Lampiran
Lampiran 46, iaitu mengenepikan / membatalkan Perintah Penyampaian Ganti Notis Kebankrapan bertarikh 30.1.2023 (Lampiran 14). S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 2. Penghutang Penghakiman (“JD”) mengekalkan pendirian bahawa Perintah Penyampaian Ganti tersebut adalah tidak teratur kerana tiada cubaan penyampaian dibuat di alamat China yang merupakan alamat yang dinyatakan dalam perjanjian, dan mod yang betul (jika JD di luar Malaysia) ialah serahan luar bidang kuasa di bawah Kaedah 112 Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017. 3. PKP dalam keputusannya mendapati bahawa tiada cubaan serahan dibuat di alamat di China di mana alamat tersebut merupakan alamat dalam Perjanjian dan Mahkamah juga telah meneliti hujahan JC terhadap perkara ini dan meneliti semula fakta kes yang berlainan dengan fakta kes sebelum ini. Kes sebelum ini JD tidak berada di Malaysia sepanjang cubaab serahan dibuat dan sepanjang prosiding kebankrapan dijalankan. Untuk kes ini JC berhujah terdapat kebarangkalian JD pada Ketika percubaan serahan dilakukan berada di Malaysia iaitu cubaan kediri kali ketiga pada 24.8.2023 dan kali keempat pada 25.8.2023. Oleh itu JD dengan sengaja mengelak daripada menerima serahan tersebut. 4. JD pula menjawab sememangnya JD tidak berada di Malaysia sepanjang cubaan kediri tersebut dilakukan dan JD juga berhujah bahawa alamat cubaan penyampaian dan mod penyampaian adalah salah atas alasan bahawa cubaan patut dibuat di alamat di China iaitu alamat yang dipersetujui dalam perjanjian dan mod penyampaian betul adalah serahan luar bidang kuasa sebagaimana Klausa (r) di ‘Credit or Cheque S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg Cashing Facility Request Form/Agreement’ (Perjanjian) di tandatangan dan alamat serahan yang betul yang perlu dipatuhi JC. Penyampaian Ganti Notis Kebankrapan yang dilakukan ke atas JD di alamat di Skudai, Johor tidak sah kerana JD berada di luar bidang kuasa Malaysia. Tiada permohonan ‘leave to serve out of jurisdiction’ difailkan oleh JC sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 3(2A) Akta Insolvensi 1967. 5. Perayu kini merayu terhadap Keputusan tersebut dengan alasan bahawa PKP telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang khususnya dalam mentafsirkan Klausa (r) dalam Perjanjian tersebut antara pihak-pihak yang menurut JC membenarkan penyampaian sah dilakukan di alamat kontrak JD di Malaysia. 6. Mahkamah ini pada 10.11.2025 setelah membaca, meneliti dan menilai Notis Rayuan serta Hujahan Pihak-Pihak telah memutuskan menolak Rayuan JC dan mengekalkan Keputusan PKP dengan kos RM3000.00 dibayar oleh JC kepada JD tertakluk kepada fi alokatur. Oleh kerana tidak berpuashati dengan Keputusan tersebut kini JC telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan bertarikh 27.11.2025 terhadap keseluruhan Keputusan Mahkamah ini. LATAR BELAKANG RINGKAS & ISU PERTIKAIAN 7. Dalam prosiding di hadapan PKP, JC berhujah bahawa terdapat kebarangkalian JD berada di Malaysia ketika cubaan serahan S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg kendiri pada 24.8.2023 dan 25.8.2023 dan bahawa JD mengelak serahan. 8. PKP, selepas meneliti Afidavit Tanpa Penyampaian, mendapati penyerah saman tidak melihat sesiapa di premis, dan cubaan itu gagal dan PKP tidak bersetuju dengan andaian JC bahawa JD berada di premis dan sengaja mengelak. 