Sama ada Pembelaan Tertuduh/Perayu telah dipertimbangkan [84] Mahkamah telah meneliti Rekod Rayuan dan mendapati HMS telah mempertimbangkan pembelaan Tertuduh/Perayu secara terperinci. Secara kesimpulannya HMS telah mendapati keterangan Tertuduh/Perayu adalah penafian, tidak konsisten dan satu pemikiran terkemudian (afterthought) semata-mata dibandingkan dengan kekuatan dan kekukuhan keterangan pihak Pendakwaan sepertimana yang telah Mahkamah ini sentuh sebelum ini. HMS telah mempertimbangkan keterangan Tertuduh/Perayu yang menafikan yang Tertuduh/Perayu yang telah membuat sebahagian tajuk surat “P2” dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat “P2” dan memutuskan bahawa berdasarkan keterangan-keterangan yang ada pembelaan ini tidak dapat dipertahankan. [85] HMS juga telah menimbangkan keterangan penafian Tertuduh/Perayu bahawa Tertuduh/Perayu tidak menyerahkan surat “P2” ini kepada Dato’ Adzlin pada 13 Jun 2014, sebaliknya oleh SP8. HMS mendapati penafian ini tidak boleh dipertahankan dengan keterangan-keterangan kukuh daripada Pendakwaan khususnya keterangan SP3 dan keterangan mengikut keadaan. [86] HMS juga telah menimbangkan isu yang dibangkitkan Tertuduh/Perayu bahawa aduan dan siasatan terhadap Tertuduh/Perayu telah diasaskan berkaitan tuduhan pemberian wang rasuah kepada SP8, SP9 dan pihak UMS. Namun, isu mengenai tajuk surat “P2” dan SP3 telah pergi ke pejabat Tertuduh/Perayu dan menaip deraf surat berkenaan yang menjadi pertuduhan sekarang tidak ditanya semasa siasatan. Ini bermakna Pedakwaan tidak memberikan notis awal (Alcontara Notice) kepada Pembelaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pertuduhan terhadapnya. [87] Mahkamah mendapati ini adalah tidak tepat. Ini akan diperhalusi kemudian. Sebaliknya, Mahkamah berpendapat, pihak Pembelaan dan Tertuduh/Perayu sendiri gagal untuk memberikan maklumat seawal mungkin (Alcontara Notice) kepada pihak SPRM ketika D32 dirakamkan terhadap Tertuduh/Perayu berkenaan maklumat penting yang menjadi asas pembelaan Tertuduh/Perayu. [88] Contohnya, memandangkan SD2 merupakan Saksi penting Tertuduh/Perayu namun, Tertuduh/Perayu langsung tidak mendedahkan tentang kewujudan SD2, semasa SP3 sedang menaip deraf di pejabat Tertuduh/Perayu dan tidak pula mencadangkan bahawa komputer yang digunakan SP3 di pejabat Tertuduh/Perayu mempunyai password, ketika rakaman D32 dibuat terhadap Tertuduh/Perayu dan perkara ini juga tidak dicadangkan kepada SP3 melalui soal balas semasa perbicaraan. Malah versi-versi pembelaan Tertuduh/Perayu dipenuhi dengan penafian dan keterangan berbentuk afterthought termasuk isu-isu yang merupakan teras pembelaan. [89] Seperti yang diperkatakan tadi, nama SD2 tidak pernah timbul semasa kes ini dibicarakan di peringkat pendakwaan dan kali pertama timbul di peringkat pembelaan. Malahan, pihak Pembelaan tidak pernah mencadangkan nama SD2 ini semasa Pegawai-Pegawai Penyiasat dan SP3 memberikan keterangan. [90] Pihak Pembelaan juga tidak mencadangkan kepada mana-mana Saksi pihak Pendakwaan bahawa SD2 ini adalah pekerja Tertuduh/Perayu selain Tertuduh/Perayu sendiri. Yang ada mengikut keterangan kalau mengikut D27 (Senarai Penyitaan Harta) adalah seorang bernama “Anita” sebagai seorang pekerja Tertuduh/Perayu, semasa rampasan CPU Komputer dari bilik Tertuduh/Perayu dilakukan. [91] Justeru, untuk menguatkan kes pembelaan, Anitalah yang sepatutnya dipanggil juga tetapi tidak dipanggil. Malah, di dalam D32 itu sendiri tidak pernah timbul nama SD2 ini. [92] Mahkamah ini setelah menimbang