pada atau sekitar bulan Ogos 2024, Plaintif dimaklumkan oleh Setiausaha Syarikat (Defendan Ketiga) bahawa Defendan Pertama telah mengeluarkan Plaintif sebagi “checker” dan penandatangan bagi akaun pembankan syarikat (Defendan Ketiga) dan menghalang Plaintif untuk mengakses akaun pembankan syarikat melalui suatu notis bertarikh 5-8-2024. Melalui resolusi syarikat (Defendan Ketiga), Defendan Pertama melantik Tan Heng Yee (isteri Defendan Pertama) sebagai “maker” dan Defendan Pertama sebagai checker” dan penandatangan bagi akaun pembankan syarikat (Defendan Ketiga). Plaintif menerima notifikasi dari Maybank mengenai pengeluaran wang syarikat Defendan Ketiga dan dimasukkan ke akaun Defendan Pertama dan ke akaun pihak ketiga. Plaintif menyatakan tindakan Defendan Pertama adalah suatu penindasan dan dilakukan tanpa persetujuan dan/atau tanpa kebenaran Plaintif. Ianya juga melanggar persefahaman bersama (mutual understanding) antara Defendan Pertama dan Plaintif semasa menubuhkan Defendan Ketiga. Tindakan Defendan Pertama juga berniat untuk menyingkirkan Plaintif dari syarikat (Defendan Ketiga) agar Defendan Pertama boleh menggunakan dana syarikat (Defendan Ketiga) sewenang-wenangnya dan mengabaikan hak Plaintif. Afidavit jawapan Defendan Pertama dan Defendan Ketiga yang menentang saman pemula dan injunksi interim [10] Defendan Pertama yang mengikrarkan afidavit jawapannya dan En Low Kah Wai, pengarah syarikat Defendan Ketiga, mengikrarkan afidavit jawapannya bagi Defendan Ketiga. Defendan Pertama dan Defendan Ketiga adalah diwakili oleh firma guaman yang sama. [11] Defendan Pertama menyatakan bantahan awalnya iaitu atas nasihat peguam caranya, Defendan Pertama percaya bahawa saman pemula dan/atau afidavit sokongan Plaintif adalah salah tanggapan, tidak teratur dan/atau defektif maka saman pemula tersebut harus dibatalkan dan/atau ditolak serta merta oleh Mahkamah tanpa perlu mempertimbangkan merit. Alasan-alasan tersebut, antara lainnya, adalah − saman pemula tersebut telah melanggar Aturan 7 kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 kerana saman pemula tidak memasukkan, antara lain, (i) suatu pernyataan persoalan yang Plaintif meminta penentuan atau arahan Mahkamah; (ii) suatu pernyataan tepat mengenai relief atau remedi yang dituntut dalam prosiding yang dimulakan melalui saman pemula; dan/atau (iii) butir-butir yang cukup untuk mengenal pasti kausa atau kausa-kausa tindakan yang berkenaan dengannya yang Plaintif menuntut relief atau remedi itu. hanya mendedahkan dakwaan-dakwaan bahawa kononnya terdapat pelanggaran kewajipan oleh D1 sebagai seorang pengarah kepada syarikat D3 (di mana dinafikan) yang mana membolehkan suatu kausa tindakan untuk tindakan derivative dan langsung tidak mewajarkan suatu kausa tindakan tentang penindasan minoriti. [12] Defendan Pertama menyatakan versi fakta seperti yang berikut: Plaintif merupakan seorang pemegang saham di syarikat D3. Plaintif juga seorang peguam dan merupakan rakan kongsi di firma guaman dikenali sebagai Tetuan Jye & Partners. pada atau sekitar bulan Julai 2023, Plaintif telah mendekati D1 dan mencadangkan untuk menubuhkan sebuah syarikat bagi tujuan pelaburan hartanah yang seiras dengan model perniagaan yang D1 jalankan sebelum ini. Tujuan Plaintif ingin melibatkan diri dalam model perniagaan yang D1 jalankan adalah kerana, antara lain, firma guaman Plaintif, Tetuan Jye & Partners, mengendalikan amalan pemindahan hak milik (conveyancing practice); model perniagaan yang D1 dapat memanfaatkan Plaintif kerana syarikat D3 boleh menjadi sumber kes-kes penjualan dan/atau penyewaan hartanah-hartanah kepada firma guaman Plaintif. pada 18-7-2023, D3 telah ditubuhkan. bekenaan dengan D3, Plaintif