 1 Oktober 2018. Tindakan ini difailkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru melalui Guaman Sivil No. JA-B52NCvC-95-11/2021. 7. Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan telah diserahkan kepada Perayu dengan teratur. Walau bagaimanapun, Perayu gagal memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan, menyebabkan Responden memfailkan permohonan di bawah Aturan 13 kaedah 6 KKM 2012 (Lampiran 5) bagi memasukkan penghakiman. 8. Rekod Mahkamah menunjukkan bahawa prosiding di Lampiran 5 telah melalui beberapa kali pengurusan kes dan penangguhan, sebahagiannya disebabkan ketidakhadiran peguam Perayu pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan. Mahkamah Sesyen telah mengarahkan pihak-pihak memfailkan afidavit dan hujahan bertulis sebelum keputusan dibuat. 9. Pada 30 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah membenarkan permohonan Plaintif di Lampiran 5 yang difailkan di bawah Aturan 13 kaedah 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, dan seterusnya memasukkan penghakiman terhadap Defendan (kini Perayu) atas tuntutan Plaintif, dengan kos sebanyak RM1,500.00 dibayar oleh Defendan kepada Plaintif. 10. Permohonan di Lampiran 5 merupakan suatu permohonan oleh Plaintif untuk mendapatkan penghakiman terhadap Defendan atas alasan kegagalan Defendan memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan selepaspenyampaian Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan. Permohonan ini digerakkan selaras dengan Aturan 13 kaedah 6 KKM 2012, yang memperuntukkan bahawa sekiranya Defendan gagal memasukkan kehadiran dalam masa yang ditetapkan, Plaintif berhak memohon supaya penghakiman Ingkar Kehadiran dimasukkan terhadap Defendan. 11. Walau bagaimanapun, rekod prosiding menunjukkan bahawa permohonan Lampiran 5 tidak diputuskan secara mekanikal semata-mata atas dasar kegagalan kehadiran. Sebaliknya, Mahkamah Sesyen telah mengarahkan pengurusan kes, pemfailan afidavit oleh kedua-dua pihak serta hujahan bertulis sebelum membuat keputusan. 12. Oleh yang demikian, walaupun Lampiran 5 pada asasnya adalah suatu permohonan di bawah Aturan 13 kaedah 6 KKM 2012, sifat perintah yang dimasukkan pada 30 Mei 2022 adalah Perintah Ingkar Kehadiran, memandangkan Defendan telah gagal memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan selepas penyampaian Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan. Walau bagaimanapun, penghakiman tersebut tetap merupakan suatu ‘regular judgment’ kerana ia dimasukkan selepas Mahkamah Sesyen menjalankan pertimbangan kehakiman yang wajar. 13. Kandungan Perintah Mahkamah bertarikh 30 Mei 2022 adalah seperti berikut: (i) permohonan Plaintif di Lampiran 5 dibenarkan; (ii) penghakiman dimasukkan terhadap Defendan atas dasar ingkar kehadiran di bawah Aturan 13 kaedah 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012; (iii) Defendan diperintahkan membayar kepada Plaintif jumlah tuntutan sebagaimana dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan; dan (iv) Defendan diperintahkan membayar kos sebanyak RM1,500.00 kepada Plaintif. 14. Mahkamah ini menegaskan bahawa walaupun penghakiman tersebut berpunca daripada kegagalan Defendan memasukkan kehadiran, ia tidak menjadikan penghakiman itu sebagai suatu ‘irregular judgment’. Ini kerana rekod menunjukkan Mahkamah Sesyen telah membenarkan pemfailan afidavit oleh kedua-dua pihak, mendengar hujahan bertulis serta meneliti merit permohonan sebelum merekodkan perintah tersebut. Mahkamah Sesyen turut merekodkan bahawa kos sebanyak RM1,500.00 hendaklah dibayar oleh Defendan kepada Plaintif. Perintah tersebut telah direkodkan selepas Mahkamah meneliti afidavit-afidavit yang difailkan serta mendengar hujahan pihak Responden. Deraf perintah tersebut kemudiannya telah dipinda dan diluluskan oleh peguam Perayu ketika itu sebelum dimeterai oleh Mahkamah. 