Kesalahan menakutkan secara jenayah. Barang siapa mengugut hendak mendatangkan kepada seseorang apa-apa bencana kepada tubuh, nama baik atau harta orang itu, atau kepada tubuh atau nama baik seseorang yang orang itu ada kepentingan, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran orang lain, atau hendak menyebabkan orang itu melakukan apa-apa perbuatan yang dia tidak terpaksa di sisi undang-undang melakukan, atau meninggalkan daripada mekakukan apa-apa perbuatan yang dia berkah di sisi undang-undang melakukan, sebagai jalan bagi mengelakkan perlaksanaan ugutan itu, adalah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah. 22) Berdasarkan peruntukan tersebut, elemen-elemen dalam pertuduhan yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan terhadap Tertuduh adalah seperti berikut: i) Tertuduh telah mengugut atau menakutkan SP1 pada 06/02/2022 jam 5.30 petang bertempat di Kampung Alor Bemban Panggas Chuping, Padang Besar, Perlis; ii) Ugutan adalah untuk mendatangkan kematian atau cedera parah kepada tubuh SP1; dan iii) Tertuduh berbuat demikian dengan niat menyebabkan kegentaran kepada SP1. Intipati Pertama: Tertuduh telah mengugut atau menakutkan SP1 23) SP1 di dalam keterangan bersumpahnya menyatakan bahawa pada tarikh kejadian SP1 sedang bersembang di depan rumah. Ketika SP1 sedang duduk di atas beranda di hadapan rumah datang Tertuduh dengan membawa sebilah parang dan melibas satu kali ke arah SP1. Jarak di antara Tertuduh dan SP1 adalah lebih kurang sedepa. Akibat dari perbuatan Tertuduh, SP1 merasa amat takut dan SP1 berlari masuk ke dalam rumah kerana bimbang tercedera. 24) Pada ketika itu anak tirinya SP3 yang berada di dalam rumah turut berlari mengikut SP1 masuk ke dalam rumah. Selepas itu SP3 memanggil bapanya, SP5. Menurut keterangan SP3 pula semasa mendengar bunyi bising di luar dia keluar ke luar rumah untuk melihat dan nampak Tertuduh menghayunkan parang ke arah mak tirinya, SP1. Selepas itu SP1 masuk ke dalam rumah manakala SP3 masih berdiri di situ. Selepas SP1 masuk ke dalam rumah SP5 telah keluar untuk bercakap dengan Tertuduh. 25) Berdasarkan keterangan SP5 pula menyatakan bahawa dia tidak tahu kerana tidak nampak kejadian. Dia hanya nampak Tertuduh membawa parang. Laporan polis dibuat atas sebab Tertuduh membawa parang dan hasil penceritaan daripada SP1 & SP3 berkenaan kejadian. Gambar parang P3A-D dan juga sebilah parang P2 dapat dicamkan oleh SP5. 26) Berdasarkan keterangan saksi-saksi jelas menunjukkan bahawa pada hari kejadian Tertuduh telah membawa parang dan telah pergi ke rumah SP5. Walaubagaimanapun fakta berkenaan dengan Tertuduh ada melibas parang tersebut kepada SP1 tidak dapat dibuktikan. Ini kerana SP3 yang menyatakan dia turut nampak kejadian tersebut didapati sedang berada di dalam rumah dan bermain telefon. Keterangan ini telah disahkan oleh siasatan pegawai penyiasat, SP6. Manakala SP5 pula tidak nampak kejadian dan diakui olehnya sendiri. Siasatan juga menunjukkan bahawa SP5 sememangnya tidak nampak kejadian dan berada di dalam rumah. SP5 hanya keluar apabila dimaklumkan oleh anaknya SP3 tentang kejadian. Semasa dia keluar dari rumah dia hanya melihat Tertuduh sedang memegang parang. 27) Mahkamah juga mempertimbangkan keterangan saksi-saksi bagaiman kejadian berlaku. SP1 menyatakan bersama-samanya ada ibu dan bapa mertua yang telah uzur duduk di kerusi di hadapan rumah. Pada masa kejadian ibu dan bapa mertua tidak berganjak dari tempat duduk mereka kerana terlalu uzur. Walaubagaimanapun timbul persoalan dari mahkamah di mana keadaan yang getir sebegitu tiada reaksi apa-apa yang ditunjukkan oleh kedua-dua ibu dan bapa mertua SP1. Ia disahkan oleh SP1, SP3 dan SP5 serta SP6 yang menyiasat kes ini. Maka, timbul keraguan berkenaan kejadian yang sebenar yang berlaku di mana dibangkitkan samada Tertuduh hanya memegang parang sahaja di hadapan rumah sepertimana yang dilihat SP5 atau Tertuduh melibas parang tersebut ke arah SP1 sepertimana yang dinyatakan oleh SP1 & SP3. 28) Keterangan SP3 juga tidak dapat menyokong keterangan SP1 di mana berdasarkan keterangan dan siasatan didapati SP3 berada di dalam rumah semasa kejadian berlaku. Persoalan yang timbul adalah samada SP3 benar-benar menyaksikan kejadian yang berlaku dan keterangannya dapat mengesahkan kejadian. Tambahan pula, laporan yang dibuat bukan merupakan laporan SP1 namun laporan SP5 yang mengakui bahawa tidak nampak kejadian dan kandungan laporan yang dibuat adalah hasil penceritaan SP1. 