telah meminta untuk dilantik sebagai satu-satunya pengarah syarikat D3. D1 menjadi CEO D3. Plaintif dan D1 bersetuju dengan pengaturan bahawa agihan saham telah ditetapkan seperti yang dipersetujui sebelum ini dikekalkan iaitu D1 memegang 51% saham dan Plaintif memegang 49% saham dalam D3. D1 juga bersetuju mengenai agihan hak dividen D3 itu secara sama rata 50% setiap seorang. beerkenaan dengan urusan perbankan, Plaintif dan D1 bersetuju untuk Plaintif dijadikan checker and D1 sebagai maker akaun bank D3 di Malayan Banking Berhad. D1 menegaskan bahawa tugasannya ialah untuk menjana keuntungan bagi D3, D1 terlibat secara langsung dan aktif dalam operasi D3 berbanding dengan Plaintif serta peranan dan tanggungjawab operasional D1 dalam syarikat D3 adalah jauh lebih besar dan meluas berbanding dengan Plaintif. Peranan D1 sebagai CEO, pengendali akaun bank, dan individu yang menguruskan segala aspek operasional serta kewangan D3 membuktikan bahawa D1 adalah pihak yang benar-benar menjalankan dan menguruskan D3 secara substantif. [13] Pada atau sekitar November 2023, Plaintif secara tiba-tiba memaklumkan kepada D1 bahawa Plaintif ingin meletakkan jawatan sebagai pengarah tunggal dalam D3. Berkenaan dengan hal ini, D1 menyatakan bahawa keputusan Plaintif adalah dibuat tanpa sebarang perbincangan awal dan telah menimbulkan implikasi serius terhadap D3, khususnya berhubung dengan aset yang baru diperolehi oleh D3. Sebelum pemakluman Plaintif mengenai perletakan jawatannya, D3 telah membeli Aset Flora Damansara. Pemerolehan Aset Flora Damansara ini adalah suatu komitmen kewangan dan operasi yang besar bagi D3, yang memerlukan pengurusan yang berterusan bagi memastikan Aset Flora Damansara tersebut dapat dikendalikan dengan baik serta memenuhi segala keperluan perundangan dan perniagaan yang berkaitan. Perletakan jawatan Plaintif secara serta-merta tanpa sebarang pelan peralihan telah menyebabkan D3 berada dalam keadaan tidak menentu. Sebagai syarikat yang baru memperoleh suatu aset, D3 memerlukan seorang pengarah yang bertanggungjawab untuk menguruskan aset-aset dalam D3 serta menangani sebarang isu operasi yang mungkin timbul daripada perubahan kepimpinan ini. D1 tidak mempunyai pilihan selain daripada perlu mengambil alih jawatan sebagai pengarah tunggal dalam D3 untuk memastikan kelangsungan syarikat. Jika tiada pengarah dilantik serta-merta, D3 akan menghadapi risiko ketidakstabilan, termasuk kemungkinan aset yang baru diperolehi menjadi tidak terurus, potensi pelanggaran keperluan perundangan, serta kesulitan dalam urusan dengan pihak berkepentingan seperti pembeli-pembeli potensi dan institusi kewangan. Oleh yang demikian, tuduhan Plaintif mengenai tindakan D1 untuk mengambil alih jawatan pengarah tunggal dalam D3 bukanlah sesuatu yang dibuat secara sukarela, tetapi lebih kepada suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan bagi melindungi kepentingan D3 serta memastikan aset yang telah diperolehi dapat diuruskan dengan baik tanpa menjejaskan operasi syarikat D3. [14] D1 juga menyatakan bahawa punca perletakan jawatan Plaintif sebagai pengarah tunggal dalam D3 adalah kerana sebagai seorang peguam, Plaintif menghadapi kekangan profesional dalam menjalankan peranan sebagai pengarah tunggal D3, masalah dari segi profesionalisme dan etika guamannya, Plaintif kononnya tidak melaporkan kepada Majlis Peguam Malaysia tentang lantikan dan/atau penglibatan Plaintif sebagai pengarah dalam perniagaan D3 dan tidak ingin diketahui oleh pihak-pihak berkenaan tentang penglibatan Plaintif dalam D3, untuk mengelakkan nama Plaintif sebagai pengarah dan/atau pembuat keputusan muncul di dalam mana-mana rekod-rekod dan/atau dokumen rasmi D3 yang