Content
JB-28NCC-37-11/2025 Kand. 105 30/06/2026 08:23:12 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI MUAR DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA PENGGULUNGAN SYARIKAT NO. JB-28NCC-37-11/2025 ANTARA PHANG YOON CHEONG (NO. K/P: 551118-08-5697) ...PEMPETISYEN
JB-28NCC-37-11/2025
High Court of Malaysia9 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
JB-28NCC-37-11/2025 Kand. 105 30/06/2026 08:23:12 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI MUAR DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA PENGGULUNGAN SYARIKAT NO. JB-28NCC-37-11/2025 ANTARA PHANG YOON CHEONG (NO. K/P: 551118-08-5697) ...PEMPETISYEN
1
HEKTAR WARISAN SDN. BHD. [NO. SYARIKAT: 200801031062 (832394-W)]
2
CHER GUAN CHUN
3
TEO HAU WEY
4
CHER YEE KUOR (NO. K/P:941011-01-5860) ...RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Di hadapan Mahkamah ini terdapat dua kandungan untuk diputuskan, iaitu Kandungan 1 dan Kandungan 15. Kandungan 1 merupakan Petisyen Penggulungan Syarikat bertarikh 7 November 2025 yang telah difailkan oleh Pempetisyen. Sementara itu, Kandungan 15 merupakan Saman Dalam Kamar bertarikh 26 November 2025 yang telah difailkan oleh Responden Kedua dan Responden Keempat. [2] Perintah-perintah yang dipohon bagi Kandungan-Kandungan tersebut sebagaimana yang berikut:- Kandungan 1 i. HEKTAR WARISAN SDN. BHD. [NO. SYARIKAT: 200801031062 (832394-W)] digulungkan oleh Mahkamah yang Mulia ini seperti yang diperuntukkan dalam Akta Syarikat 2016; ii. Seorang Pelikuidasi bagi Syarikat tersebut yang dicadangkan oleh Pempetisyen, atau secara alternatifnya Pegawai Penerima dilantik sebagai Pelikuidasi HEKTAR WARISAN SDN. BHD. [NO. SYARIKAT: 200801031062 (832394-W)]; iii. Pempetisyen dibenarkan kos Petisyen kepada Penggulungan ini dan kos yang berkaitan dengan ("incidental to") Petisyen kepada Penggulungan ini yang akan ditetapkan oleh Mahkamah dan dibayar dari aset-aset Syarikat tersebut kepada Pempetisyen; iv. Pempetisyen diberi lanjutan masa empat belas (14) hari dari tarikh penerimaan Perintah Penggulungan termeterai daripada Mahkamah untuk mendaftarkan Perintah Penggulungan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia; dan v. Apa-apa relif atau perintah yang lain atau yang selain daripada itu kepada Pempstisyen yang difikirkan adil dan munasabah oleh Mahkamah yang Mulia ini Kandungan 15 i. Perintah Ex-Parte bertarikh 13.11.2025 yang diberikan oleh Mahkamah yang Mulia ini pada 13.11.2025 (Lampiran 13) bagi pelantikan Pelikuidasi Sementara untuk Responden Pertama ("Perintah Ex-Parte") diketepikan; ii. Perintah Ex-Parte tersebut digantungkan secara interim sehingga Saman Dalam Kamar ini didengar dan diputuskan; iii. Pelikuidasi Sementara untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan semua pihak berkenaan dengan penepian Perintah Ex-Parte tersebut dalam masa 7 hari dari tarikh perintah; iv. Kos dan perbelanjaan Pelikuidasi Sementara berkenaan dengan pelantikan mereka dan pelaksanaan tugas mereka di bawah Peintah Ex-Parte tersebut adalah ditanggung dan dibayar oleh Pempetisyen; v. Kos Saman Dalam Kamar ini dibayar oleh Pempetisyen kepada Responden Kedua dan Responden Keempat; dan vi. Sebarang relif lanjut atau relif lain yang difikirkan suai manfaat dan wajar oleh Mahkamah