Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA BERANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN KES TANGKAP NO. TE-83JS-1-12/2020 PENDAKWA RAYA LAWAN RULAM AKBAR BIN ABD MANAN (NO. K/P.: 680831-11-5557) ALASAN PENGHAKIMAN
TE-83JS-1-12/2020
Magistrates Court of Malaysia7 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“29. Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [rujuk Chay Hon Song v Public Prosecutor [196”
“36. Mahkamah juga merujuk kes Mat v PP [1963] MLJ 263 yang menyatakan prinsip berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept the explanation given by or on behalf of the accused, you must of course acquit. But this does”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA BERANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN KES TANGKAP NO. TE-83JS-1-12/2020 PENDAKWA RAYA LAWAN RULAM AKBAR BIN ABD MANAN (NO. K/P.: 680831-11-5557) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Pada 15 Disember 2020, tertuduh telah dituduh dengan dua (2) pertuduhan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan.
2
Di akhir kes pendakwaan, tertuduh telah dilepaskan dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan oleh Majistret asal yang mendengar kes ini. Terkilan, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan.
3
Pada 16 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa rayuan pihak pendakwaan terhadap pertuduhan pertama dibenarkan dan memerintahkan tertuduh untuk membela diri. Manakala rayuan pendakwaan terhadap pertuduhan kedua ditolak dan perintah Majistret yang melepas dan membebaskan tertuduh bagi pertuduhan kedua dikekalkan.
4
Kes diarahkan disebut semula di hadapan Majistret bagi pertuduhan pertama tersebut dan kes pembelaan didengar di hadapan saya.
5
Di akhir kes pembelaan, Mahkamah mendapati keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Disebabkan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah, mahkamah memutuskan supaya tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama. Terkilan, pihak pendakwa raya memfailkan rayuan.
6
Pertuduhan pertama ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 22/11/2020 jam lebih kurang 0830 malam di alamat No. 48 Kampung Tapah, Kuala Berang di dalam Daerah Hulu Terengganu di dalam Negeri Terengganu telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Noraini binti Sidek, KPT: 891223-11- 5676 tujuan untuk mencabul kehormatannya. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Sek. 354 KK. Hukuman: Penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukaman itu.”
7
Alasan penghakiman Mahkamah ini adalah sebagaimana yang dihuraikan selanjutnya.
8
Fakta kes pendakwaan berkaitan pertuduhan pertama adalah seperti yang dinyatakan di bawah.
9
Pengadu, Noraini Binti Sedik (SP3) telah mendapatkan rawatan tradisional daripada tertuduh atas cadangan kenalannya, Norsuriana Binti Ramli (SP4). SP4 memaklumkan kepada SP3 bahawa tertuduh adalah seorang pengamal di Darussyifa dan menurut Pengadu, atas dasar percaya kepada amalan dan rawatan Darussyifa, Pengadu bersetuju untuk mendapatkan rawatan daripada tertuduh.
10
Pada tarikh 22.11.2020, jam lebih kurang 8.00 malam, Pengadu telah pergi ke rumah SP4 yang beralamat di No. 48 Kampung Tapah, Kuala Berang untuk berjumpa dengan tertuduh. Pada waktu itu, terdapat 10 orang yang berada di dalam rumah tersebut termasuklah datuk SP4, nenek SP4, kawan lelaki SP4, empat [4] orang anak SP4, SP4, SP3 dan tertuduh.
11
Rawatan bermula di suatu sudut di ruang tamu rumah tersebut dan hanya SP3, SP4 dan OKT yang berada di situ manakala yang lain berada di bahagian ruang tamu yang berdekatan dengan televisyen. SP3 diarahkan oleh tertuduh untuk duduk sambil melunjur kaki, tertuduh kemudiannya telah meminta izin untuk memegang bahagian tengkuk/tekak dan menyuruh SP3 menggunakan tangan beliau untuk urut daripada dada SP3 dan tolak ke atas bahagian leher bertujuan untuk memuntahkan kotoran, namun SP3 tidak berjaya muntahkan.
