(iii) Bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran yang direkodkan terhadap Defendan pada 3.7.2023 diketepikan dan Defendan diberikan kebenaran untuk memasukkan kehadiran A. ALASAN-ALASAN PERMOHONAN [1] Penyampaian Writ Saman dan Penyata Tuntutan adalah tidak teratur. Ini adalah kerana alamat penyampaian Writ Saman seperti yang tertera pada perenggan 2 Penyataan Tuntutan adalah alamat lama Defendan dan dia tidak lagi tinggal disitu dan telah berpindah sejak 2017. [2] Plaintif mempunyai pengetahuan tentang perpindahan Defendan kerana dia dan isterinya hadir menghadiri upacara sembahyang di rumah bekas isteri Defendan di Block 5-14-02, Park Avenue Condominium, Jalan PJ 1/52, Taman Petaling Utama, 46150 Petaling Jaya Selangor pada tahun 2017. Plaintif sengaja memberikan alamat lama Defendan didalam Penyata Tuntutan dimana Defendan tidak lagi tinggal di alamat tersebut. [3] Terdapat suatu perbincangan antara Defendan dan Plaintif dalam kehadiran rakan saya Jasbir Singh. Plaintif telah bertanya kepada saya dimanakah kertas-kertas kausa harus diserahkan, saya maklumkan kepada Plaintif hendaklah dihantar ke alamat perniagaan saya. [4] Defendan mempunyai pembelaan yang bermerit. Plaintif dan Defendan adalah berkawan dan mereka telah melabur dalam perniagaan Ezycash Resources iaitu pemberi wang berlesen. Plaintif melaburkan wangnya ke dalam perniagaan tersebut manakala Defendan pula melabur masa, membayar sewa dan bil-bil uitiliti lain dan membawa pelanggan-pelanggan ke dalam perniagaan tersebut. [5] Pelaburan tersebut tidak tercapai apabila pelanggan-pelanggan gagal untuk membayar balik wang yang diberi pinjam. Defendan menafikan menandatangani perjanjian pinjaman untuk RM1,500,000.00 dan menafikan menerima wang ini dalam bentuk tunai. B. JAWAPAN PLAINTIF [6] Bagi isu alamat penyampaian Defendan, tiada bukti bahawa alamat No 16, Jalan Limau Kasturi 9/KS3, Off Jalan Tepi Sungai, 41100 Klang Selangor bukan alamat Defendan. Defendan hanya mengemukakan mukasurat pertama dan kedua perjanjian jual beli itu dan bukan keseluruhannya. Plaintif menyatakan alamat yang tepat adalah alamat kediaman yang dinyatakan didalam salinan kad pengenalan Defendan yang diserahkan kepada Plaintif. [7] Plaintif melalui peguamnya juga telah menyerahkan sesalinan Writ dan Penyataan Tuntutan ke alamat perniagaan Defendan di Akkal Recovery Sdn. Bhd., Unit 09-01, Menara K1, No. 1 Lorong 3/137C, Off Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur dan Unit 5-14-02, 11200 Park Avenue, Jalan PJS 1/52, Petaling Utama, Petaling Jaya. Kertas kausa telah diteima oleh pekerja Defendan dan Defendan telah dimaklumkan oleh pekerjanya berkenaan penyerahan kertas kausa tersebut. Defendan gagal mengambil langkah untuk memasukkan kehadiran. [8] Defendan telah mengambil sejumlah RM1,500,000.00 dari Plaintif sebagai pinjaman peribadi untuk kegunaan Defendan. Defendan telah menandatangani perjanjian pinjaman dan Plaintif tidak mempunyai pengetahuan berkenaan kewujudan syarikat Ezycash Resources Sdn. Bhd. C. KEPUTUSAN MAHKAMAH [9] Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa untuk membolehkan sesuatu penghakiman ingkar itu diketepikan selaras dengan Aturan 42 kaedah 3 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 selain permohohon hendaklah difailkan dalam masa 30 hari selepas menerima penghakiman itu, Pemohon hendaklah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa penghakiman ingkar yang diperolehi adalah tidak teratur dan jika teratur; pemohon mempunyai pembelaan bermerit. [10] Mahkamah Persekutuan dalam Lai Yoke Ngan v Chin Teck Kwee & Anor [1997] 2 MLJ 565 telah memutuskan bahawa: “The principle of setting aside a default judgment under O 13 r 8 has been well established and need no detailed repetition. What is important to observe is that a default judgement is not a judgment on merits. Accordingly, when such judgment is obtained irregularly, such irregularity would be a sufficient ground by itself for setting it aside. But where the default judgment has been obtained regularly, in order to succeed, the defendant must file an affidavit of merits, i.e. the defendant must disclose by affidavit evidence that prima facie he has a defence on the merits. Put in another way, the affidavit must disclose that he has an arguable or triable issue on the merits (see Evans v Bartlam [1937] AC 473) …...” [11] Didalam kes ini, Plaintif bukan sahaja menyerahkan kertas kausa dialamat kediaman Defendan yang tertera didalam salinan kad pengenalan Defendan iaitu No. 16, Jalan Limau Kasturi 9/KS3, Off Jalan Tepi Sungai 41100 Klang Selangor [Lampiran 26 ekshibit RS-2] tetapi juga telah diserahkan secara penyampaian ganti kerana premis alamat kediaman Defendan tidak berpenghuni [Lampiran 26 ekshibit RS - 4]. Hanya selepas itu penghakiman ingkar kehadiran dibenarkan oleh Mahkamah pada 27.6.2023. [12] Defendan didalam affidavit balasannya gagal menunjukkan apakah alamat kediaman lain selain dari yang dinyatakan didalam salinan kad pengenalannya. Defendan mendakwa premis yang beralamat di No. 16 Jalan Limau Kasturi 9/KS3, Off Jalan Tepi Sungai 41100 Klang Selangor telah dijual dan hanya sebahagian dari perjanjian jual beli sahaja dilampirkan [Lampiran 23 ekshibit HS-2]. Terdapat bukti didalam affidavit Plaintif bahawa hasil carian di Jabatan Pendaftaran Negara, Defendan telah membuat pertukaran pada 4.10.2023. Defendan membuat pertukaran alamat untuk tujuan bagi mengelakkan penyampaian kertas kausa atas Defendan. [13] Mahkamah mendapati penyerahan kertas kausa atas Defendan adalah teratur dan penghakiman ingkar kehadiran adalah teratur. Adakah Defendan mempunyai pembelaan bermerit? Defendan menafikan dia menerima sejumlah RM1,500,000.00 secara tunai daripada Plaintif sebagai pinjaman peribadi. Plaintif menyatakan bahawa Defendan ada menerima wang tersebut dan telah mula melakukan bayaran balik sebahagian darinya. Defendan mempunyai pengetahuan akan percubaan Plaintif untuk menyerahkan kertas kausa keatasnya tetapi dia telah menukar alamat pada kad pengenalannya ketika permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar ini belum didengar (diluluskan oleh pihak JPN pada 4.10.2023) [Lampiran 44 ekshibit RS-1], pendengaran Lampiran 20 hanya didengar pada 18.1.2024. [14] Berdasarkan alasan-alasan diatas, permohonan Defendan ditolak dengan kos sebanyak RM3000. Bertarikh 1 Februari 2024 t.t. (NORLIZA BINTI OTHMAN) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA KLANG PEGUAMCARA BAGI PIHAK PLAINTIF : Manmohan Manjit & Co (Kuala Lumpur) Level 23, Menara Exchange 106, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange, 55188 Kuala Lumpur PEGUAMCARA BAGI PIHAK DEFENDAN : Tetuan Ras & Co Unit 31J-2, Kelana Mall, Jalan SS 6/12, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan