Schedule
Jadual B: Kes-kes mahkamah melibatkan plaintif dan defendan ketiga berkaitan hartanah H.S(D) 2399855, PT No. 1014, Seksyen 24, Bandar Shah Alam Negeri Selangor Bil. No. Kes Pihak-pihak Status 1. Writ No. 22NCVC-459- 11/2021 Ramaswree a/p Duraisamy v Visnuvarman a/l Pasupathi dan Standard Chartered Bank Malaysia Tuntutan difailkan pada 22.11.2021. Pada 1.6.2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan. 2. Rayuan No. B- 02(IM)(NCVC)1 218-07/2022 Ramaswree a/p Duraisamy v Visnuvarman a/l Pasupathi dan Standard Chartered Bank Malaysia Perayu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 1.6.2022 dan dalam peringkat pengurusan kes. PERMOHONAN OLEH DEFENDAN PERTAMA, DEFENDAN KETIGA DAN DEFENDAN KEEMPAT MENURUT ATURAN 18 KAEDAH 19(1) KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH 2012 [8] Mahkamah ini telah mendengar tiga permohonan membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan secara bersama pada 21.5.2024. PERMOHONAN OLEH DEFENDAN PERTAMA [9] Defendan pertama telah memfailkan Notis Permohonan (kandungan 14) dan Afidavit Sokongan (kandungan 15) untuk menyokong permohonan membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 13.7.2023. Antara lain alasan defendan pertama adalah tuntutan plaintif tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah selain mengaibkan, remeh dan/atau menyusahkan. [10] Defendan pertama juga menyatakan tuntutan plaintif merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah dan dimulakan untuk menghalang prosiding kebankrapan yang difailkan oleh defendan pertama terhadap plaintif. Hal ini kerana, perkara-perkara dan isu-isu yang dibangkitkan oleh plaintif terhadap defendan pertama telah diputuskan secara muktamad dalam Guaman Sivil No: BA-B52NCVC-281-09/2017 (Guaman 281) dan semua rayuan di Mahkamah Tinggi sehingga ke Mahkamah Rayuan telah ditolak. Plaintif seharusnya dihalang berdasarkan prinsip estoppel dan res judicata untuk membuka semula perkara yang telah diputuskan secara muktamad. PERMOHONAN OLEH DEFENDAN KETIGA [11] Melalui Notis Permohonan (kandungan 24), defendan ketiga memohon perintah supaya Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 13.7.2023 dibatalkan. Permohonan ini disokong melalui Afidavit Sokongan P Visnuvarman a/l Pasupathi (kandungan 25) menyatakan alasan-alasan bahawa tuntutan plaintif tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah selain mengaibkan, remeh dan/atau menyusahkan. Defendan ketiga juga menyatakan pemfailan writ saman oleh plaintif di Mahkamah ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Berdasarkan Guaman Sivil No. BA-22NCVC-459-11/2021 (Guaman 459) bertarikh 22.11.2021, plaintif telah menuntut terhadap defendan ketiga dan Standard Chartered Bank Malaysia atas tindakan frod dan komplot. [12] Bahkan, defendan ketiga juga menyatakan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh plaintif terhadap defendan pertama di sini telah pun diputuskan secara muktamad dalam Guaman 281 sehingga rayuan ke Mahkamah Rayuan. Maka, atas prinsip-prinsip estoppel dan res judicata, plaintif wajar dihalang daripada membicarakan semula perkara dan isu-isu yang telah diputuskan secara muktamad. PERMOHONAN OLEH DEFENDAN KEEMPAT [13] Alasan permohonan oleh defendan keempat untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 13.7.2023 berkisar kepada alasan tiadanya kausa tindakan yang munasabah terhadap defendan keempat dan penyalahgunaan proses Mahkamah oleh plaintif. Sekali lagi tuntutan plaintif ditegaskan dihalang oleh prinsip res judicata. Keseluruhan fakta dan isu yang dikemukakan oleh plaintif telah pun didengar dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah-mahkamah yang berbidang kuasa. [14] Selain itu, sebagai peguam cara yang mewakili defendan pertama dalam perjanjian jual