OKT melakukan sedemikian dengan niat untuk melakukan sesuatu kesalahan [51] Dalam kes Mahkamah Tinggi, PP v Tee Chong Eu [2017] 1 LNS 688 telah diputuskan bahawa bagi menyabitkan OKT dengan pertuduhan pencerobohan rumah di bawah seksyen 448 Kanun Keseksaan, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa tindakan OKT memasuki rumah tersebut perlu bersama dengan niat untuk melakukan jenayah, menakutkan, mengaibkan atau menggusarkan mana-mana pemilik rumah tersebut: “Applying the principle as laid down by the case above, I find that to bring home the charge of criminal trespass, the prosecution must prove that the entry took place with the intent to intimidate, insult or annoy or against the law as in the present charge. It must be proved that some criminal intent was present in the mind of the accused at the time of entry and mere knowledge that the entry will annoy the occupant of the premises is not sufficient.” [52] Maka, bagi elemen ketiga, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan bahawa OKT telah memasuki rumah tersebut dengan niat untuk melakukan suatu perbuatan jenayah atau untuk menakutkan, mengaibkan, atau menggusarkan SP1 dan/ atau SP5. [53] Sekiranya benar OKT memasuki rumah tersebut dengan niat untuk melakukan sesuatu perbuatan yang salah atau jenayah, sudah tentu akan wujud unsur-unsur lain seperti kecurian, pecah rumah, atau niat untuk menyebabkan kerosakan. [54] Pihak pendakwaan melalui keterangan saksi-saksinya telah berhujah bahawa elemen niat untuk menceroboh dibuktikan melalui keadaan pintu pagar rumah tersebut di mana wayar ‘autogate’ didapati terputus serta S/N BfIdeB0G7U6qVkfkuG2nw terdapat kesan umpil pada pintu ‘sliding door’. Menurut keterangan SP1 dan SP2, kedua-dua kerosakan ini tidak wujud semasa mereka meninggalkan rumah tersebut ke Tapah. SP5 juga menyatakan bahawa apabila naik ke tingkat atas, beliau mendapati pintu almari terbuka dan modem internet telah tiada. [55] Walaupun SP1 dan SP5 menyatakan bahawa wayar ‘autogate’ telah dipotong, sama ada ianya dipotong oleh OKT tidak pernah dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Mahkamah telah meneliti keterangan SP4, yang menyatakan bahawa apabila beliau tiba di rumah tersebut, beliau mendapati wayar ‘autogate’ telah terputus, namun ianya tidak dipotong oleh OKT. Sebaliknya, OKT hanya menggunakan kaedah yang telah diketahui olehnya untuk membuka pintu pagar dengan memutar skru motor ‘autogate’. Selain itu, SP2 juga menyatakan bahawa beliau tidak melihat OKT memotong wayar ‘autogate’ tersebut. [56] Berkenaan kesan umpil pada pintu ‘sliding door’ juga tidak dibuktikan dilakukan oleh OKT. Menurut keterangan SP4, OKT hanya mengangkat dan menolak pintu ‘sliding door’ tersebut tanpa menggunakan sebarang peralatan. SP6 turut mengesahkan bahawa tiada sebarang peralatan seperti pemotong atau peralatan lain yang boleh digunakan untuk memotong wayar atau mengumpil pintu dirampas daripada OKT. SP6 juga gagal menyiasat dan mengesahkan keadaan sebenar ‘autogate’ dan ‘sliding door’ tersebut sebelum kejadian berlaku. [57] Selain itu, keadaan rumah tersebut menurut SP3 dan SP6 adalah dalam keadaan baik dan tidak berselerak semasa mereka hadir ke rumah tersebut. Tambahan pula, walaupun SP5 menyatakan bahawa modem internet telah hilang, keterangan menunjukkan bahawa modem tersebut adalah milik OKT sendiri. Tiada pengesahan lanjut daripada SP6 berkenaan modem tersebut, dan tiada aduan kehilangan barangan lain dari rumah berkenaan. [58] Maka, berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa tiada elemen niat yang dibuktikan bahawa OKT bertindak untuk S/N BfIdeB0G7U6qVkfkuG2nw melakukan sebarang jenayah atau kerosakan terhadap rumah atau barangan di dalam rumah tersebut. [59] Seterusnya, pihak pendakwaan berhujah bahawa tindakan OKT memasuki rumah tersebut selepas perceraian dengan SP5 tanpa kebenaran terlebih dahulu telah menyebabkan kegusaran dan ketakutan kepada SP1 dan SP5. [60] Namun demikian, keterangan SP2 dan SP5 jelas menunjukkan bahawa SP5 dan anaknya telah keluar dari rumah tersebut sejak pengesahan perceraian pada November 2020 dan menetap bersama ibu bapanya di Tapah. Perkara ini juga diketahui oleh OKT seperti yang dinyatakan oleh SP4. [61] Selain itu, Mahkamah mendapati bahawa berdasarkan keterangan SP2 dan SP4, OKT telah memasuki rumah tersebut pada waktu tengah hari, dilihat oleh SP2 yang merupakan jiran SP1. OKT juga masih berbual dengan SP2 walaupun mengetahui hubungan rapat SP2 dengan SP1, dan membawa SP4 ke rumah tersebut tanpa bersembunyi. [62] Mahkamah turut mengambil kira keterangan mengenai perwatakan OKT yang disifatkan sebagai seorang yang baik oleh SP2 sepanjang mengenali OKT, dan oleh SP1 sendiri, sebagai fakta yang relevan untuk menunjukkan bahawa OKT tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk melakukan perbuatan yang boleh menakutkan atau menggusarkan SP1 atau SP5. [63] Berdasarkan fakta-fakta di atas, Mahkamah memutuskan bahawa unsur niat OKT untuk menakutkan, mengaibkan atau menggusarkan SP1 dan/atau SP5 juga gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. S/N BfIdeB0G7U6qVkfkuG2nw Isu-isu lain [64] Terdapat beberapa isu lain yang telah dihujahkan oleh pihak pembelaan. Bagi tujuan alasan penghakiman ini, Mahkamah hanya akan membincangkan isu-isu penting yang telah diambil kira dalam membuat keputusan kes ini.