Content
1 DALAM PERKARA MAHKAMAH MAJISTRET DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR KES SIVIL NO: A72NCC-2045-11-2016 ANTARA CARLSBERG MARKETING SDN BHD (NO. SYARIKAT : 140534-M) …PLAINTIF
A72NCC-2045-11-2016
Magistrates Court of Malaysia18 Jul 2017
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“adikan kes Plaintif melalui keterangan SP-1 sebagai ‘hearsay evidence’ (Santhimathy A/p T Venugopal v Kumara Sakravarthia/l S Thirupathi & Ors And Tetuan Sabri Nazli Lana & Azizan – Third Party [2010] MLJU 1762) dan dokumen yang dirujuk bagi menyokong keterangan SP-1 menjadi ‘inadmissible’ (Tempil Perkakas Sdn Bbhd v F”
“ama berdasarkan kepada carian SSM bertarikh 21hb Feb 2017. Mahkamah bersetuju dengan hal ini memandangkan carian SSM adalah ‘conclusive evidence’ (Nadin Properties Sdn Bhd v Bostonweb Academy Sdn Bhd [2015] MLJU 672) bagi menunjukkan hubungan antara Defendan Pertama dan Kedua. [ 18 ] Kedua, Mahkamah mendengar keteranga”
“i sebagai Sam. [ 20 ] Pada hemat Mahkamah, carian SSM telah menunjukkan hubungan Defendan Pertama dan Kedua . Ia juga adalah bukti ‘Prima Facie’ (IBIG @ David Rampas & Anor v Terisah Bahan & Ors [2016] MLJU 368) bahawa Defendan Kedua adalah pemilik tunggal kepada Defendan Pertama. Tetapi bukti ini bukanlah ‘the only in”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM PERKARA MAHKAMAH MAJISTRET DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR KES SIVIL NO: A72NCC-2045-11-2016 ANTARA CARLSBERG MARKETING SDN BHD (NO. SYARIKAT : 140534-M) …PLAINTIF
1
FANTASTIC THAI CUISINE
2
TAN KIM FONG (NO. K/P BARU: 761224-06-5230) …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN 2 FAKTA KES [ 1 ] Plaintif merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan pemasaran dan pengedaran minuman (arak dan bukan arak) dan Defendan Pertama merupakan pernigaan hak milik tunggal. Defendan Kedua, seorang individu yang merupakan pemilik tunggal perniagaan Defendan Pertama. [ 2 ] Plaintif dan Defendan Pertama telah memasuki satu perjanjian Saluran Jualan ( Outlet Agreement) (“perjanjian” tersebut) bertarikh 1hb Oktober 2013 (ID 1) untuk Defendan Pertama membeli produk bir Plaintif dan menjualnya di tempat perniagaan Defendan Pertama. Manakala, satu Surat Jaminan Dan Tanggung Rugi bertarikh 1hb OKtober 2013 (“Surat Jaminan” tersebut) (ID 2) telah diberikan oleh Defendan Kedua kepada Plaintif untuk menjamin Defendan Pertama. [ 3 ] Selaras dengan perjanjian tersebut, Plaintif telah mendahulukan wang perbelanjaan sebanyak RM 50, 000.00 kepada Defendan Pertama sebagai tawaran perdagangan dan perbelanjaan. 3 [ 4 ] Antara terma perjanjian adalah Defendan Pertama hendaklah memastikan sasaran jualan bulanan dan jumlah sasaran jualan dicapai mengikut Seksyen
Schedule
Jadual 2 Perjanjian tersebut. Walau bagaimanapun, Defendan Pertama telah gagal mencapai Sasaran Jualan yang dikehendaki dalam perjanjian tersebut. [ 5 ] Oleh yang demikian, Plaintif menuntut daripada Defendan-Defendan secara bersesama dan berasingan wang sejumah RM 50, 000.00 bersama faedah ke atasnya pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh beserta kos. [ 6 ] Penghakiman Ingkar Kehadiran telah dimasukkan terhadap Defendan Pertama dan kini perbicaraan dijalankan terhadap Defendan Kedua. Perbicaraan dijalankan dengan 5 orang saksi Plaintif dan 4 orang saksi Defendan. [ 7 ] Di akhir kes, atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah menolak tuntutan Plaintif dengan kos. Plaintif telah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah dan mengemukakan rayun ini. 4 KES PLAINTIF. Satu Perjanjian telah dimasuki antara Plaintif dan Defendan-Defendan untuk Defendan-Defendan membeli produk bir Plaintif seterusnya dijual di premis Defendan Pertama. Sebagai balasan, Plaintif bersetuju untuk memberikan kepada Defendan Pertama tawaran