29) Di samping itu juga adalah penting untuk pihak pendakwaan membuktikan bahawa Tertuduh telah membuat ugutan atau menakutkan SP1 di mana di dalam kes ini Tertuduh dituduh telah melakukan ugutan jenayah dengan melibaskan parang ke arah SP1. Parang P2 adalah barang kes yang utama yang perlu dibuktikan terlebih dahulu kewujudannya. Sepanjang keterangan yang diberikan oleh SP1 iaitu mangsa kejadian telah gagal untuk mengecam P2 sebagai parang yang digunakan Tertuduh. SP1 juga turut gagal memperincikan jenis dan bentuk parang yang digunakan. Semasa SP1 dirujuk dengan gambar barang kes, P3 A-D, keadaan yang sama juga berlaku di mana SP1 gagal untuk mengecam gambar barang kes. P2 dan P3A-D merupakan barang kes yang utama di mana elemen ugutan adalah berpunca daripada sebilah parang yang dikatakan dilibas kepada SP1. Tanpa pengecaman terhadap ‘subject matter’ pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa wujudnya ugutan jenayah terhadap SP1. 30) Berdasarkan faktor-faktor tersebut mahkamah berpendapat pihak pendakwaan tidak berjaya untuk membuktikan elemen yang pertama. Ia telah meranapkan kes pihak pendakwaan. Intipati Kedua: Ugutan adalah untuk mendatangkan kematian atau cedera parah kepada tubuh SP1 Intipati Ketiga: Tertuduh berbuat demikian dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada SP1. 31) Bagi elemen kedua dan ketiga, mahkamah ini akan membincangkan secara serentak. Elemen kedua sama ada ugutan tersebut adalah ugutan yang mendatangkan kematian atau cedera parah. Dalam kes di hadapan mahkamah ini, SP1 menyatakan bahawa Tertuduh telah melibaskan parang terhadapnya. Namun sepertimana yang telah dipertimbangkan pada peringkat elemen pertama, mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen pertama, maka elemen kedua juga secara tidak langsung turut gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan kerana tiada unsur-unsur ugutan jenayah yang dibuktikan. Adalah mustahil untuk ugutan tersebut adalah mendatangkan kematian atau cedera parah di mana unsur ugutan tidak dapat dibuktikan. 32) Selanjutnya, berkenaan elemen ketiga sama ada perbuatan Tertuduh telah menimbulkan kegusaran atau kebimbangan pada SP1. Sepertimana elemen kedua, elemen ketiga juga tidak dapat dibuktikan ekoran dari tiada ugutan jenayah yang dibuat terhadap SP1 oleh Tertuduh. Oleh itu, tidak wujud soal SP1 merasa gusar atau bimbang atas ugutan yang dibuat. F. ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN Keterangan Saksi-saksi Material 33) SP3 adalah anak tiri SP1 yang dikatakan turut berada pada masa kejadian. Namun pada masa kejadian berlaku SP3 berada di dalam rumah. Berdasarkan keterangan SP3 menyatakan bahawa telah nampak kejadian Tertuduh melibas parang terhadap SP1. Menurut keterangan SP6 pula menyatakan hasil siasatan mendapati SP3 sedang bermain telefon di dalam rumah dan terdengar bunyi bising lalu keluar untuk melihat. 34) Manakala menurut SP5 iaitu pengadu tidak nampak kejadian yang berlaku. SP5 hanya keluar setelah dipanggil oleh anaknya memaklumkan tentang kejadian. Tertuduh sedang berada di pondok di luar hadapan rumah pada ketika SP5 keluar dari rumah. 35) Mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi di mana fakta kes yang dikemukakan di mahkamah mempunyai beberapa versi. Tertuduh telah pegi ke rumah SP5 dengan membawa parang tetapi kejadian tertuduh melibas parang tidak disokong dengan mana-mana keterangan lain melainkan yang dikemukakan oleh SP1. SP5 bukan merupakan saksi kejadian memandangkan tidak nampak kejadian yang berlaku. SP3 pula diragui keterangannya kerana pada masa kejadian sedang bermain telefon di dalam rumah. 36) Mahkamah juga menerimapakai hujahan dan versi pihak pembelaan di mana SP3 tidak Nampak kejadian kerana sedang bermain telefon. Versi tersebut juga tidak disangkal oleh pegawai penyiasat SP6. 