000.00 ditolak dengan jumlah yang telah dibayar dan deposit yang telah dicairkan oleh Plaintif. [24] Defendan juga berpandangan tuntutan Plaintif bagi gantirugi berjumlah RM 2, 977,288.80 adalah tidak berasas kerana ianya tidak 8 dinyatakan di dalam RTA. RTA ialah satu perjanjian dagangan runcit dimana ianya membawa maksud perjanjian jual beli antara Plaintif dan Defendan untuk bekalan petrol dan bahan-bahan api lain antara mereka sahaja. SP1 semasa memberi keterangan telah mengesahkan bahawa Defendan tidak pernah berhutang untuk bekalan yang telah dihantar oleh Plaintif kepadanya. Ini menunjukkan bahawa segala bayaran yang perlu dibayar oleh Defendan kepada Plaintif telahpun dilangsaikan tanpa berbaki sedikit pun. [25] Berkenaan dengan tuntutan balas Defendan, Defendan menyatakan berdasarkan kepada RTA dan MAA, Plaintif perlu melepaskan gadaian atas hartanah tersebut sekiranya Defendan telah melangsaikan semua tuntutan Plaintif yang timbul dari MAA dan RTA. Namun Plaintif telah meminta agar Defendan membayar jumlah yang tidak munasabah sekiranya mahu gadaian tersebut dilepaskan. Sedangkan jumlah tersebut tidak pernah dinyatakan di dalam perjanjian RTA dan MMA yang dimeterai kedua-dua pihak. [26] Akibat dari keengganan Plaintif untuk melepaskan gadaian tersebut walaupun Defendan bersedia untuk membayar sejumlah yang terhutang di bawah RTA dan MAA, telah menyebabkan Defendan kehilangan kegunaan hartanah tersebut dan menanggung kerugian. Defendan dengan itu telah membuat tuntutan balas sebagaimana berikut: I. Pengisytiharan bahawa hartanah tersebut hanya digadai bagi menjamin bayaran balik RM 1, 200, 000.00 di bawah MAA sahaja; 9 II. Pengisytiharan bahawa hanya sejumlah RM436,583.15 (diubah oleh Defendan kepada RM442,667.69) sahaja perlu dibayar kepada Plaintif bagi tujuan pelepasan bayaran; III. Plaintif melaksanakan pelepasan gadaian dalam masa 14 hari setelah jumlah tersebut dibayar oleh Defendan; IV. Sekiranya Plaintif gagal melaksanakan pelepasan gadaian, maka Pentadbir Tanah Jajajahan Pasir Puteh diberi kuasa untuk membatalkan gadaian tersebut; dan V. Gantirugi untuk ditaksir dan kos. C. HUJAHAN PLAINTIF [27] Plaintif menghujahkan bahawa berdasarkan Klausa 1.2 di dalam RTA, Plaintif berhak untuk menuntut gantirugi pada masa depan yang akan ditanggung oleh Plaintif akibat dari penamatan perjanjian ini disebabkan oleh kemungkiran di pihak Defendan. Ini kerana perjanjian tersebut telah menetapkan bahawa tempoh bagi perjanjian ini adalah selama 10 tahun dan sekiranya perjanjian ini ditamatkan lebih awal kerana kemungkiran oleh Defendan, maka Plaintif berhak untuk menuntut jumlah keuntungan masa depan sekiranya perjanjian ini masih berterusan. [28] Plaintif juga menghujahkan bahawa Signage Agreement sememangnya wujud sepertimana surat bertarikh 5.10.2009 yang dikemukakan di Mahkamah. Oleh kerana terdapat perbelanjaan yang dibuat oleh Plaintif bagi tujuan signage tersebut, maka Defendan sudah seharusnya perlu membayar jumlah yang masih berbaki dari perbelanjaan tersebut. 10 D. HUJAHAN DEFENDAN [29] Defendan di dalam hujahannya menghujahkan bahawa tuntutan Plaintif adalah tidak diasaskan dari mana-mana peruntukkan di dalam perjanjian RTA dan MAA. Malahan jika dirujuk kepada Klausa 1.2 di dalam RTA yang dirujuk oleh Plaintif, ianya hanya menunjukkan apakah tempoh masa yang dipersetujui antara Plaintif dan Defendan bagi pembekalan produk minyak. [30] Tidak pernah dinyatakan di dalam mana-mana perjanjian yang termeterai bahawa Defendan adalah bertanggungan kepada Plaintif untuk membayar jumlah anggaran keuntungan masa hadapan sekiranya perjanjian tersebut terbatal sebelum cukup tempoh 10 tahun. [31] Bagi MAA pula, Defendan hujahkan bahawa, jumlah yang dipersetujui antara pihak-pihak ialah bagi pembiayaan berjumlah RM 1, 200, 