1 MLJ 241) adalah berkaitan. [32] Di dalam kes ini berdasarkan Afidavit Sokongan (perenggan 4) yang dikemukakan bersama Notis Permohonan, pihak Plaintif telah menyatakan bahawa satu perbincangan telah diadakan di antara pihak Defendan dan Plaintif dan hasil dari cadangan tersebut, pihak-pihak telah bersetuju berkenaan dengan pembinaan struktur dan keadaan pasar baru itu nanti. [33] Persetujuan pihak-pihak ialah untuk membina pasar baru yang berukuran hampir sama dengan 3 buah pasar contoh iaitu Pasar Sri Serdang, Pasar Borong Serdang, dan Pasar Seri Kembangan. Namun setelah pasar baru itu siap, Plaintif mendapati kononnya ia tidak menepati ciri-ciri dan spesifikasi 3 pasar contoh sepertimana yang kononnya dipersetujui di dalam perbincangan antara pihak-pihak. [34] Mahkamah ini berpandangan fakta yang dinyatakan di atas adalah penting dan mahkamah berpendapat bahawa pihak Plaintif mempunyai anggapan (expectation) yang sah bahawa pasar baru itu nanti akan dibina seperti mengikut spesifikasi yang telah dipersetujui. Apabila berlaku sebaliknya, maka mahkamah ini beranggapan keengganan pihak Plaintif untuk berpindah ke bangunan baru juga mempunyai asas apabila mengambil kira struktur baru tidak menepati persetujuan yang kononnya telah dicapai oleh pihak-pihak. 10 [35] Lanjutan dari itu, pada pendapat mahkamah, wujudnya persoalan serius untuk dibicarakan di dalam tuntutan Plaintif iaitu adakah pembinaan pasar baru tersebut tidak menepati persetujuan yang telah disepakati oleh pihak-pihak sebelum ini. Oleh itu mahkamah ini berpandangan wajar jika satu injunksi dibenarkan kepada Plaintif untuk mengelakkan daripada Plaintif menanggung kerugian sekiranya Pasar lama tersebut dirobohkan kerana Plaintif tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka. [36] Selain dari itu, Mahkamah ini juga berpandangan bahawa kerugian yang akan dialami oleh Plaintif tidak akan dapat dipampas dengan gantirugi oleh Defendan dan Plaintif yang akan menanggung kesusahan yang lebih besar berbanding dengan Defendan di dalam kes ini kerana Plaintif akan kehilangan tempat untuk mencari rezeki dan tapak baru yang disediakan oleh pihak Defendan pula tidak bersesuaian dan sudah pasti akan menjejaskan punca pendapatan Plaintif. [37] Jika dilihat di dalam kes ini, imbangan kesenangan adalah memihak kepada Plaintif kerana Plaintif yang lebih menanggung kesusahan berbanding dengan Defendan. Keputusan di mahkamah ini telah memihak kepada pihak Defendan dan pihak Defendan berhak untuk menguatkuasakan perintah tersebut pada bila-bila masa, sedangkan Plaintif dalam kes ini akan hilang punca pendapatan sekiranya tapak pasar lama dirobohkan dan ini sudah pasti akan menjejaskan ahli-ahlinya yang seramai 258 orang dan 101 orang peniaga lain lagi. 11 [38] Oleh kerana isu pasar lama ini (Pasar Besar Pasir Putih) adalah satu “life issue” yang dihadapi oleh Plaintif dan ahli-ahlinya serta peniaga lain, maka mahkamah ini berpandangan, demi keadilan, satu remedi dalam bentuk injunksi sementara perlu diberikan untuk mengelakkan daripada pihak Defendan bertindak merobohkan bangunan pasar lama tersebut sehingga rayuan diputuskan di Mahkamah Rayuan. JIka tidak, rayuan Plaintif akan menjadi satu rayuan yang sia-sia (nugotary) dan akademik semata-mata. [39] Mahkamah juga mengambil “judicial notice”, malahan akhbar-akhbar ada membawa berita bahawa kekecohan telah berlaku di antara Plaintif dan pihak penguatkuasa daripada pihak Defendan apabila usaha-usaha untuk merobohkan pasar lama tersebut telah mula dijalankan. [40] Tambahan dari itu, sekiranya keputusan di Mahkamah Rayuan memihak kepada Defendan, maka Defendan boleh pada bila-bila masa bertindak untuk merobohkan bangunan pasar lama tersebut dan menyerahkan milikan kosong kepada Pemaju. [41] Perlu ditekankan disini bahawa walaupun tiada perjanjian rasmi antara Defendan dan Plaintif untuk berniaga di atas bangunan pasar lama itu, namun mahkamah ini percaya wujudnya hubungan penyewa dan pemberi sewa antara pihak-pihak. Kerana itulah pihak Defendan mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pihak Plaintif sebelum pembinaan pasar baru dilaksanakan. Ini pada pandangan mahkamah wajar diambil kira dalam membenarkan permohonan injunksi ini. 12 [42] Oleh kerana mahkamah ini berpandangan wujudnya persoalan serius untuk dibicarakan, dan imbangan kesenangan adalah memihak kepada Plaintif, maka pada pendapat mahkamah ini, status quo bangunan pasar lama ini (Pasar Besar Pasir Putih) perlu dikekalkan dengan satu perintah Injunksi Sementara dikeluarkan sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan untuk mengelakkan ianya daripada dirobohkan. Malahan Injunksi ini, pada pendapat mahkamah tidak akan membawa kemudaratan kepada Defendan kerana pada masa ini keputusan mahkamah adalah memihak kepada Defendan dan Defendan boleh menguatkuasakan haknya sebaik sahaja rayuan yang memihak kepadanya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. [43] Atas alasan-alasan ini mahkamah berpandangan, permohonan Plaintif untuk satu Injunksi Interim (Kandungan 57) adalah dibenarkan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan. F. KESIMPULAN [44] Di atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Permohonan Plaintif di kandungan 57 ini dibenarkan tanpa apa-apa perintah terhadap kos. 13 Tarikh: 26 Jun 2018. (DATO’ AHMAD BIN BACHE) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu Peguam Plaintif: Tn. Haji Mohd Marwaliz bin Mahmud dan En. Shaharuddin bin Mohamed Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz No. 5578-E, Lot 347, Tingkat Satu, Wisma SHM, Seksyen 23, Taman Desa Telipot, 15150 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Defendan: Pn. Noor ’Aini binti Ismail Tetuan Aini Hayati & Associates Office E-7, Jalan bayam, 15200 Kota Bharu, Kelantan.