yang Mulia ini. [3] Mahkamah ini mendapati bahawa kedua-dua Kandungan ini perlu diputuskan secara bersekali kerana substratum fakta dan isu perundangannya bertindih dengan nyata. Oleh itu, Mahkamah ini telah mendengar kedua-dua Kandungan tersebut pada hari yang sama iaitu 9 April 2026. [4] Setelah meneliti petisyen, afidavit-afidavit, ekshibit-ekshibit, hujahan bertulis semua pihak, serta setelah mempertimbangkan keseluruhan keadaan fakta dan undang-undang, Mahkamah ini telah membenarkan Kandungan 15 dan menolak Kandungan 1 dengan kos sebanyak RM 10,000-00 tertakluk fi alokatur. [5] Pempetisyen yang tidak berpuas hati dengan Keputusan-Keputusan Mahkamah ini telah memfailkan Notis Rayuan sebagaimana Kandungan 88 dan 89. [6] Isu-isu pokok yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah: a) sama ada Pempetisyen telah menunjukkan kes prima facie yang kukuh bagi pelantikan Pelikuidasi Sementara secara ex parte; b) sama ada wujud full and frank disclosure semasa Perintah Ex Parte diperoleh; c) sama ada wujud keadaan yang membolehkan Syarikat digulungkan di bawah Seksyen 465(1)(f) Akta Syarikat 2016; dan/atau d) sama ada, pada fakta kes ini, adalah just and equitable untuk Syarikat digulungkan di bawah Seksyen 465(1)(h) Akta Syarikat 2016. Latar Belakang Ringkas [7] Syarikat dalam kes ini merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam aktiviti perladangan kelapa sawit. Struktur pemegangan saham yang material adalah sebagaimana yang berikut :a) Pempetisyen: 46%; b) Responden Kedua: 46%; c) Responden Ketiga: 8% [8] Pempetisyen, Responden Kedua dan Responden Ketiga masing masing adalah pengarah Syarikat sejak 2011. Kemudian, Cher Chwee Min ("CCM") , isteri Pempetisyen, dilantik sebagai pengarah pada 26.8.2022, dan Responden Keempat pula dilantik pada 20.8.2024. [9] Dengan itu, pada masa material, Lembaga Pengarah terdiri daripada lima orang, dan blok Responden Kedua, Ketiga dan Keempat secara numerik menguasai majoriti lembaga. [10] Pertikaian antara pihak-pihak mula memuncak sekitar 2024- 2025. Daripada dokumen-dokumen yang difailkan, jelas bahawa pertikaian tidak timbul secara tiba-tiba daripada satu insiden tunggal, tetapi daripada beberapa isu yang berkembang secara berperingkat, termasuk lah: a) cadangan penjualan ladang sawit Syarikat; b) cadangan pemecahan / pengasingan kepentingan ke atas ladang; c) pertikaian tentang pembayaran-pembayaran Syarikat; d) isu pertukaran mandat penandatangan akaun bank; e) tuduhan berhubung urus niaga dengan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Responden Kedua; dan f) percubaan mendapatkan sokongan Responden Ketiga oleh kedua-dua pihak yang bertelingkah. Prosiding Ex Parte dan Permohonan Ketepikan [11] Pada 8.11.2025, Pempetisyen telah memfailkan permohonan ex parte untuk melantik Pelikuidasi Sementara. Pada 13.11.2025, Mahkamah telah mengeluarkan Perintah Ex Parte melantik Pelikuidasi Sementara. [12] Responden Kedua dan Keempat kemudiannya memfailkan Saman Dalam Kamar untuk mengetepikan perintah tersebut, atas alasan antara lain bahawa, inter alia:- a) tiada pendedahan penuh dan jujur; b) tiada keperluan mendesak yang sebenar; c) tiada risiko dissipation of assets yang dibuktikan dengan kukuh; d) permohonan ex parte itu sendiri adalah satu langkah taktikal; dan e) imbangan kemudahan memihak kepada pengekalan operasi syarikat tanpa campur tangan interim yang drastik. Isu Undang-Undang Seksyen 465(1)(f) Akta Syarikat 2016 [13] Mahkamah ini merujuk kepada Seksyen 465(1)(f) Akta Syarikat 2016 yang menyatakan sebagaimana yang berikut :- Hal keadaan yang syarikat boleh digulung oleh Mahkamah 465. (1) Mahkamah boleh mengarahkan penggulungan jika—
