RM9,054.00 x 1.04 = RM9,416.16 Tempoh Julai 2021 hingga Jun 2022 (tiada tunggakan) RM9,054.00 x 1 = RM9,054.00 Ini menjadikan jumlah sewa bagi hartanah tersebut bagi tempoh Julai 2017 hingga Jun 2022 adalah RM44,981.92 (RM7,043.69 + RM9,675.26 + RM9,792.81 + RM9,416.16 + RM9,054.00). [8] SD2 pula telah menggunakan kaedah perbandingan iaitu membandingkan kadar sewa bagi 12 lot tanah yang berdekatan. Hasil pembandingan tersebut mendapati hartanah di kawasan sekitar telah disewakan pada kadar RM0.89 hingga RM0.98 bagi setiap meter persegi. Kemudian SD2 telah membuat penilaian kadar sewa bagi hartanah milik Plaintif ini pada 2 tarikh yang berbeza iaitu pada 10 Disember 2017 ketika hartanah tersebut masih bersyarat tanaman padi dan pada 1 Julai 2018 ketika syarat hartanah tersebut telah ditukar kepada bangunan. Pada penilaian SD2, kadar sewa hartanah tersebut pada 10 Disember 2017 dan 1 Julai 2018 adalah masing-masing RM0.90 dan RM1.30 setahun bagi setiap meter persegi atau masing-masing RM2,200.00 dan RM3,100.00 setahun bagi keluasan 2,408 meter persegi. Jika bahagian 189.3 meter persegi yang diceroboh sahaja diambil kira, kadar sewa yang patut dikenakan pada 10 Disember 2017 dan 1 Julai 2018 adalah masing-masing RM170.00 dan RM246.00 setahun. [9] Peguam Plaintif dan peguam Defendan telah menghujahkan penilaian kadar sewa yang dibuat oleh penilai hartanah mereka masing-masing yang patut dijadikan asas bagi menentukan amaun gantirugi yang perlu diberikan kepada Plaintif. Malah, peguam Defendan telah menghujahkan hanya kadar sewa bagi bahagian yang diceroboh sahaja yang patut diambil kira, dan itu juga hanya bagi tempoh tahun 2017 hingga 2018 sahaja, memandangkan Defendan tidak lagi menggunakan laluan sementara yang dibina itu selepas tahun 2018. Sekiranya pun gantirugi perlu dibayar sehingga tahun 2025, jumlahnya hanya RM1,892.00 (RM170.00 + (RM246 x 7)). [10] Saya tidak bersetuju dengan penilaian kadar sewa yang dibuat oleh SD2. Kesemua 12 kadar sewa yang digunakan sebagai perbandingan bagi menilai kadar sewa hartanah Plaintif ada disenaraikan dalam laporan penilaian ekshibit D16 di muka surat 87 hingga 89 Ikatan Dokumen Tambahan Defendan (Ikatan D). Kesemuanya melibatkan penyewaan hartanah kepada Defendan. Seorang saksi Defendan (SD1) telah mengesahkan tanah-tanah di kawasan sekitar yang diperlukan bagi pembangunan projek ECRL telah diwartakan bagi pengambilan balik di bawah peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 24 Mei 2018. Saya telah menyemak warta tersebut dan mendapati kesemua 12 hartanah yang disewakan itu turut tersenarai sebagai hartanah yang dicadangkan bagi pengambilan untuk projek ECRL. Tambah SD1 lagi, bagi membolehkan projek ECRL dilangsungkan sebelum proses pengambilan tanah itu selesai, Defendan telah memutuskan untuk menyewa terlebih dahulu tanah-tanah yang berkaitan supaya laluan sementara dapat dibina pada kadar segera. [11] SD2 menyatakan asas kepada penilaian beliau adalah nilai pasaran (market value). Malaysian Valuation Standard Sixth Edition 2019 yang diterbitkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta telah mentafsirkan penilaian berasaskan nilai pasaran di Standard 4 sebagaimana berikut: Market Value is the estimated amount for which an asset or liability should exchange on the valuation date between a willing buyer and a willing seller-length transaction after proper marketing where the