12
Memandangkan SP3 tidak berjaya muntah, OKT telah meminta SP4 untuk menjadi sebagai orang perantaraan antara OKT dan SP3 untuk melakukan rawatan tersebut. SP4 telah menjadi orang perantaraan dan telah berjaya muntah.
13
Kemudian, OKT telah meminta SP4 untuk menggunakan biliknya untuk teruskan dengan rawatan atas alasan untuk menjaga aib mangsa kerana terdapat lelaki lain di ruang tamu tempat rawatan.
14
Rawatan kemudiannya bersambung di dalam bilik SP4, di mana pintu bilik tersebut telah dirapatkan dan ditutup. Di dalam bilik tersebut, SP3 sekali lagi berada dalam kedudukan yang sama di mana duduk dalam keadaan berlunjur dan OKT mengarahkan lagi SP4 untuk menjadi orang perantaraan dan mengulangi rawatan yang sama iaitu muntah, namun SP4 tidak berjaya muntah ketika di dalam bilik tersebut.
15
Tertuduh kemudiannya telah mengarahkan SP4 untuk memasukkan tangan ke dalam pakaian (baju) SP3 untuk mencari ketulan di payudara SP3. SP4 telah mematuhi arahan tertuduh. Kemudian, secara tiba-tiba tanpa meminta izin daripada SP3, tertuduh telah menyentuh payudara SP3 untuk mengesahkan bahawa SP4 benar-benar sudah keluarkan atau buang sepenuhnya ‘ketulan’ daripada payudara SP3. SP3 menyatakan bahawa tiada pada bila-bila masa OKT telah meminta izin untuk menyentuh payudara SP3 tanpa sebarang lapik. SP3 juga menyatakan bahawa beliau terkejut dan berasa takut ketika rawatan tersebut jadi tidak bertindak apa-apa selepas kejadian itu.
16
Kemudiannya, tertuduh telah mengatakan kepada SP3 untuk melakukan rawatan untuk “membuka aura untuk mendapatkan jodoh” di mana tertuduh telah mengarahkan SP4 sekali lagi untuk memasukkan tangan SP4 ke dalam seluar yang dipakai oleh mangsa. SP4 sekali lagi menurut arahan SP4 dan memasukkan tangannya ke dalam seluar SP3 dan tiba-tiba tangan SP4 sakit dan beliau menjerit kesakitan.
17
Tertuduh kemudiannya telah mengeluarkan tangan SP4 dan merawat tangan SP4 sehingga kembali normal dan pulih. SP4 menjadi sedikit lemah dan tidak mampu meneruskan rawatan.
18
Kemudian, tertuduh secara tiba-tiba memasukkan tangan beliau sendiri ke dalam seluar yang dipakai oleh Pengadu tanpa berlapik dan bersentuhan kulit/kemaluan SP3. OKT dikatakan telah menggunakan satu jari tangan beliau dan menekan bahagian kemaluan SP3.
19
OKT tidak pada bila-bila masa meminta izin untuk menyentuh kemaluan SP3 dan SP3 berasa takut dan tidak berani melakukan apa-apa. Pada waktu itu juga, hanya mereka bertiga sahaja dalam bilik tersebut, dan SP3 terlalu terkejut dan takut untuk melakukan apa-apa.
20
Kemudiannya, OKT bertanyakan kepada mangsa sekiranya beliau mempunyai masalah sembelit, dan SP3 menyatakan ya pernah sembelit. Kemudian, OKT sekali lagi telah menyentuh bahagian punggung SP3, tetapi waktu rawatan ini, tangannya berlapik dengan seluar SP3.
