Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI KLANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO.: BL-22NCvC-46-10/2023 ANTARA RAINBOW WELLPACK SDN BHD PLAINTIF DAN YONG SU LING DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN [LAMPIRAN 33 DAN 39]
BL-22NCvC-46-10/2023
High Court of Malaysia3 Jan 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ianya dapat disempurnakan sebelum tarikh perbicaraan. Inilah “roh” sebenar Aturan 34(1) KKM 2012. [24] Mahkamah Rayuan dalam Public Bank Bhd v National Feedlot Corp Sdn Bhd & Ors and another appeal [2018] MLJU 938 memutuskan: “[56] Other relevant reasons for rejecting the inclusion of the rest of the documents sought t”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI KLANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO.: BL-22NCvC-46-10/2023 ANTARA RAINBOW WELLPACK SDN BHD PLAINTIF DAN YONG SU LING DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN [LAMPIRAN 33 DAN 39]
Lampiran
LAMPIRAN 33 Ini adalah permohonan oleh Plaintif di bawah Aturan 34 Kaedah 2(i) dan/ atau Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk perintah-perintah berikut: i. Plaintif diberi kebenaran memfailkan permohonan ini; ii. Plaintif dibenarkan untuk memasukkan menggunakan Ikatan Dokuman Tambahan Plaintif bertarikh 18.10.2024 dan Ikatan 24/01/2025 10:13:15 BL-22NCvC-46-10/2023 Kand. 60 Dokumen Tambahan Plaintif (2) bertarikh 21.10.2024 dalam perbicaraan yang sedang berjalan; iii. Bahawa pemfailan dan penyerahan Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif bertarikh 18.10.2024 dan Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif (2) bertarikh 21.10.2024 tersebut dianggap teratur dan diterima pakai oleh Mahkamah; iv. Bahawa saksi Plaintif dibenarkan untuk dipanggil semula dan pihak Defendan juga diberikan kebebasan untuk menyoal balas semula saksi Plaintif. LAMPIRAN 39 Ini adalah permohonan Plaintif di bawah Aturan 41 Kaedah 4 dan/ atau Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk perintah-perintah berikut: i. Plaintif diberi kebenaran untuk memfailkan permohonan ini; ii. Bahawa Plaintif dibenarkan untuk menggunakan Afidavit Sokongan yang diikrarkan pada 6.11.2024 dalam menyokong permohonan Plaintif di Lampiran 33; iii. Bahawa pemfailan dan penyerahan affidavit sokongan tersebut dianggap sempurna dan teratur. A. ALASAN-ALASAN PERMOHONAN [1] Terdapat dokumen-dokumen yang baru sahaja diperolehi dimana peguamcara Plaintif telah memfailkan dokumen-dokumen tersebut dalam Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif pada 18.10.2024 dan Ikatan Tambahan Plaintif (2) pada 21.10.2024. [2] Kedua-dua Ikatan Dokumen ini telah diserahkan kepada peguamcara Defendan secara serahan e-mel dan tangan yang mana diakui terima oleh peguamcara Defendan. [3] Pada tarikh perbicaraan pertama iaitu pada 22.10.2024, Mahkamah ini telah menolak pemfailan kedua-dua Ikatan Dokumen Tambahan tersebut atas alasan arahan-arahan untuk pemfailan dokumen ini telah diberikan sejak 4.1.2024 dan pemfailan yang dibuat di saat-saat akhir akan menyebabkan peguamcara Defendan tidak mempunyai peluang untuk menyemak dan meneliti Ikatan Dokumen Tambahan tersebut. [4] Pemfailan Ikatan Dokumen tersebut pada 18.10.2024 dan 21.10.2024 bukanlah disengajakan kerana dokumen-dokumen tersebut hanya ditemui dalam simpanan Plaintif pada saat-saat akhir dimana Plaintif hanya menyedarinya setelah perjumpaan dengan peguam Plaintif sebelum perbicaraan. [5] Plaintif menegaskan tujuan pemfailan Ikatan Dokumen Tambahan adalah kerana: i. Mukasurat 1 hingga 3 - untuk menunjukkan bahawa terdapat pembayaran sebanyak RM 45,000.00 dari Defendan kepada Plaintif. Defendan juga mengakui pembayaran tersebut di perenggan 7.20 Pembelaan