15. Adalah tidak dipertikaikan bahawa selepas perintah bertarikh 30 Mei 2022 tersebut diperoleh, tiada sebarang rayuan atau permohonan untuk mengetepikan perintah tersebut difailkan oleh Perayu dalam tempoh 30 hari sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012. 16. Hanya pada 20 Jun 2024, iaitu lebih dua (2) tahun selepas perintah tersebut dikeluarkan, Perayu telah memfailkan permohonan di bawah Lampiran 16 untuk mendapatkan lanjutan masa dan seterusnya mengetepikan perintah bertarikh 30 Mei 2022 dan atas sebab Perintah inilah Perayu memfailkan Rayuan di Mahkamah ini. 17. Lampiran 16 merupakan suatu Notis Permohonan oleh Defendan (kini Perayu) yang pada intipatinya memohon perintah-perintah berikut daripada Mahkamah Sesyen: (i) suatu perintah melanjutkan tempoh masa bagi Defendan memfailkan permohonan untuk mengetepikan Perintah Mahkamah bertarikh 30 Mei 2022; (ii) suatu perintah supaya Perintah Mahkamah bertarikh 30 Mei 2022, termasuk penghakiman ingkar kehadiran yang dimasukkan terhadap Defendan, diketepikan; (iii) suatu perintah supaya Defendan dibenarkan memasukkan kehadiran dan memfailkan pembelaan dalam tindakan tersebut; dan (iv) apa-apa perintah lanjut atau relief lain yang difikirkan adil dan suai manfaat oleh Mahkamah. 18. Permohonan di Lampiran 16 ini disokong oleh afidavit Defendan yang antara lain menyatakan alasan-alasan kelewatan, termasuk isu dalaman jawatankuasa pengurusan Defendan, penukaran Peguamcara serta dakwaan kesukaran mendapatkan dokumen berkaitan tuntutan Plaintif. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen, alasan-alasan tersebut adalah bersifat dalaman dan tidak disokong dengan bukti kukuh yang boleh menjustifikasikan kelewatan melampau tersebut. Permohonan ini kemudiannya telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen atas alasan kelewatan melampau, ketiadaan alasan munasabah serta ketiadaan pembelaan bermerit. HUJAHAN PIHAK-PIHAK (i) Hujahan Perayu 19. Perayu berhujah bahawa perintah bertarikh 30 Mei 2022 merupakan satu ‘irregular judgment’ kerana didakwa tidak mematuhi kehendak Aturan 13 kaedah 6 dan 7 KKM 2012. Menurut Perayu, ketidakpatuhan ini menyebabkan penghakiman tersebut boleh diketepikan sebagai suatu hak (‘ex debito justitiae’), tanpa mengambil kira isu kelewatan. 20. Perayu turut berhujah bahawa Mahkamah Sesyen telah gagal mengambil kira pembelaan yang dikatakan bermerit dan telah terlalu menekankan aspek teknikal berhubung kelewatan. Antara autoriti yang dirujuk oleh Perayu termasuk Jay Pee Huat & Ors v Pembangunan Warisan & Anor [2008] 3 AMR 28; Tuan Haji Ahmed Abdul Rahman v Arab-Malaysian Finance Bhd [1996] 1 AMR 215;Malayan Cement Industries Bhd v Yimatch Sdn Bhd [2014] 4 AMR 645; dan Cheow Chew Khoon (t/a Cathay Hotel) v Abdul Johari bin Abdul Rahman [1995] 1 AMR 759. (ii) Hujahan Responden 21. Responden pula menegaskan bahawa permohonan Perayu di Lampiran 16 adalah terhalang oleh kegagalan mematuhi peruntukan mandatori Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012. Menurut Responden, sebarang permohonan untuk mengetepikan perintah atau penghakiman hendaklah difailkan dan disampaikan dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas perintah atau penghakiman tersebut diterima. 22. Responden menegaskan bahawa Perayu bukan sahaja gagal memfailkan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan, malah gagal memfailkan sebarang permohonan pelanjutan masa sebelum memfailkan permohonan mengetepikan perintah tersebut. Kelewatan lebih dua tahun adalah melampau, tidak munasabah dan memprejudiskan Responden. 23. Responden turut berhujah bahawa perintah bertarikh 30 Mei 2022 adalah suatu ‘regular judgment’ yang diperoleh selepas pertimbangan afidavit dan hujahan, dan bukannya suatu penghakiman ingkar kehadiran yang bersifat mekanikal. Oleh itu, prinsip ‘ex debito justitiae’ tidak terpakai. Antara autoriti utama yang dirujuk oleh Responden ialah Mohd Azlan bin Hj Zainal Abidin & Ors v Pegawai Penerima Syarikat Cosmopro Sdn Bhd & Ors [2015] 10 MLJ 107; Hong Kwi Seong v Ganad Media Sdn Bhd & Anor [2013] 6 MLJ 765; Khor Cheng Wah v Sungai Way Leasing Sdn Bhd [1996] 1 MLJ 223; dan Thye Ah Chai (t/a Kent Naga Enterprise) v Teraju Mercu Construction & Engineering Sdn Bhd [2014] 1 MLJ 422. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN 24. Berdasarkan rekod dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah ini merumuskan isu-isu utama berikut untuk diputuskan: (i) Sama ada permohonan Perayu di Lampiran 16 terhalang oleh kegagalan mematuhi Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012 dan ketiadaan permohonan pelanjutan masa. (ii) Sama ada perintah bertarikh 30 Mei 2022 merupakan suatu ‘regular judgment’ atau ‘irregular judgment’ yang boleh diketepikan ‘ex debito justitiae’. (iii) Sama ada Perayu mempunyai pembelaan bermerit yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi walaupun terdapat kelewatan melampau. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu (i): Kelewatan dan Pematuhan Had Masa Mandatori di bawah Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012 25. Isu pertama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada permohonan Perayu di bawah Lampiran 16 terhalang oleh kegagalan mematuhi had masa mandatori yang ditetapkan di bawah Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012, serta kesan undang-undang akibat kegagalan tersebut. 26. Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012 memperuntukkan secara jelas dan tidak bersyarat seperti berikut: “Mengetepikan atau mengubah penghakiman dan perintah (A.42, k.13). Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Kaedah-Kaedah ini, jika peruntukan dibuat dalam Kaedah-Kaedah ini untuk mengetepikan atau mengubah apa-apa perintah atau penghakiman, suatu pihak yang berniat untuk mengetepikan atau mengubah perintah atau penghakiman itu hendaklah membuat suatu permohonan kepada Mahkamah dan menyampaikannya kepada pihak yang telah mendapat perintah atau penghakiman itu dalam tiga puluh hari selepas perintah atau penghakiman itu diterima olehnya.” 27. Daripada peruntukan tersebut, adalah nyata bahawa dua keperluan utama telah ditetapkan oleh undang-undang, iaitu: (i) permohonan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga puluh (30) hari; dan (ii) tempoh tersebut tidak dikira dari tarikh perintah diberikan oleh Mahkamah, tetapi dikira dari tarikh perintah atau penghakiman itu diterima oleh pihak yang ingin mencabarnya. Ini sebagaimana yang diputuskan di dalam kes Mahkamah Persekutuan, Hong Kwi Seong v Ganad Media Sdn Bhd & Anor Appeal [2013] MLJU 1054|;[2013] 6 AMR 331;[2013] 9 CLJ 277 yang merujuk kepada kes Hock Hua Bank Bhd v Sahari bin Murid [1981] 1 MLJ 143 memutuskan sebagaimana berikut: “What is left is the right of the appellant to set aside those orders as reflected by his applications. As mentioned earlier, the relevant provision for any setting aside application falls under O 42 r 13 of the RHC, and it reads: "Where in these Rules provisions are made for the setting aside or varying of any order or judgment, a party intending to set aside or to vary such order or judgment must make his application to the Court and serve it on the party who has obtained the order or judgment within thirty days after the receipt of the order or judgment by him. In other words, a party intending to set aside an order or judgment must make his application and serve it on the party who obtained the order or judgment within thirty days after receipt of the order or judgment by him. If the application is made outside the thirty-day period, unless time is enlarged, the application must fail (Development & Commercial Bank Ltd v Dinesh Kumar Jashbhai Nagjibhai & Ors [2002] 3 CLJ 108). Whether an enlargement of time will be granted, on the premise that an application was been filed, will depend very much on the facts and circumstances of that application (WDN Sockalingam Chettiar And Two Others v KRPRSM Somasundaram Chettiar [1941] MLJ 103 CA).” [Penekanan ditambah] 28. Penekanan kepada tarikh penerimaan (‘date of receipt’) ini adalah suatu prinsip yang jelas di bawah Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012. Peruntukan tersebut dengan nyata menggunakan frasa “tiga puluh hari” selepas perintah atau penghakiman itu diterima olehnya”, yang membawa maksud bahawa undang-undang membezakan antara tarikh Mahkamah memberikan perintah dan tarikh perintah itu disampaikan atau diterima oleh pihak berkenaan. 