perdagangan, sokongan, promosi dan perbelanjaan. Atas sebab itu, Plaintif memberikan wang sebanyak RM 50, 000.00 sebagai wang pendahuluan dengan syarat Defendan Pertama perlu mencapai sasaran jualan yang dipersetujui di dalam perjanjian tersebut. Barang-barang Plaintif juga telah turut dihantar ke premis Defendan Pertama. Plaintif menghujahkan juga bahawa perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Defendan Pertama dan Surat Jaminan ditandatangani oleh Defendan Kedua. Carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menunjukkan bahawa Defendan Kedua adalah pemilik tunggal Defendan Pertama. Maka, Plaintif menuntut sejumlah wang RM 50, 000.00 daripada Defendan Pertama dan Kedua yang telah menandatangani perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. 5 KES DEFENDAN Defendan menghujahkan bahawa Plaintif telah gagal membawa masuk bukti Perjanjian dan Surat Jaminan yang ditandatangani oleh Defendan Kedua sebagai ekshibit sebaliknya ia kekal sebagai ID sehingga kes Plaintif ditutup. Tambahan pula, tandatangan dalam perjanjian tersebut bukanlah tandatangan Defendan Kedua. Maka, Defendan menghujahkan bahawa tuntutan Plaintif patut ditolak dengan kos. 1. ISU-ISU Sama ada Defendan Kedua ada menandatangani Surat Jaminan dan Tanggung Rugi bertarikh 1hb Oktober 2013. 2. Sama ada produk Plaintif telah dihantar kepada Defendan Pertama sewaktu Defendan Kedua menjadi pemilik tunggal Defendan Pertama. 3. Sama ada Defendan Kedua bertanggungan membayar kepada Plaintif jumlah wang sebanyak RM 50,000.00 di bawah Surat Jaminan dan Tanggung Rugi bertarikh 1hb Oktober 2013. 6 Isu pertama: Sama ada Defendan Kedua ada menandatangani Surat Jaminan dan Tanggung Rugi bertarikh 1hb Oktober 2013. [ 1 ] Plaintif menghujahkan bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran telah direkodkan ke atas Defendan Pertama. Maka, Defendan Kedua sebagai pemilik tunggal perniagaan Defendan Pertama juga adalah bertanggungan bersama dengan Defendan Pertama. [ 2 ] Bukti bahawa Defendan Kedua adalah pemilik tunggal Defendan Pertama ditunjukkan melalui hasil carian SSM bertarikh 21hb Februari 2017 (D5). Berdasarkan rekod carian SSM ini juga menunjukkan bahawa Defendan Kedua adalah individu yang telah mendaftarkan perniagaan Defendan Pertama. [ 3 ] Selaras dengan peruntukan seksyen 6(1) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, memandangkan nama Defendan kedua yang direkodkan di dalam SSM, maka Defendan Kedua selaku penjamin kepada Defendan Pertama adalah bertanggungan membayar kepada Plaintif (Salim Investment Pte Ltd v Sutrasegi Sdn Bhd & Ors [2016] 10 MLJ 496). 7 [ 4 ] Peguamcara Plaintif juga menghujahkan bahawa tarikh Perjanjian dan Surat Jaminan bertarikh 1hb Oktober 2013 adalah Perjanjian yang telah diundur tarikh (‘backdated’) dan Defendan Pertama didaftarkan di SSM pada tarikh 7hb Oktober 2013. Perkara ini telah dijelaskan oleh SP-2 bahawa setiap perjanjian akan bertarikh awal bulan bulan. Namun perkara ini tidak dicabar oleh Peguamcara Defendan dan ia boleh dianggap benar dan diterima oleh Plaintif (Wong Swee Chin v PP [1981] 1 MLJ 212). [ 5 ] Tambahan pula, butir-butir yang dinyatakan di dalam Surat Jaminan tersebut adalah butir-butir nama penuh dan nombor kad pengenalan Defendan Kedua. Ia juga adalah butir-butir yang sama yang turut terdapat di dalam carian SSM. Maka, Peguamcara Plaintif menghujahkan bahawa Defendan Kedua telah memberikan butir-butir peribadinya kepada Plaintif bagi tujuan Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. [ 6 ] Selanjutnya, Peguamcara Plaintif menghujahkan bahawa SP-2 telah menyaksikan Defendan Kedua menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. SP-2 juga telah berjumpa dengan Defendan Kedua sebelum Perjanjian tersebut ditandatangani untuk membincangkan 8 syarat-syarat Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. Kini, Defendan