Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. JA-23NCvC-1-01/2022 ANTARA REHANA BINTI AHMAD (NO. K/P: 631115-01-5060) ….. PLAINTIF
JA-23NCvC-1-01/2022
High Court of Malaysia3 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. JA-23NCvC-1-01/2022 ANTARA REHANA BINTI AHMAD (NO. K/P: 631115-01-5060) ….. PLAINTIF
1
IZZAT BIN MUHTAR (yang beramal sebagai Rakan Kongsi di Tetuan Izzat
2
TETUAN IZZAT MUHTAR & HUDHA …... DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tindakan ini ialah tuntutan kecuaian profesional dan/atau pelanggaran kewajipan kontrak oleh Plaintif terhadap Defendan-Defendan, iaitu peguamcara yang dilantik dalam 05/06/2026 09:54:42 JA-23NCvC-1-01/2022 Kand. 59 suatu transaksi jual beli tanah bertarikh 1.11.2020. Transaksi tersebut melibatkan pembelian Lot 471, Mukim Sungai Tiram, Daerah Johor, Negeri Johor daripada Md Hasim bin Ibarahim dengan harga belian RM1,680,000.00.
2
Teras tuntutan Plaintif ialah bahawa Defendan-Defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawab profesional mereka, khususnya dalam mengurus wang yang diterima daripada pembeli-pembeli kecil atau ‘sub-purchasers’ dan dalam memastikan pembayaran kepada penjual disempurnakan. Plaintif mendakwa kegagalan itu menyebabkan Perjanjian Jual Beli dibatalkan dan projek pecah lot yang dirancang olehnya gagal.
3
Defendan-Defendan menafikan tuntutan tersebut. Kedudukan Defendan-Defendan ialah bahawa mereka bertindak sebagai peguamcara dan ‘stakeholder’, bukan sebagai penjamin kejayaan komersial projek Plaintif. Defendan-Defendan menyatakan bahawa wang yang dipegang tidak boleh dilepaskan secara unilateral atas arahan Plaintif semata-mata kerana pelepasan wang tertakluk kepada terma transaksi, pematuhan dokumentasi dan perlindungan kepentingan pihak-pihak lain yang berkepentingan terhadap wang tersebut.
4
Setelah menilai keterangan SP1, keterangan SD1, dokumen-dokumen kontemporari, hujahan pihak-pihak serta autoriti yang dirujuk, atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah ini menolak tuntutan Plaintif sepenuhnya dengan kos RM50,000.00 kepada Defendan-Defendan. Alasan Mahkamah ini dinyatakan seperti berikut.
5
Plaintif telah mengenal pasti tanah di Sungai Tiram untuk dibeli dengan tujuan melaksanakan suatu projek komersial. Projek itu bukan pembelian tanah biasa untuk pegangan peribadi, tetapi suatu rancangan pelaburan untuk memecahkan tanah kepada lot-lot kecil dan menjualnya kepada ‘sub-purchasers’.
6
Bagi tujuan tersebut, Plaintif melantik Defendan Kedua, Tetuan Izzat Muhtar & Hudha, sebagai peguamcara. Defendan Pertama ialah rakan kongsi firma tersebut. Skop kerja Defendan-Defendan termasuk menyediakan Perjanjian Jual Beli, menyediakan Surat Kuasa Wakil atau ‘Power of Attorney’, mengendalikan wang yang diterima daripada ‘sub-purchasers’ sebagai stakeholder, dan menyelaraskan pembayaran kepada penjual mengikut terma transaksi.
7
Struktur pembayaran yang dipersetujui adalah penting. Berdasarkan keterangan dan dokumen, sebahagian besar wang yang diterima daripada ‘sub-purchasers’, sekitar 70%, hendaklah dipegang oleh Defendan-Defendan sebagai stakeholder untuk tujuan pembayaran kepada penjual. Baki sekitar 30% pula digunakan oleh Plaintif untuk kos operasi dan keuntungan awal projek.
8
Plaintif kemudiannya mula memasarkan lot-lot kecil kepada ‘sub-purchasers’ walaupun pemilikan penuh tanah masih belum dipindahkan kepadanya dan pelan pecahan belum menjadi suatu kelulusan muktamad. Dana daripada ‘sub-purchasers’ menjadi sebahagian penting kepada mekanisme pembayaran harga belian kepada penjual.