f
pengarah bertindak dalam hal ehwal syarikat demi kepentingan pengarah sendiri daripada demi kepentingan anggota secara keseluruhan atau bertindak mengikut apaapa cara lain yang didapati tidak saksama atau tidak adil kepada anggota; [14] Di bawah seksyen ini, Mahkamah boleh memerintahkan penggulungan jika pengarah-pengarah telah bertindak dalam hal ehwal syarikat demi kepentingan mereka sendiri dan bukannya demi kepentingan ahli-ahli secara keseluruhan, atau bertindak dengan cara yang kelihatan tidak adil atau tidak saksama terhadap ahli-ahli lain. [15] Beban pembuktian terletak pada Pempetisyen untuk menunjukkan, atas imbangan kebarangkalian, bahawa tindakan pengarah-pengarah itu benar-benar menjangkau tahap commercial unfairness, lack of probity, atau self-serving conduct yang serius sehingga wajar membawa kepada remedi paling drastik iaitu penggulungan. Seksyen 465(1)(h) Akta Syarikat 2016 [16] Mahkamah ini juga merujuk kepada Seksyen 465(1)(h) Akta Syarikat 2016 yang menyatakan bahawa Mahkamah boleh mengarahkan penggulungan jika "Mahkamah berpendapat bahawa adalah adil dan saksama yang syarikat digulung". Mahkamah ini berpendapat prinsip just and equitable adalah satu remedi yang luas tetapi mesti digunakan dengan berhati-hati. Ia bukan jalan pintas untuk menyelesaikan setiap pertikaian pemegang saham atau setiap rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengurusan. [17] Mahkamah menerima bahawa dalam kategori tertentu, terutama syarikat berbentuk quasi - partnership atau syarikat yang berasaskan personal relationship, kehilangan kepercayaan yang tidak dapat dipulihkan boleh dalam keadaan sesuai mewajarkan penggulungan. [18] Namun begitu, prinsip ini tidak boleh diguna secara mekanikal. Mahkamah mesti melihat struktur syarikat, sejarah penubuhan, niat asal pihak-pihak, sifat pertikaian, kewujudan deadlock sebenar, dan sama ada syarikat masih boleh berfungsi sebagai going concern. Pelantikan Pelikuidasi Sementara secara Ex Parte [19] Kuasa melantik Pelikuidasi Sementara sebelum perintah penggulungan dibuat memang wujud. Namun prinsip mantap ialah bahawa remedi itu luar biasa, khususnya apabila dipohon secara ex parte. Pemohon mesti menunjukkan sekurang-kurangnya:- a) kes prima facie yang kuat bahawa petisyen penggulungan mempunyai merit yang serius; b) risiko nyata bahawa aset syarikat akan dilupuskan, dipindahkan, atau direkodkan secara memudaratkan jika notis diberi; c) keperluan segera dan sebenar; dan d) full and frank disclosure tentang semua fakta material, termasuk fakta yang mungkin tidak menyebabkan pemohon. [20] Kegagalan mematuhi kewajipan pendedahan ini boleh dengan sendirinya menjadi asas kukuh untuk mengetepikan perintah ex parte. Tentang asas penubuhan Syarikat [21] Mahkamah meneliti dengan teliti keterangan-keterangan Responden Kedua dan Keempat yang memperincikan sejarah penubuhan