beli rumah kedai tersebut, defendan keempat bergantung kepada perlindungan yang diberikan oleh undang-undang berkaitan komunikasi antara peguam dan anak guam dalam mengekalkan kerahsiaan komunikasi tersebut. HUJAHAN PLAINTIF [15] Menurut plaintif, rumah kedai tersebut telah dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman daripada defendan pertama atas cadangan defendan kedua. Asalnya, defendan kedua meminta plaintif meminjamkannya wang namun tidak berjaya kerana plaintif tidak mempunyai wang sebanyak RM400,000.00 untuk dipinjamkan. Defendan kedua kemudiannya memujuk plaintif membenarkan hartanah tersebut dicagarkan kepada defendan pertama untuk pinjaman wang. [16] Plaintif memplidkan, semata-mata untuk membantu defendan kedua yang sangat terdesak plaintif bersetuju mencagarkan rumah kedai tersebut dengan syarat defendan kedua menebus kembali daripada defendan pertama dalam masa 6 bulan. Bagi urusan tersebut, defendan pertama melantik peguam caranya defendan keempat. [17] Setelah semua dokumen ditandatangani, plaintif baharu sedar perjanjian yang ditandatangani olehnya adalah perjanjian jual beli rumah kedai tersebut dengan defendan pertama bertarikh 20.1.2016 dan bukan perjanjian pinjaman dengan mencagar rumah kedai tersebut. [18] Oleh itu menurut plaintif, perjanjian yang dipertikaikan oleh plaintif adalah suatu perjanjian pinjaman wang tanpa lesen yang telah disamarkan sebagai perjanjian jual beli rumah kedai tersebut. Melalui Pernyataan Tuntutan di sini, Plaintif memplidkan fakta-fakta yang menyokong kausa tindakan berikut – (i) Ketidaksahan (illegality) kerana perjanjian jual beli tersebut melanggar peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951; dan (ii) Konspirasi untuk frod. [19] Melalui tuntutan di Mahkamah ini, plaintif menyuarakan ketidakpuasan hatinya dan mencabar keputusan-keputusan dalam tindakan-tindakan yang telah diputuskan terdahulu seperti tindakan No.1 sehingga No.5 dalam Jadual A dan tindakan No.1 dan No.2 dalam Jadual B di atas. Jelasnya, tujuan utama tuntutan di Mahkamah ini terhadap defendan-defendan adalah untuk mendapatkan semula rumah kedai tersebut. KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG [20] Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 memberi kuasa budi bicara kehakiman kepada Mahkamah untuk membatalkan pliding yang menzahirkan kausa tuntutan atau pembelaan yang tidak munasabah. [21] Untuk melaksanakan kuasa budi bicara ini, standard yang perlu dipenuhi telah digariskan dalam kes Bandar Builder Sdn Bhd & Ors v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36 dan Raja Zainal Abidin bin Raja Haji Tachik & Ors v British-American Life & General Insurance Bhd [1993] 3 MLJ 16. Nas-nas ini antara lain memutuskan kuasa budi bicara hendaklah digunakan ketika mana tuntutan atau pembelaan jelas untenable dan tidak berkemungkinan berjaya atau secara jelasnya tidak berasas (groundless). [22] Mahkamah Rayuan dalam kes Solai Realty Sdn Bhd v United Overseas Bank (M) Bhd [2013] 4 MLJ 545 memberi panduan bahawa kuasa budi bicara untuk membatalkan suatu tindakan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1) KM 2012 tanpa melalui perbicaraaan hendaklah tidak kerap digunakan dan hanya dalam kes yang jelas dan ketara sahaja. [23] Mahkamah ini juga mengambil perhatian bahawa semata-mata alasan yang diplidkan melalui pliding didapati lemah dan tidak berpeluang untuk menang jika dibicarakan, tidak boleh dijadikan alasan untuk membatalkan pliding tersebut. Panduan ini diputuskan oleh Abu Samah HMR dalam kes Meeriam Rosaline a/p Edward Paul v William Singam a/l Raja Singam (menyaman sebagai pegawai awam Pertubuhan Persaudaraan Kristian Thaveethin Kudaram, Ipoh Perak [2010] 4 MLJ 541. [24] Panduan terkini yang turut mengikat Mahkamah ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd v Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur & Anor [2016] 4 CLJ 100, [2016] 2 MLRA 263 yang mengesahkan keputusan Bandar Builder Sdn Bhd v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36, bahawa – “[25] The principles for striking out pleading pursuant to O18 r19 of the ROC are well settled. It is only in a plain and obvious case that recourse should be had to the summary process under this rule; and this summary process can only be adopted when it can clearly be seen that a claim on the face of it is obviously unsustainable. ISU UNTUK DIPUTUSKAN [25] Terdapat satu isu utama untuk diputuskan oleh Mahkamah ini dalam menimbangkan permohonan defendan pertama, defendan ketiga dan defendan keempat iaitu sama ada tuntutan plaintif terhadap defendan pertama, defendan ketiga dan defendan keempat terhalang oleh prinsip res judicata. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH [26] Berdasarkan afidvit-afidavit yang difailkan, Mahkamah ini mendapati perkara pokok yang dituntut oleh plaintif di sini adalah berkaitan haknya atas rumah kedai tersebut. Rumah kedai tersebut juga merupakan hal perkara dalam Guaman 281 di Mahkamah Sesyen yang telah pun dimuktamadkan sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan. [27] Mahkamah ini perlu memutuskan sama ada tuntutan plaintif terhadap defendan pertama, defendan ketiga dan defendan keempat di sini wajar dibatalkan atas alasan res judicata. [28] Prinsip res judicata telah menjadi undang-undang mantap yang diputuskan dalam kes Mahkamah Agung dalam kes Asia Commercial Finance (M) Berhad v Kawal Teliti Sdn Bhd [1995] 3 MLJ 189 bahawa – “ What is res judicata? It simply means a matter adjudged, and its significance lies in its effect of creating an estoppel per rem judicatum. When a matter between two parties has been adjudicated by a court of competent jurisdiction, the parties and their privies are not permitted to litigate once more the res judicata, because the judgment becomes the truth between such parties, or in other words, the parties should accept it as the truth; res judicata pro veritate accipitur”. “The cause of action estoppel arises when rights or liabilities involving a particular right to take a particular action in court for a particular remedy are determined in a final judgment and such right of action ie. the cause of action, merges into the said final judgment; in layman’s language, the cause of action has turned into the said final judgment. The said cause of action may not be re-litigated between the same parties because it is res judicata”. [29] Dalam mengaplikasi prinsip tersebut dalam permohonan-permohonan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1) KM 2012 di sini, adalah penting untuk diteliti sama ada terdapat persamaan fakta kes dan kausa tindakan atau subject matter yang telah diputuskan dalam kes-kes terdahulu tersebut jika dibandingkan dengan kes semasa di Mahkamah ini. [30] Tuntutan defendan pertama dalam Guaman 281 adalah melibatkan subject matter iaitu rumah kedai tersebut yang sama dengan subject matter dalam tuntutan plaintif di Mahkamah ini. Melalui eksibit AS1 dalam Afidavit Sokongan defendan pertama (kandungan 15), telah ditunjukkan pernyataan tuntutan defendan pertama dan pembelaan oleh plaintif dalam Guaman 281. [31] Saya telah meneliti pernyataan pembelaan oleh Ramaswree A/P Duraisamy yang merupakan defendan dalam Guaman 281 tersebut dan mendapati beliau diwakili oleh defendan ketiga dalam transaksi perjanjian jual beli rumah kedai tersebut. Ini memberi inferens yang plaintif telah mendapat nasihat perundangan dalam hal berkaitan rumah kedai tersebut. Selain itu, saya juga telah membandingkan pembelaan plaintif dalam Guaman 281 (yang merupakan defendan dalam Guaman 281) dengan