9
Beberapa isu material timbul semasa pelaksanaan transaksi. Pertama, pembayaran kepada penjual tidak disempurnakan sepenuhnya dalam tempoh yang diharapkan oleh Plaintif. Kedua, duti setem bagi Surat Kuasa Wakil tidak disempurnakan pada masa material. Ketiga, wujud pertikaian mengenai sama ada Defendan-Defendan wajib melepaskan wang atas arahan Plaintif atau mengekalkan wang tersebut sehingga syarat-syarat yang berkaitan dipenuhi.
10
Pada atau sekitar 14.3.2021, penjual membatalkan Perjanjian Jual Beli dan menamatkan Surat Kuasa Wakil. Pembatalan ini menyebabkan projek Plaintif gagal. Plaintif kemudiannya memfailkan tindakan ini atas alasan bahawa pembatalan tersebut berpunca daripada kecuaian dan/atau pelanggaran kewajipan profesional oleh Defendan-Defendan.
11
Plaintif berhujah bahawa Defendan-Defendan bukan sahaja bertindak sebagai peguamcara, tetapi juga sebagai ‘stakeholder’ yang memegang wang transaksi. Menurut Plaintif, Defendan-Defendan mempunyai kewajipan profesional dan fidusiari untuk mengurus dan melepaskan wang mengikut arahan Plaintif bagi memastikan pembayaran kepada penjual disempurnakan.
12
Plaintif menegaskan bahawa kegagalan melepaskan wang kepada penjual merupakan punca langsung pembatalan Perjanjian Jual Beli. Plaintif juga berhujah bahawa isu duti setem Surat Kuasa Wakil tidak sepatutnya menghalang pelepasan wang, dan bahawa Defendan-Defendan gagal bertindak proaktif untuk melindungi kepentingan Plaintif sebagai anak guam.
13
Sebaliknya, Defendan-Defendan berhujah bahawa mereka tidak boleh melepaskan wang secara sewenang-wenang kerana wang tersebut dipegang sebagai stakeholder. Menurut Defendan-Defendan, pelepasan wang tertakluk kepada syarat-syarat transaksi, kedudukan dokumentasi, pematuhan Surat Kuasa Wakil, pengesahan teknikal dan perlindungan kepentingan pihak ketiga termasuk ‘sub-purchasers’ dan penjual.
14
Defendan-Defendan selanjutnya berhujah bahawa kegagalan transaksi berpunca daripada risiko komersial yang diambil sendiri oleh Plaintif, termasuk kebergantungan kepada jualan masa hadapan, ketiadaan dana penuh, pelan pecah lot yang belum diluluskan dan kegagalan menyempurnakan dokumentasi penting.
15
Mahkamah ini merumuskan pertikaian kepada tiga isu utama yang saling berkaitan:
i
sama ada Defendan-Defendan telah melanggar kewajipan profesional sebagai peguamcara dan ‘stakeholder ‘kepada Plaintif;
II
(ii) sama ada Defendan-Defendan cuai sehingga menyebabkan pembatalan Perjanjian Jual Beli dan kerugian Plaintif; dan
III
(iii) sama ada Plaintif berjaya membuktikan hak kepada ganti rugi yang dituntut. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu (i) :Sama ada Defendan-Defendan telah melanggar kewajipan profesional sebagai peguamcara dan ‘stakeholder’ kepada Plaintif 16. Mahkamah ini menerima bahawa Defendan-Defendan mempunyai kewajipan profesional kepada Plaintif sebagai peguamcara yang dilantik. Namun, kewujudan kewajipan sahaja tidak memadai untuk mewujudkan liabiliti. Plaintif masih perlu membuktikan, atas imbangan kebarangkalian, bahawa Defendan-Defendan melanggar standard profesional yang munasabah, bahawa pelanggaran itu menyebabkan kerugian, dan bahawa kerugian tersebut tidak terlalu terpencil untuk dipulihkan.