dan pengambilalihan Syarikat. Daripada dokumen-dokumen tersebut, termasuk perjanjian jual beli saham dan kronologi pemerolehan saham, Mahkamah mendapati bahawa Syarikat pada asalnya diperoleh sebagai satu usaha komersial untuk mengusahakan ladang sawit, dengan penglibatan juga seorang pihak luar, iaitu Wong Kim Ka, pada peringkat awal. [22] Ini penting. Ia melemahkan dakwaan bahawa Syarikat dari mula adalah sebuah "family company" dalam erti kata klasik yang menzahirkan quasi-partnership tulen berasaskan hanya hubungan kekeluargaan dan saling keyakinan peribadi. [23] Mahkamah menerima bahawa terdapat pertalian kekeluargaan tertentu antara Pempetisyen, Responden Kedua, dan pihak-pihak lain. Tetapi pertalian itu sahaja tidak secara automatik menjadikan Syarikat ini quasi - partnership. Yang lebih dominan di sini ialah hakikat bahawa ia ialah satu venture komersial berstruktur, dengan pemilikan saham yang jelas, operasi ladang yang nyata, pembiayaan bank, dan mekanisme korporat yang berjalan selama bertahun-tahun. [24] Justeru, Mahkamah tidak menerima premis utama Pempetisyen bahawa Syarikat ini, dari sifat asasnya, patut dilayan seolah-olah satu perkongsian peribadi yang bila pecah kepercayaan sahaja maka penggulungan hampir pasti menyusul. Tentang Incident No. 1: Dakwaan penyelewengan hasil jualan [25] Pempetisyen mendakwa bahawa hasil jualan tandan buah segar daripada Jambyield Sdn Bhd bernilai lebih kurang RM1.08 juta telah tidak dimasukkan sepenuhnya ke akaun bank Syarikat, sebaliknya dibayar kepada Kemaju Ceria Trading. [26] Pada zahirnya, ini tuduhan yang serius. Jika dibuktikan dengan kukuh, ia boleh menyokong element lack of probity. [27] Namun demikian, setelah Mahkamah meneliti keseluruhan keterangan, termasuk hujahan balas Responden Kedua dan Keempat, Mahkamah mendapati bahawa isu ini tidak dibentangkan secara lengkap oleh Pempetisyen semasa memohon perintah ex parte dan juga tidak dipersembahkan sebagai satu gambaran yang seimbang dalam petisyen. [28] Dokumen yang dirujuk sendiri oleh Pempetisyen menunjukkan bahawa transaksi-transaksi itu telah direkodkan dalam rekod perakaunan Syarikat sebagai cash payments / cash in hand, dan angka-angka tersebut telah mengalir ke dalam penyata kewangan teraudit bagi tahun-tahun berkaitan. [29] Apa yang sangat material ialah: a) penyata kewangan teraudit bagi tahun 2022, 2023, dan 2024 telah ditandatangani / diluluskan dengan penglibatan Pempetisyen; b) isu ini sekurang-kurangnya telah timbul lebih awal melalui surat tuntutan bertarikh 18.6.2025; c) jawapan bertarikh 8.8.2025 telah diberi oleh pihak Responden Kedua; dan d) selepas itu, tidak ada tindakan serta-merta oleh Pempetisyen untuk mencabar atau membatalkan penyata kewangan tersebut, malah beberapa pembayaran kepada syarikatsyarikat yang kini dipertikaikan terus diluluskan juga. [30] Mahkamah tidak pada peringkat ini membuat dapatan muktamad bahawa semua transaksi itu bersih dan sempurna. Tetapi Mahkamah juga tidak boleh, atas rekod sedia ada, menerima secara bulat dakwaan bahawa ia jelas-jelas penyelewengan yang tidak diketahui langsung oleh Pempetisyen. [31] Sebaliknya, apa yang lebih munasabah atas imbangan kebarangkalian ialah bahawa isu ini adalah isu transaksi yang dipertikaikan dan telah lama diketahui, dan