29. Oleh yang demikian, hujahan bahawa pengiraan had masa harus bermula dari tarikh perintah diberikan oleh Mahkamah adalah tidak selaras dengan teks peruntukan dan juga tafsiran kehakiman sedia ada. Apa yang menjadi titik mula (‘trigger date’) bagi pengiraan had masa di bawah Aturan 42 kaedah 13 ialah tarikh penerimaan perintah tersebut oleh pihak atau Peguamcaranya, sama ada melalui penyampaian kendiri, AR Registered Post atau penyerahan perintah bermeterai. 30. Prinsip bahawa peruntukan had masa ini adalah bersifat mandatori telah ditegaskan secara konsisten oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Dalam kes Hong Kwi Seong v Ganad Media Sdn Bhd & Anor (supra) tadi diulangi dimana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kegagalan memfailkan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan, tanpa permohonan pelanjutan masa terlebih dahulu, menjadikan permohonan tersebut tidak kompeten dan tidak boleh dipertimbangkan atas merit. 31. Prinsip yang sama turut ditegaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam Thye Ah Chai (t/a Kent Naga Enterprise) v Teraju Mercu Construction & Engineering Sdn Bhd [2014] 1 MLJ 422, di mana Mahkamah memutuskan bahawa seseorang pemohon yang memfailkan permohonan melampaui masa adalah memikul beban untuk memberikan alasan yang meyakinkan dan munasabah bagi kelewatan tersebut. 32. Dalam kes ini, fakta adalah tidak dipertikaikan bahawa Perintah Mahkamah Sesyen bertarikh 30 Mei 2022 telah pun diperoleh oleh Responden dan deraf perintah tersebut telah dipinda serta diluluskan oleh peguam Perayu terdahulu sebelum dimeterai. Tambahan pula, rekod menunjukkan bahawa perintah tersebut telah disampaikan kepada pihak Perayu melalui peguamcara mereka pada 27 Jun 2022, iaitu tarikh sesalinan perintah bermeterai diserahkan kepada Peguamcara Perayu terdahulu. 33. Walau bagaimanapun, Perayu tidak memfailkan sebarang permohonan untuk mengetepikan perintah tersebut dalam tempoh tiga puluh (30) hari sebagaimana yang dikehendaki oleh Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012. Lebih penting lagi, Perayu juga tidak memfailkan sebarang permohonan pelanjutan masa di bawah Aturan 3 kaedah 5 atau Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 sebelum memfailkan Lampiran 16. 34. Permohonan Lampiran 16 hanya difailkan pada 20 Jun 2024, iaitu lebih dua (2) tahun selepas perintah bertarikh 30 Mei 2022 dikeluarkan. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa kelewatan sedemikian bukan sahaja melampau dari segi tempoh, malah menunjukkan sikap Perayu yang seolah-olah tidak mengendahkan haknya sendiri (‘sleeping on its right’). 35. Mahkamah ini turut bersetuju bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh Perayu berhubung isu dalaman jawatankuasa pengurusan, penukaran Peguamcara dan kesukaran mendapatkan dokumen tidak boleh diterima sebagai alasan yang munasabah di sisi undang-undang. Prinsip ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Khor Cheng Wah v Sungai Way Leasing Sdn Bhd [1996] 1 MLJ 223, bahawa beban untuk memberikan penjelasan yang memuaskan bagi kelewatan adalah terletak sepenuhnya ke atas pihak yang lewat, dan alasan dalaman tidak seharusnya memprejudiskan pihak lawan. 