17
Prinsip ini selaras dengan pendekatan Mahkamah Rayuan dalam kes Wong Kiong Hung & Anor v Chang Siew Lan & Anor (Appeal) [2009] 4 MLJ 183, bahawa liabiliti peguam dalam kecuaian tidak timbul semata-mata kerana sesuatu transaksi gagal, tetapi hanya apabila plaintif membuktikan bahawa peguam tersebut gagal mencapai tahap kemahiran dan ketelitian yang munasabah dalam menjalankan tugas profesionalnya.
18
Mahkamah ini juga mengambil kira prinsip dalam kes Bolam v Friern Hospital Management Committee [1957] 1 WLR 582. Walaupun kes tersebut berasal daripada konteks profesional perubatan, prinsipnya telah diterima secara analogi bagi menilai standard profesional, iaitu seseorang profesional tidak dianggap cuai jika tindakannya selaras dengan amalan yang diterima sebagai munasabah oleh suatu badan profesional yang bertanggungjawab.
19
Dalam kes ini, skop kewajipan Defendan-Defendan tidak boleh dilihat secara abstrak sebagai kewajipan peguamcara untuk mematuhi setiap arahan anak guam. Kewajipan itu perlu dinilai dalam konteks peranan khusus Defendan-Defendan sebagai ‘stakeholder’. Wang yang dipegang bukanlah wang Plaintif secara mutlak, tetapi wang transaksi yang diterima daripada sub-purchasers dan dipegang tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.
20
Prinsip mengenai stakeholder telah dihuraikan oleh Mahkamah Agung dalam Toh Theam Hock v Kemajuan Perwira Management Corporation Sdn Bhd [1988] 1 MLJ 116, Hashim Yeop A Sani SCJ mentafsirkan maksud “Stake Holder” sebagai berikut: “What is in essence stakeholding? The word “stake” is in common parlance used to apply to any money to be disposed of in accordance with what may happen in future: and whoever is in possession of the money is often described as a stakeholder. The manner in which the money is to be disposed of depends on the terms on which it is held”. [Penekanan di tambah]
21
Dalam kes tersebut, Mahkamah menjelaskan bahawa wang yang dipegang oleh ‘stakeholder’ hendaklah dilupuskan mengikut apa yang berlaku pada masa hadapan dan mengikut terma pegangan wang tersebut. Oleh itu, pihak yang memegang wang sebagai ‘stakeholder’ tidak boleh melepaskannya secara bebas, tetapi mesti mematuhi terma yang mengawal pegangan tersebut.
22
Dengan berpandukan prinsip tersebut, Mahkamah ini menolak hujahan Plaintif bahawa Defendan-Defendan wajib melepaskan wang semata-mata atas arahan unilateral Plaintif. Seorang ‘stakeholder’ mempunyai kewajipan untuk bertindak neutral dan berhati-hati. Jika wang tersebut dilepaskan tanpa pematuhan syarat transaksi, Defendan-Defendan berisiko melanggar kewajipan kepada pihak-pihak lain yang berkepentingan terhadap wang tersebut.
23
Dokumen dan keterangan menunjukkan bahawa pelepasan wang adalah tertakluk kepada beberapa syarat material. Antaranya ialah kejelasan kedudukan transaksi, pematuhan terma Perjanjian Jual Beli, kedudukan dokumentasi termasuk Surat Kuasa Wakil, keperluan untuk menyediakan pengesahan profesional, termasuk pengesahan juruukur, bagi menyokong tuntutan bahawa proses pecah tanah atau aspek teknikal tertentu telah mencapai tahap yang membolehkan pelepasan wang dibuat, struktur pembayaran yang bergantung kepada dana ‘sub-purchasers’, dan keperluan memastikan bahawa pelepasan wang tidak menjejaskan penjual atau ‘sub-purchasers’.
24
Berkenaan mendapatkan pengesahan juruukur, bagi menyokong tuntutan bahawa proses pecah tanah atau aspek teknikal tertentu telah mencapai tahap yang membolehkan pelepasan wang dibuat, Plaintif gagal mengemukakan bukti dokumentari yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa pengesahan tersebut telah diperolehi pada masa yang material. Ketiadaan pengesahan ini menimbulkan ketidakpastian yang material berhubung kelayakan untuk pelepasan wang, dan dalam keadaan sedemikian Defendan tidak boleh secara munasabah melepaskan wang tersebut tanpa melanggar kewajipan profesionalnya
25
Mahkamah juga memberi perhatian khusus kepada isu Surat Kuasa Wakil yang tidak disetemkan dengan sempurna pada masa material. Dokumen tersebut memainkan peranan penting dalam keseluruhan struktur transaksi, terutama kerana projek Plaintif melibatkan pecah bahagi dan jualan kepada ‘sub-purchasers’. Kegagalan menyempurnakan duti setem bukan perkara teknikal yang remeh, kerana ia menimbulkan ketidakpastian undang-undang terhadap penggunaan dokumen tersebut.