000.00 sahaja. Sekiranya diambil kira jumlah yang telah dibayar oleh Defendan sebelum ni, maka jumlah yang masih berbaki hanyalah sebanyak RM 442,667.69 sahaja. Jumlah ini diperolehi dengan menolak RM 490,000.00 yang dituntut oleh Plaintif dengan RM 47,332.31 yang telah dibayar oleh Defendan namun gagal diambil kira oleh Plaintif. [32] Selain itu, Defendan juga hujahkan bahawa Plaintif tidak berhak untuk menuntut bayaran untuk signage kerana ianya telah termasuk di dalam jumlah bayaran RM 1, 200, 000.00 yang dipersetujui di bawah MAA. Defendan merujuk kepada Klausa 2.1 MAA yang mana di dalam klausa tersebut telah menyatakan bahawa jumlah pembiayan di bawah MAA 11 sudah termasuk untuk sign dan kanopi. Maka adalah pelik sekiranya Plaintif meminta bayaran tambahan sebanyak RM 90, 282.00 bagi tujuan signage. Maka adalah dihujahkan bahawa perbelanjaan bagi signage tersebut adalah termasuk di dalam MAA. [33] MAA juga dengan jelas menyatakan bahawa sekiranya ada kos tambahan yang perlu ditanggung maka, kos tersebut perlu ditanggung oleh Defendan sendiri. Atas alasan ini maka adalah pelik untuk Plaintif membiaya kos signage yang diluar dari jumlah pembiayaan tersebut kerana adalah lebih baik sekiranya Plaintif meminta Defendan yang membayar kos tersebut seperti dinyatakan dalam MAA. [34] Berkenaan dengan tuntutan balas Defendan, Defendan hujahkan bahawa pihaknya telah bersedia untuk membayar kepada Plaintif jumlah yang masih berbaki, namun Palintif telah menolak dan meminta agar Defendan membayar sejumlah seperti yang dipohon di dalam tuntutan ini. Sedangkan jumlah tersebut tidak bersandarkan kepada mana-mana peruntukkan di dalam perjanjian. [35] Selain itu Defendan hujahkan oleh kerana Plaintif masih memegang gadaian terhadap tanah tersebut, maka Defendan telah kehilangan kegunaan tanah tersebut sedangkan hartanah tersebut mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana berada di tepi jalan. Sekiranya gadaian telah dilepaskan, sudah pasti Defendan mampu untuk mendapatkan hasil dari hartanah tersebut. 12 E. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH INI [36] Undang-undang di dalam kes sivil adalah jelas. Pihak-pihak di dalam tuntutan sivil adalah tertakluk kepada pliding yang telah difailkan dan perlu membuktikan apa yang diplidkan melalui keterangan sokongan dan bukti semasa perbicaraan. Adalah tidak wajar bagi Mahkamah ini untuk mempertimbangkan perkara-perkara yang timbul semasa perbicaraan tetapi tidak diplidkan di dalam pliding pihak-pihak. [37] Berdasarkan pliding yang difailkan, Plaintif memplidkan bahawa jumlah pembiayaan di bawah MAA ialah sebanyak RM 1, 200, 000.00. Oleh yang demikian, Plaintif tidak boleh di dalam keterangan dan hujahannya menyatakan bahawa jumlah pembiayaan yang diberikan adalah lebih dari apa yang diplidkan. [38] Setelah meneliti segala keterangan-keterangan yang dikemukakan dan mempertimbangkan hujahan pihak-pihak mahkamah bersetuju dengan hujahan Defendan dan memutuskan seperti mana di para-para berikutnya. Di dalam kes ini Plaintif telah menuntut sejumlah gantirugi keuntungan masa depan berjumlah RM2, 977,288.80 berdasarkan RTA yang dimeterai. Adalah ditekankan di sini bahawa, Pihak Plaintif telah beberapa kali meminda pernyataan tuntutannya dan memberikan jumlah gantirugi masa depan yang berbeza setiap pindaan dibuat. Jumlah yang dinyatakan di atas adalah jumlah terakhir yang dituntut oleh Plaintif. [39] Berdasarkan fakta ini, mahkamah berpandangan Plaintif sendiri tidak mempunyai formula yang khas untuk mengira dengan tepat jumlah 13 keuntungan masa depan yang ingin dituntutnya sehingga menyebabkan wujudnya perbezaan jumlah yang dituntut. [40] Tambahan dari itu, memandangkan jumlah yang dituntut tersebut adalah berbentuk gantirugi khas, maka Prinsip undang-undang yang