21
Kemudian, OKT dikatakan telah mencekik tengkuk SP3 sehingga mangsa sukar bernafas dan meronta-ronta akibat daripada perbuatan OKT tersebut. SP4 menyatakan bahawa beliau beranggapan perkara tersebut adalah reaksi SP3 menunjukkan tindak balas daripada syaitan, namun begitu SP3 menjelaskan kepada beliau bahawa beliau meronta-ronta akibat dicekik tak bernafas bukan sebab dirasuk.
22
Memandangkan Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan tertuduh telah diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan pertama, maka saya tidak akan menghuraikan lebih lanjut berhubung keputusan di akhir kes pendakwaan.
23
Bagi membela dirinya, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi dan telah memanggil 4 lagi saksi pembelaan yang lain bagi memberikan keterangan bersumpah di Mahkamah.
24
Fakta kes pembelaan adalah seperti berikut: a. Dalam keterangannya, tertuduh telah menceritakan latar belakangnya sebagai perawat perubatan alternatif. Tertuduh telah belajar kaedah rawatan Darussyifa’ sejak tahun 2009 dan mula merawat pada tahun 2011. Selain melakukan rawatan di Darussyifa’, tertuduh juga turut menjalankan rawatan di rumah pesakit, atau program-program anjuran pertubuhan. Rawatan yang diamalkan juga bukan hanya berdasarkan ilmu rawatan Darussyifa’, tetapi turut diperolehi daripada pengalaman dan perkongsian ilmu dengan perawat lain. b. Tertuduh menjelaskan bahawa dia telah dijemput oleh SP4 ke rumah SP4 pada malam kejadian untuk merawat SP3. Sebelum memulakan rawatan, tertuduh telah bertanyakan kepada SP3 tentang penyakitnya. SP3 memberitahu bahawa dia ada masalah gangguan dan sukar mendapat jodoh. SP3 pernah mempunyai 3 kekasih namun semuanya meninggalkannya. c. Tertuduh melakukan ruqyah ke atas SP3 dan mendapati tidak sesuai untuk terus lakukan rawatan di ruang tamu kerana rawatan akan melibatkan tempat sulit dan terdapat kawan lelaki SP4 dan datuk SP4 di situ. Lalu tertuduh cadangkan untuk rawatan diteruskan di dalam bilik bagi menjaga aib SP3. SP4 membenarkan rawatan diteruskan di dalam bilik di rumahnya. Tertuduh mengarahkan agar SP4 turut bersama berada dalam bilik tersebut dan tidak membenarkan SP4 keluar dari bilik walaupun sekejap sebelum rawatan selesai. d. Semasa membuat rawatan, tertuduh meminta SP4 menjadi pengantara untuk mengesan gangguan-gangguan tersebut di bahagian payudara SP3. e. Semasa rawatan di bilik, tertuduh menjelaskan telah pegang di telinga di belakang kepala SP3. Bila di tempat tak sesuai tertuduh suruh SP4 (sebagai pengantara) yang pegang. SP4 telah memegang bahagian payudara SP3, namun tangannya tidak kuat. Tertuduh telah bertanya sama ada hendak diteruskan dengan rawatan, SP3 kata teruskan. Justeru tertuduh teruskan rawatan dengan memegang payudara SP3 dan setelah mendapati tiada apa-apa, tertuduh terus lepaskan. f. Selepas tu, tertuduh menyuruh SP4 mencari di tempat lain, dan ‘benda tu’ bawa tangan SP4 ke bahagian kemaluan SP3. Apabila sampai di kemaluan, SP4 beritahu beliau tak larat, dan tangannya menjadi bengkok. Tertuduh bertanya sama ada nak teruskan atau tak dan SP3 benarkan. Bila tangan SP4 berolak-olak, SP4 keluarkan tangannya. Tertuduh rasa di kemaluan SP3 dan mendapati ‘benda tu’ sudah tiada lalu terus tarik tangannya. g. Tertuduh menegaskan dia tidak mencabul dan menyatakan jika dia nak cabul, dia tidak akan mencabul di depan orang dan tidak akan menarik tangannya. h. Tertuduh juga menjelaskan, dalam masa tertentu semasa rawatan, kena sentuh kulit, untuk ada kekuatan. Bila sentuh kulit secara langsung lebih kuat untuk lawan gangguan berbanding dengan berlapik. i. SD2, SD3, SD4 dan SD5 bukanlah saksi yang mempunyai kaitan semasa kejadian sebagaimana dalam pertuduhan ke atas stertuduh. SD4 (adik tertuduh) merupakan saksi yang membuat rakaman video (Ekshibit D16a dan D16b) berhubung satu prosedur rawatan tradisional melibatkan SD2 (perawat wanita Darussyifa’), SD3 (suami kepada pesakit yang dirawat dalam video), dan tertuduh. Manakala SD5 pula merupakan salah seorang perawat lelaki di Darussyifa’. j. Keterangan-keterangan SD2 dan SD5 secara ringkasnya boleh disimpulkan seperti berikut:
i
Mengesahkan bahawa tertuduh adalah seorang perawat tradisional dan masih merupakan ahli Darussyifa’ walaupun difahamkan telah digantung.