36. Dalam konteks ini, Mahkamah ini mendapati bahawa kegagalan Perayu untuk mematuhi had masa mandatori di bawah Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012 adalah fatal kepada permohonan Lampiran 16. Kegagalan ini tidak boleh diperbetulkan secara retrospektif tanpa permohonan pelanjutan masa yang sah, dan Mahkamah Sesyen adalah betul apabila menolak permohonan tersebut tanpa melangkah ke merit. 37. Oleh itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa isu pertama hendaklah diputuskan memihak kepada Responden, dan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa permohonan Perayu terhalang oleh kelewatan melampau dan ketidakpatuhan had masa adalah selaras dengan undang-undang. Isu (ii): Sama ada Perintah bertarikh 30 Mei 2022 merupakan Regular Judgment atau Irregular Judgment 38. Isu kedua yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada Perintah Mahkamah Sesyen bertarikh 30 Mei 2022 merupakan suatu ‘regular judgment’ atau sebaliknya suatu ‘irregular judgment’, dan seterusnya sama ada prinsip ‘ex debito justitiae’ boleh diguna pakai oleh Perayu bagi mengetepikan perintah tersebut tanpa mengambil kira kegagalan mematuhi had masa. 39. Perbezaan antara ‘regular judgment’ dan ‘irregular judgment’ adalah suatu prinsip undang-undang yang telah lama mantap. Secara ringkas, suatu ‘regular judgment’ ialah penghakiman yang diperoleh selaras dengan peruntukan undang-undang dan kaedah mahkamah yang terpakai, manakala suatu ‘irregular judgment’ ialah penghakiman yang diperoleh melalui ketidakpatuhan asas terhadap keperluan mandatori prosedur sehingga menafikan keadilan proses. 40. Prinsip ini telah dihuraikan dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tuan Haji Ahmed Abdul Rahman v Arab-Malaysian Finance Bhd [1996] 1 AMR 215; [1996] 1 MLJ 30, di mana Mahkamah memutuskan bahawa hanya penghakiman yang benar-benar cacat dari segi prosedur asas boleh diketepikan sebagai suatu hak (‘ex debito justitiae’),manakala penghakiman yang teratur hanya boleh dicabar tertakluk kepada pematuhan kaedah dan had masa. 41. Dalam kes Jay Pee Huat & Ors v Pembangunan Warisan Sdn Bhd & Anor [2008] 3 AMR 28; [2008] 1 MLJ 655 (CA), Mahkamah Rayuan telah menegaskan bahawa tidak setiap kecacatan atau ketidakaturan akan menjadikan suatu penghakiman itu ‘irregular’ Kecacatan tersebut mestilah bersifat ‘fundamental’ dan menjejaskan keadilan prosiding secara keseluruhan. 42. Perayu dalam kes ini berhujah bahawa perintah bertarikh 30 Mei 2022 adalah suatu ‘irregular judgment’ kerana didakwa tidak mematuhi Aturan 13 kaedah 6 dan 7 KKM 2012, khususnya berhubung sifat tuntutan dan skop relief yang diberikan. Perayu seterusnya berhujah bahawa atas alasan ini, Mahkamah Sesyen sepatutnya mengetepikan perintah tersebut ‘ex debito justitiae’ tanpa mengambil kira isu kelewatan. 43. Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan tersebut. Rekod prosiding di Mahkamah Sesyen dengan jelas menunjukkan bahawa perintah bertarikh 30 Mei 2022 tidak diperoleh secara mekanikal semata-mata akibat kegagalan kehadiran. Sebaliknya, Mahkamah Sesyen telah secara aktif menguruskan prosiding tersebut, antaranya: (i) pada 9 Februari 2022, Mahkamah telah mengarahkan pendengaran permohonan Lampiran 5 ditangguhkan bagi membolehkan Plaintif memfailkan Afidavit Penyampaian; (ii) pada 3 Mac 2022, Perayu melalui peguamcaranya telah memfailkan Afidavit Jawapan bagi membalas Afidavit Sokongan Plaintif; (iii) pada 17 Mac 2022, Plaintif pula telah memfailkan Afidavit Balasan; (iv) pada 22 Mac 2022, Mahkamah Sesyen telah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis secara serentak pada atau sebelum 26 April 2022, dan menetapkan tarikh keputusan; (v) hanya selepas meneliti keseluruhan afidavit-afidavit dan hujahan bertulis tersebut, barulah Mahkamah Sesyen memberikan keputusan dan merekodkan perintah pada 30 Mei 2022. 