mantap telah menetapkan bahawa Plaintif seharusnya membuktikan dengan jelas kepada mahkamah ini bagaimanakah jumlah tersebut diperolehi. Mahkamah merujuk kepada kes Yeap Cheng Hock v. Kajima-Taisei Joint Venture [1971] 1 LNS 155; [1973] 1 MLJ 230 YA Syed Agil Barakbah, menyatakan: “The general principle is that plaintiff must be prepared to prove his special damages unless it has been agreed. It is not enough for him to write down the particulars and leave them for the court to decide. It is for him to prove them.” [41] Selain dari itu mahkamah mengambil kira, di dalam kes sivil beban pembuktian adalah di pihak Plaintif sejak dari awal sehingga ke akhir kes. Di dalam kes ini, mahkamah berpandangan, Plaintif telah gagal untuk membuktikan kewujudan Signage Agreement (SA) antara pihak-pihak berdasarkan kepada klausa yang jelas di dalam MAA. Oleh yang demikian itu, Plaintif tidak berhak kepada tuntutan di bawah Signage Agreement tersebut kerana ianya tidak pernah wujud. [42] Berkenaan dengan tuntutan bagi keuntungan masa depan, selain dari ianya tidak dibuktikan secara khusus, mahkamah juga berpandangan bahawa ianya tidak dinyatakan secara jelas di dalam RTA. Jika dirujuk 14 kepada RTA, Defendan hanya perlu membayar kepada Plaintif jumlah yang masih belum dibayar sahaja dan SP1 dan SP2 semasa memberi keterangan bersetuju bahawa Defendan tidak pernah gagal untuk membayar kos bekalan yang dihantar. Oleh dasar itu, mahkamah percaya berdasarkan RTA tersebut, Plaintif hanya perlu membayar jumlah terhutang yang masih belum dijelaskan sahaja. [43] Seterusnya berkenaan dengan tuntutan balas Defendan. Pada padangan mahkamah, oleh kerana di dalam perjanjian MAA tersebut telah dinyatakan dengan jelas bahawa sekiranya baki terhutang telah dilunaskan oleh Defendan, Plaintif perlu melepaskan cagaran tersebut maka Plaintif perlu mematuhi klausa tersebut. Malahan di dalam MAA tidak pernah ada perjanjian atau klausa yang menunjukkan bahawa Defendan perlu membayar sehingga RM3 juta sebelum gadaian dilepaskan. Oleh itu Plaintif adalah terikat untuk melepaskan cagaran setelah bayaran dibuat. [44] Mahkamah berpandangan Plaintif tidak seharusnya menggunakan sesetengah klausa di dalam perjanjian yang memihak kepadanya terhadap Defendan dan menolak klausa yang tidak memihak kepadanya. Di dalam isu keuntungan pada masa hadapan menurut RTA, Plaintif memohon agar Defendan mematuhi perjanjian tersebut namun dalam isu pelepasan cagaran seperti ditetapkan di dalam MAA, Plaintif mengambil langkah berkecuali untuk patuh. Ini pada pandangan mahkamah adalah tindakan yang kurang wajar. 15 F. KESIMPULAN [45] Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah gagal untuk membuktikan tuntutannya terutamanya berkaitan dengan jumlah gantirugi bagi keuntungan pada masa hadapan dan juga Signage Agreement yang dikatakan wujud antara pihak Plaintif dan Defendan. Justeru itu tuntutan Plaintif ditolak dengan kos melainkan “prayer” (1) iaitu baki hutang Defendan sebanyak RM442,667.69 iaitu baki hutang daripada perjanjian MAA tersebut perlu dibayar Defendan kepadanya. [46] Mahkamah seterusnya mendapati bahawa Defendan berjaya membuktikan tuntutan balasnya di mana mahkamah membenarkan “prayer” (ii) iaitu bahawa Defendan hanya perlu membayar baki hutang RM442,667.69 tersebut. Lain-lain “prayers” adalah “consequential”/akibat daripada itu. Tarikh: 30 Mac 2018 (DATO’ AHMAD BIN BACHE) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu 16 Peguamcara Plaintif/Perayu Yannie Th’ng Yan Nie Tetuan Raja Darryl & Loh 18th Floor, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Peguamcara Defendan/Responden Dato’ Takiyuddin bin Hassan, Pn. Wan Jawahir bt Harun & En. Khuzaimi bin Mohd Salleh, Tetuan Wan Jawahir & Takiyuddin, PT 2226, Jalan Long Yunus, 15200 Kota Bharu, Kelantan.