Seseorang pengendali berlesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan pada lessen pengendali itu di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. [12] Berdasarkan seksyen di atas, adalah jelas bahawa julat hukuman berbentuk denda adalah agak besar iaitu ‘tidak kurang daripada RM1000 tetapi tidak lebih daripada RM500,000’. Dengan demikian, penentuan kuantum denda terletak dalam budi bicara mahkamah yang wajib dilaksanakan secara kehakiman menurut prinsip pencegahan, konsistensi dan kepentingan awam. Berdasarkan seksyen di atas, mahkamah ini percaya bahawa seksyen ini bertujuan untuk memastikan pematuhan ketat terhadap syarat-syarat lesen pengendali khususnya had berat dengan muatan (BDM). Peruntukan ini bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna jalan raya serta integriti infrastruktur. Oleh itu, mahkamah ini percaya bahawa hukuman bagi perlanggaran seksyen ini mesti dinilai bukan sekadar pada kesan serta-merta tetapi juga pada risiko yang diundang. [13] Merujuk kepada fakta bagi kes ini, lori bernombor pendaftaran RAB 4178 telah membawa muatan sehingga 46,240 kg berbanding BDM yang dibenarkan iaitu 24,000kg dan hal ini ia membawa kepada lebihan sebanyak 22,240 kg atau 92.67% di atas had yang dibenarkan. Angka ini pada hemat mahkamah adalah sangat tinggi dan serius kerana lebihan muatan pada skala sedemikian meningkatkan risiko kegagalan sistem brek dan kestabilan kenderaan, memanjangkan jarak membrek dan mempercepat kehausan komponen kritikal. Secara prinsip, semakin tinggi peratus lebihan maka semakin berat keperluan hukuman untuk tujuan pencegahan umum. [14] Selain itu, kesalahan yang dilakukan oleh OKS dalam kes ini bersifat kesalahan perlanggaran terus terhadap syarat lesen pengendali sebagaimana yang telah digariskan oleh Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010. Kegagalan mematuhi syarat lesen, pada hemat mahkamah bukan sekadar ketidakpatuhan secara teknikal tetapi hal ini turut menggugat asas keizinan pengawalseliaan yang menjadi syarat kepada pengendalian kenderaan barangan berat di ruang awam. [15] Walau bagaimanapun, mahkamah turut mengambil kira faktor meringankan yang telah dikemukakan oleh pihak pembelaan. Pertama, OKS telah mengaku salah di peringkat awal prosiding sekali gus menjimatkan masa dan kos mahkamah. Kedua, mahkamah dimaklumkan bahawa ini merupakan kesalahan pertama OKS dan ini hanyalah merupakan satu kesalahan lalulintas sahaja. Ketiga, mahkamah juga dimaklumkan bahawa kenderaan motolori yang disita adalah merupakan asset utama syarikat OKS di mana tanpa kenderaan motolori ini OKS tidak dapat menjalankan operasi syarikat sekaligus akan menjejaskan syarikat serta kakitangan syarikat. [16] Mahkamah ini dalam menjatuhkan sebarang hukuman denda hendaklah mengambil kira bahawa pengakuan salah merupakan satu faktor mitigasi yang perlu diambil kira memandangkan pengakuan salah yang dibuat di peringkat awal kes bukan sahaja menjimatkan masa dan kos Mahkamah tetapi juga menunjukkan keinsafan awal pihak OKS. Prinsip ini ada ditekankan dalam Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur iaitu kes MD Jahangir v PP [2020] MLRHU 152 di mana telah dinyatakan seperti berikut: [36] A guilty plea is a factor that should always be taken into account in assessing the appropriate sentence. This is well-settled. In the majority decision of the Federal Court in Sau Soo Kim v Publis Prosecutor [1975] 1 MLRA 176; [1975] 2 MLJ 134 Lee Hun Hoe CJ (Borneo) held as follows: “Whether a person is a hardened criminal or not, I feel that a plea of guilty should be treated as a mitigating factor. It not only serves the country a great expense of a lengthy trial but also saves time and inconvenience of many, particularly the witnesses…” [17] Oleh itu, dalam kes ini, mahkamah ini telah mengambil kira bahawa OKS telah membuat pengakuan salah di peringkat awal kes ini dan menjimatkan masa dan kos mahkamah sekaligus menunjukkan bahawa OKS telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan. Mahkamah