dan Q & A No. 20 Penyata Saksi Defendan. ii. Mukasurat 4 hingga 18 - ini merupakan sebahagian dokumen yang tercicir dari mukasurat 95 hingga 113 Ikatan Dokumen Bersama. iii. Mukasurat 19 - ini merupakan Sijil menurut Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi perbualan whatsapp di mukasurat 34 Ikatan Dokumen Bersama iv. Mukasurat 20 hingga 21 - boleh diabaikan v. Mukasurat 22 - ini merupakan slip gaji yang telah dikeluarkan bagi menggantikan/ memperbetulkan slip gaji di mukasurat 88 Ikatan Dokumen Bersama Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif (2) vi. Mukasurat 1 - sijil menurut Sesksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi mukasurat 2-8 vii. Mukasurat 9 hingga 23 - ini merupakan rakaman percakapan yang telah difailkan di mukasurat 114 hingga 116 Ikatan Dokumen Bersama dimana terjemahannya sebelum ini telah dibuat dalam Bahasa Inggeris, yang kini telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dan disahkan oleh jurubahasa Mahkamah. viii. Mukasurat 24 - Sijil menurut Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi mukasurat 25. ix. Mukasurat 25 - 26 - Mahkamah menerima kemasukan dokumen ini pada 22.10.2024. x. Mukasurat 27 - Sijil menurut Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi mukasurat 28 xi. Mukasurat 28 - ini merupakan DVD rakaman bagi mukasurat 9 - 23 xii. Mukasurat 29 - 33 - ini merupakan kesinambungan dari mukasurat 95 hingga 113 Ikatan Dokumen Bersama. [6] Tarikh bicara penuh pada 23.10.2024 dan 24.10.2024 dilapangkan oleh Mahkamah kerana Mahkamah mempunyai kes keutamaan yang lain dan pada 23.10.2024 dilapangkan kerana Plaintif tidak mempunyai penterjemah bertauliah yang tersedia bagi dialek Hokkien. Tarikh bicara penuh yang baru telah ditetapkan seterusnya pada 12.12.2024, 7.2.2025 dan 13.2.2025. [7] Plaintif menegaskan sekiranya Ikatan Dokumen Tambahan tersebut diterima oleh Mahkamah, Defendan mempunyai tempoh masa yang mencukupi dan memadai untuk menyemak dan meneliti dokumen-dokumen yang terkandung dalam Ikatan Dokumen Tambahan bagi tarikh sambung bicara yang akan datang. Tambahan lagi Ikatan Dokumen Tambahan telah diserahkan kepada Defendan sejak 22.10.2024 lagi. [8] Defendan tidak akan diprejudiskan dengan pemfailan Ikatan Dokumen Tambahan ini kerana perbicaraan masih belum berakhir dimana hanya satu saksi Plaintif sahaja selesai memberi keterangan manakala saksi kedua Plaintif masih sedang diperiksa balas oleh Defendan. Adalah penting kedua-dua Ikatan Dokumen ini dibenarkan menjadi sebahagian Ikatan Dokumen dalam perbicaraan ini demi keadilan. [9] Untuk Lampiran 39 pula, terdapat keciciran dalam affidavit sokongan yang diikrarkan oleh Phuah Siew Bah untuk menyokong Lampiran 33. Keciciran itu adalah sepatutnya terdapat jurat untuk terjemahan pada mukasurat 6 afidavit sokongan tersebut kerana deponent (Phuah Siew Bah) memerlukan penterjemah untuk menterjemahkan kandungan affidavit tersebut kedalam dialek Hokkien. Keciciran tersebut tidak disengajakan dan peguamcara Plaintif iaitu Cik Peggy Ang Hui Wen telah menterjemahkan isi kandungan affidavit tersebut kepada deponent di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Oleh kerana mengejar masa untuk memfailkan afidavit ini, maka jurat terjemahan tersebut telah tercicir semasa penyediaan affidavit ini. B. JAWAPAN DEFENDAN [10] Defendan membantah pemfailan Ikatan-Ikatan Dokumen Tambahan ini. Bagi afidavit sokongan kepada Lampiran 33, ianya adalah cacat dan defektif kerana peguamcara Plaintif pada 22.10.2024, memberitahu Mahkamah bahawa saksi Phua Siew Bah iaitu deponent kepada affidavit tersebut memerlukan khidmat jurubahasa Hokkien kerana dia tidak fasih berbahasa melayu. Namun jika dilihat pada affidavit sokongan, tiada