9. PKP seterusnya menekankan bahawa apabila cubaan di alamat Malaysia gagal, JC perlu kembali kepada keperluan kontrak dan membuat cubaan serahan di alamat perjanjian seperti dipersetujui. ISU UNTUK DIPUTUSKAN 10. Mahkamah ini merumuskan isu-isu utama seperti berikut: Isu 1: Sama ada Penyampaian Ganti Notis Kebankrapan terhadap JD (Lampiran 14) adalah sah di sisi undang-undang; Isu 2: Sama ada Klausa (r) dalam ‘Credit or Cheque Cashing Facility Request Form/Agreement’ (“Perjanjian”) membenarkan penyampaian sah dilakukan di Malaysia, walaupun alamat penyampaian JD adalah di luar negara (China); dan Isu 3: Sama ada PKP tersalah arah (misdirected) dalam menolak kesahan penyampaian tersebut serta membenarkan Lampiran 46 pada 25.4.2024. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg ANALISA & DAPATAN MAHKAMAH 11. Mahkamah ini terlebih dahulu menegaskan bahawa prosiding kebankrapan adalah bersifat ‘quasi-penal’ oleh itu, pematuhan ketat terhadap keperluan penyampaian adalah prasyarat sah kepada langkah kebankrapan. Prinsip ini berulang kali ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Rujuk kes Ghazali bin Hj Ibrahim v CIMB Bank Bhd [2012] 9 MLJ 768; Lim Book Kiak v Affin Bank Bhd [2013] 6 CLJ 579. ISU 1: Sama ada Penyampaian Ganti Notis Kebankrapan terhadap Penghutang Penghakiman (Lampiran 14) adalah Sah di Sisi Undang-Undang (a) Prinsip Asas Undang-Undang Mengenai Penyampaian Notis Kebankrapan 12. Mahkamah ini memulakan analisa dengan menegaskan prinsip mantap bahawa prosiding kebankrapan adalah bersifat `quasi-penal’, membawa implikasi serius terhadap kebebasan peribadi, status undang-undang dan keupayaan ekonomi seseorang individu. Justeru, undang-undang mensyaratkan pematuhan yang ketat (`strict compliance’) terhadap keperluan prosedur, khususnya berkaitan penyampaian Notis Kebankrapan sebagai pra-syarat sah kepada prosiding tersebut. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 13. Prinsip ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Re Lim Ah Hee @ Sim Ah Hee; ex p Perwira Affin Bank Bhd [2004] 3 MLJ 253 (FC), bahawa langkah-langkah kebankrapan tidak boleh dipermudahkan atas alasan teknikal semata-mata dan hendaklah mematuhi kehendak undang-undang secara ketat kerana kesannya yang menekan (‘oppressive’) terhadap Penghutang Penghakiman. 14. Selaras dengan itu, Mahkamah Rayuan dalam kes Ghazali bin Hj Ibrahim v CIMB Bank Bhd [2012] 9 MLJ 768 dan Lim Book Kiak v Affin Bank Bhd [2013] 6 CLJ 579 telah memutuskan bahawa sebarang kecacatan dalam penyampaian Notis Kebankrapan adalah fatal dan tidak boleh diperbetulkan secara retrospektif dengan bergantung kepada pengetahuan sebenar (‘actual knowledge’) penghutang semata-mata. (b) Penyampaian Ganti sebagai Pengecualian, Bukan Kebiasaan 15. Penyampaian ganti (‘substituted service’) bukanlah kaedah penyampaian biasa, sebaliknya merupakan pengecualian luar biasa yang hanya boleh dibenarkan apabila pihak pemohon membuktikan bahawa penyampaian biasa telah dicuba dengan usaha wajar (‘due diligence’) dan gagal, atau tidak praktikal dilakukan. 16. Dalam konteks ini, Mahkamah menekankan bahawa beban membuktikan ‘due diligence’ terletak sepenuhnya ke atas Pemiutang Penghakiman (JC) sebagai pihak yang memulakan langkah kebankrapan. Dakwaan umum bahawa Penghutang S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg Penghakiman “mengelak serahan” tanpa sokongan bukti konkrit adalah tidak mencukupi untuk menurunkan standard undang-undang yang ditetapkan. 