Kedua seharusnya tidak dibenarkan untuk menafikan bahawa Defendan kedua telah menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. [ 7 ] Fakta bahawa tandatangan di dalam surat jaminan bukan tandatangan Defendan Kedua, Plaintif menghujahkan bahawa tandatangan yang berbeza tidak semestinya menunjukkan adanya bukti pemalsuan (McLaren Saksama (M) Sdn Bhd v Hong Leong Bank Bhd [2014] 7 MLJ 104). Tambahan pula, Defendan tidak kemukakan laporan pakar tandatangan bagi membezakan tandatangan Defendan Kedua yang sebenar dengan tandatangan yang terdapat dalam Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. [ 8 ] Kegagalan Defendan Kedua mengemukakan laporan pakar menjadikan kes Defendan fatal (RHB Bank Bhd v Yap Ping Kon & Anor [2007] 2 MLJ 65); Mohamed Sam bin Sailan v SYKT Asal Construction Sdn Bhd [2014] 10 MLJ 239). Plaintif juga bergantung kepada ‘circumstantial evidence’ yang menunjukkan bahawa Defendan Kedua telah menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut (Dato Mokhtar bin Hashim & Anor v Public Prosecutor [1983] 2 MLJ 232). 9 [ 9 ] Maka dengan itu menurut Peguamcara Plaintif, Defendan Kedua masih bertanggungan membayar kepada Plaintif wang sejumlah RM 50, 000.00 tersebut. [ 10 ] Defendan menghujahkan bahawa asas kepada tuntutan Plaintif ini adalah bergantung kepada Surat Jaminan dan Tanggung Rugi bertarikh 1hb Oktober 2013 yang ditandatangani antara Plaintif dan Defendan Kedua. Walau bagaimanapun, Surat jaminan ini telah gagal dibawa masuk sebagai bukti dan kekal sebagai “ID” iaitu “ID6” sehingga tamat perbicaraan. [ 11 ] Maka, Defendan menghujahkan bahawa Mahkamah tidak perlu mengambilkira Surat Jaminan sebagai bukti kerana ianya hanya untuk ‘identification document’ sahaja dan tidak dimasukkan sebagai ekshibit (Joseph Thambirajah v Bank Buruh (M) Bhd (now known as BSN Commercial Bank (M) Bhd) (2008) 2 MLJ 773) dan dokumen yang ditandakan sebagai ID kekal ‘inadmissible’ (Soo Hong & Leong Kew Moi v UMBC (1997) 1 MLJ 690). 10 [ 12 ] Tambahan pula, “ID6” tidak dimatikan setem. Menurut peruntukan seksyen 52(1) Akta Stem 1949, tiada mana-mana dokumen boleh diterima sebagai bukti melainkan ianya telah dimati setem. Dalam kes ini, “ID6” telah ditempatkan di dalam Ikatan Dokumen Bahagian C iaitu kewujudan dan keesahan dokumen dipertikai. Sehingga tamat perbicaraan, “ID6” kekal sebagai “ID” dan tuntutan Plaintif yang bergantung kepada Surat Jaminan ini harus ditolak oleh Mahkamah ini. [ 13 ] Peguamcara Defendan menghujahkan lagi bahawa Defendan Pertama didaftarkan pada 7hb Oktober 2013 sedangkan Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut telah ditandatangani pada 1hb Oktober 2013. Ini menujukkan bahawa Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut telah ditandatangani lebih awal daripada Defendan pertama didaftarkan dan diwujudkan. Menurut Peguamcara Defendan, dokumen ini adalah satu ‘fabricated document’ memandangkan Defendan Pertama belum wujud dan belum didaftarakan perniagaannya. [ 14 ] Berkenaan isu perbezaan tandatangan, Defendan menghujahkan bahawa berdasarkan peruntukan seksyen 73(1) Akta Keterangan 1950, Mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat perbezaan tandatangan . 11 Ini boleh dilakukan dengan cara Mahkamah membuat perbandingan tandatangan dengan bukti material (Syed Abu Bakar bin Ahmad v Public Prosecutor (1984) 2 MLJ 19 FC; Siaw Kim Seong v Siew Swee Yin (f) & Anor (2009) 1 MLJ 349). Maka dengan itu, terdapat perbezaan tandatangan Defendan Kedua yang sebenar dengan tandatangan di dalam Surat Jaminan tersebut. [ 15 ] Atas sebab itu, Peguamcara Defendan menghujahkan bahawa tuntutan Plaintif harus ditolak dengan kos. Dapatan Mahkamah. [ 16 ] Mahkamah merujuk kepada perkara asas kes ini. Secara keseluruhannya, asas kes ini adalah terletak kepada keesahan Surat Jaminan yang mengikat Defendan Kedua selaku penjamin kepada Defendan Pertama untuk transaksi bernilai RM 50, 000.00 yang wujud antara Defendan Pertama dan Plaintif. Hubungan Defendan Pertama dan Defendan Kedua. [ 17 ] Pertama, Mahkamah merujuk kepada hubungan antara Defendan Pertama dan Defendan Kedua. Sebagaimana hujahan Plaintif, Defendan 12 Kedua merupakan pemilik tunggal Defendan Pertama berdasarkan kepada carian SSM bertarikh 21hb Feb 2017. Mahkamah bersetuju dengan hal ini memandangkan carian SSM adalah ‘conclusive evidence’ (Nadin Properties Sdn Bhd v Bostonweb Academy Sdn Bhd [2015] MLJU 672) bagi menunjukkan hubungan antara Defendan Pertama dan Kedua. [ 18 ] Kedua, Mahkamah mendengar keterangan Defendan Kedua dalam hal hubungan Defendan Kedua dengan Defendan Pertama. Defendan Kedua memberikan keterangan bahawa Defendan Kedua mendaftarkan Defendan Pertama kerana ingin mencuba perniagaan dan kerja baru atas cadangan seorang bernama Liang Siew Choi. Alamat dan premis tempat perniagaan Defendan Pertama ini telah diberikan oleh penama Liang Siew Choi bagi tujuan pendaftaran SSM. Walau bagaimanapun, Defendan Kedua menyatakan bahawa perniagaan ini tidak pernah dimulakan selepas ianya didaftarkan. [ 19 ] Saksi Plaintif SP-5 juga memberikan keterangan bahawa di dalam setiap invoice penghantaran produk Plaintif kepada Defendan Pertama, 13 terdapat nombor telefon seorang bernama Liang Siew Choi atau turut dikenali sebagai Sam. [ 20 ] Pada hemat Mahkamah, carian SSM telah menunjukkan hubungan Defendan Pertama dan Kedua . Ia juga adalah bukti ‘Prima Facie’ (IBIG @ David Rampas & Anor v Terisah Bahan & Ors [2016] MLJU 368) bahawa Defendan Kedua adalah pemilik tunggal kepada Defendan Pertama. Tetapi bukti ini bukanlah ‘the only indicators’ yang boleh menunjukkan bahawa transaksi ini diuruskan oleh Defendan Kedua apabila SP-5 sendiri mengesahkan bahawa dalam setiap invoice, terdapat nombor telefon seseorang yang dikenali sebagai Sam yang turut terlibat dalam transaksi penghantaran produk bir Plaintif kepada Defendan Pertama. Tarikh Perjanjian [ 21 ] Carian SSM juga bukanlah ‘the only indicators’ yang boleh menunjukkan bahawa transaksi ini telah berlaku apabila amat mustahil untuk Mahkamah menerima suatu perjanjian yang ditandatangani sebelum perniagaan Defendan Pertama ditubuhkan atau dimulakan. 14 [ 22 ] Berpandukan kepada carian SSM, kini Mahkamah focus kepada tarikh Defendan Pertama didaftarakan. Berdasarkan kepada carian SSM bertarikh 21hb Februari 2017 telah menunjukkan bahawa perniagaan Defendan Pertama didaftarkan pada 7hb Oktober 2013 manakala perjanjian tersebut ditandatangani pada 1hb Oktober 2013. [ 23 ] Ini bermakna perjanjian ditandatangani lebih awal sebelum perniagaan Defendan Pertama didaftarkan. [ 24 ] Kemudian, Mahkamah merujuk kepada keterangan saksi plaintif iaitu SP-2. SP-2 di dalam keterangannya menjelaskan bahawa perjanjian bertarikh 1hb Oktober 2013 adalah perjanjian yang diundur tarikh ‘backdated’ kerana semua perjanjian akan diberi tarikh awal bulan. [ 25 ] Daripada carian SSM dan keterangan SP-2 ini telah menunjukkan bahawa perjanjian tersebut telah ditandatangani untuk satu obligasi dan tanggungjawab Defendan Pertama yang belum wujud. Bukan sahaja obligasi dan tanggungjawab, malah entity Defendan Pertama juga belum wujud sewaktu perjanjian ini ditandatangani. 15 [ 26 ] Begitu juga dengan Surat Jaminan. Defendan Kedua dikatakan menandatangai Surat Jaminan pada 1hb Oktober 2013 untuk menjamin Defendan Pertama iaitu satu entity dan obligasi yang belum wujud pada tarikh 1hb Oktober 2013. [ 27 ] Maka, adalah jelas di sisi undang-undang bahawa perjanjian yang ditandatangani untuk satu entity yang belum wujud merupakan satu perjanjian yang ‘bad in law’. Malahan, tindakan Plaintif yang menyatakan bahawa perjanjian tersebut telah diundur tarikh adalah bertentangan dengan perinsip undang-undang (Inter Heritage (M) Sdn Bhd v Asa Sport Sdn Bhd (2009) 2 CLJ 221) dan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang ‘illegal’ tidak akan memberi kesan yang ‘legal’ kepada pihak-pihak yang mengingkarinya. [ 28 ] Begitu juga Perjanjian dan Surat Jaminan dalam kes ini yang telah diundur tarikh, akhirnya akan menjadi ‘void’ (Trengganu Forest Products Sdn Bhd v. Cosco Container Lines Company Ltd & Anor [2009] 7 CLJ 573). 16 Surat Jaminan sebagai “ID” [ 29 ] Kini Mahkamah berpindah kepada isu yang lebih penting dalam kes ini iaitu Surat Jaminan kekal ditandakan sebagai “ID” sehingga kes Plaintif ditutup. [ 30 ] Plaintif menghujahkan bahawa Surat Jaminan seharusnya ditandakan sebagai ekshibit kerana berpandukan kepada seksyen 73A Akta Keterangan 1950, Plaintif telah kemukakan perjanjian asal melalui saksi SP-3 dan SP-3 juga telah menandatangani Perjanjian tersebut. [ 31 ] Begitu juga dengan Surat Jaminan. Plaintif telah kemukakan Surat Jaminan yang asal melalui SP-2 iaitu saksi kepada Surat Jaminan tersebut. [ 32 ] Mahkamah merujuk kepada keterangan saksi-saksi plaintif untuk menilai saksi yang benar-benar telah mempunyai pengetahuan berkenaan dengan Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. Seterusnya Mahkamah boleh menerima masuk dokumen-dokumen ini sebagai ekshibit Mahkamah. 17 [ 33 ] Merujuk kepada keterangan saksi SP-1 selaku ‘Plaintiff’s Credit Control Manager and also Manager for Sales Accounting of the Finance Department’. SP-1 menyatakan semasa pemeriksaan balas bahawa SP-1 tidak pernah berurusan sendiri dengan Defendan Kedua, tidak tahu siapa menandatangani Perjanjian tersebut juga tidak tahu sama ada transaksi tersebut sebenarnya telah berlaku atau tidak. [ 34 ] SP-1 tahu siapa ‘person in charge’ transaksi ini iaitu Michael Leow. Tetapi Michael Leow tidak dipanggil ke Mahkamah sebagai saksi bagi membuktikan transaksi benar-benar berlaku atau tidak. [ 35 ] SP-1 kemudian menyatakan bahawa SP-1 memberikan keterangan berdasarkan rekod yang ada di dalam simpanan SP-1 sahaja. Ini kerana SP-1 mula bekerja bersama Plaintif pada Disember 2016 sedangkan transaksi ini berlaku pada Oktober 2013. Kesannya, keterangan SP-1 ini hanya memberi ‘little probative value’ dalam kes Plaintif (Kepala Batas Bihun Sdn Bhd v TNB [2016] 10 CLJ 68 18 [ 36 ] Pada hemat Mahkamah, memandangkan SP-1 bukan pembuat dokumen perjanjian tersebut dan keterangan SP-1 semuanya berdasarkan rekod yang ada dalam simpanan Plaintif, ia bukan pengetahuan peribadi SP-1, ditambah dengan keadaan SP-1 yang dan tidak tahu sama ada transaksi ini benar-benar telah berlaku atau tidak dan SP-1 tidak berurusan secara terus dengan Defendan Kedua untuk tandatangani perjanjian dan Surat Jaminan ini menjadikan kes Plaintif melalui keterangan SP-1 sebagai ‘hearsay evidence’ (Santhimathy A/p T Venugopal v Kumara Sakravarthia/l S Thirupathi & Ors And Tetuan Sabri Nazli Lana & Azizan – Third Party [2010] MLJU 1762) dan dokumen yang dirujuk bagi menyokong keterangan SP-1 menjadi ‘inadmissible’ (Tempil Perkakas Sdn Bbhd v Foo Sex Hong (T/A Agrodrive Engineering [1996] 5 MLJ 542). [ 37 ] Mahkamah merujuk pula kepada keterangan SP-2 selaku ‘Plaintiff’s Factory Manager’ . SP-2 juga merupakan saksi Surat Jaminan tersebut sebagaimana wujudnya tandatangan SP-2 di bahagian bawah Surat Jaminan tersebut. 