jurat terjemahan dan ianya jelas dan nyata bahawa “penterjemahan tidak diperlukan”. Persoalan yang timbul samada deponent bernama Phua Siew Bah sebenarnya memerlukan khidmat jurubahasa atau tidak. Sekiranya deponent memerlukan khidmat jurubahasa , maka affidavit sokongan tersebut tidak boleh diterima oleh Mahkamah. Namun, seandainya Phua Siew Bah fasih berbahasa melayu dan tidak memerlukan khidmat jurubahasa, maka adakah peguamcara Plaintif tidak memberikan penyataan yang sebenarnya kepada Mahkamah, C. KEPUTUSAN MAHKAMAH [11] Lampiran 33 adalah permohonan Plaintif di bawah Aturan 32 Kaedah 2(i) dan/ atau Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk kebenaran memasukkan dan mengguna pakai Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif yang difailkan pada 18.10.2024 dan Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif (2) bertarikh 21.10.2024 dalam perbicaraan yang sedang dijalankan pada 22.10.2024. Lampiran 39 pula untuk kebenaran menggunakan affidavit sokongan kepada Lampiran 33 yang diikrarkan oleh deponen (Phua Siew Bah) tanpa jurat memadangkan deponen tidak fasih berbahasa melayu dan hanya memahami dialek Hokkien. [12] Peguamcara Defendan membangkitkan bantahan atas Lampiran 39 untuk mengguna pakai affidavit sokongan yang diikrarkan oleh Phua Siew Bah bagi menyokong Lampiran 33. Ini adalah kerana affidavit sokongan bertarikh 6.11.2024 yang difailkan oleh Plaintif adalah cacat dan defektif kerana Plaintif gagal mematuhi Aturan 41 Kaedah 1(7) dan (8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 iaitu affidavit sokongan itu difailkan tanpa jurat penterjemahan. Peguamcara Plaintif telah memaklumkan Mahkamah pada 22.10.2024, bahawa Phua Siew Bah tidak fasih bahasa melayu dan memerlukan penterjemah dalam dialek Hokkien. Oleh itu, pada pandangan Mahkamah Phua Siew Bah tidak fasih berbahasa melayu dan semestinya tidak faham bahasa melayu. Aturan 41 Kaedah 1(7) dan (8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan: “Form of affidavit (O. 41, r 1) (7) Every affidavit shall be signed by the deponent and the jurat shall be completed and signed by the person before whom it is sworn. (8) A jurat shall be in one of the Forms 74”. [13] Peguamcara Plaintif dalam menjawab kepada bantahan ini menyatakan walaupun affidavit itu tidak mempunyai jurat, ianya masih boleh digunakan dan tidak defektif. Didalam kes ini, Mahkamah telah diberitahu oleh Peguamcara Plaintif ketika perbicaraan penuh bahawa Phua Siew Bah tidak fasih berbahasa melayu dan memerlukan jurubahasa Hokkien. Inilah antara sebab tarikh perbicaraan pada 23.10.2024 dilapangkan kerana jurubahasa Hokkien yang dilantik oleh Plaintif tidak lapang pada tarikh tersebut, [14] Namun begitu, jika dilihat pada affidavit sokongan kepada Lampiran 33 yang difailkan di Mahkamah; langsung tiada jurat bagi penterjemahan dan jelas pada mukasurat affidavit dimana deponent tandatangan tertera “penterjemahan tidak diperlukan”. Jika benar deponen memerlukan penterjemahan kandungan affidavit tersebut dalam bahasa Hokkien dan menurutnya ianya telah diterjemahkan oleh peguamcaranya, hakikatnya affidavit tersebut tidak menunjukkan sedemikian. Afidavit tersebut masih cacat dan defektif kerana gagal mematuhi Aturan 41 kaedah 1(8) KKM 2012. Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguamcara Defendan, seandainya benar terjemahan kandungan affidavit itu dibuat oleh peguamcara Plaintif iaitu Cik Peggy Ang Hui Wen, dalam bahasa dan/ atau dialek apakah yang diterjemahkan kepada deponent kerana Mahkamah telah diberitahu ketika perbicaraan bahawa deponent hanya faham bahasa dan/ atau dialek Hokkien. Jurat dalam konteks affidavit ini bukan sekadar untuk memenuhi kehendak Aturan 41 kaedah 1(7) dan (8) KKM 2012 tetapi untuk memastikan bahawa deponent faham apa kandungan affidavit dan tahu apa yang diikrarkan olehnya. Oleh itu Lampiran 39 diitolak oleh Mahkamah. Lampiran 33 [15] Di Mahkamah Tinggi Klang, setiap arahan untuk perbicaraan penuh adalah datang dari Hakim yang membicarakan kes itu sendiri. Pihak-pihak diarahkan hadir untuk mendapatkan arahan untuk dokumen-dokumen pra perbicaraan. Arahan diberi dalam kehadiran peguamcara yang mengendalikan kes iaitu Puan Suraya binti Sanusi iaitu peguamcara Plaintif dan Puan Renuka Krishnasamay peguamcara Defendan. [16] Dalam kehadiran kedua-dua peguamcara ini, arahan diberikan oleh Hakim Bicara untuk pemfailan Ikatan Dokumen-dokumen yang akan digunakan untuk perbicaraan pada atau sebelum 2.9.2024 dan perbicaraan penuh telah ditetapkan pada 22.10.2024 sehingga 25.10.2024. Hakim Bicara menegaskan pihak-pihak tidak sepatutnya memfailkan sebarang Ikatan Dokumen lewat melepasi tarikh-tarikh pemfailan KECUALI tiada bantahan dari mana-mana pihak. Ini penting bagi memastikan kelancaran perngurusan kes dan pihak-pihak tidak menggunakan hari perbicaraan untuk memfailkan Ikatan Dokumen baru, dan pihak lawan akan memohon penangguhan untuk meneliti Ikatan Dokumen baru bagi mendapatkan arahan anak guam dan kemungkinan untuk menukar penyata saksi adalah perlu bagi menagani apa yang dinyatakan didalam Ikatan Dokumen yang baru itu, walaupun pihak-pihak telah menukar penyata saksi sebelum ini. [17] Mahkamah kemudian memberikan lanjutan masa untuk pihak-pihak memfailkan Ikatan Dokumen pra perbicaraan dan pada 2.10.2024 semua Ikatan Dokumen telah disempurnakan dan penyata-penyata saksi telah difailkan dan ditukar pada 7.10.2024. Pada 4.10.2024 melalui pengurusan kes secara Zoom di hadapan Hakim Bicara, peguamcara Plaintif dan Defendan telah mengemas kini status pemfailan Ikatan Dokumen, dimana pihak-pihak bersedia untuk perbicaraan. Tidak pada bila-bila masa, peguamcara Plaintif memaklumkan bahawa ada dokumen tambahan perlu difailkan. Hanya pada 18.10.2024, iaitu (4) hari sebelum perbicaraan, Peguamcara Plaintif memfailkan Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif (1) dan serahan kepada peguamcara Defendan adalah pada 21.10.2024 sehari sebelum perbicaraan. [18] Pada 22.10.2024 iaitu hari perbicaraan, peguamcara Plaintif memaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka ada memfailkan Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif (1) dan (2) untuk digunakan dalam perbicaraan ini. Peguamcara Defendan membantah kepada kemasukan dan penggunaan Ikatan Dokumen Tambahan ini kerana ianya difailkan di saat-saat akhir. Mahkamah menerima bantahan peguamcara Defendan (kerana berpegang kepada arahan ketika dalam pengurusan kes pada 4.1.2024). Mahkamah memberi pilihan kepada peguamcara Plaintif untuk memilih samada meneruskan kes tanpa Ikatan Dokumen Tambahan (1) dan (2) atau kes ditangguh ke tarikh lain. Peguamcara Plaintif memilih untuk meneruskan kes tanpa Ikatan Dokumen Tambahan (1) dan (2). [19] Peguamcara Plaintif menghujahkan adalah demi keadilan bahawa kedua-dua Ikatan Dokumen Tambahan ini diterima masuk. Kononnya kedua-dua dokumen ini hanya disedari oleh Plaintif ketika perbincangan dengan peguam mereka. Kemasukan kedua-dua Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif ini tidak akan memprejudiskan Defendan kerana peguamcara mereka masih mempunyai masa untuk meneliti dan melihat kepada kandungan kedua-dua Ikatan Dokumen Tambahan kerana perbicaraan belum berakhir dan peguamcara Plaintif masih berpeluang menyoal balas saksi-saksi Plaintif. [20] Mahkamah Persekutuan di dalam Hong Leong Finance Bhd v Low Thiam Hoe and another appeal [2016] 1 MLJ 301 menegaskan betapa pentingnya pihak-pihak