II
(ii) Darussyifa’ tidak pernah menghalang perawat-perawatnya membuat rawatan di luar, dan jika dibuat di luar, ianya tidak berkaitan dengan Darussyifa’ dan segala liabiliti adalah antara perawat dan pesakit yang memanggilnya.
III
(iii) Dalam masalah gangguan, ‘benda halus’ selalunya akan berada di tempat sulit (termasuk dada dan kemaluan) supaya sukar untuk dikeluarkan.
IV
(iv) Tiada panduan yang jelas sama ada semasa rawatan, boleh dipegang secara berlapik atau tidak sekiranya berlainan jantina. SD2 menyatakan sekiranya dipegang secara langsung, rawatan akan lebih berkesan. Namun baik SD2 dan SD5 memilih untuk tidak membuat rawatan secara tidak berlapik, atas pilihan sendiri.
v
Keizinan hendaklah diperolehi daripada pesakit sebelum rawatan dibuat. Namun setelah rawatan dimulakan, dalam keadaan yang tidak dijangka, mungkin akan sukar untuk mendapatkan kebenaran lanjut dari pesakit. Namun kebenaran untuk menyentuh tempat sulit hendaklah diperolehi sebelum rawatan diteruskan. Sekiranya tiada kebenaran, rawatan akan dihentikan. k. Di akhir kes pembelaan, pihak pembelaan menghujahkan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan gagal menyangkal penjelasan yang diberikan oleh tertuduh yang disokong oleh saksi pembelaan lain. Elemen niat mencabut berjaya dipatahkan oleh pihak pembelaan, maka tertuduh sewajarnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama. D. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN
i
Isu sama ada niat jenayah tertuduh telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah dan tiada keizinan diberikan oleh mangsa SP3.
25
Isu utama dalam kes ini adalah sama ada niat tertuduh melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan tertuduh berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah dan tiada keizinan diberikan oleh mangsa.
26
Pihak pendakwaan menghujahkan seperti berikut: a. Dalam kes ini terdapat kekerasan jenayah terhadap mangsa apabila OKT dengan sengaja telah menyentuh payudara dan puting SP3, menyentuh kemaluan SP3 menggunakan satu jari dan juga memegang punggung SP3. Pergerakan tangan dan jari OKT ini menunjukkan bahawa OKT menggunakan kekerasan terhadap SP3 dan ini juga disifatkan sebagai sesuatu kekerasan dan kekerasan ini telah menyebabkan kegusaran (annoyance) dan ketakutan terhadap SP3. b. SP3 tidak pernah memberikan persetujuan atau kerelaan untuk membenarkan tertuduh memegangnya ketika di dalam bilik SP4. SP3 juga menyatakan berasa takut dan tidak berani kerana hanya mereka bertiga dalam bilik tersebut semasa kejadian. Tambahan pula pada waktu itu, SP3 percaya bahawa tertuduh adalah perawat Darussyifa’. Tertuduh juga tidak menerangkan kaedah rawatan yang akan diberikan kepadanya. c. Merujuk kepada Ekshibit P11 (laporan polis yang dibuat oleh Pengadu), tidak dinafikan bahawa pengadu ada menyatakan bahawa OKT telah meminta izin dari SP3 untuk memegang beliau bagi tujuan perubatan dan beliau membenarkan. Namun pihak pendakwaan menghujahkan bahawa ekshibit P11 hanya first information report sahaja bagi siasatan dimulakan dan Mahkamah hendaklah mendengar keterangan bersumpah SP3 di Mahkamah. d. SP3 berada di bawah kawalan penuh tertuduh sepanjang rawatan dijalankan. e. Perbuatan tertuduh menyalahi prinsip rawatan Islam yang sebenar. f. Diamnya mangsa tidak bermaksud persetujuan, sebaliknya dalam kebanyakan keadaan mangsa memilih untuk diam kerana ketakutan, rasa terkejut dan tidak berdaya. Oleh itu, ketiadaan bantahan oleh SP3 tidak boleh dianggap sebagai keizinan sah yang memboleh tertuduh menyentuh bahagian sulit tubuhnya. g. OKT tiada inisiatif untuk memanggil ahli keluarga SP4 yang berada di situ iaitu nenek SP4 untuk menolong menjadi perantara selepas SP4 tidak lagi mampu menjadi perantara. h. Alasan darurat oleh tertuduh tidak boleh diterima kerana akan membuka ruang kepada mana-mana lelaki menggunakan alasan yang sama untuk menyentuh bahagian sulit wanita atas tujuan rawatan. i. Oleh itu, pihak pendakwaan menegaskan suatu kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan telah berjaya dibuktikan.
27
Manakala, pihak pembelaan pula menghujahkan bahawa: a. Tertuduh mengakui telah menyentuh SP3, namun tindakan tersebut adalah untuk tujuan rawatan semata-mata dan bukanlah dengan niat untuk mencabul kehormatan SP3. Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan SP4 dan dengan kebenaran daripada SP3 sendiri, serta dilakukan selepas SP4 yang bertindak sebagai perantara tidak mampu untuk meneruskannya. Semasa kes pendakwaan, SP4 juga telah mengesahkan perkara ini. b. Tindak tanduk SP3 yang tidak membantah perbuatan OKT semasa rawatan boleh dibuat inferen bahawa dia sememangnya memberikan kebenaran. Malah SP3 telah meneruskan rawatan dengan tertuduh dan mengambil tertuduh pada keesokannya. Ini jelas menunjukkan SP3 telah membenarkan perbuatan OKT ke atasnya pada malam itu. Tindak tanduk SP3 ini dan keterangan saksi lain wajar diberikan pemberatan berbanding keterangan SP3. Tertuduh tidak akan meneruskan dengan rawatan sekiranya tiada keizinan daripada SP3 dan niat tertuduh hanyalah untuk merawat SP3 dan bukannya untuk mencabul.