26
Dalam keadaan sedemikian, tindakan Defendan-Defendan untuk tidak melepaskan wang secara tergesa-gesa adalah selaras dengan peranan seorang ‘stakeholder’ yang berhati-hati. Mahkamah ini tidak mendapati tindakan tersebut sebagai penyimpangan daripada standard profesional. Sebaliknya, tindakan itu menunjukkan pematuhan kepada kewajipan profesional untuk memastikan wang transaksi tidak dilepaskan tanpa asas yang selamat.
27
Mahkamah juga menilai keterangan SP1 dan SD1. Dalam menilai kredibiliti saksi, Mahkamah menerima pakai prinsip dalam kes PP v Datuk Haji Harun Haji Idris (No 2) [1976] 1 MLRH 562, bahawa Mahkamah boleh menerima sebahagian keterangan yang didapati boleh dipercayai dan menolak bahagian lain yang tidak disokong oleh bukti. Keterangan lisan hendaklah diuji terhadap dokumen kontemporari, konsistensi dalaman dan kebarangkalian munasabah.
28
Keterangan SP1 tidak meyakinkan dalam beberapa aspek material. SP1 memberi gambaran bahawa pelepasan wang sepatutnya berlaku secara automatik, sedangkan dokumen transaksi menunjukkan bahawa pelepasan tersebut adalah bersyarat. SP1 juga mengakui bahawa transaksi bergantung kepada dana ‘sub-purchasers’ dan bahawa pelan pecahan tanah belum mendapat kelulusan muktamad.
29
Sebaliknya, keterangan SD1 adalah lebih konsisten dengan dokumen kontemporari. SD1 menjelaskan secara teratur bahawa Defendan-Defendan memegang wang sebagai ‘stakeholder’ dan bahawa pelepasan wang hanya boleh dibuat apabila syarat transaksi dipenuhi. Penjelasan ini selaras dengan struktur pembayaran yang berperingkat dan dengan sifat transaksi yang bergantung kepada dana pihak ketiga.
30
Mahkamah juga menolak percubaan Plaintif untuk menjadikan isu Sijil Amalan Guaman Defendan sebagai penentu liabiliti. Walaupun isu tersebut relevan untuk dinilai, liabiliti dalam kes ini masih perlu ditentukan berdasarkan sama ada Defendan-Defendan melanggar kewajipan dalam pengendalian wang sebagai ‘stakeholder’. Tiada keterangan yang menunjukkan bahawa Defendan-Defendan menyalahgunakan wang atau bertindak bertentangan dengan terma transaksi.
31
Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa Defendan-Defendan tidak melanggar kewajipan profesional mereka. Defendan-Defendan bertindak dalam lingkungan tanggungjawab profesional yang munasabah sebagai peguamcara dan stakeholder. Isu (i) diputuskan memihak kepada Defendan-Defendan.
II
(ii): Sama ada Defendan-Defendan cuai sehingga menyebabkan pembatalan Perjanjian Jual Beli dan kerugian Plaintif 32. Isu kedua menuntut Mahkamah menilai bukan sahaja sama ada terdapat kecuaian, tetapi sama ada kecuaian yang didakwa itu menjadi punca efektif pembatalan Perjanjian Jual Beli dan kerugian Plaintif. Penentuan ini memerlukan Mahkamah meneliti struktur transaksi secara keseluruhan, bukan sekadar hasil akhirnya.
