22.11.2012 selepas perbicaraan penuh terhadap Defendan-Defendan dan prosiding kebangkrapan telah dilaksanakan terhadap Defendan-Defendan dan satu Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman di Mahkamah Tinggi Seremban telah dimasukkan terhadap Defendan-Defendan pada 10.12.2013 dan 12.11.2013 untuk jumlah penghakiman. [21] Defendan-Defendan menyatakan bahawa Plaintif telah menfailkan tindakan ini untuk menuntut sekali lagi jumlah yang tertunggak yang telah dihakimi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dan telah dilaksanakan menerusi prosiding kebangkrapan terhadap Defendan-Defendan. Plaintif menyatakan bahawa tuntutan Plaintif, isu-isu dan pihak-pihak adalah sama dalam tindakan ini dengan tindakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Oleh itu, tindakan Plainitif di sini adalah salah di sisi undang-undang berdasarkan doktrin res judicata dan functus officio. [22] Defendan-Defendan juga menyatakan bahawa tindakan Plaintif di sini adalah dihalang oleh had masa memandangkan tuntutan-tuntutan, isu-isu dan kemungkiran yang dirujuk dalam Pernyataan Tuntutan Plaintif telah berlaku pada sekitar tahun 2005 dan pertengahan bulan Disember 2011. Susulan itu Defendan-Defendan menyatakan bahawa Penghakiman Ingkar terhadap mereka sewajarnya diketepikan disebabkan penyampaian Writ dan Pernyataan Tuntutan adalah tidak teratur. [23] Plaintif menyatakan bahawa tindakan ini adalah berlainan daripada tindakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam oleh kerana tindakan ini adalah berdasarkan penemuan fakta-fakta dan keterangan yang baharu oleh Plaintif. Tindakan ini telah difailkan terhadap Defendan Ketiga dan Defendan Keempat berdasarkan pembelian rumah di Nilai oleh Defendan Ketiga dan Defendan Keempat yang berkemungkinan telah dibeli dengan wang Plaintif. Oleh itu perkara ini tidak berkaitan dengan perjanjian di antara Defendan Pertama dan Defendan Kedua. Tambahan lagi terdapat penipuan dan frod yang telah dilakukan oleh Defendan-Defendan kali ini yang telah menyebabkan Plaintif tidak mendapat kembali wangnya. [24] Berdasarkan kewujudan frod dan penipuan dalam tindakan ini yang baru ditemui oleh Plaintif semasa perjumpaan pemiutang dengan Defendan Pertama dan Defendan Kedua pada 6.7.2015, maka halangan had masa adalah tidak terpakai dalam kes ini menurut seksyen 29 Akta Had Masa 1953. [25] Plaintif juga menyatakan bahawa Defendan-Defendan telah gagal memberikan sebab dan alasan bagi kelewatan 4 tahun untuk permohonan ini dibuat oleh Defendan-Defendan. Oleh yang demikian, Plaintif memohon supaya permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 13 ditolak oleh Mahkamah. Dapatan Mahkamah [26] Untuk mengenepikan JID, Defendan-Defendan perlu menunjukkan kepada Mahkamah bahawa:- i. Serahan saman tidak teratur; ii. Jika serahan saman teratur, bahawa Defendan mempunyai pembelaan bermerit. [27] Suatu penghakiman ingkar boleh diketepikan sekiranya seseorang defendan boleh menunjukkan beliau mempunyai suatu pembelaan yang bermerit. Dalam kes Mahkamah Persekutuan Lai Yoke Ngan & Anor v Chin Tek Kwee & Anor [1997] 2 MLJ 565, Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti yang berikut: “The principle of setting aside a default judgment under O 13 r 8 has been well established and needs no detailed repetition. What is important to observe is that a default judgment is not a judgment on the merits. Accordingly, when such judgment is obtained irregularly, such irregularity would be a sufficient ground by itself for setting it aside. But where the default judgment has been obtained regularly, in order to succeed, the defendant must file an affidavit of merits, i.e. the defendant must disclose by affidavit