37) Percanggahan dalam keterangan saksi-saksi sememangnya akan wujud namun persoalannya adalah samada percanggahan tersebut telah menjejaskan kredibiliti seseorang saksi. Prinsip undang-undang ini adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Public Prosecutor v. Datuk Haji Harun bin Haji Idris [1977] 1 MLJ 15, di mana YA Raja Azlan Shah telah menyatakan seperti berikut: "... In my opinion discrepancies there will always be, because in the circumstances in which the events happened, every witness does not remember the same thing and he does not remember accurately every single thing that happened. It may be open to criticism, or it might be better if they took down a notebookand wrote down every single thing that happened and every single thing that was said. But they did not know that they are going to be witnesses at this trial. I shall be almost inclined to think that if there are no discrepancies, it might be suggested that they have concocted their accounts of what had happened or what had been said because their versions are too consistent. The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility. There is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirety or not at all. A court is fully competent, for good and cogent reasons, to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other. It is, therefore, necessary to scrutinize each evidence very carefully as this involves the question of weight to be given to certain evidence in particular circumstances." (penekanan diberikan) 38) Ekoran dari itu, mahkamah berpendapat terdapat lebih dari satu inferen yang mana ‘benefit of doubt’ (dengan izin) harus diberikan kepada Tertuduh. Tiada keterangan atau bukti yang jitu dalam membuktikan bahawa Tertuduh telah melibas parangnya ke arah SP1 sehingga menyebabkan SP1 ketakutan atau gusar. 39) Keterangan saksi-saksi ini menyebabkan percanggahan dan kelompongan bagi kes pihak pendakwaan. Oleh itu, mahkamah berpendapat percanggahan dan kelompongan tersebut tidak dapat mengukuhkan isu ugutan jenayah yang dibuat terhadap SP1 oleh Tertuduh. Kegagalan SP1 mengecam barang kes sebilah parang yang digunakan pada masa kejadian 40) SP1 di dalam keterangannya tidak dapat ingat dan tidak mengecamkan barang kes iaitu sebilah parang yang dikatakan digunakan pada hari kejadian. Dalam membuktikan kesalahan di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan di mana ugutan jenayah yang dilakukan melibatkan barang kes iaitu sebilah parang perlu dicamkan oleh mangsa. Kejadian yang menakutkan tersebut semestinya dapat diingati perinciannya oleh mangsa. Namun di dalam kes ini SP1 tidak dapat mengecam barang kes. Malah SP1 juga gagal mengecamkan gambar barang kes termasuk memberikan perincian sebilah parang yang dikatakan dibilas ke arahnya. 41) Mahkamah berpendapat P2 merupakan ‘subject matter’ dan elemen penting serta material dalam membuktikan bahawa ugutan jenayah dengan melibas parang adalah wujud. Tanpa pengecaman barang kes pihak pendakwaan tidak mengukuhkan versi SP1. Kegagalan mangsa SP1 membuat pengecaman terhadap barang kes telah melemahkan kes pihak pendakwaan. Siasatan Pegawai Penyiasat Tidak Lengkap 42) SP6 merupakan Pegawai Penyiasat di dalam kes ini iaitu bagi kesalahan di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan dan SP6 yang bertanggungjawab menjalankan siasatan berkenaan kesalahan yang dipertuduhkan. 43) Perihal pentingnya pegawai penyiasat menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci dan mengumpul kesemua keterangan serta mengelakkan kelompangan dalam kes pendakwaan telah ditekankan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Bunga Jalong v. PP [2015] 5 CLJ 893 yang menyatakan (dengan izin); "The duty of the investigators is to investigate the facts and to collect all the evidence. The police as investigators are public officers. Their concern must be to investigate the facts without fear or favour, so that all wrongdoers may be brought to justice. The completed investigation, compiled in the investigation papers is referred to the Public Prosecutor if an offence is disclosed. A completed investigation is one that includes investigation of the defences that emerged from the investigation. This includes such gaps or weaknesses emerging from the statements of witnesses and of defences from the statement of the accused person. Such investigations may eliminate the gaps or weaknesses, and provide substance to be tested against defences when raised. This is important as it ensures that if charges are to be preferred, there are no gaps or weak links in the prosecution case in the way of a successful prosecution." 