33
Mahkamah ini mengambil kira prinsip dalam kes Majlis Perbandaran Selayang v Suresh Subramaniam [2025] 4 MLJ 303, bahawa dalam tuntutan kecuaian, plaintif perlu membuktikan pelanggaran kewajipan, hubungan kausal dan kerugian. Ujian 'but for' menuntut Mahkamah menentukan sama ada kerugian yang didakwa oleh Plaintif akan tetap berlaku walaupun tanpa tindakan atau peninggalan Defendan yang dipersoalkan. Sekiranya kerugian tersebut tetap akan berlaku, maka hubungan kausal yang diperlukan antara pelanggaran yang didakwa dan kerugian yang dituntut tidak dapat dibuktikan.
34
Mahkamah ini juga mengambil kira prinsip dalam kes Shearn Delamore & Co v Sadacharamani Govindasamy [2018] 3 MLRA 307, bahawa peguam tidak menjamin kejayaan sesuatu transaksi. Kewajipan peguam ialah menggunakan kemahiran dan ketelitian yang munasabah, bukan menanggung risiko komersial anak guam atau memastikan bahawa perjanjian yang bergantung kepada faktor luaran pasti berjaya.
35
Dalam kes ini, bukti menunjukkan bahawa pembatalan Perjanjian Jual Beli tidak boleh dikaitkan secara langsung dan hanya semata-mata kepada tindakan Defendan-Defendan. Transaksi ini bergantung kepada beberapa faktor luaran yang tidak berada dalam kawalan penuh Defendan-Defendan, termasuk kejayaan jualan kepada ‘sub-purchasers’, kecukupan dana, kelulusan pecah lot, penyempurnaan Surat Kuasa Wakil dan pematuhan syarat-syarat pembayaran.
36
SP1 mengakui bahawa pelan pecah lot hanyalah deraf dan belum mendapat kelulusan kebenaran merancang. Pengakuan ini penting kerana keseluruhan model keuntungan Plaintif bergantung kepada kemampuan menjual lot-lot kecil yang belum muktamad dari segi undang-undang dan teknikal.
37
SP1 juga mengakui bahawa Defendan-Defendan hanya mengendalikan sebahagian fail pembeli, manakala baki transaksi melibatkan firma peguam lain. Fakta ini melemahkan dakwaan bahawa Defendan-Defendan mengawal keseluruhan projek atau bahawa kegagalan projek boleh diletakkan sepenuhnya kepada Defendan-Defendan.
38
Mahkamah ini mendapati bahawa pembatalan transaksi oleh penjual adalah akibat daripada keseluruhan keadaan transaksi yang tidak stabil, termasuk kegagalan Plaintif menyediakan dana yang mencukupi dan ketidakpastian struktur projek. Dalam keadaan ini, tidak adil dan tidak selaras dengan prinsip kecuaian profesional untuk memindahkan keseluruhan risiko komersial tersebut kepada Defendan-Defendan.
39
Berdasarkan ujian “but for” sebagaimana dihuraikan dalam kes Suresh Subramaniam (supra), Plaintif gagal membuktikan bahawa pembatalan Perjanjian Jual Beli tidak akan berlaku sekiranya Defendan-Defendan melepaskan wang seperti yang diminta. Sebaliknya, bukti menunjukkan bahawa transaksi tetap berisiko gagal kerana faktor-faktor asas yang telah dinyatakan.
40
Oleh itu, walaupun Mahkamah menilai semua kemungkinan secara menyeluruh, Mahkamah tidak dapat membuat inferens, atas imbangan kebarangkalian, bahawa tindakan Defendan-Defendan merupakan punca efektif kerugian Plaintif. Justeru itu, isu (ii) diputuskan memihak kepada Defendan-Defendan. Isu (iii) : sama ada Plaintif berjaya membuktikan hak kepada gantirugi yang dituntut 41. Isu ketiga berkait rapat dengan kegagalan Plaintif membuktikan pelanggaran kewajipan dan hubungan kausal yang diperlukan antara pelanggaran yang didakwa dan kerugian yang dituntut. Namun, Mahkamah tetap menilai secara berasingan sama ada kerugian yang dituntut telah dibuktikan dengan secukupnya.
42
Beban pembuktian terletak kepada Plaintif berdasarkan seksyen 101 dan 102 Akta Keterangan 1950. Prinsip ini selaras dengan kes Hong Yik Trading Sdn Bhd v Liziz Plantation Sdn Bhd [2017] 8 CLJ 491, bahawa pihak yang mendakwa kewujudan sesuatu fakta menanggung beban untuk membuktikannya atas imbangan kebarangkalian.