boleh membangkitkan apa-apa isu yang berkemungkinan akan menimbulkan masalah dan/atau konflik kepentingan Plaintif sebagai seorang peguam cara beramal dan pemegang saham dalam D3. [15] Lanjutan daripada itu, sebagai sebahagian daripada persefahaman mengenai perletakan jawatan Plaintif, D1 telah mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menguruskan D3, hal-hal operasi perniagaan D3 dikendalikan sepenuhnya oleh D1. Dalam konteks ini, D1 menyatakan bahawa kedudukan Plaintif dalam D3 adalah tidak lebih daripada sekadar seorang pemegang saham minoriti yang berhak untuk menerima dividen, jika dan apabila ia diisytiharkan berdasarkan prestasi kewangan syarikat D3. Plaintif tidak lagi mempunyai dan/atau telah secara rela hati melepaskan apa-apa kuasa atau hak untuk campur tangan dalam pengurusan atau keputusan operasi yang dibuat oleh pihak pengurusan D3. Jawapan D1 mengenai pemindahan saham kepada D2 (adik perempuan D1): [16] D1 mengakui berlaku pemindahan pegangan sahamnya (D1) dalam D3 kepada D2 (adik perempuan D1). D1 menyatakan alasan pemindahan ialah sebagai ganjaran atas komitmen D2 membantu D1 dalam pengurusan hartanah-hartanah D1. Dengan menjadi pemegang saham, D2 akan dapat/berhak kepada dividen yang diagihkan oleh D3 sekiranya terdapat keuntungan bagi tujuan tersebut. Peranan D2 sebagai salah seorang pemegang saham dalam D3 adalah untuk membantu mendapatkan sebut harga yang lebih berpatutan dalam menguruskan hartanah D3, termasuk aspek pengubahsuaian dan penyewaan kepada penyewa yang sesuai. Tiada apa-apa peranan D2 dalam pengurusan dan pengoperasian D3. [17] Atas nasihat oleh peguam caranya, D1 dan D3 mempercayai bahawa tiada apa-apa perjanjian dan/atau persefahaman antara D1 dan Plaintif yang menghalang pihak-pihak daripada memindahkan saham masing-masing kepada pihak ketiga. Hal pemindahan saham kepada D2 ini adalah − dibuat secara sah dan tanpa sebarang niat untuk menindas atau menjejaskan hak mana-mana pemegang saham lain, termasuk Plaintif sebagai pemegang saham minoriti dalam D3; pemindahan saham kepada D2 tidak menjejaskan kepentingan Plaintif kerana pemindahan saham kepada D2 tidak menyebabkan pencairan saham Plaintif dan beliau masih mengekalkan bahagian sahamnya dalam syarikat tanpa kehilangan sebarang hak sebagai pemegang saham; pemindahan saham kepada D2 ini tidak memberi kesan kepada Plaintif dalam menerima dividen atau hak-hak lain sebagai pemegang saham dalam D3; pemindahan saham kepada D2 tidak menyebabkan sebarang ketidakadilan atau kezaliman terhadap Plaintif kerana hak Plaintif dalam D3 adalah kekal seperti biasa; pemindahan saham kepada D2 adalah keputusan perniagaan yang dibuat dengan niat yang baik dan selari dengan kepentingan syarikat D3; pada setiap masa material, Plaintif tidak pernah mengemukakan apa-apa bantahan mengenai pemindahan saham D1 kepada D2. [18] D1 juga tidak bersetuju dengan dakwaan Plaintif bahawa hubungan Plaintif dan D1 adalah suatu perkongsian separa (quasi-partnership) berdasarkan agihan dividen pengeluaran modal sama rata. Dakwaan Plaintif ini adalah suatu adalah suatu salah tanggapan, dan dinafikan. Ini kerana agihan dividen bukan merupakan suatu asas untuk mengenal pasti suatu bentuk hubungan perkonsian separa (quasi-partnership); dan jumlah modal yang masing-masing keluarkan adalah berbeza. Jawapan D1 mengenai penjualan aset-aset D3: [19] Hal perkara penjualan aset-aset D3 yang didakwa dijual oleh D1 adalah tidak benar. Ini kerana − pada takat ini Aset Flora Damansara tidak dapat disempurnakan penjualannya kerana Plaintif berkeras untuk memegang kesemua dokumen sekuriti asal Aset Flora Damansara dan enggan untuk melepaskannya kepada pembeli. Aset Lorong Mohd Tahir tidak dapat