Pernyataan Tuntutan plaintif di sini. Saya dapati plaintif telah memplidkan fakta-fakta yang sama untuk dilitigasikan semula di sini. [32] Relif-relif yang dimohon oleh plaintif di Mahkamah ini amatlah ketara dihalang untuk dilitigasikan semula kerana telah ada penghakiman Mahkamah yang mengikat. Plaintif menuntut relif-relif berikut di Mahkamah ini- (i) Deklarasi bahawa perintah dan penghakiman bertarikh 11.4.2018 yang dimasukkan di dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam Guaman No. BA-52NCVC-281-09/2017 terhadap plaintif dan perintah-perintah yang dibuat di dalam rayuan-rayuan yang timbul daripadanya adalah tidak sah dan terbatal; (ii) Perintah dan penghakiman bertarikh 11.4.2018 yang dimasukkan di dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam Guaman No. BA-52NCVC-281-09/2017 terhadap plaintif dan perintah-perintah yang dibuat di dalam rayuan-rayuan yang timbul daripadanya adalah diketepikan dengan serta merta; (iii) Deklarasi bahawa Perintah bertarikh 8.12.2021 yang diberikan di dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam Guaman No. BA-B54- 18-08/2021 terhadap plaintif dan perintah-perintah yang dibuat di dalam rayuan-rayuan yang timbul daripadanya adalah tidak sah dan terbatal; (iv) Perintah bertarikh 8.12.2021 yang diberikan di dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam Guaman No. BA-B54-18- 08/2021 terhadap plaintif dan perintah-perintah yang dibuat di dalam rayuan-rayuan yang timbul diketepikan dengan serta merta; (v) Deklarasi bahawa Perjanjian Jual Beli bertarikh 16.1.2016 yang dimasuki antara plaintif dan defendan pertama adalah sebenarnya suatu perjanjian pinjaman wang tanpa lesen yang mana adalah tidak sah dan terbatal; (vi) Defendan pertama dengan serta merta dan dalam apa jua keadaan pun dalam masa satu bulan dari tarikh perintah ini memindahmilik semula hartanah yang dipegang di bawah Hakmilik H.S(D) 239855, P.T No. 1014, Seksyen 24, Bandar Shah Alam, Negeri Selangor Darul Ehsan dengan alamat pos di No. 25, Jalan 24/C, Seksyen 24, 40300 Shah Alam, Selangor; (vii) Sekiranya defendan pertama enggan dan/atau gagal untuk memindahmilik hartanah tersebut dalam tempoh masa dalam sub-perenggan (6) di atas, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam diberikan segala kuasa untuk melaksanakan segala dokumen dan suratcara yang perlu bagi memindahmilik hartanah tersebut kepada plaintif menurut sub-perenggan (6) di atas; (viii) Ganti rugi am untuk ditaksirkan oleh Mahkamah Yang Mulia ini terhadap defendan-defendan bagi konspirasi/ subahat untuk frod; (ix) Faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah ganti rugi yang diperintahkan oleh Mahkamah dari tarikh pemfailan tindakan sehingga penyelesaian penuh; (x) Kos tindakan ini dibayar oleh defendan-defendan kepada plaintif atas dasar indemniti penuh peguam cara-peguam cara; dan (xi) Relif-relif lain yang Mahkamah fikirkan patut dan adil untuk diberikan. [33] Melalui eksibit AS-2 dan AS-3 kandungan 15, defendan pertama juga telah mengeksibitkan salinan perintah-perintah Mahkamah Sesyen bertarikh 11.4.2018, Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 12.11.2018 dan Perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 12.11.2018. [34] Pengemukaan perintah-perintah tersebut memberi natijah yang jelas bahawa tuntutan plaintif terhadap defendan pertama di sini berhubung alegasi urus niaga pinjaman wang secara haram yang disamarkan dengan perjanjian jual beli antara plaintif dengan defendan pertama tidak dapat dipertahankan kerana isu ini telah pun diputuskan dengan muktamad. [35] Selanjutnya, melalui Pernyataan Tuntutan plaintif di sini, plaintif telah mencabar status penghakiman Mahkamah Sesyen dalam Guaman 281 dan memplidkan penghakiman tersebut sebagai tidak sah dan terbatal. Begitu