evidence that prima facie he has a defence on the merits. Put in another way, the affidavit must disclose that he has an arguable or triable issue in the merits..." [28] Dalam kes ini Mahkamah mengambil maklum bahawa penyampaian Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan terhadap Defendan-Defendan adalah secara penyampaian ganti. Plaintif telah menyerahkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan menurut terma-terma dalam Perintah penyampaian ganti tersebut. Oleh itu Mahkamah ini berpendapat bahawa penyampaian Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan adalah teratur terhadap Defendan-Defendan memandangkan Perintah penyampaian ganti tersebut tidak pernah diketepikan dan masih berkuat kuasa. [29] Defendan-Defendan juga telah gagal untuk memasukkan kehadiran dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh menerima Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan tersebut. Kehendak ini ada dinyatakan dalam Writ Saman dan tidak pernah diketepikan. Oleh itu Mahkamah berpuashati bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran yang dimasukkan terhadap Defendan-Defendan adalah sah dan teratur. [30] Terdapat kelewatan yang melampau iaitu selepas 4 tahun penghakiman ingkar dimasukkan, pihak Defendan-Defendan menfailkan permohonan Lampiran 13. Defendan-Defendan tidak memberikan alasan dan justifikasi bagi kelewatan melampau selama 4 tahun untuk mengenepikan penghakiman ingkar tersebut. [31] Kelewatan ini telah mencacatkan permohonan Defendan-Defendan tersebut. Tambahan lagi adalah jelas daripada emel-emel yang dieksibitkan oleh Plaintif antara Defendan Pertama dan Peguamcara Plaintif bahawa Defendan-Defendan mempunyai pengetahuan berkenaan tindakan ini tetapi tidak menfailkan kehadiran mereka. [32] Berkenaan halangan atas prinsip res judicata, Mahkamah ini mengambil maklum bahawa Plaintif menfailkan tindakan ini setelah mendapati fakta-fakta dan keterangan yang baharu iaitu berkenaan pembelian rumah di Nilai oleh Defendan Ketiga dan Defendan Keempat yang besar kemungkinannya telah dibeli dengan menggunakan wang Plaintif. [33] Defendan-Defendan tidak mengemukakan pembelaan yang bermerit terhadap tuntutan Plaintif. Kausa tindakan frod dan penipuan dalam tindakan ini adalah berbeza dengan kausa tindakan terdahulu. [34] Mahkamah ini berpandangan bahawa halangan had masa adalah tidak terpakai berdasarkan Seksyen 29 Akta Had Masa 1953. Dalam hal ini, masa mula berjalan hanya apabila frod dan penipuan tersebut dizahirkan iaitu semasa perjumpaan pemiutang dengan Defendan Pertama dan Defendan Kedua pada 6.7.2015. Memandangkan tindakan ini telah difailkan pada tahun 2017, maka tiada halangan had masa untuk tindakan Plaintif di sini. Oleh itu tindakan ini adalah berlainan daripada tindakan terdahulu di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Keputusan Mahkamah [35] Berdasarkan alasan-alasan dan juga merujuk kepada Rekod Rayuan dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Puan Hakim Mahkamah Sesyen bertarikh 28.7.2022 dan Rayuan Defendan Ke-3 dan Defendan Ke-4 adalah ditolak dengan kos RM2500.00 setiap Defendan tertakluk kepada fi alokatur. tt ( LATIFAH BINTI HAJI MOHD TAHAR ) Hakim Mahkamah Tinggi NCVC 1 Mahkamah Kuala Lumpur. Bertarikh : 20.2.2023 Peguam Bagi Pihak Perayu Tetuan G. Gunaseelan & Associates, No. 601, Menara Mutiara Majestic, No. 15, Jalan Othman, Seksyen 3, 46000 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. (Tel : 03-77831330 Faks : 03-77831219) (Ruj. Fail: G/L/Praveen/Devarajah/27/2022) (Peguam Bagi Pihak Responden Tetuan Shahrizal Rashid & Lee Ground Floor & First Floor, Wisma Prima, 17 Jalan Sri Semantan Satu, Damansara Height, 50490 Kuala Lumpur.