28
Dapatan Mahkamah berhubung isu ini adalah seperti berikut: a. Tertuduh merupakan pengamal rawatan alternatif yang mana kaedah rawatannya adalah berdasarkan pembelajaran daripada Darussyifa’, pengalaman dan perkongsian ilmu daripada perawat-perawat lain. b. Tertuduh tidak menafikan berlaku sentuhan-sentuhan fizikal ke atas SP3, malah menjelaskan ia adalah sebahagian daripada rawatan alternatif yang diamalkan dan ianya dilakukan dengan keizinan SP3. Ini memberi gambaran keterbukaan dan konsistensi keterangan, yang cenderung memberi kredibiliti. c. Berdasarkan keterangan bersumpahnya, SP3 menyatakan setelah tertuduh menyentuh kemaluannya, tertuduh bertanyakan kepada SP3 sekiranya beliau mempunyai masalah sembelit, dan SP3 menyatakan ya pernah sembelit. Kemudian, OKT sekali lagi telah menyentuh bahagian punggung SP3, tetapi waktu rawatan ini, tangannya berlapik dengan seluar SP3. Dalam hal ini, Mahkamah berpandangan adalah tidak munasabah seseorang yang mengatakan dalam keadaan ketakutan serta ‘tidak rela’ boleh menjawab soalan kepada pertanyaan tertuduh semasa rawatan tersebut berkenaan sembelit yang dialami tetapi tidak boleh berkata ‘tidak mahu teruskan’ setelah dalam keadaan baru sahaja kemaluannya disentuh yang dikatakan tanpa kerelaannya. d. Mahkamah juga mendapati fakta bahawa terdapat SP4 berada bersama semasa rawatan dalam bilik dan terdapat ramai lagi orang lain di ruang tamu rumah SP4 semasa rawatan dilaksanakan melemahkan keterangan SP3 yang menyatakan keadaan takut diapa-apakan oleh tertuduh dan tertuduh mempunyai kuasa ke atasnya. Keadaan mungkin berlainan sekiranya hanya tertuduh dan SP3 sahaja di situ, atau hanya bertiga bersama SP4 sahaja di situ. Namun dalam hal ini, terdapat ramai lagi orang lain di ruang tamu yang boleh membantu SP3 sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Mahkamah juga berpandangan keadaan lebih dari dua orang yang berada di tempat kejadian menunjukkan kejadian tidak berlaku secara sulit atau tersembunyi. Malah, ia adalah situasi yang berisiko tinggi untuk tertuduh melakukan salah laku dan hal ini secara tidak langsung menyokong naratif tertuduh bahawa tidak ada niat jahat atau eksploitasi, dan perbuatan sentuhan yang dilakukan ke atas SP3 adalah untuk tujuan rawatan serta dengan keizinan SP3. e. Lebih buruk lagi, keterangan daripada first information report yang dibuat oleh SP3 sendiri (rujuk ekshibit P11) dengan jelasnya juga menyatakan bahawa semasa rawatan yang dijalani pada 22 November 2020 tersebut, tertuduh telah meminta izin untuk memegangnya bagi tujuan rawatan dan SP3 telah membenarkan. Dalam hal ini, Mahkamah mengambil maklum hujahan pendakwaan bahawa P11 hanyalah keterangan sokongan dan Mahkamah hendaklah menerima keterangan bersumpah SP3 di mahkamah. Walau bagaimanapun, bagi kesalahan berbentuk seksual sebegini, keterangan sokongan sewajarnya boleh menyokong keterangan mangsa/pengadu. Namun, dalam kes ini, keterangan dokumen yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan ditandakan sebagai ekshibit P11 bukan sahaja bercanggah dengan keterangan SP3 malah telah menyokong keterangan tertuduh berhubung isu keizinan. f. Selanjutnya, fakta bahawa SP3 sendiri memanggil semula tertuduh untuk rawatan keesokan harinya selepas kejadian, menunjukkan kemungkinan bahawa tindakan tertuduh pada masa kejadian adalah diterima oleh mangsa, sekurang-kurangnya pada masa itu. Adalah tidak munasabah seorang mangsa yang ketakutan dan terkejut dengan kejadian yang menimpanya akibat disentuh tanpa kerelaannya, tetapi masih boleh bersetuju untuk teruskan rawatan dengan tertuduh pada keesokan harinya. g. Dalam membuat dapatan, Mahkamah merujuk seksyen 7 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan seperti berikut: “Facts which are the occasion, cause or effect, immediate or otherwise, of relevant facts or facts in issue, or which constitute the state of things under which