(iv) Sama ada imbangan kesenangan memihak kepada kaveat persendirian dikekalkan. G. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu awalan yang dibangkitkan oleh defendan iaitu sama ada plaintif mempunyai locus standi memfailkan Saman Pemula ini. [21] Berhubung dengan isu locus standi, saya merujuk prinsip undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Al Rashidy Kassim & Ors v. Rosman Roslan [2007] 3 CLJ 361; [2007] 4 MLJ 297; [2007] 3 AMR 341 yang memutuskan bahawa benefsiari kepada si mati mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan agi melindungi hartanah si mati tanpa perlu terlebih dahulu memperoleh surat kuasa mentadbir. [22] Fakta yang tidak dinafikan adalah plaintif merupakan anak kandung kepada si mati Pun Hin @ Pun hin Pooi. Maka, plaintif sebagai benefisiari si mati mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan di Mahkamah ini bagi melindungi estete si mati. Meski pun demikian persoalan sama ada plaintif berjaya atau tidak dalam tuntutannya adalah tertakluk kepada isu-isu yang akan diputuskan selepas ini. Sama ada plaintif mempunyai kepentingan yang boleh dikaveatkan atas hartanah tersebut [23] Dalam memutuskan isu sama ada Mahkamah ini wajar membenarkan permohonan plaintif, plaintif hendaklah memuaskan Mahkamah ini bahawa terdapat alasan yang mencukupi dari aspek fakta dan undang-undang untuk kaveat persendirian berkuatkuasa selepas tamat tempoh. Pendekatan ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nanyang Development (1866) Sdn Bhd v How Swee Poh [1970] 1 MLJ 145. [24] Mahkamah Agung dalam kes Kumpulan Sua Betong Sdn Bhd v Dataran Segar Sdn Bhd [1992] 1 MLJ 263 pada muka surat 268 menyatakan – Raja Azlan Shah FJ (as he then was) dealt with the same subject in the following words at p 57 – … In my view the respondent had a contractual right under a contract of dealing in land which is a right of action against the vendor personally. That is a caveatable interest. [25] Alasan yang menjadi sandaran plaintif untuk melanjutkan kaveat persendirian adalah tujuan hartanah tersebut dijadikan cagaran untuk kepentingan defendan setelah anak lelaki si mati meminjam wang daripada defendan. Plaintif menyatakan pemindahan hartanah tersebut kepada defendan bukanlah secara kekal, sebaliknya hanya bersifat sementara. [26] Berdasarkan Afidavit Sokongan plaintif, tidak dinyatakan bilakah pinjaman tersebut diwujudkan melainkan fakta adanya kaveat persendirian yang dimasukkan oleh si mati semasa hayatnya. Ini menyokong dapatan bahawa berkemungkinan sekali pinjaman tersebut berlaku semasa hayat si mati. [27] Saya mendapati bahawa fakta kewujudan Perjanjian Jual Beli bertarikh 21 Mei 2014 antara si mati dengan defendan tidak dicabar sepanjang hayat si mati. Tiada keterangan dokumentari dikemukakan oleh plaintif dalam menyokong penegasan plaintif bahawa perjanjian tersebut bercanggah dengan undang-undang. Bahkan, peminjam yang dinamakan oleh plaintif iaitu Pun Chan Wah tidak memfailkan sebarang afidavit menyokong penegasan plaintif. [28] Meskipun demikian, prinsip privity of contract adalah mantap dan mengikat Mahkamah ini. Mahkamah ini tidak boleh melayan Plaintif yang bukan pihak dalam Perjanjian Jual Beli bertarikh 21 Mei 2014 untuk mencabar kesahan perjanjian tersebut. Majlis Privy dalam Kepong Prospecting Ltd & Ors v. Schmidt [1967] CLJU 67; [1967] 1 LNS 67 [1968] 1 MLJ 170 menyatakan – The term "privity of contract" in law has come to attain a universally consistent meaning in the law of contract. It expresses the concept that only parties who are privy to the contract may sue and be sued by each other. Parties not privy as in not a party to a contract cannot sue under the contract even though it might suffer a wrong or a grievance under the contract. The rights given