17. Walaupun JC bergantung kepada keputusan kes Koh Thong Kuang v United Malayan Banking Corp Bhd [1994] 3 MLJ 509 bagi menyokong hujahan ‘evasion of service’, Mahkamah ini berpendapat bahawa kes tersebut tidak boleh dibaca secara terasing. Prinsip yang boleh diambil daripadanya ialah Mahkamah mesti berpuas hati, berdasarkan bukti yang meyakinkan, bahawa tindakan mengelak serahan itu benar-benar wujud, bukan sekadar inferens atau kebarangkalian. (c) Kegagalan Membuktikan ‘Due Diligence’ dalam Kes Ini 18. Dalam kes ini, rekod menunjukkan bahawa cubaan penyampaian kediri dibuat di alamat di Malaysia, namun Penghutang Penghakiman tidak ditemui. Penyerah saman tidak melihat JD secara fizikal, dan tiada bukti langsung bahawa JD berada di premis tersebut pada masa cubaan serahan. 19. Dakwaan bahawa JD berada di Malaysia atau berada antara Malaysia dan China adalah bersifat spekulatif dan tidak disokong bukti objektif seperti rekod imigresen, pengesahan kehadiran, atau keterangan bebas. Mahkamah ini berpendapat bahawa inferens sebegini tidak memadai untuk memenuhi keperluan ‘due diligence’ dalam konteks kebankrapan. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 20. Lebih penting, wujud alamat kontraktual JD di luar negara (China) yang diketahui oleh JC. Kewujudan alamat ini secara objektif membuka laluan penyampaian yang sah melalui serahan luar bidang kuasa, namun laluan tersebut tidak diterokai sebelum permohonan penyampaian ganti dibuat. (d) Kewajipan Pendedahan Penuh dalam Permohonan Ex Parte 21. Permohonan bagi penyampaian ganti dibuat secara ‘ex parte’, dan oleh itu tertakluk kepada prinsip ‘full and frank disclosure’. Prinsip ini mewajibkan pemohon mendedahkan semua fakta material yang boleh mempengaruhi keputusan Mahkamah, sama ada fakta tersebut menyokong atau menjejaskan permohonan. 22. Prinsip tersebut telah lama ditetapkan dalam kes The King v The Special Commissioners of Income Tax; ex parte Princess Edmond de Polignac [1917] 1 KB 486 dan diterima pakai secara konsisten oleh Mahkamah Malaysia. 23. Dalam kes ini, kegagalan untuk mendedahkan secara jelas kewujudan klausa kontraktual dan alamat penyampaian di China merupakan kegagalan pendedahan fakta material. Fakta ini adalah relevan secara langsung kerana ia berpotensi membawa Mahkamah untuk mengarahkan kaedah penyampaian yang berbeza, termasuk penyampaian luar bidang kuasa, dan bukannya membenarkan penyampaian ganti. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 24. Kegagalan pendedahan penuh ini dengan sendirinya menjadikan perintah penyampaian ganti tersebut tidak teratur (`irregular’) dan terdedah untuk diketepikan, tanpa perlu Mahkamah menilai keberkesanan praktikal penyampaian tersebut. (e) Pengetahuan Sebenar (‘Actual Knowledge’) Tidak Dapat Memperbaiki Kecacatan Prosedur 25. Mahkamah ini juga menolak hujahan bahawa tindakan JD memfailkan permohonan selepas penyampaian ganti membuktikan bahawa Notis Kebankrapan telah sampai kepada pengetahuannya dan oleh itu dapat memperbaiki kecacatan penyampaian. 26. Undang-undang adalah jelas bahawa dalam prosiding kebankrapan, pengetahuan sebenar tidak boleh menggantikan penyampaian sah. Prinsip ini telah diterima dalam beberapa autoriti kebankrapan yang menegaskan bahawa pematuhan prosedur bukan suatu formaliti kosong, tetapi perlindungan asas terhadap tindakan yang menekan. 