they happened or which afforded an opportunity of their occurrence or transaction, are relevant. ...” h. Peruntukan di atas menyatakan bahawa sebarang fakta yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan sesuatu kejadian atau fakta dalam isu, sama ada sebagai punca, kesan, atau keadaan yang membolehkan kejadian itu berlaku, adalah relevan dan boleh diterima sebagai bukti. Konsep "state of things" merujuk kepada keadaan, situasi, atau persekitaran yang wujud sebelum, semasa, atau selepas kejadian, yang boleh membantu menjelaskan bagaimana atau mengapa kejadian itu berlaku. Dalam undang-undang keterangan, ini sangat penting untuk membina atau menyokong sesuatu kes. i. Dalam kes sini, Mahkamah mendapati, fakta-fakta di atas yang merujuk kepada keadaan, situasi, atau persekitaran yang wujud sebelum, semasa, atau selepas kejadian telah menunjukkan unsur persetujuan/keizinan atau ketiadaan bantahan pada masa kejadian yang mana selari dengan penjelasan yang diberikan oleh tertuduh dalam pembelaannya. j. Setelah mendengar kes pembelaan, Mahkamah berpandangan ketiadaan izin yang dikatakan oleh SP3 hanyalah suatu pemikiran semula dan bukanlah semasa kejadian iaitu semasa rawatan tersebut dilakukan. k. Mahkamah menerima keterangan tertuduh bahawa sekiranya tertuduh benar-benar berniat untuk mencabul, adalah tidak munasabah untuk beliau melakukannya di hadapan orang lain, apatah lagi menarik semula tangannya selepas itu daripada bahagian sulit mangsa dalam masa yang singkat. l. Keterangan pihak pembelaan ini, disokong dengan tindak tanduk SP3 dan keterangan-keterangan lain (seperti ekshibit P11 dan keterangan SP4) telah mematahkan elemen niat jenayah untuk mencabul SP3. m. Justeru Mahkamah mendapati terdapat keraguan berhubung niat tertuduh melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan tertuduh dan juga terdapat keraguan ke atas kes pendakwaan berhubung tiada keizinan diberikan oleh mangsa ke atas sentuhan yang dilakukan oleh tertuduh semasa kejadian.
II
(ii) Isu sama ada pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah.
29
Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [rujuk Chay Hon Song v Public Prosecutor [1967] 1 MLJ 210 at 211] dan tertuduh juga tidak perlu membuktikan fakta yang menjadi asas kepada pembelaannya [rujuk Nagappan a/l Kuppusamy v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 53, [1988] 1 CLJ 283, SC]. Dalam erti kata lain, tertuduh tidak perlu meyakinkan mahkamah bahawa penjelasannya adalah benar. Jikapun Mahkamah tidak percaya dengan kebenaran penjelasan tersebut, adalah memadai jika penjelasan itu reasonably be true and probable (rujuk Murugiah v Public Prosecutor [1941] 1 MLJ 17b].
30
Mahkamah juga mengambil maklum bahawa kewujudan keraguan munasabah bergantung kepada keseluruhan keterangan dan perlu dinilai secara adil dan munasabah berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan, bukan secara terasing. Penafian semata-mata atau memberikan cerita kosong tentang tidak bersalah, tidak boleh dianggap sebagai menimbulkan keraguan munasabah [rujuk Ali Tan bin Abdullah v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 676, CA].
31
Waima apapun, the falsity of the defence juga tidak melepaskan pihak pendakwaan daripada tanggungjawab untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah [rujuk PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16].
32
Bersasarkan prinsip undang-undang yang dinyatakan di atas dan dapatan mahkamah berhubung isu keizinan dan niat mencabul yang telah dihuraikan sebelum ini, Mahkamah berpandangan bahawa penjelasan tertuduh bukanlah penafian kosong semata-mata namun telah disokong secara tidak langsung oleh penilaian ke atas keseluruhan keterangan yang ada.
33
Mahkamah juga memerhatikan demeanour tertuduh sepanjang memberikan keterangan bersumpah di Mahkamah dan mendapati keterangan tertuduh adalah konsisten dan boleh dipercayai.