bukannya penemuan baru yang menjustifikasikan tindakan ex parte tergesa-gesa. [32] Fakta bahawa perkara ini telah muncul sekurang-kurangnya sejak Jun 2025 tetapi hanya dijadikan asas kritikal bagi langkah drastik pada November 2025 menunjukkan bahawa unsur "urgency" yang dipersembahkan oleh Pempetisyen adalah diragui. [33] Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa Incident No.1, setakat rekod ini, tidak dibuktikan dengan tahap ketegasan yang diperlukan untuk menyokong sama ada: a) perintah ex parte melantik Pelikuidasi Sementara; atau b) perintah penggulungan atas dasar pengarah bertindak untuk kepentingan sendiri dengan jelas di bawah Seksyen 465(1)(f) Akta Syarikat 2016. Tentang Incident No. 2: Transaksi dengan syarikat-syarikat berkaitan Responden Kedua [34] Pempetisyen seterusnya mempertikaikan pembayaran berjumlah kira-kira RM541,378.14 kepada beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Responden Kedua dan/atau Keempat, termasuk Sing Kuan Heng Auto Supply Sdn Bhd, Wingson Tyres Trading Sdn Bhd, Boto Tyres Sdn Bhd, Labis Tyres Sdn Bhd, Cher International Sdn Bhd dan Segamat Tyres Sdn Bhd. [35] Mahkamah menerima bahawa transaksi pihak berkaitan sentiasa memerlukan tahap penelitian yang lebih tinggi. Jika transaksi sedemikian tidak telus, tidak disokong, atau bersifat self-dealing, maka ia boleh memberi implikasi serius. [36] Tetapi sekali lagi, Mahkamah harus menilai bukan sekadar syak wasangka, tetapi keseluruhan rekod. Rekod menunjukkan bahawa: a) transaksi-transaksi ini juga telah direkodkan dalam akaun Syarikat; b) kewujudan related party transactions telah dizahirkan dalam penyata kewangan teraudit; c) penyata itu diluluskan dengan penglibatan Pempetisyen; d) pada sekurang-kurangnya sehingga Ogos - Oktober 2025, Pempetisyen masih meluluskan pembayaran kepada beberapa syarikat yang kini dikatakan mencurigakan; dan e) Responden Kedua menghuraikan bahawa sebahagian daripada transaksi ini berkaitan penyelenggaraan kenderaan, tayar, alat ganti, dan pengangkutan yang digunakan dalam operasi ladang, termasuk kenderaan-kenderaan milik syarikatsyarikat beliau yang didakwa dipinjamkan / digunakan untuk operasi Syarikat. [37] Mahkamah ini ingin menegaskan sekali lagi bahawa dapatan ini tidak bermaksud semua transaksi tersebut adalah bebas daripada sebarang kecacatan. Tetapi Mahkamah juga tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa Pempetisyen telah lama mempunyai akses kepada butiran yang mencukupi untuk membangkitkan bantahan formal lebih awal, tetapi tidak berbuat demikian dengan kadar segera yang konsisten dengan dakwaan bahaya segera. [38] Lebih penting, jika benar transaksi itu amat meragukan dan sama sekali tidak diketahui, amat sukar untuk dijelaskan mengapa Pempetisyen terus meluluskan beberapa pembayaran lanjutan selepas menjalankan carian SSM dan selepas surat tuntutan dikeluarkan. [39] Ini menjadikan dakwaan beliau sekarang kelihatan,sekurangkurangnya sebahagiannya,sebagai afterthought atau sekurangkurangnya pembingkaian semula isu lama untuk tujuan litigasi semasa. [40] Maka Mahkamah mendapati Incident No. 2 juga tidak mencukupi, atas imbangan kebarangkalian, untuk membuktikan bahawa pengarah-pengarah telah jelas bertindak hanya demi kepentingan mereka sendiri