44. Keadaan ini adalah selaras dengan prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Malayan Cement Industries Bhd v Yimatch Sdn Bhd [2014] 4 AMR 645; [2014] 5 MLJ 263, bahawa suatu penghakiman yang diberikan selepas Mahkamah meneliti afidavit dan hujahan pihak-pihak adalah suatu ‘regular judgment’, walaupun ia timbul daripada kegagalan awal sesuatu pihak untuk mematuhi garis masa prosedur. 45. Mahkamah Sesyen dalam alasan penghakimannya juga secara jelas mendapati bahawa perintah bertarikh 30 Mei 2022 telah diperoleh secara teratur, sah dan sempurna, setelah Mahkamah membaca afidavit-afidavit pihak-pihak dan mendengar hujahan Plaintif. Dapatan ini adalah dapatan fakta dan penilaian prosedur yang Mahkamah Rayuan tidak seharusnya ganggu melainkan terdapat salah arah prinsip yang nyata. 46. Mahkamah ini juga mengambil perhatian bahawa deraf perintah bagi keputusan bertarikh 30 Mei 2022 telah dipinda dan diluluskan oleh peguam Perayu terdahulu sebelum dimeterai oleh Mahkamah. Fakta ini dengan sendirinya menafikan hujahan bahawa Perayu tidak diberi peluang atau bahawa perintah tersebut diperoleh secara tidak adil atau mengejut. 47. Prinsip ‘ex debito justitiae’ tidak boleh digunakan sebagai jalan pintas untuk mengatasi kegagalan mematuhi had masa mandatori atau sebagai mekanisme untuk menghidupkan semula hak yang telah luput akibat kelewatan melampau. Prinsip ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Hong Kwi Seong v Ganad Media Sdn Bhd & Anor (supra), bahawa ketidakpatuhan kepada keperluan prosedur asas, termasuk had masa, tidak boleh diketepikan semata-mata atas alasan keadilan abstrak. 48. Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju sepenuhnya dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa perintah bertarikh 30 Mei 2022 adalah suatu ‘regular judgment’. 49. Mahkamah ini juga mendapati bahawa dakwaan Perayu bahawa tiada bukti perintah bertarikh 30 Mei 2022 telah disampaikan kepadanya adalah suatu dakwaan yang tidak berasas dan bersifat ‘afterthought’. Sepertimana yang ditegaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam Alasan Penghakiman beliau, khususnya di perenggan 13 muka surat 17 dokumen Rekod Rayuan Tambahan, isu kononnya ketiadaan penyampaian perintah tersebut tidak pernah dibangkitkan oleh Perayu di dalam afidavit sokongan semasa memfailkan Notis Permohonan di Lampiran 16. 50. Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa Mahkamah tidak seharusnya memberi pertimbangan kepada hujahan atau isu fakta yang tidak diikrarkan secara jelas dalam afidavit sokongan, memandangkan afidavit merupakan keterangan utama dalam prosiding permohonan. Kegagalan Perayu untuk mengikrarkan isu ketiadaan penyampaian perintah pada peringkat awal adalah fatal kepada cubaan Perayu untuk membangkitkan isu tersebut di peringkat hujahan. 51. Tambahan pula, Mahkamah ini mengambil perhatian terhadap dapatan jelas Hakim Mahkamah Sesyen bahawa Writ Saman dan Penyata Tuntutan telah diserahkan kepada Defendan secara kediri pada 31 Januari 2022, sebagaimana yang dinyatakan di perenggan 10 muka surat 15 Alasan Penghakiman Mahkamah Sesyen dalam dokumen Rekod Rayuan Tambahan. Fakta penyampaian secara kendiri ini tidak pernah dinafikan secara substantif oleh Perayu. 52. Penyampaian Writ Saman dan Penyata Tuntutan secara teratur dan sah ini adalah fakta asas yang penting kerana ia menunjukkan bahawa Defendan telah diberi notis sebenar mengenai tindakan terhadapnya, namun gagal memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan. Kegagalan tersebut seterusnya memberi hak kepada Plaintif untuk memohon penghakiman ingkar kehadiran di bawah Aturan 13 kaedah 6 KKM 2012. 