34
Justeru mahkamah mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.
35
Dalam membuat keputusan di akhir kes pembelaan, Mahkamah merujuk Seksyen 173(m) KTJ yang memperuntukkan bahawa setelah perbicaraan selesai, Mahkamah hendaklah menilai semua keterangan yang telah dikemukakan dan memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa tertuduh bersalah dan boleh mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh.
36
Mahkamah juga merujuk kes Mat v PP [1963] MLJ 263 yang menyatakan prinsip berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept the explanation given by or on behalf of the accused, you must of course acquit. But this does not entitle you to convict if you do not believe that explanation, for he is still entitled to an acquittal if it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt, as the onus of proving his guilt lies throughout on the prosecution. If upon the whole evidence you are left in a real state of doubt, the prosecution has failed to satisfy the onus of proof which lies upon it. The position may be conveniently stated as follows:
a
If you are satisfied beyond reasonable doubt as to the accused's guilt ........ Convict.
b
If you accept or believe the accused's explanation.. Acquit.
c
If you do not accept or believe the accused's explanation.. Do not convict but consider the next steps below.
d
If you do not accept or believe the accused's explanation and that explanation does not raise in your mind a reasonable doubt as to his guilt........ Convict
e
If you do not accept or believe the accused's explanation but nevertheless it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt.. Acquit Magistrates would assist the appellate Court if they indicate in their grounds that they are aware of the tests laid down in steps (d) and
e
above.”
37
Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
38
Jikapun mahkamah tidak menolak sepenuhnya kemungkinan berlaku salah faham dari pihak SP3 akan bentuk kaedah rawatan yang diterimanya, namun dari sudut undang-undang jenayah, beban pembuktian adalah tinggi (beyond reasonable doubt). Mahkamah tidak boleh mensabitkan seseorang hanya kerana kemungkinan wujud sentuhan yang tidak menyenangkan, jika tiada bukti mencukupi yang menunjukkan niat jahat dan ketiadaan kerelaan secara jelas. Keraguan terhadap tatacara rawatan juga bukanlah bukti kukuh dalam membuktikan niat mencabul.
39
Berhubung keterangan saksi-saksi pembelaan lain yang memberi gambaran tentang amalan biasa rawatan yang dilakukan oleh tertuduh, walaupun mereka sendiri tidak pernah melakukan sentuhan tanpa berlapik, namun mereka tetap mengakui bahawa bahagian sulit kadangkala perlu disentuh, sekiranya mendapat keizinan. Mahkamah juga mengambil maklum bahawa saksi pembelaan SD2 hingga SD5 bukanlah saksi kejadian, namun keterangan mereka membantu memberi konteks berhubung kaedah rawatan perubatan yang diamalkan oleh tertuduh.
40
Berdasarkan prinsip dalam kes Mat v PP, secara ringkasnya, sekiranya Mahkamah menerima penjelasan yang diberikan oleh pihak pembelaan, Mahkamah hendaklah melepaskan tertuduh.
41
Setelah mahkamah meneliti keterangan pihak pembelaan dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, dan setelah mahkamah meneliti kes ini secara keseluruhannya, Mahkamah mendapati penjelasan yang diberikan oleh tertuduh dalam pembelaannya adalah munasabah dan boleh dipercayai. Dengan itu, keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan terutamanya sama ada perbuatan tertuduh yang didakwa itu benar-benar dilakukan dengan niat mencabul kehormatan. Maka, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.
42
Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama. BERTARIKH PADA 4 OKTOBER 2025 Disediakan oleh .................................................................... NORYUSRIZA BINTI ZULKIFLI MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET KUALA BERANG Kaunsel Bagi pihak pendakwaan Nur Atifah binti Manaf Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu Tingkat 14, Wisma Darul Iman 20200 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman Bagi pihak Tertuduh Tetuan Ghazali & Co. Peguambela & Peguamcara PT 14194A, Jalan Balai Besar
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.