sehingga penggulungan atau pelantikan interim liquidator menjadi remedi yang wajar sekarang. Tentang Incident No. 3: Pertukaran mandat bank dan dakwaan pengecualian daripada pengurusan [41] Pempetisyen berhujah bahawa Responden Kedua hingga Keempat telah cuba memusatkan kuasa dengan menambah pengarah-pengarah yang berpihak kepada mereka dan menukar mandat akaun bank untuk menjejaskan kedudukan Pempetisyen. [42] Dari sudut fakta, Mahkamah mendapati bahawa pertukaran mandat bank itu timbul dalam konteks yang lebih luas; iaitu dakwaan bahawa Pempetisyen dan CCM enggan atau melengah-lengahkan kelulusan pembayaran-pembayaran penting untuk operasi syarikat. [43] Jika resolusi dibuat untuk menambah seorang lagi penandatangan agar operasi syarikat dapat diteruskan, itu pada prinsipnya adalah satu keputusan pengurusan korporat. Mahkamah tidak patut dengan mudah mencampuri setiap keputusan dalaman sebegini, kecuali jika dibuktikan ia adalah satu penyalahgunaan kuasa yang jelas, tidak bona fide, dan menindas secara komersial. [44] Dalam kes ini, Pempetisyen masih kekal sebagai salah seorang penandatangan dan masih kekal sebagai pengarah. Tidak ada bukti kukuh bahawa beliau telah secara sah "disingkirkan" daripada pengurusan melalui mekanisme korporat yang muktamad. [45] Sebaliknya, bukti yang lebih kuat menunjukkan bahawa Pempetisyen sendiri meninggalkan kumpulan WhatsApp pengarah dan pemegang saham, dan dengan itu sekurang-kurangnya sebahagiannya memilih untuk memisahkan dirinya daripada komunikasi operasi harian. [46] Mahkamah menerima bahawa meninggalkan kumpulan WhatsApp tidak secara sendirinya melucutkan hak korporat seseorang. Tetapi ia tetap satu faktor relevan untuk menilai sama ada pengecualian itu dipaksa ke atas beliau, atau sama ada beliau sendiri turut menyumbang kepada kemelut pengurusan yang berlaku. [47] Maka bagi Incident No. 3, Mahkamah mendapati bahawa apa yang berlaku lebih tepat digambarkan sebagai perebutan kawalan pengurusan dan konflik dalaman korporat, bukannya satu kes terang di mana pengarah majoriti telah secara tidak sah menindas pengarah/pemegang saham minoriti sehingga remedi penggulungan menjadi satu-satunya jalan. Tentang Incident No. 4: Lack of confidence dan pecah kepercayaan [48] Mahkamah menerima bahawa hubungan antara Pempetisyen di satu pihak, dan Responden Kedua hingga Keempat di pihak yang lain, telah rosak dengan serius. [49] Terdapat jelas ketidakpercayaan, kecurigaan, komunikasi yang buruk, dan perselisihan mendalam berhubung hala tuju Syarikat, pembayaran, transaksi, pengurusan bank, dan cadangan ke atas ladang. [50] Namun demikian, undang-undang mantap bahawa bukan setiap kehilangan keyakinan akan membawa kepada penggulungan. Lack of confidence yang relevan mestilah berakar pada lack of probity in the conduct of the company's affairs, dan bukan semata-mata rasa tidak puas hati kerana di-outvote, atau pertelingkahan komersial, atau perbalahan keluarga. [51] Dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa banyak unsur yang didakwa sebagai asas kehilangan keyakinan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada konflik yang diketahui dan telah berkembang selama berbulan-bulan, malah beberapa daripadanya disertai dengan kelulusan atau acquiescence Pempetisyen sendiri