disempurnakan penjualannya kerana Plaintif telah memfailkan suatu kaveat di untuk menghalang penjualan tersebut. Aset Parklane OUG kini telah dijual pada harga sebanyak RM340,000.00. Namun demikian, jumlah RM300,000.00 daripada hasil jualan tersebut telah dibayar balik kepada saya, bagi wang pendahuluan sebanyak RM300,00.00 yang saya masukkan ke dalam D3 sebelum ini sebagai modal D3. Manakala, baki RM40,000.00 itu telah dibayar kepada pembeli Aset Flora Damansara bernama Koh Ye Yan sebagai ganti rugi jumlah tertentu (liquidated ascertained damages) akibat daripada penamatan perjanjian jual beli Aset Flora Damansara yang disebabkan oleh Plaintif. Jawapan D1 mengenai penyewaan aset-aset D3: [20] Berkenaan dengan isu penyewaan aset D3 itu, D1 menyatakan bahawa tindakan Plaintif membuat laporan polis mengadu mengenai penyalahgunaan sewa yang dibayar oleh penyewa dimasukkan ke akaun peribadi/persendirian D1 adalah bermotifkan malice and bad faith. D1 menyatakan bahawa Plaintif mempunyai pengetahuan penuh mengenai perjanjian secara lisan berkenaan dengan proses kutipan sewa tersebut. D1 juga menyatakan bahawa handling of the rental payments is merely exercising the business judgment rule as the director of D3, for the best interest of D3. Laporan polis oleh Plaintif semata-mata suatu cubaan untuk mendesak dan menimbulkan andaian palsu bahawa mengendalikan kewangan syarikat D3 secara salah. Lanjutan daripada Laporan Polis itu, D1 telah memindahkan semula jumlah sewa yang dikutip sebanyak RM5,400.00 ke akaun D3. Tiada apa-apa tindakan jenayah dikenakan kepada D1 dan perkara ini tidak harus dibangkitkan oleh Plaintif. Jawapan D1 mengenai ubahsuai aset-aset D3: [21] D1 mengakui bahawa pada sekitar November atau Disember 2023, D1 telah menghubungi D2 untuk mendapatkan sebut harga bagi kerja-kerja pengubahsuaian di Aset Flora Damansara. Memandangkan Aset Flora Damansara merupakan suatu unit lama, maka kerja-kerja pengubahsuaian yang ringkas dalam Aset Flora Damansara adalah perlu dan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM15,000.00. Sebut harga ini adalah harga yang munasabah berbanding dengan kadar pasaran, dengan mengambil kira kerja-kerja substantif yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian Aset Flora Damansara. Jawapan D1 mengenai EGM: [22] D1 menjelaskan mengenai pemanggilan EGM adalah bertujuan untuk membincangkan dan membuat keputusan antara lain, sama ada D3 akan meneruskan dengan penjualan Aset Flora Damansara, Aset Lorong Mohd Tahir dan Aset Parklane OUG. Cadangan penjualan ini merupakan satu peluang yang menguntungkan bagi D3 untuk menjana keuntungan. [23] Berdasarkan rekod D3, Plaintif telah diserahkan Notis EGM bertarikh 17-10-2024 tersebut di mana Plaintif telah dimaklumkan berkenaan dengan agenda-agenda EGM tersebut, termasuk cadangan penjualan aset yang menguntungkan ini. Plaintif mempunyai peluang untuk hadir dan menyuarakan pendapatnya serta mengambil bahagian dalam pengundian. Namun demikian, walaupun Plaintif mempunyai pengetahuan berkenaan dengan EGM tersebut tetapi memilih untuk tidak menghadirkan diri kepada EGM. Dalam EGM tersebut, proses pengundian telah dijalankan secara “show of hands” yang memastikan setiap pemegang saham yang hadir mempunyai satu undi tanpa kira pegangan saham. Ini bermakna sekiranya Plaintif menghadiri EGM tersebut, Plaintif berkemampuan untuk mempengaruhi keputusan EGM tersebut. Memandangkan Plaintif telah memilih untuk tidak menghadirkan diri kepada EGM tersebut, Plaintif adalah diestop untuk membangkitkan apa-apa bantahan di sini. Apa-apa dakwaan yang dibuat oleh Plaintif sekarang hanyalah pemikiran terkemudian dan tidak boleh dijadikan alasan untuk membatalkan keputusan