parties had each acted knowledgeably, prudently and without compulsion. Jika tuan punya kepada hartanah yang memasuki perjanjian sewa dengan Defendan sedar hartanah mereka akan diambil bagi tujuan projek ECRL itu, saya tidak fikir mereka akan berkeras untuk menyewakan hartanah mereka kepada Defendan berdasarkan nilai pasaran sebagaimana yang ditakrifkan oleh Standard 4 di atas. Pengambilan hartanah di bawah peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 memberi kesan mengeluarkan hartanah tersebut dari pasaran sewa kerana tiada penyewa yang mahu menyewa hartanah yang akan diambil oleh kerajaan. Apabila ini berlaku, saya percaya tuan punya hartanah berkenaan akan menerima apa sahaja kadar sewa yang ditawarkan oleh Defendan, memandangkan apa sahaja jumlah sewa yang diterima adalah lebih baik daripada tiada bayaran sewa langsung. Dalam keadaan ini, kadar sewa yang dikenakan bagi 12 hartanah yang dimaksudkan itu tidak patut dijadikan asas untuk kaedah perbandingan oleh SD2 memandangkan kemungkinan ia bukan berasaskan nilai pasaran yang adil adalah besar. [12] Saya sebaliknya berpendapat penilaian kadar sewa yang dibuat oleh SP3 adalah adil. Nilai pasaran hartanah sebanyak RM188.00 bagi setiap meter persegi, atau RM452,700.00 keseluruhannya adalah munasabah dengan mengambil kira nilai jualan hartanah yang berhampiran yang dijadikan perbandingan. Kadar hasil atau rate of return sebanyak 2% setahun bagi penyewaan hartanah tersebut juga adalah munasabah dengan mengambil kira lokasi hartanah tersebut yang berdekatan dengan Bandar Baru Tunjung yang sedang membangun. Saya seterusnya berpendapat kadar sewa harus dikenakan ke atas keseluruhan hartanah tersebut dan bukan ke atas bahagian yang diceroboh sahaja sebagaimana yang dihujahkan oleh peguam Defendan. Ini kerana pencerobohan yang dilakukan oleh Defendan melalui pembinaan laluan sementara tersebut telah menyebabkan hartanah Plaintif terpisah kepada 2 bahagian. Kehadiran laluan sementara yang merentas hartanah beliau itu telah membataskan cara Plaintif boleh menggunakan hartanah tersebut. Dalam kes Amm a/l Joy yang dirujuk di atas, Mahkamah Rayuan membenarkan gantirugi yang dikira berdasarkan keluasan kawasan yang diceroboh sahaja. Walaubagaimanapun, fakta kes tersebut boleh dibezakan dengan fakta kes ini. Dalam kes Amm a/l Joy, perayu adalah pemilik hartanah yang terletak di tengah-tengah dan dikelilingi oleh hartanah milik reponden. Perayu telah membina bangunan di atas hartanah miliknya untuk dijadikan tempat beribadat dan sebahagian bangunan tersebut telah menceroboh ke dalam hartanah milik responden. Bahagian hartanah responden yang diceroboh oleh perayu hanya seluas 0.28 hektar berbanding luas keseluruhan sebanyak 3.8251 hektar. Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan menyatakan perkara berikut: whole of its land when that is not true on the facts. Neither is it the evidence of the respondent that its whole land was disaffected or that it was deprived of its use of the whole of th own valuation report, the respondent was not at all adversely affected in respect of the balance of its land, which was substantial. Any award of Berbeza dengan kes ini, hartanah responden dalam kes Amm /l Joy tidak terputus menjadi 2 bahagian akibat pencerobohan yang dilakukan oleh perayu. Berbeza dengan kes ini juga, bahagian hartanah yang tidak diceroboh dan masih boleh digunakan oleh responden