Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA [BIDANG KUASA RAYUAN] RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-443-12/2016 ANTARA PUBALAN A/L PEREMAL …PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45B-56-11/2014 Antara Pendakwa Raya Lawan Pubalan a/l Peremal] KORUM: AHMADI HJ. ASNAWI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR ABDUL KARIM ABDUL JALIL, HMR 2 PENGHAKIMAN MAHKAMAH Latarbelakang [1] Perayu telah dituduh dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas satu kesalahan membunuh. Pertuduhan terhadap Perayu ini adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 4 November, 2013, di antara jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang, bertempat di dalam bilik tidur, rumah No. 7, Jalan Timah 1, Taman Timah 1, 43000 Dengkil, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah membunuh MURALI A/L DORAISAMY ( No. KPT.: 850521- 10-5993), dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.”. [2] Di akhir perbicaraan, Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana (‘hakim bicara’) telah mendapati Perayu bersalah dan atas sabitan, telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Perayu. Tekilan, Perayu telah merayu ke Mahkamah ini terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh hakim bicara tersebut. [3] Kami telah mendengar dan menimbangkan rayuan Perayu pada 20.4.2018. Kami telah menolak rayuan Perayu dan kami mengesahkan sabitan dan hukuman mati oleh hakim bicara. Kami sekarang memberikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu tersebut. Kes Pendakwaan [4] Naratif kes pendakwaan secara ringkasnya adalah seperti berikut. Pada 4.11.2013, jam lebih kurang 1.02 tengah hari, Murthi a/l Doraisamy 3 (SP9) telah menerima satu panggilan telefon daripada abang iparnya iaitu Perayu memberitahu bahawa Perayu telah menetak Murali a/l Doraisamy (si mati). Si mati ialah juga seorang adik ipar kepada Perayu dan adik kandung SP9. Kakak si mati dan kakak kepada SP9, iaitu Kalaiselvi a/p Doraisamy (SP18) ialah isteri kepada Perayu. [5] Setelah mendapat berita tentang kejadian penetakan si mati oleh Perayu, SP9 terus menghubungi sepupunya, Kanakaraaju a/l Ayer (SP14), dan meminta SP14 untuk pergi melihat keadaan si mati yang ketika itu berada di dalam sebuah bilik di rumah No. 7, Jalan Timah 1, Taman Timah 1, Dengkil (‘tempat kejadian’). SP14 telah menemui si mati di tempat kejadian dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. SP14 kemudiannya terus pergi membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil. SP14 kemudiannya telah memanggil ambulans untuk membawa si mati yang pada ketika itu masih dalam keadaan bernyawa ke Hospital Putrajaya. [6] Bagaimanapun, si mati telah disahkan meninggal dunia pada jam 1.15 tengah hari pada hari yang sama. Bedah siasat ke atas jasad si mati telah dilakukan oleh Dr. Siew Sheue Feng (SP4). Berdasarkan keterangan lisan dan Laporan Bedah Siasat (P19), SP4 mengesahkan kematian si mati adalah akibat daripada kecederaan luka tikaman berganda (‘multiple incised wounds’). [7] Saksi Manmathan a/l Doraisamy (SP10), seorang lagi adik ipar Perayu, setelah diberitahu mengenai kejadian oleh kakaknya yang juga isteri kepada Perayu, Kalaiselvi a/p Doraisamy (SP18), telah pergi ke tempat kejadian bersama-sama dengan sepupunya bernama Pandiyan. 4 Setelah tiba, SP10 mendapati si mati masih sedar dan boleh bercakap. Apabila ditanya oleh SP10 siapakah orang yang telah mencederakannya, si mati memberitahu bahawa Perayu yang telah memotongnya dan Perayu datang seorang diri memotongnya. SP10 mendapati si mati mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua kaki dan tangan dan berlumuran dengan darah. Si mati pada waktu itu berada terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah tempat kejadian. [8] Pihak pendakwaan turut mengemukakan keterangan melalui saksi Kalaivanan a/l Nadarajah (SP19) dan Gunentren a/l Pandiyan (SP17).