yang telah dibuat secara sah oleh ahli-ahli yang hadir dalam EGM melalui proses pengundian yang telus. [24] Penjualan Aset Flora Damansara, Aset Parklane OUG, dan Aset Lorong Mohd Tahir telah diluluskan melalui EGM yang sah, di mana semua pemegang saham D3 telah diberikan notis dan peluang untuk menghadiri serta membantah sekiranya tidak bersetuju. Keputusan berkenaan dengan penjualan Aset Flora Damansara, Aset Parklane OUG, dan Aset Lorong Mohd Tahir adalah jelas dilakukan secara kolektif mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016. Harga jualan bagi Aset Flora Damansara, Aset Parklane OUG, dan Aset Lorong Mohd Tahir tersebut telah diperoleh pada kadar nilai pasaran yang munasabah dan bermanfaat kepada keuntungan D3, dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa D1 melakukan apa-apa tindakan berat sebelah atau penyalahgunaan kuasa selaku selaku pemegang saham majoriti dalam D3. Jawapan D1 mengenai pemindahan dana syarikat D3 kepada isteri D1: [25] Tuduhan Plaintif bahawa D1 dan isterinya (Tan Heng Yee) berkonspirasi untuk menyalahgunakan dana syarikat dengan memindahkan wang syarikat D3 ke akaun Tan Heng Yee atas alasan kerja pengubahsuaian bagi set Lorong Mohd Tahir dan komisen kepada Tan Heng Yee sedangkan tiada kerja pengubahsuaian dilakukan. D1 menyatakan bahawa perkara yang dituduh ini adalah suatu salah tanggapan yang langsung tidak termasuk dalam penindasan minoriti. [26] D1 menyatakan bahawa isterinya (Tan Heng Yee) kekal secara keseluruhan sebagai entiti berasingan apabila berurusan dengan perniagaan. Isterinya (Tan Heng Yee) mempunyai perniagaan Tan Heng Yee [Business Registration No.: 202103377373 (003352408-P)] dalam bidang business consultancy, property management, life insurance, financial consultancy, marketing consultancy, and interior design consultancy. [27] D1 dalam mengendalikan perniagaan D3 menggunakan kepakaran Tan Heng Yee dan melantik Tan Heng Yee bagi kerja penguabhsuaian set Flora Damansara dan Aset Lorong Mohd Tahir. Bayaran yang dibuat kepada Tan Heng Yee adalah perbelanjaan sah dalam urusan biasa perniagaan antara D3 dengan Tan Heng Yee. Kerja pengubahsuaian aset-aset D3 amat penting demi memasarkan aset-aset-aset D3 dan mendatangkan keuntungan untuk D3. mengekshibitkan sebut harga dan invois bagi kerja pengubagsuaian yang dilaksanakan oleh Tan Heng Yee [Business Registration No.: 202103377373 (003352408-P)]. Afidavit yang diikrarkan bagi D3 [28] Afidavit D3 diikrarkan oleh En Low Kah Wai, pengarah dalam D3 (Jye & Partners Sdn Bhd) sejak 30/12/2024 sehingga sekarang. [29] Pendirian D3 dalam saman pemula (OS) ini adalah sebagai Defendan nominal sahaja dan atas nasihat peguam caranya, D3 menyatakan seperti berikut: OS ini adalah berkenaan dengan suatu tindakan oleh pemegang saham minoriti terhadap pemegang-pemegang saham majoriti. syarikat D3 merupakan suatu Defendan nominal sahaja. secara amnya, syarikat D3 seharusnya kekal berkecuali melainkan kepentingan syarikat terjejas. D3 sebagai sebagai suatu entiti undang-undang yang berasingan dengan D1 dan D2, tidak berpihak kepada mana-mana pemegang saham atau kumpulan dalam pertikaian yang wujud antara Plaintif dan D1 dan D2. semua dakwaan Plaintif kononnya berkenaan dengan isu penindasan pemegang saham minoriti merupakan suatu pertikaian antara pemegang saham-pemegang saham D3, dan tidak melibatkan keesahan operasi D3 secara keseluruhan. Afidavit jawapan Defendan Kedua (D2) [30] D2 ialah seorang ejen hartanah berdaftar di E Trend Realty Sdn Bhd. Portfolio D2 ialah pengurusn hartanah khususnya membantu pelanggan dalam penguabhsuaian hartanah dan mencari penyewa di pasaran hartanah. [31] Hubungan D2 dengan D1 bukan sekadar adik-beradik kandung