19 [ 38 ] Peguamcara Plaintif menghujahkan bahawa fakta Surat Jaminan kekal sebagai ID selepas perbicaraan tidak bermakna bukti ini tidak perlu diambil kira oleh Mahkamah kerana cubaan untuk mengemukakannya telah dibuat oleh Peguamcara Plaintif namun tidak diterima oleh Mahkamah ini (Bank of Tokyo-Mitsubishi (Malaysia) Berhad v Sim Lim Holdings Berhad & Ors [2001] 2 CLJ 474). Rujukan dibuat kepada seksyen 73A Akta Keterangan 1950 dan salinan asal Surat Jaminan telah dikemukan melalui saksi ini. [ 39 ] Peguamcara Defendan menghujahkan bahawa pembuat dokumen perlu dipanggil untuk membuktikan dokumen dan kebenaran fakta yang terkandung di dalamnya (Allied (Malaysia) Bhd v Yau Jiok Hua (1998) 6 MLJ 1). [ 40 ] Mahkamah bezakan kes hari ini dengan kes Bank of Tokyo-Mitsubishi (Malaysia) Berhad v Sim Lim Holdings Berhad & Ors [2001] 2 CLJ 474 yang dirujuk oleh Peguamcara Plaintif. Ini kerana dalam kes yang dirujuk oleh Peguamcara Plaintif ini, dokumen ‘ID’ tersebut diterima sebagai ‘P’ dan ‘admissible’ apabila pembuat dokumen telah tidak dapat dikesan 20 dan jika tidak berbuat demikian akan menyebabkan ‘undue delay and expenses’ kepada kes Plaintif. [ 41 ] Padahal dalam kes ini, tiada bukti bahawa pembuat dokumen telah tidak dapat dikesan. Malah keterangan mengenai pembuat dokumen atau usaha mencari pembuat dokumen itu juga tidak ada bagi memuskan hati Mahkamah bahawa situasi dalam kes ini akan menyebabkan ‘undue delay or expenses’. Maka kes yang dirujuk oleh Peguamcara Plaintif adalah berbeza dengan fakta kes ini. [ 42 ] Tambahan pula, di peringkat pemeriksaan balas, semasa SP-2 disoal bahawa Defendan Kedua tidak menandatangani perjanjian tersebut, SP- 2 memberikan jawapan “tidak tahu”. [ 43 ] Ini menunjukkan bahawa sekalipun SP-2 adalah saksi perjanjian (atas kertas) dan melalui SP-2 juga Peguamcara Plaintif mengemukan Surat Jaminan yang asal, namun SP-2 gagal menegaskan kepada Mahkamah bahawa tandatangan yang terdapat dalam Surat Jaminan tersebut adalah tandatangan Defendan Kedua. SP-2 gagal menjelaskan bahawa SP-2 menyaksikan dengan jelas Defendan Kedua hadir bersama-sama 21 untuk menurunkan tandatangannya dalam Surat Jaminan tersebut (Santhimathy A/p T Venugopal v Kumara Sakravarthi A/l S Thirupathi & Ors And Tetuan Sabri Nazli Lana & Azizan – Third Party [2010] MLJU 1762). [ 44 ] Lebih daripada itu, hampir keseluruhan maklumat dan jawapan SP-2 adalah diperolehi daripada ‘ex-colleague’. SP-2 mengesahkan bahawa SP-2 berbincang jawapan dengan ‘ex-collegue’ tentang bagaimana cara menjawab dengan betul berkenaan kes ini. [ 45 ] Pada hemat Mahkamah, pengetahuan SP-2 sangat terhad berkenaan Surat Jaminan tersebut. SP-2 juga tidak tahu bahawa tandatangan yang terdapat dalam Surat Jaminan tersebut adalah tandatangan Defendan Kedua. Ini menjadikan keterangan SP-2 adalah sangat ‘not reliable’. [ 46 ] Plaintif telah mengemukakan Perjanjian dan Surat Jaminan asal, yang mana tiada dalam simpanan Mahkamah. Paling ketara Perjanjian dan Surat Jaminan asal yang dikemukakan telah dimati setem sedangkan salinan photopy yang ditempatkan di Bahagian C Ikatan Dokumen Plaintif yang turut dirujuk dan digunakan sepanjang prosiding telah tidak 22 dimati setem. Maka, apa yang dikemukakan ke Mahkamah sebagai ‘salinan asal’ bukanlah apa yang terkandung di dalam Bahagian C Ikatan Dokumen Plaintif. [ 47 ] Memandangkan pembuat dokumen tidak dipanggil memberikan keterangan, SP-2 selaku saksi Surat Jaminan juga tidak boleh sahkan tandatangan dalam Surat Jaminan adalah milik Defendan Kedua, maka rujukan plaintif kepada seksyen 73A(2) Akta Keterangan 1950 menjadi gagal. [ 48 ] Selanjutnya, rujukan dibuat kepada keterangan SP-3 selaku ‘Retail Sales Manager’ . Melalui SP-3, Plaintif mengemukakan salinan Perjanjian asal dan SP-3 juga merupakan saksi Perjanjian tersebut dengan menurunkan tandatangan di bahagian bawah perjanjian tersebut. [ 49 ] Walau bagaimanapun, di peringkat pemeriksaan balas, SP-3 menyatakan bahwa SP-3 tidak berurusan secara langsung dengan Defendan Kedua dan SP-3 tidak tahu sama ada tandatangan dalam Perjanjian tersebut merupakan tandatangan Defendan Kedua atau tidak. 