pembelaan Tertuduh/Perayu mendapati, keterangan Tertuduh/Perayu dan SD2 bercanggah dan menimbulkan keraguan sama ada benar-benar SD2 bekerja di pejabat Tertuduh/Perayu. Tertuduh/Perayu di dalam keterangannya semasa pemeriksaan utama mengatakan pejabat Tertuduh/Perayu mempunyai CCTV dan buku pelawat, manakala SD2 yang “kononnya” adalah pekerja Tertuduh/Perayu pula memberitahu Mahkamah semasa disoal-balas bahawa pejabat Tertuduh/Perayu tidak mempunyai CCTV dan buku pelawat. Malah, semasa di peringkat kes pendakwaan tiada apa-apa cadangan dibuat kepada mana-mana Saksi pihak Pendakwaan tentang kewujudan CCTV dan buku pelawat oleh pihak Pembelaan. [93] Mengenai hujahan Tertuduh/Perayu bahawa beliau telah dinafikan haknya untuk mengemukakan pembelaannya yang sebenar dari awal kerana Alcontara Notice tidak diberikan, Mahkamah mendapati HMS telah meneliti dan menimbang kes pendakwaan dan pembelaan semasa perbicaraan dan juga semasa siasatan terhadap Tertuduh/Perayu. Berikut adalah dapatan HMS mengenai ini di muka surat 58 Alasan Penghakimannya yang berbunyi seperti berikut: “Mahkamah mendapati surat P2 telah dirujuk kepada Tertuduh semasa dalam siasatan maka, Tertuduh mempunyai peluang untuk menjelaskan apa-apa sahaja berkaitan surat P2 itu walaupun tiada soalan spesifik ditanyakan oleh pegawai perakam. Isu berkaitan SB2, kata laluan komputer dan soalan berkaitan surat P2 jikapun tidak ditanya semasa siasatan masih boleh dibangkitkan semasa peringkat kes pendakwaan. Sepanjang perjalanan kes ini juga Tertuduh tidak pernah membangkitkan sebarang isu berhubung kekeliruan terhadap pertuduhan yang dihadapi olehnya dan telah mengemukakan pembelaannya tanpa sebarang bantahan. Maka, Mahkamah mendapati tiada isu bahawa Tertuduh tidak dapat mengemukakan pembelaannya kerana hal tersebut dan ia juga tidak memprejudiskan Tertuduh untuk mengemukakan pembelaannya secara adil.” [94] Meneliti semula pembelaan Tertuduh/Perayu, Mahkamah mendapati kredibiliti SD2 adalah amat diragui. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan TPR bahawa keterangan SD2 mula goyah apabila disoal-balas dengan jitu oleh pihak Pendakwaan. SD2 telah mengakui bahawa SD2 tidak mengenali SP3, tidak pernah berjumpa SP3 dan tidak tahu rupa SP3. Tidak hairanlah pihak Pendakwaan menghujahkan bahawa di dalam keadaan sedemikian, tidak mungkin SD2 boleh menyatakan SP3 tidak pernah datang ke pejabat Tertuduh/Perayu melainkan telah “diajar” oleh Tertuduh/Perayu untuk berkata sedemikian. [95] Mahkamah ini bersetuju dengan hujah TPR yang mengendalikan rayuan ini yang berpendapat pembelaan Tertuduh/Perayu bertambah lemah apabila SD2 semasa disoal-balas bersetuju bahawa di dalam keadaan beliau bercuti dan tidak mengenali SP3, beliau tidak akan tahu jika SP3 ada datang ke pejabat Tertuduh/Perayu atau tidak. Manakala jawapan SD2 semasa diperiksa semula menjadi bercelaru dan tidak logik dibandingkan dengan jawapan SD2 semasa disoal-balas oleh pihak Pendakwaan. Ini melemahkan lagi kredibiliti SD2 sebagai Saksi Utama dan HMS telah mengambil-kira perkara ini. [96] Justeru, Mahkamah ini berpendapat keterangan SP3 kekal kukuh antara lain, bahawa SP3 telah meninggalkan surat kosong yang mempunyai letter head Timbalan Naib Canselor di pejabat Tertuduh/Perayu dan keesokkannya SP3 menerima daripada Tertuduh/Perayu “P2” yang telah mempunyai tarikh dan isi kandungan beserta tarikh. [97] Justeru, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa di akhir kes setelah membandingkan kes pembelaan dan kes pendakwaan dan setelah