juga, plaintif turut mencabar tindakan kedua dalam Saman Pemula 18 sebagai tidak sah dan terbatal. Rentetan itu, plaintif menegaskan prosiding kebankrapan oleh defendan pertama sewajarnya akan gagal kerana berasaskan kepada penghakiman dalam Guaman 281 dan Saman Pemula 18 yang masing-masing tidak sah dan terbatal. [36] Dalam hal ini, saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Hartecon JV Sdn Bhd & Anor v Hartela Contractors Ltd [1996] 2 MLJ 57 yang memutuskan bahawa – “[1] Once a judge makes a ruling, substantive or procedural, final or interlocutory, it must be adhered to and may not be reopned. Although the first decision was made on a interlocutory matter which was purely procedural in nature, it was nevertheless binding on the court and on all parties to the lis until its reversal on appeal.” [37] Plaintif selanjutnya memplidkan konspirasi dan subahat untuk frod telah dilakukan oleh kesemua defendan. Meneliti Pernyataan Tuntutan plaintif, Mahkamah ini mendapati fakta-fakta yang menjadi sandaran plaintif telah pun diplidkan dalam prosiding-prosiding terdahulu dan keputusan mengenainya telah pun dimuktamadkan. [38] Apa pun fakta dan kausa tindakan yang diplidkan oleh plaintif di sini, suatu dapatan fakta yang telah dimuktamadkan berhubung pertikaian antara pihak-pihak boleh dilihat melalui alasan penghakimah Mahkamah Tinggi Shah Alam (BA-12B-43-12/2021) bertarikh 10.8.2022 dalam rayuan oleh plaintif. Alasan penghakiman ini dieksibitkan (AS-5) oleh defendan pertama dalam Afidavit Sokongan kandungan 15. Petikan yang penting dari alasan keputusan tersebut dinukilkan semula di sini – “[14] Saya telah meneliti rekod rayuan yang difailkan. Saya juga telah pertimbangkan hujah-hujah yang dikemukakan. Berdasarkan penegasan-penegasan di dalam afidavit saya berpuashati perjanjian yang dimasuki oleh plaintif dan defendan adalah perjanjian jual beli kedai tersebut. [15] Rekod rayuan juga menunjukkan isu status perjanjian yang dimaskui di antara plaintif dan defendan sama ada satu perjanjian jual beli rumah atau satu perjanjian pinjaman wang yang tidak sah telah diputuskan secara muktamad melalui guaman sivil sebelum ini. Apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan defendan, Mahkamah Rayuan sebenarnya telah membuat keputusan muktamad bagi dapatan yang dicapai oleh Mahkamah Sesyen bagi isu tersebut. Oleh kerana terdapat keputusan muktamad tersebut, isu tersebut tidak lagi boleh dibuka semula melalui pemfailan guaman yang baru. Isu yang ditimbulkan oleh defendan tentang status sebenar perjanjian yang dimasuki adalah cubaan untuk membuka semula (re-litigate) isu yang telah menjadi muktamat dan percubaan tersebut telah dihalang oleh prinsip res judicata”. [39] Mahkamah Persekutuan dalam kes Serac Asia Sdn Bhd v Sepakat Insurance Brokers Sdn Bhd [2013] 5 MLJ 1 telah memberi panduan yang tuntas dan mengikat Mahkamah ini, iaitu – “[4] The re-litigation of a regularly and properly concluded matter as determined by the court is prohibited by the wide doctrine of res judicata. The judicial process rests on the twin pillars of certainty and finality. A final order or a judgment must be therefore be vigorously protected by this doctrine”. [40] Berpaksikan prinsip undang-undang mantap yang diketengahkan melalui nas undang-undang, adalah ditemui bahawa tuntutan plaintif di sini terangkum dalam maksud res judicata kerana– (i) Berhubung fakta-fakta kes yang sama, subject matter yang sama dan pihak yang sama iaitu plaintif dan defendan pertama, suatu tindakan telah pun difailkan dan dilupuskan di dalam Saman 281 di Mahkamah Sesyen Shah Alam; (ii) Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memutuskan tindakan tersebut; (iii) Keputusan Mahkamah Sesyen telah dirayu ke Mahkamah Tinggi (BA-23ANCVC-57-05/2018) dan Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan ; dan (iv) Keputusan Mahkamah Tinggi telah dirayu oleh plaintif ke Mahkamah Rayuan (B-04(IM)(NCvC)-602-12/2008) dan rayuan telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan. [41] Sejajar dengan implikasi res judicata yang dicerakinkan dalam otoriti-otoriti yang dirujuk di atas, jelasnya tuntutan plaintif terhadap defendan-defendan terjumlah kepada res judicata dengan adanya penghakiman muktamad oleh Mahkamah Sesyen dalam Saman 281 yang telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan. [42] Meneliti pernyataan tuntutan plaintif dalam tindakan di sini, Mahkamah ini mendapati plaintif pada hakikatnya sedar yang tindakan ini dan tindakan-tindakan terdahulu di Mahkamah berasaskan kepada subject matter yang sama, isu yang sama dan pihak-pihak yang sama. Tindak tanduk plaintif terserlah melanggar peruntukan undang-undang matan apabila plaintif yang sedar adanya keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang sah dan berkuatkuasa, telah bertindak memfailkan tuntutan baharu di Mahkamah ini yang melibatkan fakta kes, subject matter, isu dan pihak yang sama. [43] Mahkamah ini membuat satu kesimpulan bahawa plaintif sedang cuba membuka kesnya semula menggunakan fakta-fakta yang sama dan serupa dengan fakta yang telah dihakimi secara muktamad yang bermula dari Saman 281 sehinggalah peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. [44] Saya sekali lagi menyorot keputusan dalam kes Hartecon JV Sdn Bhd & Anor v Hartela Contractors Ltd [1996] 2 MLJ 57 sebagai panduan dalam menghalang plaintif membuka semula kesnya di Mahkamah ini yang mana diputuskan bahawa – “[2] A failure to adhere to the principle of res judicata may lead to chaos in the conduct of civil proceedings.” [45] Hakikatnya, sudah pasti tuntutan plaintif di sini telah mendatangkan huru-hara dalam pelaksanaan prosiding di Mahkamah ini dan sekaligus menyebabkan kesusahan kepada defendan-defendan. [46] Berdasarkan prinsip undang-undang yang matan, Mahkamah ini tidak boleh berkompromi dengan tindakan plaintif melitigasikan semula fakta-fakta kes yang sama dan subject matter yang sama untuk memperoleh relif-relif yang dimohon melalui Pernyataan Tuntutan plaintif di sini. [47] Mahkamah ini sedar di dalam Pernyataan Tuntutan di sini, plaintif ada memplidkan yang dia tidak tahu peguam cara yang mewakilinya di Mahkamah Rayuan telah lewat memfailkan rekod rayuan sehingga menyebabkan rayuan di Mahkamah Rayuan ditolak. Kegagalan peguam cara plaintif tersebut tidak dapat mengaburi mata Mahkamah ini untuk menolak permohonan pembatalan writ saman di sini. Senyampang defendan pertama memfailkan permohonan pembatalan writ ini, dapatlah Mahkamah ini menghentikan tindakan plaintif yang ketara menyalahgunakan proses Mahkamah. [48] Dalam kes Kerajaan Malaysia v Dato Chong Kok Lim [1973] 2 MLJ 74, perhatian Mahkamah telah dibawa untuk merujuk prinsip undang-undang berikut dalam penghakiman Sharma J dalam kes Satyadhyan Ghosel v Stint Deorajin Dobu and another AIR 1960 SC 941 – “The principle of res judicata is based on the need of giving a finality to judicial decisions. What it says is that once a res judicata, it shall be not adjudged again. When a matter – whether a question of fact or a question of law – has been decided between two parties in one suit or proceeding and the decision is final, either because no appeal was taken to a higher court or because the appeal was dismissed, or no appeal lies, neither party will be allowed in a future suit or proceeding between the same parties to canvass the matter again.” [49] Pada hemat Mahkamah ini, berdasarkan dapatan dan alasan-alasan di atas amat memadai untuk Mahkamah ini membenarkan permohonan defendan pertama. Justeru, Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 