mematuhi arahan Mahkamah yang diberi ketika pengurusan kes. Didalam kes Hong Leong Finance Bhd (supra), Mahkamah Persekutuan menegur pihak yang sengaja melewat-lewatkan pemfailan permohonan untuk meminda pliding walaupun beberapa kali pengurusan kes telah diadakan. Didalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Aturan 34 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 adalah memberikan kuasa kepada Mahkamah seumpama “steering power” untuk memastikan pihak- pihak dan/ atau litigant mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh Mahkamah ketika pengurusan kes dan bukan menjadikan ianya sebagai satu cara untuk melengah-lengahkan perbicaraan. Sebarang kelewatan untuk pemfailan apa juga permohonan hendaklah disertakan dengan alasan munasabah dan bukan sebagai satu “tactical manoeuvre” [21] Didalam kes ini, arahan untuk pemfailan Ikatan-ikatan dokumen diberikan oleh Hakim Bicara sendiri dengan dihadiri oleh peguamcara yang mengendalikan perbicaraan 9 bulan sebelum tarikh perbicaraan dan 3 minggu sebelum tarikh perbicaraan adalah untuk mengemas kini semua Ikatan-Ikatan Dokumen yang perlu dan Plaintif tidak menggunakan peluang 9 bulan sebelum perbicaraan bermula untuk memastikan dokumen-dokumen yang mereka ingin failkan dalam Ikatan Dokumen Tambahan (1) dan (2) adalah perlu. Peguamcara Plaintif juga sepatutnya pada 2.10.2024 ketika pengurusan kes terakhir sebelum perbicaraan memaklumkan kepada Mahkamah bahawa terdapat dokumen-dokumen tambahan perlu dimasukkan, untuk Mahkamah memberi arahan lanjut (jika perlu) atau mendapatkan persetujuan peguamcara Defendan bagi membolehkan kedua-dua Ikatan Dokumen Tambahan itu dibawa masuk dan diguna pakai; namun Peguam Plaintif berdiam diri dan hanya mengatakan sedia untuk perbicaraan. [22] Jika isu keadilan kepada Plaintif ditimbulkan oleh peguamcara Plaintif, bagaimana pula dengan keadilan atas Defendan dan masa Mahkamah yang dibazirkan untuk mendengar permohonan Lampiran 33 dan 39 yang tidak sepatutnya berlaku seandainya peguamcara Plaintif mengambil langkah proaktif dalam memastikan semua Ikatan Dokumen lengkap telah dimasukkan. [23] Pengurusan kes diadakan bukan untuk mengajar peguamcara-peguamcara yang terpelajar bagaimana untuk mengendalikan kes anak guam mereka. Mahkamah hanya menyediakan satu platform melalui Aturan 34 KKM 2012 untuk pihak-pihak mengikutinya bagi memastikan Ikatan-Ikatan Dokumen yang perlu untuk membuktikan kes pihak-pihak difailkan tanpa sebarang kelengahan. Begitu juga dengan permohonan interlokutori, hendaklah difailkan seawal mungkin agar tidak menyebabkan perbicaraan penuh terpaksa ditangguhkan (yang pastinya tarikh telah dimaklumkan lebih awal kepada pihak-pihak) untuk memberi laluan kepada permohonan interlokutori. Kewujudan Aturan 34 (1) didalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 adalah untuk memastikan masa Mahkamah dan pihak-pihak tidak dibazirkan dalam memastikan perjalanan perbicaraan yang lancar. Pihak-pihak diberi masa yang mencukupi untuk saling berhubung berkaitan pemfailan Ikatan Dokumen agar ianya dapat disempurnakan sebelum tarikh perbicaraan. Inilah “roh” sebenar Aturan 34(1) KKM 2012. [24] Mahkamah Rayuan dalam Public Bank Bhd v National Feedlot Corp Sdn Bhd & Ors and another appeal [2018] MLJU 938 memutuskan: “[56] Other relevant reasons for rejecting the inclusion of the rest of the documents sought to be adduced is the very late stage at which the plaintiffs sought to produce these documents. Such delay was glaringly apparent in view of the fact that there had been as many as 22 case management sessions over a period of five years, during which these documents could easily have been made available. These documents should have been available