masih sangat luas. Luas hartanah Plaintif dalam kes ini hanya 2,408 meter persegi atau 0.2408 hektar. Memandangkan pencerobohan yang dilakukan oleh Defendan terhadap hartanah milik Plaintif dalam kes ini telah secara langsung membataskan bagaimana Planitif boleh menggunakan keseluruhan hartanah beliau, adalah wajar untuk Plaintif dibayar pampasan berdasarkan luas keseluruhan hartanah tersebut. [13] Saya juga tidak bersetuju Defendan hanya perlu membayar gantirugi bagi tempoh ia menggunakan laluan sementara tersebut dari tahun 2017 hingga 2018 sahaja. Ini kerana pencerobohan yang dilakukan oleh Defendan adalah dengan melonggokkan tanah dan batu di atas hartanah tersebut bagi tujuan pembinaan laluan sementara. Tanah dan batu berkenaan masih berada di atas hartanah Plaintif sehingga masa kes ini dibicarakan dan oleh itu pencerobohan tersebut adalah sesuatu yang masih berterusan. [14] Berdasarkan perkara-perkara yang telah dinyatakan, saya membenarkan gantirugi sebanyak RM44,981.92 bagi pencerobohan yang dilakukan oleh Plaintif dari bulan Julai 2017 hingga Jun 2022. Memandangkan pencerobohan tersebut masih berterusan pada masa kes ini dibicarakan, saya turut membenarkan gantirugi pada kadar RM9,054.00 setahun bagi tempoh bulan Julai 2022 hingga Jun 2025. Ini menjadikan gantirugi bagi sepanjang tempoh pencerobohan sehingga bulan Jun 2025 sebanyak RM72,143.92 (RM44,981.92 + RM9,054.00 + RM9,054.00 + RM9,054.00). [15] Bagi kos mengeluarkan struktur laluan sementara yang dibina oleh Defendan daripada hartanah tersebut dan memulihkan/mengembalikan hartanah tersebut seperti asal, amaun RM142,300.00 yang dituntut melalui prayer 14.3 adalah tidak disokong oleh apa-apa keterangan. Peguam Defendan telah sebaliknya menghujahkan bahawa Defendan bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja membuang struktur laluan sementara tersebut memandangkan ia mempunyai peralatan, tenaga kerja dan kepakaran untuk berbuat demikian. [16] Memerintahkan Defendan melaksanakan kerja-kerja membuang struktur laluan sementara di atas hartanah Plaintif tersebut boleh memberi kesan memanjangkan litigasi antara Plaintif dengan Defendan. Tiada keterangan yang menunjukkan keadaan asal hartanah itu sebelum struktur laluan sementara tersebut dibina di atasnya dan ini boleh menyebabkan perbalahan yang berterusan antara Plaintif dengan Defendan tentang sama ada kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Defendan nanti adalah memadai bagi mematuhi perintah mahkamah. Litigasi antara Plaintif dengan Defendan ini perlu ditamatkan dalam suatu tempoh masa yang boleh dijangkakan dan oleh yang demikian adalah lebih praktikal jika Defendan diperintahkan membuat restitusi kewangan dan seterusnya menyerahkan kepada Plaintif untuk menguruskan kerja-kerja pembuangan struktur laluan sementara tersebut. [17] SP3 dalam laporan ekshibit P4 ada menilaikan struktur laluan sementara seluas 189.3 meter persegi tersebut mempunyai isipadu bahan binaan sebanyak 461 meter padu. Kesemua bahan tersebut memerlukan 115 lori untuk dialihkan dengan kos RM400.00 bagi setiap lori. Selain itu, terdapat juga kos untuk membersih residu bahan binaan sebanyak RM4,000.00 dan kos membaik pulih tanah kepada keadaan asal sebanyak RM4,000.00. Ini menjadikan kos keseluruhan bagi membuang struktur laluan sementara tersebut sebanyak RM54,000.00. [18] Kos yang dinilaikan oleh SP3 itu dipertikaikan oleh SD2.