53. Selanjutnya, Mahkamah ini menerima dan mengendors dapatan fakta Hakim Mahkamah Sesyen bahawa Writ Saman dan Penyata Tuntutan telah diserahkan kepada Defendan secara penyampaian kendiri pada 31 Januari 2022 di alamat Defendan iaitu di Blok B, Aras Bawah, Jalan Persisiran Titiwangsa Utama, Taman Tampoi Indah, 81200 Johor Bahru, Johor. Penyampaian tersebut telah diterima oleh seorang perempuan Melayu yang mengesahkan dirinya sebagai Kerani Defendan. Fakta penyampaian ini disokong oleh Afidavit Penyampaian oleh Mohamad Halif Ibrahim bertarikh 14 Februari 2022 yang difailkan sebagai Lampiran 4. Hakim Mahkamah Sesyen seterusnya membuat dapatan bahawa penyampaian tersebut adalah sempurna dan teratur, selaras dengan kehendak Aturan 62 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Dapatan ini tidak pernah dinafikan secara substantif oleh Defendan dan mengukuhkan lagi kesimpulan bahawa Penghakiman Ingkar Hehadiran yang dimasukkan kemudiannya adalah suatu ‘regular judgment’. 54. Dapatan berhubung penyampaian Writ Saman dan Penyata Tuntutan ini adalah kritikal kerana ia membentuk asas langsung kepada dapatan Mahkamah dalam Isu (ii) bahawa penghakiman bertarikh 30 Mei 2022 adalah ‘regular judgment’. Apabila penyampaian asal prosiding adalah sah dan sempurna, kegagalan Defendan untuk memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan tidak boleh dipindahkan kepada sebarang kecacatan prosedur Mahkamah. Sebaliknya, ia adalah akibat langsung daripada keingkaran Defendan sendiri. 55. Dapatan ini juga mengikat secara langsung dengan Isu (iii). Dalam keadaan di mana Defendan telah diberikan notis sebenar mengenai prosiding namun gagal bertindak, Mahkamah ini berpendapat bahawa Defendan memikul beban yang lebih berat untuk menunjukkan kewujudan pembelaan bermerit. Kegagalan untuk memasukkan kehadiran, diikuti dengan kelewatan melampau selama lebih dua tahun tanpa alasan munasabah, dan ketiadaan pembelaan substantif yang kukuh, mengukuhkan lagi dapatan bahawa permohonan di Lampiran 16 adalah tidak berasas dan wajar ditolak. Sehubungan itu, ia hanya boleh dicabar tertakluk kepada pematuhan Aturan 42 kaedah 13 KKM 2012, yang jelasnya telah gagal dipatuhi oleh Perayu. 56. Maka, isu kedua ini diputuskan memihak kepada Responden. Isu (iii): Sama ada wujud pembelaan bermerit yang mewajarkan pengetepian penghakiman 57. Isu ketiga yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada Perayu telah menunjukkan kewujudan suatu pembelaan bermerit (‘meritorious defence’) yang boleh mewajarkan Mahkamah untuk menggunakan budi bicara bagi mengetepikan penghakiman bertarikh 30 Mei 2022, walaupun terdapat kelewatan melampau dan kegagalan mematuhi had masa mandatori. 58. Prinsip undang-undang mengenai pembelaan bermerit dalam konteks permohonan mengetepikan penghakiman, khususnya Penghakiman Ingkar Kehadiran, adalah mantap. Mahkamah Persekutuan dalam kes Tuan Haji Ahmed Abdul Rahman v Arab-Malaysian Finance Bhd [1996] 1 MLJ 30; [1996] 1 AMR 215 telah menegaskan bahawa untuk berjaya, seseorang pemohon mesti menunjukkan kewujudan pembelaan yang bukan bersifat remeh, ilusi atau bersandarkan penafian kosong, tetapi suatu pembelaan yang jika dibuktikan, berpotensi menewaskan tuntutan plaintif. 59. Prinsip yang sama turut ditegaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam Jay Pee Huat & Ors v Pembangunan Warisan Sdn Bhd & Anor [2008] 1 MLJ 655; [2008] 3 AMR 28 (CA), bahawa Mahkamah tidak seharusnya mengetepikan suatu penghakiman teratur semata-mata untuk membenarkan perbicaraan, melainkan defendan menunjukkan isu pertikaian sebenar yang memerlukan perbicaraan penuh. 60. Dalam konteks ini, Mahkamah ini meneliti hujahan dan afidavit Perayu yang dikemukakan bagi menyokong permohonan di Lampiran 16. Mahkamah Sesyen telah membuat dapatan fakta bahawa Perayu tidak mengemukakan sebarang pembelaan substantif yang bermerit, sebaliknya hanya membangkitkan penafian umum tanpa sokongan dokumen atau fakta terperinci. 61. Mahkamah Sesyen juga mendapati bahawa tuntutan Responden adalah berasaskan perjanjian bertulis bertarikh 1 Oktober 2018 yang ditandatangani oleh wakil-wakil sah Perayu pada masa material. Perayu tidak menafikan kewujudan perjanjian tersebut, dan tidak mengemukakan sebarang bukti ‘prima facie’ yang menunjukkan bahawa tuntutan Responden adalah tidak sah, telah dilunaskan, atau tertakluk kepada apa-apa pembelaan undang-undang yang kukuh. 