27. Oleh itu berdasarkan pertimbangan keseluruhan di atas, Mahkamah mendapati bahawa: (a) penyampaian ganti Notis Kebankrapan hanya boleh dibenarkan selepas ‘due diligence’ berjaya dibuktikan; (b) ‘due diligence’ tersebut tidak dipenuhi dalam kes ini; S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg (c) permohonan penyampaian ganti telah dibuat tanpa pendedahan penuh fakta material; dan (d) kecacatan tersebut adalah fatal dalam konteks prosiding kebankrapan. 28. Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Penolong Kanan Pendaftar bahawa penyampaian ganti Notis Kebankrapan bertarikh 30.1.2023 (Lampiran 14) adalah tidak sah dan tidak teratur di sisi undang-undang. ISU 2: Sama ada Klausa (r) dalam ‘Credit or Cheque Cashing Facility Request Form / Agreement’ membenarkan penyampaian sah dilakukan di Malaysia walaupun alamat penyampaian Penghutang Penghakiman adalah di China (a) Prinsip Undang-Undang Berkaitan Tafsiran Klausa Kontrak 29. Mahkamah ini memulakan analisa dengan prinsip asas bahawa kontrak yang jelas dan tidak kabur hendaklah ditafsirkan dan dikuatkuasakan menurut maksud literalnya, tanpa Mahkamah menulis semula kontrak atau memasukkan terma yang tidak dipersetujui oleh pihak-pihak. 30. Prinsip ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Guan Aik Moh (KL) Sdn Bhd v Selangor Properties Bhd [2007] 3 MLJ 695 (FC), bahawa peranan Mahkamah adalah untuk mentafsir kontrak sebagaimana ia ditulis, dan bukan sebagaimana yang difikirkan wajar oleh Mahkamah. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 31. Dalam konteks klausa penyampaian, Mahkamah-Mahkamah telah berulang kali memutuskan bahawa alamat penyampaian yang dipersetujui (`stipulated address for service’) adalah mengikat, dan penyampaian yang tidak mematuhi alamat tersebut adalah cacat, melainkan kontrak dengan jelas memperuntukkan sebaliknya. Rujuk kes Southern Finance Co Bhd v Zamrud Properties Sdn Bhd [1998] MLJU 87dan Cempaka Finance Bhd v Ho Lai Ying [2006] 4 MLJ 27 (CA). (b) Hujahan JC dan Had Tafsiran Klausa (r) 32. JC menghujahkan bahawa Klausa (r) bersifat ‘deemed service clause’ yang bertujuan melindungi kepentingan JC, dan tidak mengehadkan penyampaian kepada satu alamat eksklusif sahaja. Menurut JC, ketiadaan frasa `only’ atau `exclusively’ membenarkan penyampaian dilakukan di alamat lain termasuk di Malaysia. 33. Walau bagaimanapun, Mahkamah ini mendapati hujahan tersebut terlalu meluas dan bercanggah dengan prinsip tafsiran kontrak. Ketiadaan perkataan ‘only’ tidak secara automatik memberikan kebebasan mutlak kepada satu pihak untuk mengabaikan alamat yang telah dipersetujui. [Penekanan ditambah] S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 34. Klausa (r) perjanjian tersebut yang menjadi asas utama rayuan ini memperuntukkan bahawa: “Any notice, demand, statement, request or other communication required or permitted to be given under this Agreement shall be in writing and shall be deemed to have been properly given if sent by post or delivered by hand to the address last notified by the Customer to the Company”. 35. Klausa (r) ini perlu dibaca secara keseluruhan dan ditafsir dalam maksud sebenar perjanjian adalah seperti berikut, iaitu klausa tersebut menetapkan satu alamat perkhidmatan dan ia memberikan kesan ‘deemed service’ apabila dokumen dihantar mengikut alamat tersebut namun ia tidak memperuntukkan bahawa penyampaian di alamat lain, yang bercanggah dengan alamat kontraktual, adalah sah tanpa syarat. 36. Apabila Klausa (r) dibaca secara keseluruhan dan kontekstual, Mahkamah mendapati bahawa klausa tersebut mengikat pihak-pihak kepada alamat perkhidmatan yang dipersetujui, dan hanya memberikan kesan ‘deemed service’ apabila penyampaian dibuat ke alamat tersebut. 