at the very outset or soon after the filing of the claim. [57] There has been no reasonable explanation for the inordinate delay…. [64] It is trite that voluminous bundles of documents cannot be introduced as parties see fit at any stage of the proceedings, particularly after trial has commenced. This would give rise to serious prejudice to the adverse who would have to realign its case and possibly counter those documents with documents of its own. [65] This would effectively derail the entire trial process …… [65] Such a consequence would render case management procedures, not to mention pleadings nugatory. It would also undermine the very purpose of adversarial litigation which is the foundation of our system of adjudication.” [25] Plaintif yang memfailkan tuntutan ini atas Defendan, maka demi kepentingan mereka dan keadilan untuk mereka sendiri, maka Plaintif harus memastikan bahawa tindakan mereka harus dibicarakan secepat mungkin dan berjalan pada tarikh yang ditetapkan tanpa sebarang halangan. Ini tidak berlaku dalam kes ini kerana empat (4) hari sebelum perbicaraan iaitu 18.10.2024 dan pada hari perbicaraan, baru Plaintif sedar ada dokumen yang tidak mencukupi untuk kes mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana tempoh dan jarak masa dari tarikh mereka memfailkan tuntutan keatas Defendan dengan tarikh perbicaraan adalah hampir setahun. Tuntutan difailkan oleh Plaintif atas Defendan adalah pada 24.10.2023 dan perbicaraan penuh ditetapkan pada 22.10.2024 sehingga 25.10.2024. Oleh itu seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam Public Bank Bhd v National Feedlot (supra) semua dokumen-dokumen yang dimasukkan dalam Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif (1) dan (2) telah ada dan sepatutnya ada dalam simpanan Plaintif dan telah diserahkan kepada peguamcara mereka. [26] Mahkamah juga pada 22.10.2024, telah membuat keputusan untuk menolak penerimaan masuk kedua-dua Ikatan Dokumen Tambahan dan peguamcara Plaintif akur dan telah meneruskan kes dengan memanggil SP1 memberi keterangan dan SP1 juga telah disoal balas dan juga telah melalui pemeriksaan semula oleh peguamcara Plaintif. Kini Plaintif perlu memanggil SP2 untuk memberi keterangan. Oleh itu, adalah jelas, Mahkamah ini telah ‘functus officio’ dan tidak boleh memberikan keputusan yang bertentangan dengan apa yang telah dilafazkan pada 22.10.2024 di Mahkamah Terbuka. [27] Mahkamah perlu tegas dalam memastikan arahan-arahan yang diberi ketika pengurusan kes dipatuhi oleh pihak-pihak; jika tidak arahan-arahan yang diberi ketika pengurusan kes akan menjadi sia-sia dan pihak-pihak tidak akan memandang serius arahan-arahan pemfailan Ikatan Dokumen ini dan akan menyebabkan perbicaraan akan terganggu. Keengganan Mahkamah membenarkan dokumen-dokumen difailkan lewat iaitu ianya difailkan menghampiri hari perbicaraan atau pada hari perbicaraan sendiri bukan untuk berlaku tidak adil pada pihak yang memohon tetapi perlu juga berlaku adil pada pihak yang akan terkesan dengan tindakan pihak yang tidak mematuhi arahan-arahan Mahkamah dalam pra perbicaraan. [28] Berdasarkan alasan-alasan diatas Mahkamah memutuskan untuk menolak Lampiran 33 dan Lampiran 39 dengan kos sebanyak RM3,000 untuk setiap Lampiran. Bertarikh 3 Januari 2025 t.t. (NORLIZA BINTI OTHMAN) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MAHKAMAH TINGGI MALAYA KLANG PEGUAM CARA BAGI PIHAK PLAINTIF : Tetuan Yong & Rakan Rakan, Klang No. 12-1 (1st Floor), Jalan Tiara 2D/Ku1, Bandar Baru Klang, 41150 Klang, Selangor Darul Ehsan PEGUAM CARA BAGI PIHAK DEFENDAN : Tetuan V. Samy Renu & Co. 22, Jalan Bagor, Taman Petaling Indah, 41200 Klang, Selangor
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.