62. Dapatan bahawa pembelaan Perayu adalah bersifat ‘sham defence’ selaras dengan pendekatan Mahkamah Rayuan dalam Malayan Cement Industries Bhd v Yimatch Sdn Bhd [2014] 5 MLJ 263;[2014] 4 AMR 645, di mana Mahkamah menegaskan bahawa penafian kosong tanpa butiran dan bukti sokongan tidak memadai untuk melepasi ambang pembelaan bermerit. 63. Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa Mahkamah Sesyen telah mendapati tiada sebarang tindakan diambil oleh Perayu terhadap Peguamcara terdahulu atau pihak dalaman yang didakwa bertanggungjawab, yang seterusnya mengukuhkan dapatan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan adalah bersifat reaktif dan tidak berkait dengan merit sebenar tuntutan. 64. Dalam keadaan ini, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa membenarkan permohonan Perayu akan hanya mengakibatkan ketidakadilan kepada Responden, yang telah memperoleh penghakiman teratur dan menunggu penyelesaian tuntutan sejak sekian lama. Prinsip kepastian litigasi dan keadilan kepada pihak yang berdisiplin tidak wajar dikorbankan semata-mata untuk memberi peluang kedua tanpa asas yang kukuh. 65. Oleh itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa Perayu telah gagal sepenuhnya untuk menunjukkan kewujudan pembelaan bermerit. Isu ketiga ini diputuskan memihak kepada Responden, dan dapatan Mahkamah Sesyen berhubung ketiadaan pembelaan bermerit adalah betul di sisi undang-undang. RUMUSAN/KESIMPULAN 66. Mengambil kira keseluruhan fakta dan undang-undang yang terpakai, Mahkamah ini mendapati bahawa rantaian prosedur dalam kes ini adalah jelas, teratur dan konsisten. Bermula dengan penyampaian Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang sah dan sempurna kepada Defendan pada 31 Januari 2022 sebagaimana dibuktikan melalui Afidavit Penyampaian oleh Mohamad Halif Ibrahim bertarikh 14 Februari 2022 (Lampiran 4) dan disahkan oleh dapatan Hakim Mahkamah Sesyen, kegagalan Defendan untuk memasukkan kehadiran telah memberi hak kepada Plaintif untuk memohon Penghakiman Ingkar Kehadiran di bawah Aturan 13 kaedah 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 melalui Lampiran 5. Permohonan tersebut tidak diputuskan secara mekanikal, sebaliknya selepas pengurusan kes, pemfailan afidavit oleh kedua-dua pihak serta hujahan bertulis, Mahkamah Sesyen telah memasukkan penghakiman bertarikh 30 Mei 2022 yang merupakan suatu ‘regular judgment’. 67. Percubaan Defendan untuk membuka semula penghakiman teratur tersebut melalui Lampiran 16, yang difailkan lebih dua (2) tahun kemudian, adalah terhalang oleh kegagalan mematuhi had masa mandatori di bawah Aturan 42 kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, ketiadaan permohonan pelanjutan masa yang sah, serta kegagalan Defendan untuk menunjukkan kewujudan pembelaan bermerit. Alasan-alasan yang dikemukakan adalah bersifat dalaman dan tidak disokong bukti kukuh. Dalam keadaan ini, Mahkamah ini berpuas hati bahawa Mahkamah Sesyen telah menggunakan budi bicara dengan betul dan tidak melakukan sebarang salah arah prinsip. Oleh itu, campur tangan Mahkamah Tinggi dalam kapasiti rayuan adalah tidak wajar. PERINTAH MAHKAMAH 68. Berdasarkan keseluruhan dapatan fakta dan undang-undang di atas, Mahkamah ini dengan ini menolak rayuan Perayu dan seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru bertarikh 19 September 2024 yang menolak permohonan Perayu di bawah Lampiran 16. 69. Perintah Mahkamah Sesyen bertarikh 30 Mei 2022, termasuk Penghakiman Ingkar Kehadiran yang dimasukkan terhadap Perayu, adalah dengan ini disahkan dan dikekalkan sepenuhnya. 70. Rayuan ini ditolak dengan kos RM3000.00 dibayar oleh Perayu kepada Responden BERTARIKH: 18 DISEMBER 2025 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Perayu Jayabalan a/l Raman Kutty Tetuan R. Jayabalan Johor Bahru Peguam Bagi Pihak Responden Rajagunaseelan Tetuan G.K Sritharan Johor Bahru