13.7.2023 dibatalkan dengan kos RM3,000.00 dibayar oleh plaintif kepada defendan pertama tertakluk kepada alokator. [50] Bagi permohonan defendan keempat pula, Mahkamah ini menggunapakai alasan-alasan di atas. Hal ini kerana, defendan keempat merupakan peguam cara yang mewakili defendan pertama dalam transaksi jual beli antara defendan pertama dan plaintif. [51] Mahkamah ini sedar bahawa dalam tindakan terdahulu yang memutuskan fakta dan subject matter yang sama, tidak dalam kesemua tindakan tersebut defendan ketiga dan keempat tidak dinamakan sebagai pihak. Namun begitu, ia tidaklah menghalang Mahkamah ini daripada membenarkan permohonan oleh defendan ketiga dan defendan keempat. Mahkamah ini bersandarkan kepada keputusan Abdul Malek Ahmad J (Presiden Mahkamah Rayuan) yang diputuskan dalam kes Wong Feng Yan Benjamin v. Genting Bhd & Anor [1994] 1 CLJ 351; [1993] 3 MLJ 713 bahawa pemakaian res judicata, tidaklah perlu melibatkan pihak-pihak yang sama dan diputuskan bahawa: "Where an issue had for all practical purposes been decided in a court of competent jurisdiction the court would not allow that issue to be raised in separate proceedings between different parties arising out of identical facts and dependent on the same evidence, since not only was the party seeking to relitigate the issue prevented from doing so by issue estoppel but it would also be an abuse of process to allow the issue to be retiligated". [52] Manakala bagi defendan ketiga, asas tuntutan plaintif adalah atas kapasiti defendan ketiga sebagai peguam cara yang dilantik oleh defendan kedua untuk mengendalikan suratcara pinjaman bagi pihak plaintif. Plaintif menafikan pengetahuan tentang komunikasi defendan-defendan berkenaan keseluruhan transaksi pinjaman wang oleh defendan kedua. [53] Kesemua isu ini telah diputuskan dalam tindakan terdahulu sebagaimana yang dinyatakan di atas. Bagi tuntutan plaintif terhadap defendan ketiga juga, Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan peguam cara defendan ketiga dan mewajarkan tuntutan plaintif terhadap defendan ketiga di sini dibatalkan. [54] Selain itu, timbul juga isu multiplicity proceeding berkaitan permohonan oleh defendan ketiga. Isu ini terpakai bagi tindakan-tindakan yang masih menunggu pendengaran dan pelupusan sebagaimana dicerakinkan dalam Jadual B di atas. Setelah saya meneliti pernyataan tuntutan plaintif dan afidavit-afidavit berkaitan permohonan pembatalan writ saman, didapati bahawa kausa tindakan plaintif iaitu konspirasi untuk frod adalah sama dengan kausa tindakan dalam tuntutan saman plaintif terhadap defendan ketiga dan Standard Chartered Bank Berhad dalam Guaman 459 yang masih belum diputuskan. KESIMPULAN [55] Mahkamah ini berpuas hati bahawa plaintif telah membuat cubaan untuk kesekian kalinya dalam membuka semula tuntutan berasaskan subject matter, fakta-fakta, isu-isu dan pihak yang sama. [56] Justeru, Mahkamah membenarkan ketiga-tiga permohonan oleh defendan pertama, defendan ketiga dan defendan keempat untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 13 Julai 2023 dengan kos. Bertarikh pada 21 Ogos 2024 Ditandatangani ........................................................... HAZIZAH KASSIM Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil (NCvC10) Shah Alam Keputusan dibaca pada 25 Jun 2024. Kepada peguam cara yang mewakili pihak-pihak : 1. Peguam Plaintif : Ambbi Sundrambal a/p Balakrishnan Tetuan Ambbi Balakrishnan & Associates (Klang, Selangor) 2. Peguam Defendan Pertama : Ravinder Singh Sodhi Tetuan Sodhi Chambers (Petaling Jaya, Selangor) 3. Peguam Defendan Ketiga : Selvadorai a/l Thandavan Tetuan Pari & Partners (Klang, Selangor). 4. Peguam Defendan Keempat : Chinnapalani Devi a/p Arumugam Tetuan Gerard Samuel & Associates (Petaling Jaya, Selangor)