37. Klausa (r) tidak mengandungi apa-apa peruntukan yang membenarkan, secara nyata atau tersirat, penyampaian sah dibuat di alamat lain yang bercanggah dengan alamat kontraktual. Oleh itu, klausa ini tidak boleh dijadikan asas untuk mengesahkan penyampaian Notis Kebankrapan di Malaysia S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg apabila alamat perkhidmatan Penghutang Penghakiman adalah di China. 38. Tafsiran JC, jika diterima, akan membawa kepada situasi di mana klausa penyampaian menjadi tidak bermakna, kerana pihak boleh sewenang-wenangnya memilih mana-mana alamat yang lebih mudah selepas berlakunya pertikaian. (c) Keutamaan Alamat Kontraktual dalam Konteks Kebankrapan 39. Mahkamah menekankan bahawa isu ini tidak timbul dalam konteks litigasi biasa, tetapi berlainan di dalam prosiding kebankrapan yang bersifat ‘quasi-penal.’ Dalam konteks ini, Mahkamah mesti berhati-hati agar tafsiran kontrak tidak menghakis perlindungan prosedur kepada Penghutang Penghakiman. 40. Apabila pihak-pihak telah secara sedar dan bebas menetapkan alamat penyampaian di luar negara (China), Mahkamah berpendapat bahawa JC tidak boleh mengabaikan alamat tersebut semata-mata kerana penyampaian di Malaysia lebih mudah dan langkah yang betul adalah untuk mematuhi klausa tersebut atau memohon penyampaian luar bidang kuasa menurut kaedah undang-undang yang terpakai. 41. Pendekatan ini adalah selaras dengan prinsip dalam kes Southern Finance Co Bhd v Zamrud Properties Sdn Bhd [1998] MLJU 87, di mana Mahkamah menegaskan bahawa apabila kontrak menetapkan alamat tertentu bagi penyampaian, S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg alamat tersebut adalah muktamad kecuali dipinda menurut kontrak. 42. Berdasarkan pertimbangan di atas, Mahkamah mendapati bahawa Klausa (r) mengikat pihak-pihak kepada alamat penyampaian yang dipersetujui. Klausa tersebut tidak membenarkan penyampaian sah dilakukan di Malaysia apabila alamat perkhidmatan kontraktual adalah di China dan kegagalan mematuhi klausa tersebut menjejaskan kesahan penyampaian Notis Kebankrapan. 43. Oleh itu, Mahkamah bersetuju dengan dapatan PKP bahawa JC telah tersalah dalam bergantung kepada Klausa (r) untuk mewajarkan penyampaian di Malaysia. ISU 3: Sama ada Penolong Kanan Pendaftar (PKP) tersalah arah dalam menolak kesahan penyampaian dan membenarkan Lampiran 46. (a) Prinsip Semakan Rayuan terhadap Keputusan PKP 44. Prinsip undang-undang berhubung campur tangan Mahkamah Tinggi terhadap dapatan PKP adalah mantap. Mahkamah tidak akan mengganggu keputusan PKP kecuali jika ditunjukkan bahawa: (a) PKP telah tersalah arah di sisi undang-undang; S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg (b) PKP telah salah mengambil kira atau gagal mengambil kira fakta material atau (c) keputusan PKP adalah jelas tidak munasabah. 45. Prinsip ini telah ditegaskan dalam kes Bandar Builder Sdn Bhd v United Malayan Banking Corp Bhd [1993] 3 MLJ 36 (SC) dan Castle Inn Sdn Bhd v Bumiputra-Commerce Bank Bhd [2009] 1 MLJ 542 (CA). (b) Penilaian terhadap Alasan dan Pendekatan PKP 46. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa PKP telah mengenal pasti isu sebenar yang perlu diputuskan, iaitu kesahan penyampaian ganti dan implikasi Klausa (r), beliau telah menilai bukti cubaan penyampaian secara terperinci dan memberi berat sewajarnya kepada kegagalan pendedahan fakta material dalam permohonan ‘ex parte’. 