43
Tuntutan utama Plaintif ialah kehilangan keuntungan yang dikatakan akan diperoleh daripada projek pecah lot berjumlah RM4,375,700.00. Namun, keuntungan tersebut tidak dibuktikan sebagai kerugian sebenar yang telah terakru atau hampir pasti berlaku. Keuntungan itu bergantung kepada kelulusan pecah lot, kejayaan jualan sub-lot, kemampuan pembeli menyempurnakan pembelian, kecukupan dana dan penyempurnaan transaksi utama dengan penjual.
44
Mahkamah mendapati bahawa tuntutan keuntungan Plaintif bersifat spekulatif. Tiada bukti memadai bahawa semua lot telah dijual secara muktamad, tiada bukti bahawa semua pembeli akan menyempurnakan transaksi, dan tiada bukti bahawa pelan pecahan tanah akan diluluskan seperti yang dirancang.
45
Selain itu, apabila Mahkamah telah mendapati bahawa Defendan-Defendan tidak melanggar kewajipan profesional dan tidak menyebabkan pembatalan Perjanjian Jual Beli, maka tuntutan gantirugi Plaintif gagal pada asas hubungan kausal antara pelanggaran yang didakwa dan kerugian yang dituntut. Tiada ganti rugi boleh diberikan tanpa pembuktian bahawa kerugian tersebut berpunca daripada salah laku Defendan-Defendan. Ini adalah bertepatan dengan prinsip dalam kes Shearn Delamore & Co (supra), yang menegaskan bahawa peguam tidak bertanggungjawab terhadap kerugian yang timbul daripada risiko komersial yang diambil oleh klien. Dalam konteks ini, Mahkamah ini mendapati bahawa Plaintif telah secara sedar memilih satu model transaksi yang berisiko tinggi, dan oleh itu tidak boleh, atas imbangan kebarangkalian, mengaitkan kegagalan tersebut kepada kecuaian Defendan.
46
Mahkamah juga berpendapat bahawa sebahagian kerugian yang dituntut adalah terlalu terpencil untuk dipulihkan. Prinsip keterpencilan kerugian (‘remoteness of damages’) mengehadkan pemulihan gantirugi kepada kerugian yang boleh dijangka secara munasabah dan berpunca secara langsung daripada pelanggaran yang dibuktikan. Dalam kes ini, kerugian yang dikaitkan dengan kegagalan keseluruhan projek bergantung kepada terlalu banyak faktor luaran yang tidak berada dalam kawalan Defendan-Defendan. Sebagaimana yang dihuraikan di dalam kes Suresh Subramaniam (supra), di mana Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa hanya kerugian yang merupakan akibat semula jadi dan munasabah daripada pelanggaran kewajipan sahaja yang boleh dituntut. Apabila Mahkamah ini menimbang tuntutan Plaintif terhadap prinsip ini didalam kes semasa, Mahkamah ini mendapati bahawa keuntungan yang didakwa adalah terlalu jauh dan tidak berada dalam jangkaan munasabah pada masa transaksi dimeterai, memandangkan ia bergantung kepada pelaksanaan projek yang belum mendapat kelulusan dan melibatkan pelbagai ketidakpastian.
47
Tuntutan gantirugi khas RM17,000.00 juga tidak mengubah kedudukan keseluruhan kes. Gantirugi khas mesti diplid dan dibuktikan secara ketat. Setakat mana dokumen sokongan tidak mencukupi atau tidak menghubungkan jumlah tersebut secara langsung kepada pelanggaran yang dibuktikan, tuntutan tersebut tidak boleh dibenarkan.
48
Bagi gantirugi teladan dan gantirugi teruk, Mahkamah mendapati tiada asas untuk memberikan relif tersebut. Tiada bukti bahawa Defendan-Defendan bertindak secara berniat jahat, menindas, frod atau dengan sikap tidak peduli yang keterlaluan terhadap hak Plaintif. Sebaliknya, dapatan Mahkamah menunjukkan bahawa Defendan-Defendan bertindak berhati-hati dalam kapasiti ‘stakeholder’.