23 [ 50 ] Walaupun Plaintif menghujahkan bahawa salinana sal perjanjian telah dikemukakan melalui saksi SP-3 ini tetapi SP-3 sendiri tidak boleh mengesahkan tandatangan dalam perjanjian tersebut adalah tandatangan milik Defedan Kedua. Keterangan SP-3 juga tidak membantu Mahkamah, ‘not reliable’ dan usaha untuk menjadikan Perjanjian ini sebagai ekshibit dan ‘admissible’ melalui seksyen 73A Akta Keterangan 1950 juga gagal. [ 51 ] Rujukan selanjutnya dibuat kepada keterangan SP-4 iaitu ‘Plaintiff’s Senior Sales Manager’ . Keterangan SP-4 menunjukkan bahawa SP-4 tidak secara langsung berurusan dengan Defendan Kedua. Keterangan saksi Plaintif ini amat tidak membantu kes plaintif. [ 52 ] Melalui semua keterangan saksi-saksi plaintif, tiada seorang pun yang boleh mengesahkan bahawa Defendan Kedua ada menurunkan dan menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. Keterangan yang ada hanyalah daripada SP-2 dan SP-3 sebagai saksi perjanjian tapi tidak boleh mengesahkan bahawa SP-2 dan SP-3 berurusan secara langsung dengan Defendan Kedua berkaitan hal tandatangan dalam Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. 24 [ 53 ] Maka, pada hemat Mahkamah, Plaintif masih belum melepaskan beban pembuktian menurut peruntukan seksyen 101 dan 103 Akta Keterangan 1950 iaitu Plaintif telah gagal mengemukakan bukti bagi menyokong tuntutan Plaintif. [ 54 ] Memandangkan Plaintif gagal membuktikan kesnya dan dokumen ‘ID’ kekal sebagai ‘inadmissible’ dokumen, maka kes Plaintif yang sepatutnya bergantung kepada Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut menjadi gagal. Tandatangan Defendan Kedua [ 55 ] Selain daripada saksi-saksi Plaintif ini, tiada mana-mana saksi atau dokumen yang boleh mengesahkan bahawa Defendan Kedua telah menurunkan tandatangannya di dalam Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. Defendan Kedua telah meletakkan saksi SD-2 hingga SD-4 iaitu pegawai bank dan mengesahkan bahawa tandatangan Defendan Kedua adalah sebagaimana di dalam dokumen mereka (D9 – D13). Maka, hujahan Defendan Kedua adalah Defendan Kedua tidak menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut. 25 [ 56 ] Mahkamah merujuk kepada seksyen 73(1) Akta Keterangan 1950. Berdasarkan kepada peruntukan, Mahkamah diberi kuasa untuk membuat perbandingan bukti tandatangan. Defendan Kedua telah kemukakan kepada Mahkamah bukti tandatangan Defendan Kedua melalui saksi bank iaitu SD-1 hingga SD-4. Berdasarkan kepada penelitian Mahkamah, ianya ‘self-explanatory’ menunjukkan bahawa tandatangan di dalam Surat Jaminan dengan tandatangan yang terdapat di dalam dokumen bank milik Defendan Kedua adalah berbeza. [ 57 ] Walaupun tiada laporan pakar dikemukakan dalam kes ini, pada hemat Mahkamah, ianya cukup memadai jika Mahkamah bandingkan tandatangan dalam Surat Jaminan dan bukti dikemukakan oleh Defendan Kedua adalah amat ketara perbezaannya. [ 58 ] Maka, dalam keadaan tiada saksi yang melihat Defendan Kedua menurunkan tandatangan di dalam Perjanjian mahupun Surat Jaminan maka Mahkamah tidak dengan mudahnya menerima dokumen-dokumen ini sebagai dokumen tulin. Juga perbezaan tandatangan ini 26 menunjukkan bahawa Defendan Kedua bukan individu yang telah menurunkan tandatangannya di dalam dokumen-dokumen tersebut. Isu kedua: Sama ada produk Plaintif telah dihantar kepada Defendan Pertama sewaktu Defendan Kedua menjadi pemilik tunggal Defendan Pertama. [ 59 ] Plaintif menghujahkan Defedan Kedua adalah pemilik tunggal Defendan Pertama. Ini kerana Syarikat Pengedar Plaintif, Cheam Seng Trading Sdn Bhd (“Cheam Seng”) telah menghantar produk-produk bir kepada Defendan Pertama mulai Oktober 2013 hingga November 2014 iaitu semasa Defendan Kedua masih merupakan pemilik tunggal Defendan Pertama. [ 60 ] Bukti penghantaran barang-barang produk Plaintif ini disahkan melalui invois-invois daripada Cheam Seng kepada Defendan Pertama dengan setiap invois dicop dan diakui terima oleh Defendan Pertama. [ 61 ] Defendan Kedua hanya menarik diri sebagai pemilik tunggal Defendan Pertama pada 20hb Mac 