47. PKP tidak sekadar menerima hujahan JD secara mekanikal, sebaliknya menjalankan analisa berperingkat yang sejajar dengan prinsip ‘due diligence’ dan tafsiran kontrak yang betul. 48. Hujahan JC bahawa PKP telah tersalah arah dengan menjadikan Klausa (r) sebagai “isu utama” adalah tidak berasas. Dalam kes ini, klausa tersebut sememangnya isu teras, kerana ia menentukan titik permulaan kepada kaedah dan alamat penyampaian yang sah. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg (c) Tiada Asas untuk Campur Tangan Mahkamah 49. Mahkamah ini mendapati bahawa PKP tidak mengabaikan fakta material, PKP tidak salah mentafsir klausa kontrak dan PKP tidak mengaplikasikan prinsip undang-undang yang salah. Keputusan PKP adalah selaras dengan autoriti sedia ada dan prinsip kebankrapan yang menuntut pematuhan ketat terhadap keperluan prosedur. 50. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa PKP tidak tersalah arah sama ada di sisi undang-undang atau fakta dalam membenarkan Lampiran 46 dan mengetepikan kesahan penyampaian ganti. Oleh itu, tiada asas untuk Mahkamah ini mengganggu keputusan PKP tersebut. KESIMPULAN 51. Apabila dapatan bagi Isu 1 hingga Isu 3 dibaca secara menyeluruh, Mahkamah ini berpuas hati bahawa asas prosiding kebankrapan yang dimulakan oleh Pemiutang Penghakiman adalah cacat dari peringkat permulaan. Penyampaian ganti Notis Kebankrapan hanya boleh dibenarkan selepas pematuhan ketat terhadap keperluan ‘due diligence’ dan pendedahan penuh dipenuhi namun, dalam kes ini, kedua-dua prasyarat tersebut gagal dipatuhi. Tambahan pula, klausa (r) dalam perjanjian yang mengikat pihak-pihak telah secara jelas menetapkan alamat perkhidmatan Penghutang Penghakiman di luar negara, dan tidak memperuntukkan apa-apa kebenaran nyata atau tersirat untuk mengesahkan penyampaian alternatif di Malaysia. Kegagalan mematuhi mekanisme kontraktual ini S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg tidak boleh disembuhkan dengan inferens pengetahuan sebenar atau dakwaan pengelakan semata-mata. 52. Dalam keadaan tersebut, Penolong Kanan Pendaftar telah mengarahkan dirinya dengan betul di sisi undang-undang dan fakta apabila menolak kesahan penyampaian ganti serta membenarkan Lampiran 46. Tiada salah arah, ketidakpatuhan prinsip, atau keputusan yang nyata tidak munasabah ditunjukkan untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah ini. Oleh itu, Mahkamah ini mengekalkan sepenuhnya keputusan Penolong Kanan Pendaftar dan menolak Notis Rayuan Dalam Kamar, demi memastikan bahawa prosiding kebankrapan hanya diteruskan berasaskan penyampaian yang sah, teratur dan selaras dengan kehendak undang-undang. KEPUTUSAN & PERINTAH 53. Atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Notis Rayuan Dalam Kamar Lampiran 54 yang difailkan oleh Pemiutang Penghakiman adalah ditolak. 54. Keputusan Penolong Kanan Pendaftar bertarikh 25.4.2024 yang membenarkan Lampiran 46 dan mengetepikan kesahan penyampaian ganti Notis Kebankrapan bertarikh 30.1.2023 (Lampiran 14) adalah dikekalkan sepenuhnya. S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg 55. Kos rayuan ini adalah RM3000.00 kepada Penghutang Penghakiman tertakluk kepada fi alokatur. BERTARIKH: 16 DISEMBER 2025 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Penghutang Natasha bersama Anson Liew Kehakiman Tetuan Skrine Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Pemiutang Ng Aik Beng Kehakiman Tetuan A.B Ng & Associates Muar, Johor S/N 1PpKbSxvBki0x2KEvb6Qg