sebelum ini. [52] Syarikat pula terbukti masih sebuah entiti yang beroperasi, mempunyai pekerja, mempunyai aliran tunai yang ketara, dan mencatat keuntungan selepas cukai yang material bagi tahun-tahun tertentu, termasuk 2024. [53] Oleh itu, Mahkamah tidak berpuas hati bahawa kehilangan keyakinan yang didakwa di sini telah sampai ke tahap yang menjadikan penggulungan satu-satunya penyelesaian yang just and equitable. Dapatan tentang Full and Frank Disclosure [54] Ini isu yang sangat penting bagi nasib Perintah Ex Parte. Mahkamah mendapati bahawa semasa memohon perintah ex parte, Pempetisyen tidak mendedahkan dengan secukupnya beberapa fakta material berikut: a) latar sebenar penubuhan dan pemerolehan Syarikat yang melemahkan naratif "family company"; b) hakikat bahawa isu-isu tentang transaksi telah dibangkitkan lebih awal melalui surat tuntutan bertarikh 18.6.2025; c) adanya jawapan bertarikh 8.8.2025 kepada surat tuntutan itu; d) hakikat bahawa beberapa transaksi dan related party transactions telah pun tertera dalam penyata kewangan teraudit yang diluluskan; dan e) hakikat bahawa selepas tarikh-tarikh kritikal itu, masih terdapat kelulusan pembayaran tertentu oleh Pempetisyen. [55] Mahkamah berpendapat bahawa fakta-fakta tersebut bukan sampingan. la adalah material kerana ia secara langsung menjejaskan: a) penilaian tentang urgensi; b) penilaian sama ada risiko itu benar-benar serta-merta; c) penilaian sama ada isu yang dibangkitkan itu baharu atau lama; dan d) penilaian tentang kredibiliti premis bahawa Pempetisyen baru tersedar atau baru menghadapi ancaman yang memerlukan campur tangan ex parte segera. [56] Pada pandangan Mahkamah, kegagalan ini cukup serius untuk menjejaskan asas Perintah Ex Parte. Dapatan tentang Urgency dan Keperluan Pelikuidasi Sementara [57] Mahkamah tidak berpuas hati bahawa tahap urgensi yang diperlukan bagi pelantikan Pelikuidasi Sementara secara ex parte telah dibuktikan. [58] Isu-isu utama yang dijadikan sandaran oleh Pempetisyen bukan isu yang timbul semalam. Banyak daripadanya telah wujud, diketahui, atau sekurang-kurangnya boleh diketahui berbulan - bulan sebelum permohonan ex parte difailkan. [59] Tiada bukti konkrit yang memuaskan Mahkamah bahawa jika notis diberikan dan pendengaran inter partes dijalankan terlebih dahulu, aset-aset Syarikat akan secara nyata dilesapkan atau bukti-bukti akan secara segera dimusnahkan. [60] Apa yang ada pada pertimbangan Mahkamah ini adalah lebih banyak syak wasangka, kecurigaan, dan pertikaian serius antara pihak-pihak. Itu mungkin mencukupi untuk mewajarkan penelitian lanjut dalam perbicaraan atau remedi korporat lain, tetapi tidak mencukupi untuk mengekalkan satu perintah ex parte yang begitu drastik. Imbangan Kemudahan [61] Mahkamah juga mempertimbangkan imbangan kemudahan. [62] Kesan pelantikan Pelikuidasi Sementara ke atas sebuah syarikat masih kukuh beroperasi adalah sangat besar. la menjejaskan reputasi komersial, hubungan bank, keupayaan operasi, hubungan dengan pekerja, dan kontrak berterusan. [63] Dalam kes ini, Syarikat masih beroperasi, mempunyai pekerja dan kewajipan berterusan, serta tidak dibuktikan sebagai insolven. [64] Mahkamah mendapati bahawa imbangan kemudahan memihak kepada penepian Perintah Ex Parte, dan membiarkan