2014 iaitu selama lebih kurang 6 bulan dari tarikh Defendan Pertama didaftarkan. Maka, Plaintif menghujahkan 27 bahawa wang sebanyak RM50, 000.00 iaitu wang pendahuluan yang dibayar kepada Defendan Pertama menggunakan kredit nota bertarikh 19hb Disember 2013 adalah sebenarnya dibayar sewaktu Defendan Kedua merupakan pemilik tunggal Defendan Pertama. [ 62 ] Memandangkan Defendan Pertama telah dimasukkan penghakiman ingkar, Mahkamah tidak akan sentuh mengenai Defendan Pertama. Apa yang menjadi persoalan kini adalah, adakah produk Plaintif dihantar kepada Defendan Pertama semasa Defendan Kedua menjadi pemilik tuggal kepada Defendan Pertama. Sekaligus penyerahan wang sebanyak RM50, 000.00 tersebut dilakukan semasa Defendan Kedua menjadi pemilik tunggal Defendan Pertama. [ 63 ] Merujuk kepada keterangan saksi-saksi Plaintif, keseluruhan keterangan saksi-saksi ini tidak dapat mengesahkan bahawa Defendan Kedua ada menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan yang meletakkan liabiliti membayar RM50 ,000.00 itu kepada Defendan Kedua. [ 64 ] Jikalaupun adanya SSM atas nama Defedan Kedua, tapi keseluruhan saksi Plaintif mengesahkan bahawa Perjanjian ditandatangani sebelum 28 perniagaan Defendan Pertama ini wujud dan didaftarkan. Maka, ke manakah sebenarnya produk plaintif di hantar jika pada tarikh perjanjian tersebut ditandatangani, perniagaan Defendan Pertama belum wujud? [ 65 ] Ditambah dengan keterangan SP-5 iaitu iaitu ‘sales manager Chiam Seng Trading’ yang tidak dapat mengesahkan bahawa produk Plaintif ada dihantar ke Defendan Pertama. SP-5 juga gagal sahkan bahawa SP-5 berurusan dengan Defendan Kedua melalui telefon atau secara langsung bagi penghantaran produk Plaintif ke premis Defendan Pertama. [ 66 ] Kesemua keterangan saksi Plaintif terutamannya saksi SP-5 amat negative untuk membuktikan tuntutan Plaintif melibatkan produk yang dihantar ke premis Defendan Pertama dan Defendan Kedua menjamin untuk jumlah wang sebanyak RM50, 000.00. Maka, dapatan Mahkamah adalah tuntutan Plaintif telah sekali lagi gagal dibuktikan. 29 Isu ketiga: Sama ada Defendan Kedua bertanggungan membayar kepada Plaintif jumlah sebanyak RM50, 000.00 di bawah Surat Jaminan dan Tanggung Rugi bertarikh 1hb Oktober 2013. [ 67 ] Memandangkan saksi plaintif gagal mengesahkan Defendan Kedua menandatangani Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut, maka tanggungjawab di bawah Perjanjian dan Surat Jaminan tersebut bukanlah terletak kepada Defedan Kedua. [ 68 ] Plaintif juga gagal menunjukkan bahawa wang sebanyak RM 50 000.00 itu diserahkan kepada Defendan Pertama semasa Defedan Kedua sebagai pemilik tunggal Defendan Pertama. Apa yang lebih penting adalah penyerahan wang sebanyak RM 50, 000.00 itu yang dikatakan telah dilakukan bagi tujuan sokongan perniagaan Defendan Pertama, ianya telah diserahkan sewaktu perniagaan Defendan Pertama belum wujud lagi. [ 69 ] Atas sebab itu, tiada tanggungjawab kepada Defendan Kedua untuk membayar balik wang sokongan perniagaan Defendan Pertama ini. 30 KESIMPULAN Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah gagal melepaskan beban pembuktian pada tahap imbangan kebarangkalian bahawa wujudnya perjanjian dan jaminan antara Plaintif dan Defendan Kedua. Atas alasan dinyatakan, Mahkamah percaya keputusan yang diberikan dalam menolak tuntutan Plaintif dengan kos adalah adil dan munasabah di sisi undang-undang pada tahap imbangan kebarangkalian. Disediakan oleh : t.t NURUNAIM BINTI ABDULLAH Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. Tarikh: 29 September 2017. Pn. Serena Isabelle Azizuddin Bersama Pn. Zainab Hanis Zulkifli (PDK) Tetuan Shearn Delamore & Co, Kuala Lumpur. …bagi pihak Plaintif. En. Ong Siew Wan Tetuan Andrew David Wong & Ong Kuantan, Pahang. …bagi pihak Defendan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.