49
Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif gagal membuktikan hak kepada mana-mana gantirugi yang dituntut. Maka isu (iii) diputuskan memihak kepada Defendan-Defendan.
50
Secara keseluruhan, Mahkamah mendapati bahawa kegagalan transaksi tidak berpunca daripada kecuaian profesional Defendan-Defendan. Kegagalan tersebut lebih tepat difahami sebagai akibat risiko komersial yang wujud dalam struktur projek Plaintif sendiri, iaitu pembelian tanah yang bergantung kepada jualan masa hadapan kepada ‘sub-purchasers’ dan kelulusan teknikal yang belum muktamad.
51
Defendan-Defendan tidak bertindak sebagai penjamin kejayaan projek. Mereka bertindak sebagai peguamcara dan ‘stakeholder’ Dalam kapasiti itu, tindakan mereka menahan pelepasan wang sehingga syarat-syarat material dipenuhi adalah wajar, munasabah dan selaras dengan kewajipan profesional.
52
Plaintif gagal membuktikan tiga perkara asas iaitu pertama, bahawa Defendan-Defendan melanggar kewajipan profesional, kedua, bahawa pelanggaran tersebut menyebabkan pembatalan Perjanjian Jual Beli dan ketiga, bahawa kerugian yang dituntut adalah kerugian sebenar, tidak spekulatif dan boleh dipulihkan di sisi undang-undang.
53
Kegagalan membuktikan mana-mana satu elemen tersebut sudah memadai untuk menggagalkan tuntutan Plaintif. Dalam kes ini, Plaintif atas imbangan kebarangkalian telah gagal membuktikan kesemua elemen asas tersebut.
54
Atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini memerintahkan seperti berikut:
a
Tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan adalah ditolak sepenuhnya;
b
Kos sebanyak RM50,000.00 diberikan kepada Defendan-Defendan dan hendaklah dibayar oleh Plaintif;
c
Kos tersebut termasuk kos guaman dan kos berkaitan perbicaraan penuh ini; dan
d
Semua relif lain yang tidak secara khusus dibenarkan adalah ditolak. ALASAN BAGI PEMBERIAN KOS
55
Dalam menentukan jumlah kos, Mahkamah ini mengambil kira bahawa kes ini telah melalui suatu perbicaraan penuh, melibatkan pemfailan pliding yang lengkap, penyediaan penyata saksi, pengemukaan dokumen dalam Ikatan Dokumen, keterangan lisan serta soal balas saksi-saksi dan hujahan bertulis yang terperinci daripada kedua-dua pihak.
56
Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa kes ini telah berlarutan sejak tahun 2022, dan dengan itu melibatkan penggunaan masa mahkamah serta sumber pihak-pihak yang signifikan.
57
Selain itu, Mahkamah ini mendapati bahawa tuntutan Plaintif, khususnya berhubung gantirugi yang bersifat spekulatif, telah memanjangkan prosiding secara tidak perlu dan memerlukan Defendan untuk mempertahankan dirinya secara penuh melalui perbicaraan. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini berpuas hati bahawa suatu perintah kos yang lebih tinggi adalah wajar bagi mencerminkan tahap kerumitan kes, tempoh litigasi yang panjang dan keperluan untuk memberikan pampasan yang adil kepada Defendan yang telah berjaya mempertahankan tuntutan tersebut. Oleh yang demikian, Mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk memberikan kos sebanyak RM50,000.00, yang pada pandangan Mahkamah ini adalah munasabah dan seimbang dalam keadaan kes ini.
58
Mahkamah ini berpendapat bahawa kos tersebut adalah munasabah, berkadar dan selaras dengan budi bicara Mahkamah di bawah Aturan 59 Kaedah-Kaedah Mahkamah
2012
Dengan ini, Mahkamah ini menegaskan bahawa keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap fakta, melalui keterangan saksi-saksi serta dokumen-dokumen yang dirujuk oleh pihak-pihak dan prinsip undang-undang yang terpakai. BERTARIKH 4 JUN 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif Izza Madihah binti Hamdan Tetuan Enda & Partners Johor Bahru Peguam Bagi Pihak Responden Nur Aini Tetuan Norlinda Lasri & Co Johor Bahru
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.