mengambil-kira keprobabelan kes (probability of the case), Mahkamah ini memutuskan bahawa Pendakwa Raya telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan pihak Tertuduh/Perayu telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadapnya. F. RAYUAN TERTUDUH/PERAYU TERHADAP HUKUMAN [98] Tertuduh/Perayu telah merayu terhadap hukuman yang mengikut Tertuduh/Perayu adalah terlalu berat dan tidak sesuai. [99] Mahkamah ini mengambil-maklum bahawa kesalahan di bawah Seksyen 468 memperuntukkan pemenjaraan sehingga 7 tahun serta hukuman denda. Adalah menjadi tanggung jawab Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman supaya memberi keutamaan kepada kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi Tertuduh/Perayu sendiri sepertimana yang ditekankan di dalam kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256. [100] Namun kepentingan seseorang Tertuduh tidak boleh diketepikan langsung. (Lihat kes Tan Sri Abdul Rahim Noor v. PP [2001] 1 MLJ 193). Bergantung kepada keadaan masing-masing, terdapat keadaan di mana kepentingan awam sendiri mewajarkan seseorang Tertuduh itu tidak dimasukkan ke dalam penjara di dalam tempoh yang panjang kerana ia akan membawa banyak keburukan daripada kebaikan, di mana seseorang Pesalah itu akan menjadi penjenayah tegar (hardened criminal) selepas menjalani hukuman penjara. [101] Justeru itu, Mahkamah ini sebagai Mahkamah yang mendengar rayuan perlu menjalankan satu kaedah pengimbangan (balancing exercise) untuk memastikan keadilan dilaksanakan kepada mangsa/orang awam dan juga Tertuduh/Perayu di dalam menentukan hukuman yang sesuai yang akan dijatuhkan. Ke arah itu, Mahkamah akan menggunakan kaedah ini di dalam menentukan hukuman yang sesuai di dalam kes ini. [102] Mahkamah juga ingin memetik ungkapan Hakim Mahkamah Rayuan YA Datuk Seri Gopal Sri Ram di dalam kes Adam Atan v. PP [2009] 1 CLJ 33 yang menyatakan: “In an appeal against sentence, the initial function of this court is one of review only. The fact that each of us sitting separately or together would have imposed a lesser sentence is irrelevant. The appellant must satisfy this court that the sentencing court has either erred in principle or imposed a sentence that was manifestly excessive. We find it unnecessary to cite any authority in support of this well-established principle”. [103] Di dalam kes ini, HMS setelah mempertimbangkan rayuan mitigasi dan hujahan pemberatan dan peringanan daripada kedua-dua pihak, telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama tiga (3) tahun penjara dan denda RM50,000.00 atau penjara 15 bulan jika gagal bayar dan berpendapat Tertuduh/Perayu perlulah diasingkan dan disisihkan daripada masyarakat dalam tempoh waktu tersebut bagi menyedarkan dirinya tentang kesalahan yang telah dilakukannya dan sebagai hukuman dan pengajaran atas perbuatannya itu. Sebagai seorang Pemimpin masyarakat, ahli politik dan bekas Menteri, Tertuduh/Perayu perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat namun, Tertuduh/Perayu telah mensia-siakan kepercayaan rakyat terhadapnya dengan melakukan kesalahan sedemikian. Mahkamah berpendapat dapatan HMS sedemikian adalah betul dan tepat dan tidak wajar diganggu. [104] Mahkamah ini turut bersetuju dengan dapatan HMS bahawa walaupun Tertuduh telah memberi bantuan kepada pelajar-pelajar UMS selama ini, perkara tersebut tidak seharusnya menghalalkan apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya. Mahkamah ini bersependapat dengan dapatan HMS bahawa perbuatan Tertuduh/Perayu yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan projek di UMS tersebut adalah satu tindakan yang tamak dan tidak menghormati undang-undang negara serta prosedur-prosedur yang terpakai. [105] Mahkamah ini berpendapat hukuman yang berbentuk deteren dan pengajaran perlu diberikan. Hukuman ini juga dapat menghantar mesej dan amaran keras kepada bakal-bakal pesalah di luar sana bahawa cara mendapatkan projek seumpama itu dengan cara salah dan tidak amanah tidak harus dilakukan Tertuduh/Perayu sebagai seorang Pemimpin dan seorang bekas Menteri yang berpengaruh di negeri Sabah. Justeru, Mahkamah bersetuju dengan dapatan HMS untuk mengenakan hukuman sedemikian dan keputusan ini tidak sepatutnya diganggu. [106] Mahkamah ini juga ambil maklum bahawa kes ini juga telah melalui perbicaraan penuh dan mengambil masa lebih kurang dua tahun. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa masa dan kos pihak-pihak yang terlibat wajar diambil-kira juga. [107] Mahkamah ini juga telah membuat pertimbangan yang memihak Tertuduh/Perayu di mana di dalam kes ini tidak terdapat kerugian dan keuntungan salah yang dialami oleh mana-mana pihak. Mahkamah ini juga telah mengambil-kira kontribusi Tertuduh/Perayu kepada UMS khususnya Pelajar-Pelajarnya. Mahkamah juga berpendapat hukuman yang dijatuhkan HMS adalah wajar dan memadai sebagai pengajaran kepada Tertuduh/Perayu. [108] Mahkamah ini juga telah mengambil-kira trend hukuman semasa bagi kesalahan ini. [109] Ke arah itu, menimbang segala faktor-faktor di atas, Mahkamah ini berpendapat hukuman yang dijatuhkan HMS iaitu 3 tahun penjara adalah sesuai dan berpatutan. Perlu ditekankan di sini bahawa, hukuman yang dijatuhkan HMS adalah kurang dari setengah daripada hukuman maksima 7 tahun, sedangkan di bawah Seksyen 172 D Kanun Acara Jenayah, hanya Tertuduh/Perayu yang mengaku bersalah melalui “plea bargaining” sahaja yang layak mendapat hukuman separuh dari maksima sedangkan Tertuduh/Perayu telah tidak mengaku bersalah dan kes ini telah melalui satu perbicaraan penuh. [110] Sebagai tambahan kepada hukuman penjara, HMS telah menjatuhkan hukuman denda RM50,000.00 atau pemenjaraan selama lima belas (15) bulan jika denda tersebut gagal dibayar. Mahkamah ini bersetuju jumlah denda tersebut adalah berpatutan setelah Mahkamah mengambil-kira keseriusan kesalahan, fakta dalam kes ini dan hukuman-hukuman dalam kes serupa yang dirujuk oleh pihak Pendakwaan dan juga sebagai pengajaran kepada Tertuduh/Perayu serta sebagai peringatan kepada bakal-bakal Pesalah supaya jangan melakukan kesalahan sebegini. Mahkamah ini juga telah mempertimbangkan apa-apa hukuman yang berat daripada ini akan mengakibatkan “crushing effect” terhadap Tertuduh/Perayu dan akan memudaratkan Tertuduh/Perayu. G. KESIMPULAN [111] Di atas alasan-alasan yang dinyatakan tersebut, rayuan Tertuduh/Perayu terhadap sabitan dan hukuman adalah dengan ini ditolak, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) dikekalkan. Tarikh: 31 Julai 2023 (DATO’ AHMAD BIN BACHE) Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur. Pihak-Pihak Tertuduh/Perayu: Encik Devanandan S. Subramaniam (Encik Khavenesh Devanandan bersamanya) TETUAN DEVA & ASSOCIATES Unit 1010, Blok E, Phileo Damansara 1 No. 9, Jalan 16/11 46350 Petaling Jaya SELANGOR (No. Ruj.: 114/21/CR/DSS) Pendakwa Raya/ Datuk Wan Shaharuddin bin Wan Ladin Responden: (Encik Haresh Prakash Somiah bersamanya) Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Ibu Pejabat SPRM Aras 18, Blok C No. 2, Lebuh Wawasan Presint 7 62250 PUTRAJAYA