ADB 52.” Seterusnya Hakim bicara bijaksana di muka surat 29, perenggan 27 Jilid 1 Rekod Rayuan membuat dapatan seperti berikut: 9 “... T telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah seterusnya juga gagal untuk mematahkan anggapan di bawah S.37 (d) ADB 1952”. Kedua-dua dapatan ini, mengikut hujah Peguambela terpelajar, berselisih di antara satu sama lain yang sekali gus menimbulkan satu kekeliruan berhubung beban pembelaan di akhir kes pembelaan. Hakim bicara telah meletakkan beban yang tinggi ke atas Perayu. Pertimbangan dan Keputusan Mahkamah [26] Mahkamah ini berkesempatan untuk meneliti rekod rayuan termasuk alasan penghakiman Hakim bicara bijaksana dan juga eksibit-eksibit berkenaan. Seperti mana dinyatakan di peringkat awal penghakiman ini, Hakim bicara bijaksana memerintah Perayu membela diri setelah mendapati Perayu mempunyai jagaan dan kawalan ke atas beg P6 dan P7, dan seterusnya mengguna pakai anggapan di bawah Seksyen 37(d) Akta untuk bukti pengetahuan dan milikan dadah yang berada dalam beg P7. Bagi elemen pengedaran, Hakim bicara bijaksana mendapati Perayu telah menyembunyikan dadah di dalam beg P7 dan membawa dadah tersebut menaiki pesawat SQ MI 332 dari Singapura ke KLIA, satu perbuatan yang tergolong di bawah tafsiran mengedar bawah seksyen 2 Akta. [27] Dapatan dan keputusan yang dibuat oleh Hakim bicara di peringkat Perayu dipanggil membela diri tidak dipertikaikan oleh Perayu. Perayu tidak mempertikaikan bahawa beliau membawa beg P6 dan P7 yang di dalamnya tersembunyi dadah yang dirampas. Yang dipertikaikan oleh Perayu ialah apa yang didakwa sebagai kegagalan Hakim bicara menyentuh percakapan 10 Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (D59) dan memberi penilaian atas pembelaan Perayu terutama berhubung peranan watak Ben dan Tony. [28] Meneliti alasan penghakiman oleh Hakim bicara bijaksana secara keseluruhannya, kami dapati, dengan penuh hormat kepada Peguam terpelajar, dakwaan beliau adalah tidak benar. Hakim bicara bijaksana jelas sedar akan kewujudan dan kandungan D59 yang mana ia sama dengan apa yang diberi oleh Perayu dalam keterangannya semasa pembelaan. Hakim bicara menulis di muka surat 13 Jilid 1 Rekod Rayuan (muka surat 13 Alasan Penghakiman) seperti berikut: “8. T (Tertuduh) telah memilih untuk memberikan keterangan membela diri di atas sumpah. Di dalam keterangan, beliau mengulangi kembali statement beliau di bawah seksyen 112 yang diberi kepada Pegawai Perakam (D59). Pembelaan beliau adalah seperti berikut:” [29] Jelas di sini D59 ada diberi perhatian oleh Hakim bicara bijaksana. Meneliti kenyataan D59 ia sememangnya sama dengan keterangan yang diberi perayu semasa membela diri. Oleh itu, apabila Hakim bicara membincangkan keterangan yang diberikan oleh Perayu, sudah semestinya ia melibatkan apa yang terkandung dalam D59. [30] Berhubung watak Ben dan Tony yang dibangkitkan oleh Perayu di dalam keterangannya dan disebut di dalam D59, Hakim bicara bijaksana memberi penilaian dengan menimbang apa yang dibangkitkan oleh pihak Peguam terpelajar bagi pihak Perayu dan juga Timbalan Pendakwa raya dalam hujah masing-masing sebelum membuat keputusan bahawa pembelaan Perayu pada dasarnya adalah suatu “afterthought” dan rekaan beliau semata-mata. Versi Perayu dilihat secara menyeluruh merupakan 11 suatu versi yang sangat mustahil kerana adalah tidak munasabah untuk Perayu ke Malaysia untuk menyerahkan sebuah beg kepada seseorang yang tidak dikenali nama atau nombor telefonnya yang mana pembiayaan perjalanan, penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Ben dan akan mendapat bayaran selepas selesai tugasnya. Juga tidak munasabah untuk Perayu tidak mempunyai syak wasangka terhadap Ben yang bersikap terlalu baik dengan sanggup membelanjakan wang kepada Perayu yang baru dikenalinya dan perayu mempunyai peluang untuk memeriksa P7. Dakwaan Perayu bahawa Ben dan Tony adalah pengedar dadah sebenar hanyalah rekaan Perayu semata-mata dan menolak pembelaan “innocent carrier” yang cuba diketengahkan oleh Pembelaan. [31] Berhubung laporan forensik atas telefon bimbit yang dirampas dari Perayu, hujah Peguam terpelajar adalah Hakim bicara bijaksana gagal memberi perhatian kepada laporan tersebut yang menunjukkan nama Ben dan Tony ada tercatat dalam senarai kontak Perayu dan juga atas fakta bahawa pegawai penyiasat hanya menghantar telefon dan sim kad kepada SD2 hampir 1 tahun 10 bulan selepas tangkapan ke atas Perayu dibuat serta tiada siasatan segera dibuat oleh pegawai penyiasat ke atas nombor telefon yang terdapat dalam telefon tersebut. [32] Setelah alasan penghakiman diteliti, kami dapati Hakim bicara dalam menimbang watak Ben dan Tony ada merujuk kepada laporan forensik telefon bimbit Perayu. Bermula dari perenggan 25 di muka surat 27 Jilid 1 Rekod Rayuan (Muka surat 22 Alasan Penghakiman) Hakim bicara bijaksana menulis: “25. Mengenai watak Ben dan Tony yang dikatakan oleh T, adalah pengedar dadah sebenar, pada pendapat Mahkamah, watak- 12 watak ini hanyalah rekaan T semata-mata. Walaupun laporan Forensik ke atas telefon bimbit T ada menunjukkan dua nama tersebut di dalam senarai kontaknya, akan tetapi sama ada kedua-dua mereka ini pengedar dadah atau tidak, tidak "dibuktikan" oleh T, hanya berdasarkan kepada keterangan T sahaja, menjadikan keterangan tersebut adalah suatu "hearsay" seperti mana yang diputuskan di dalam Tobechi Chinonso Madu vs PP [2015] 1 LNS