in the contract would entitle one to sue the defaulting party in the contract and likewise the liability arising under the contract would expose one to being sued. No one but the parties to a contract can be bound by it or entitled under it. [penekanan diberi] [29] Pihak defendan turut mencabar tindakan plaintif untuk melanjutkan kaveat persendirian yang dimasukkan oleh si mati. Menurut defendan, kaveat tersebut hanya boleh dilanjutkan oleh si mati dan bukannya plaintif. Probate bagi estet si mati juga tidak dikeluarkan kepada plaintif. [30] Hal ini kerana semasa plaintif memfailkan permohonan probate, telah terdapat permohonan probate lain yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-32NCVC-3317-11/2022 (Guaman 3317) yang difailkan oleh cucu si mati iaitu anak-anak kepada Pun Chan Wah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan geran probate pada 24 November 2022 dibawah Guaman 3317. [30] Sebagaimana fakta yang dideposkan oleh plaintif dalam Afidavit Sokongan, probate tersebut berdasarkan wasiat si mati bertarikh 27 April 2021 yang disediakan oleh Tetuan Sin & Associates. Namun demikian atas bantahan plaintif-plaintif dalam Guaman 673, probate tersebut telah dipulangkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2023. [31] Selanjutnya saya merujuk wasiat si mati yang disediakan oleh Tetuan Mah Weng Kwai & Associates dan ditunjukkan dalam Ekshibit PCT-2 Afidavit Sokongan. Sekiranya, wasiat si mati diperhatikan hanya ada satu sahaja harta si mati yang disenaraikan iaitu hartanah tersebut yang menjadi hal perkara dalam permohonan pelanjutan kaveat persendirian di sini. [32] Berikut adalah wasiat si mati yang dikemukakan oleh plaintif - [33] Wasiat si mati tersebut bertarikh 4 Ogos 2022. Kaveat persendirian yang dimasukkan oleh simati didaftarkan pada 19 April 2021 iaitu sebelum si mati membuat wasiat tersebut. [34] Meskipun demikian, semasa kaveat persendirian oleh si mati pada 19 April 2021 dan kaveat persendirian oleh plaintif pada 25 Julai 2023 dimasukkan, pindah milik hartanah tersebut daripada si mati dan defendan telah pun didaftarkan seawal 20 Mei 2015. Sejak dari tahun 2015 sehingga sebelum kematian si mati, tiada sebarang tuntutan difailkan terhadap defendan untuk mencabar kesahan perjanjian jual beli dan pindah milik hartanah tersebut. Hal ini menjadikan hak milik defendan pada tahap ini diiktiraf menurut seksyen 340 Kanun Tanah Negara. [35] Selain itu, pindahmilik hartanah tersebut antara si mati dan defendan didaftarkan atas balasan berjumlah RM700,000.00. Ekshibit CSF-1(a) menunjukkan Borang 14A yang ditandatangani oleh si mati dihadapan Wong Thean Liang, peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya. Bahkan saya mendapati pendaftaran pindah milik berlaku selepas Perjanjian Jual Beli bertarikh 21 Mei 2014 dimasuki oleh si mati dan defendan. Hal ini menunjukkan adanya persetujuan antara si mati untuk menjual hartanah tersebut kepada defendan dan defendan membeli hartanah tersebut. [36] Fakta material ini membawa kepada satu kesimpulan bahawa semasa si mati membuat wasiat bertarikh 4 Ogos 2022 untuk hartanah tersebut dibahagi sama rata kepada ahli-ahli waris si mati, hak milik berdaftar hartanah tersebut bukanlah terletak pada si mati, sebaliknya telah pun berada pada defendan. [37] Pemilikan berdaftar defendan atas hartanah tersebut turut disokong dengan bukti bayaran cukai dan cukai pintu hartanah tersebut yang dibiayai oleh defendan sepenuhnya sejak tahun 2015. [38] Dalam hal ini saya bersetuju dengan hujahan peguam cara defendan bahawa plaintif tidak mempunyai sebarang kepentingan yang boleh dikaveatkan atas hartanah tersebut. [39] Selanjutnya Mahkamah Persekutuan dalam kes Score Options Sdn Bhd v Mexaland Development Sdn Bhd (2012) 7 CLJ memutuskan bahawa –