persoalan substantif dalam petisyen diputuskan atas merit melalui proses adversarial biasa. Dapatan tentang Petisyen Penggulungan [65] Beralih kepada petisyen itu sendiri, Mahkamah memutuskan bahawa Pempetisyen gagal membuktikan, atas imbangan kebarangkalian, bahawa syarat-syarat Seksyen 465(1)(f) Akta Syarikat 2016 dipenuhi. [66] Dakwaan-dakwaan tentang self - interest, unfairness dan unjust conduct tidak dipersembahkan dengan bukti yang cukup kukuh dan bersih untuk membawa Mahkamah kepada dapatan sedemikian. Banyak isu yang dibangkitkan adalah isu lama, sebahagiannya diketahui, direkodkan, dan bahkan diluluskan atau tidak dicabar dengan segera. [67] Mahkamah juga memutuskan bahawa Pempetisyen gagal membuktikan bahawa adalah just and equitable untuk Syarikat digulungkan di bawah Seksyen 465(1)(h) Akta Syarikat 2016. [68] Tiada deadlock penuh dibuktikan. Struktur korporat menunjukkan masih ada majoriti lembaga yang boleh membuat keputusan. Syarikat masih sebuah going concern. Pertikaian yang wujud adalah serius, tetapi ia tidak mencapai tahap bahawa syarikat tidak lagi boleh wujud secara komersial. [69] Tambahan pula, Mahkamah mendapati bahawa terdapat unsur yang ketara bahawa pemfailan petisyen ini sekurang-kurangnya sebahagiannya dipacu oleh objektif taktikal dalam pertikaian kawalan korporat dan pertikaian dalaman yang lebih luas, dan bukan semata mata demi kepentingan ahli-ahli syarikat secara keseluruhan. [70] Ini tidak bermakna Mahkamah menutup mata terhadap semua aduan Pempetisyen. Jika ada transaksi yang benar-benar tidak teratur, undang-undang menyediakan saluran lain yang sesuai. Tetapi penggulungan ialah remedi terakhir, bukan senjata rundingan atau tekanan komersial. Kesimpulan [71] Berdasarkan keseluruhan keterangan, Mahkamah membuat dapatan berikut: a) Pempetisyen gagal membuat full and frank disclosure yang dikehendaki bagi permohonan ex parte; b) Pempetisyen gagal menunjukkan tahap urgensi yang mencukupi untuk pelantikan Pelikuidasi Sementara secara ex parte; c) imbangan kemudahan memihak kepada penepian Perintah Ex Parte; d) Pempetisyen gagal membuktikan kes di bawah Seksyen 465(1)(f) Akta Syarikat 2016; dan e) Pempetisyen gagal membuktikan bahawa adalah just and equitable untuk Syarikat digulungkan di bawah Seksyen 465(1)(h) Akta Syarikat 2016. Perintah Mahkamah [72] Dengan itu, Mahkamah memerintahkan :a) Saman Dalam Kamar Responden Kedua dan Keempat (Kandungan 15) bertarikh 26.11.2025 adalah dibenarkan; b) Perintah Ex Parte bertarikh 13.11.2025 yang melantik Pelikuidasi Sementara ke atas Responden Pertama adalah dengan ini diketepikan; c) Petisyen Penggulungan Syarikat (Kandungan 1) bertarikh 7.11.2025 adalah ditolak; dan d) Kos bagi Kandungan 15 dan Petisyen Penggulungan (Kandungan 1) ini adalah kepada Responden Kedua dan Keempat hendaklah dibayar oleh Pempetisyen RM10,000.00 secara global tertakluk kepada fi alukator. BERTARIKH PADA 9 APRIL 2026 YA DATUK ZAMRI BIN BAKAR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI (1) MUAR Peguam bagi Pihak Pempetisyen TETUAN NG, GAN & PARTNERS Peguam bagi Pihak Responden-Responden Pertama, Kedua dan Keempat TETUAN FIROZ JULIAN Peguam bagi Pihak Responden Ketiga TETUAN LEE & POH PARTNERSHIP 30
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.