ini berpuas hati jumlah denda yang dikenakan terhadap OKS adalah jumlah yang sewajarnya untuk memberikan pengajaran kepada OKS serta industri lain di luar sana bahawa Mahkamah mengambil serius akan kesalahan ini memandangkan kesalahan ini mendatangkan bahaya kepada nyawa pengguna jalan raya yang lain. [18] Selanjutnya, prinsip kesepadanan (‘proportionality’) menuntut hukuman diletakkan pada spektrum yang mencerminkan kedua-dua sisi iaitu keseriusan objektif dan keadaan khas tertuduh. Dalam erti kata lain, hukuman hendaklah cukup berat untuk menzahirkan pencegahan namun tidak sehingga menjadi keterlaluan terhadap pesalah pertama. Mahkamah Rayuan dalam kes PP v Abdul Halim Ishak & Ors [2013] MLRAU 235 menyatakan: “…denunciation, in the context of sentencing, is achieved by the imposition of a sentence the severity of which makes a statement that the offence in question is not to be tolerated by society either in general or in a specific instance. The statement made may be directed at any combination of the public at large, victims, potential offenders and individual offenders. In part, its aims are similar to that of deterrence, it has also been seen to be associated with retribution.” [19] Berdasarkan otoriti di atas, walaupun mahkamah ini telah mengambil kira pengakuan salah awal OKS sebagai satu faktor mitigasi yang signifikan, Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman tidak boleh mengabaikan elemen keadilan retributif yang merupakan salah satu objektif penting dalam menjatuhkan hukuman. Berdasarkan otoriti di atas, penjatuhan hukuman adalah dicapai dengan mengenakan hukuman yang cukup berat untuk menyampaikan mesej jelas bahawa kesalahan berkenaan tidak boleh ditoleransi oleh masyarakat sama ada dalam bentuk umum atau khusus. Prinsip ini menuntut agar hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja menghukum pesalah tetapi juga memberi amaran keras kepada masyarakat dan industri berkaitan. [20] Prinsip kesepadanan menuntut hukuman diletakkan pada spektrum yang mencerminkan kedua-dua sisi iaitu keseriusan objektif dan keadaan khas tertuduh. Dalam erti kata lain, hukuman hendaklah cukup berat untuk menzahirkan pencegahan namun tidak sehingga menjadi keterlaluan terhadap pesalah pertama. Dengan julat statutori yang sangat luas iaitu RM1000 – RM500,000, penetapan denda pada RM30,000 meletakkan kes ini di atas ambang minimum dan dengan jelas berada di luar zon kesalahan ringan. Pada masa yang sama, hukuman denda ini tidak menghampiri julat atas yang lazim diperuntukkan bagi kes-kes yang memperlihatkan faktor pemberatan seperti rekod berulang, jenis muatan berbahaya atau elemen membahayakan yang nyata. [21] Dalam menjatuhkan hukuman denda ini, mahkamah ini telah mengambil kira keseluruhan fakta bagi kes ini dengan mengambil kira kepentingan awam iaitu hak pengguna jalan raya yang berhak kepada perlindungan daripada risiko yang timbul daripada kenderaan lebih muatan tetapi pada masa yang sama, mahkamah ini turut percaya bahawa undang-undang tidak bertujuan memusnahkan entiti komersial pesalah kali pertama secara serta-merta apabila matlamat pencegahan boleh tercapai melalui denda yang sewajarnya. Sehubugan itu, mahkamah ini berpuas hati bahawa jumlah hukuman denda yang diberikan iaitu sebanyak RM30,000 adalah wajar dan terletak kukuh dalam julat statutori Seksyen 57(3) APAD 2010 selain mencerminkan keseriusan objektif melalui amaun yang signifikan. ISU 2: SAMA ADA PERINTAH PELUCUTHAKAN KENDERAAN MOTOLORI YANG DISITA MERUPAKAN SATU PERINTAH YANG WAJAR [22] Isu kedua yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah sama ada perintah perlucuthakan kenderaan motolori yang disita tersebut kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam darat merupakan satu perintah yang wajar bagi kes ini. Dalam menentukan isu ini, Seksyen 57 APAD 2010 hendaklah dibaca bersama Seksyen 80 Akta yang sama di mana Seksyen 80 memperuntukkan sedemikian: Seksyen 80 Kuasa untuk menyita kenderaan yang berkaitan bagi kesalahan tertentu