tetapi D2 menyatakan bahawa mereka mempunyai hubungan perniagaan sejak tahun 2023. D2 mengetahui mengenai perniagaan yang dijalankan oleh abangnya (D1). Pada perenggan 14 afidavit jawapan D2, D2 menyatakan bahawa dengan portfolionya itu, D2 dapat melengkapi perniagaan D1. Oleh itu, pelantikan D2 oleh D1 untuk menjalankan kerja pengubahsuaian Aset Flora Damansara dan seterusnya mencari penyewa bagi hartanah/aset D3 itu bukanlah sesuatu yang luarbiasa. Selain daripada D2, D1 juga mempunyai ejen hartanah lain untuk membantu D1 dalam hal perkara yang sama. [32] Skop kerja pengubahsuaian Aset Flora Damansara yang diberikan kepada D2 ialah painting, replacement of tiles, replacement of electrical wiring, replacement of LED light, replacement of glass window, spray grill, and plumbing service. Maka, kerja pengubahsuaian ini berbentuk pengubahsuaian dalaman ke atas hartanah itu. Sebut harga bagi kerja pengubahsuaian tersebut sebanyak RM15,000.00. Hanya selepas D2 mengeluarkan invois bagi kerja pengubahsuaian, D2 mengetahui bahawa pemilik Aset Flora Damansara ialah D3 di mana D1 mempunyai kepentingan di dalamnya. D2 ada mengekshibitkan gambar yang diambil di Aset Flora Damansara selepas kerja pengubahsuaian sebagai bukti bahawa kerja telah dilaksanakan oleh D2. [33] D2 menyatakan bahawa Plaintif telah membuat dakwaan/tuduhan tidak berasas bahawa D2 menipu dan bersubahat dengan D1 untuk menipu dana syarikat D3. Ini kerana gambar Aset Flora Damansara yang diekshibitkan oleh Plaintif adalah di bahagian luar hartanah itu. Sedangkan kerja pengubahsuaian yang dilakukan oleh D2 ialah pengubahsuaian bahagian dalam. [34] Berkenaan dengan pemerolehan saham dalam syarikat D3, D2 mengakui bahawa D1 menawarkan kepada D2 untuk memgang saham dalam D3. D1 memberitahu D2 bahawa sebagai tanda penghargaan kepada komitmen D2 penawaran untuk menjadi pemegang saham diberikan oleh D1. D2 beranggapan, pemegangan saham dalam D3 sebagai suatu insentif untuk D2 membantu mendapatkan sebut harga yang mesra bajet dalam membantu syarikat D3 dalam kerja pengubahsuaian hartanha dan juga untuk mencari penyewa hartanah. Sebagai “pelabur” melalui pemegangan saham, D2 berhak untuk menerima dividen dan pemindahan saham kepada D2 diperoleh menurut undang-undang. Pada 8-9-2024, D2 didaftarkan sebagai pemegang saham syarikat D3. D2 hanya sebagai pemegang saham semata-mata dan tidak pernah terlibat dalam operasi syarikat D3. [35] Berkenaan dengan perkara EGM, D2 menerima notis panggilan EGM dan wakil D2 hadir bagi pihak D2 dalam EGM. Tujuan EGM ialah untuk membincangkan mengenai terdapat pembeli bagi Aset Flora Damansara yang harga jualan lebih tinggi daripada harga pasaran. D2 menyatakan ini adalah suatu tawaran yang baik yang boleh menjana keuntungan untuk syarikat D3. D2 dengan itu tidak membantah kepada cadangan penjualan Aset Flora Damansara seperti yang dinyatakan dalam Notis EGM. Dalam EGM itu resolusi untuk menjual hartanah-hartanah syarikat D3 telah diluluskan Afidavit balasan Plaintif [36] Mahkamah ini turut meneliti dan mempertimbangkan afidavit balasan Plaintif yang menyatakan − “... saya berasa bimbang, gusar, khuatir dan/atau curiga mengenai bukan hanya sekadar kewangan semata-mata yang berkaitan dengan hasil jualan hartanah-hartanah tersebut tetapi juga isu-isu lain seperti kepincangan dalam pengurusan hartanah-hartanah Syarikat/D3 serta persoalan mengenai pengeluaran saya sebagai checker yang mempunyai kuasa tandatangan akaun perbankan Syarikat/D3 juga adalah isu-isu yang memaksa dan/atau membawa kepada pemfailan Saman Pemula tersebut. ... tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh Adam/D1 juga adalah secara langsung memberikan kesan buruk kepada saya sendiri.