44) Merujuk juga kepada kes Deepanraj a/l Subramaniam lwn Timbalan Pendakwaraya [2016] 1 MLJ 413, YA Balia Yusof, Hakim Mahkamah Rayuan menyatakan seperti berikut (dengan izin): “The failure of the police to carry out proper investigation has deprived not only the prosecution but also the defence of the best and must important evidence to resolve the case. Learned counsel further submitted the failure to do so means, there was withholding or suppression of evidence favourable to the defence and thus the s.114(g) presumption ought to be invoked. We were also reminded of the passage from the judgment of the Federal Court in Pang Chee Meng v. Public Prosecutor [1992] 1 MLJ 137 which states: “The accused cannot be penalized for lack of ingenuity in police investigation depriving him of the time honoured benefir of doubt.” 45) Mahkamah juga merujuk kepada siasatan pegawai penyiasat dan berdasarkan keterangan SP6 terdapat beberapa siasatan lanjut yang gagal dibuat oleh pegawai penyiasat untuk mengaitkan Tertuduh dengan kejadian ugutan tersebut. Begitu juga dengan keterangan-keterangan saksi berkenaan kejadian sebenar kes termasuk laporan yang dibuat SP5 gagal dirungkai di dalam siasatan SP6. 46) Tambahan pula, siasatan lanjut berkenaan ugutan yang dibuat oleh Tertuduh tidak menyeluruh kerana siasatan dibuat berpandukan laporan polis yang dibuat oleh SP5, walhal aduan dibuat bukan dari mangsa kejadian iaitu SP1. SP5 pula tidak tahu menahu tentang kejadian sebenar dan diakui oleh semua saksi-saksi termasuk SP6. Oleh itu, siasatan yang dilakukan atas aduan dari bukan mangsa dan bukan juga saksi kejadian telah menggoyahkan hasil siasatan SP6. 47) SP6 sebagai pegawai penyiasat seharusnya menjalankan siasatan penuh dan mengemukakan keterangan yang lebih terperinci tanpa sebarang keraguan yang timbul berkenaan kaitan Tertuduh dengan barang kes dan kejadian sebenar juga kaitan dengan lain-lain individu yang gagal dibuat siasatan lanjut. 48) Keterangan SP6 sendiri menunjukkan bahawa siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat tidak menyeluruh dan tidak lengkap. Ianya telah melemahkan kes pihak pendakwaan dan (dengan izin) ‘benefit of doubt’ perlu diberikan kepada Tertuduh. Tiada laporan polis pengaduan yang dibuat oleh mangsa sendiri (SP1) 49) P8 merupakan laporan yang dibuat oleh SP5 yang menyatakan bahawa pada tarikh kejadian Tertuduh telah melibas parang ke arah isterinya SP1 dan akibat dari kejadian tersebut SP5 merasa takut dan bimbang lalu membuat laporan polis. 50) Persoalan yang timbul sejak dari awal kes pihak pendakwaan adalah mengapa laporan aduan dibuat oleh suami mangsa dan bukan mangsa. SP5 pula bukan merupakan saksi kejadian dan tidak nampak apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian. 51) Pihak pembelaan telah membangkitkan isu bahawa laporan yang dibuat adalah (dengan izin) ‘hearsay evidence’ kerana seluruh kandungan laporan polis adalah hasil penceritaan SP1. SP1 pula tidak faham dan tidak fasih Bahasa Melayu. Ini menunjukkan kandungan laporan yang dibuat SP5 tidak dapat disahkan dengan benar kandungannya. Mahkamah berpendapat wujud keraguan di mana SP5 yang tidak nampak kejadian membuat laporan polis manakala SP1 pula tidak fasih dan tidak faham keseluruhan kandungan laporan P8. 52) Di samping itu, siasatan dibuat atas laporan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Ekoran dari faktor-faktor tersebut, mahkamah berpendapat ianya telah meranapkan kes pihak pendakwaan. G. DAPATAN MAHKAMAH 53) Atas alasan-alasan tersebut dan setelah membuat pertimbangan secara maksima keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati bahawa kes prima facie tidak dapat dibuktikan sekiranya terdapat lompang dalam kes pihak pendakwaan. 54) Begitu juga sekiranya kes pihak pendakwaan membenarkan lebih daripada satu inferen selain menjurus kepada kebersalahan tertuduh maka prima facie gagal dibuktikan. Kes pendakwaan juga gagal mencapai tahap pembuktian kes prima facie dengan terdapat keraguan dalam kes pendakwaan itu sendiri. 55) Berlandaskan seksyen 173(f)(ii) KPJ yang mana diperuntukkan seperti berikut: “Jika Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwa tidak membuat suatu kes prima facie terhadap tertuduh, Mahkamah hendaklah merekodkan suatu perintah pembebasan.” 56) Oleh itu, berdasarkan pertimbangan tersebut, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh di atas pertuduhan di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama. 57) Dengan ini, Tertuduh, Phanomphon Keawnuprasit, dilepaskan dan dibebaskan daripada Pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. DISEDIAKAN PADA 30 DISEMBER 2024; nurshahida NURSHAHIDA BINTI ABDUL RAHIM MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET KANGAR