Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR NO. KES: WA-82D-17-02/2022 PENDAKWA RAYA LAWAN RUSLAN BIN AZAMI (NO. KP: 890603-06-5055) ALASAN PENGHAKIMAN [A]
WA-82D-17-02/2022
Magistrates Court of Malaysia11 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR NO. KES: WA-82D-17-02/2022 PENDAKWA RAYA LAWAN RUSLAN BIN AZAMI (NO. KP: 890603-06-5055) ALASAN PENGHAKIMAN [A]
1
Ruslan Bin Azami (selepas ini dirujuk sebagai “Perayu”) telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah satu kesalahan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) pada 3 Februari 2022. Laporan Patologi dari Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur, telah pun sedia semasa pertuduhan dibacakan buat kali pertama dan sementara menunggu tarikh perbicaraan, Perayu telah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Perayu sejak permulaan kes telah mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan dan pohon untuk dibicarakan.
2
Perayu yang diwakili oleh Rosmizan Bin Sulaiman, peguambela terpelajar dari Tetuan Rosmizan & Co. kemudiannya telah dibicarakan dan dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan pada 23 Disember 2024. Di akhir keseluruhan kes, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 dan jika gagal bayar, 4 bulan pemenjaraan. Perayu juga telah diperintahkan untuk menjalani pengawasan oleh pegawai seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama 3 tahun pada 11 Julai 2025.
3
Berasa tidak puas hati dengan keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah ini, Perayu telah memfailkan rayuan ke atas sabitan dan hukuman yang diperintahkan ke atasnya. [B]
4
Pertuduhan ke atas Perayu adalah seperti di bawah: “PERTUDUHAN BAHAWA KAMU PADA 26.11.2021 JAM LEBIH KURANG 10.05 PAGI, BERTEMPAT DI PEJABAT URUSETIA JABATAN SIASATAN JENAYAH NARKOTIK, TINGKAT 27, MENARA 2, BUKIT AMAN, KUALA LUMPUR TELAH DIDAPATI MEMBERI KEPADA DIRI SENDIRI DADAH BERBAHAYA IAITU DADAH JENIS AMPHETAMINE DAN METHAMPHETAMINE. OLEH ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 15(1)(A) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN YANG SAMA.”. [C]
5
Adalah menjadi tanggungjawab pihak Pendakwaan untuk membuktikan kes secara prima facie di akhir kes pendakwaan dan selanjutnya melampaui keraguan munasabah di akhir keseluruhan kes bagi mensabitkan seseorang tertuduh atas suatu kesalahan. Tugas pihak Pembelaan pula adalah untuk menimbulkan keraguan munasabah bagi menyangkal kes pendakwaan dan seterusnya mendapatkan satu perintah lepas dan bebas (A&D). Perkara ini adalah selaras dengan seksyen 173(m) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
6
Isu tentang beban pembuktian telah dibincangkan dalam kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v PP [1991] 3 MLJ 169. Diputuskan di dalam kes tersebut: “It is a well-established principle of Malaysian criminal law that the general burden of proof lies throughout the trial on the prosecution to prove beyond reasonable doubt the guilt of the accused for the offence with which he is charged. There is no similar burden placed on the accused to prove his innocence. … To earn an aquittal, his duty is merely to cast a reasonable doubt in the prosecution case. … If defence is called, the duty of the accused is only to cast a reasonable doubt in the prosecution case. He is not required to prove his innocence beyond reasonable doubt.”. [D]
7
Selaras dengan seksyen 173(f)(i) KTJ, Puan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pihak Pendakwa Raya (selepas ini dirujuk sebagai “Responden”) terlebih dahulu perlu membuktikan wujudnya satu kes prima facie terhadap Perayu dengan membuktikan elemen pertuduhan yang dikenakan iaitu seksyen 15(1)(a) ADB. Inti pati peruntukan ini yang perlu dibuktikan adalah: a) Perayu telah memakan atau memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya; dan b) Dadah yang dimakan atau diberikan kepada diri sendiri adalah dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Bahagian III dan IV
Schedule
Jadual Pertama ADB. 8. Berdasarkan keterangan saksi serta ekshibit yang dikemukakan oleh Responden semasa kes pendakwaan dijalankan, hasil analisa oleh Pegawai Sains dari Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati dadah yang dikesan dalam urin Perayu merupakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Kedua-dua jenis dadah berbahaya ini disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB. [E] KES PIHAK-PIHAK Kes Pendakwaan dan Dapatan Serta Analisis Mahkamah di Akhir Kes Pendakwaan 9. Pihak Responden di dalam kes ini telah memanggil lima (5) orang saksi iaitu: i) SP1 – Suriati Binti Adenan, Pegawai Sains Jabatan Patologi HKL ii) SP2 – ASP Mohd Shafiee Bin Kamiri, Pengadu iii) SP3 – Kpl Muzamir Bin Jamaluddin, Jurugambar iv) SP4 – D/Kpl Ahmad Munir Bin Abdul Bakhtiar, Anggota Pengiring v) SP5 – Insp. Ahmad Helmi Bin Zainal Abidin, Pegawai Penyiasat 10. Pada peringkat pendakwaan, SP2 dalam keterangannya mengatakan telah bersama-sama SP4 mengiringi Perayu bagi menjalankan ujian saringan awal urin di tandas Pejabat Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Tingkat 27, Menara 2, Bukit Aman. Langkah demi langkah berkenaan apa yang dilakukan oleh SP2 dalam pemprosesan menjalankan ujian saringan awal urin tersebut telah dijelaskan semasa perbicaraan dan disokong dengan keterangan SP4. 11. SP1 telah menerangkan pada Mahkamah kriteria penerimaan spesimen urin telah dipastikan dipenuhi terlebih dahulu sebelum ujian pengesanan dadah dalam air kencing diteruskan. Menurutnya, urin yang diterima bagi kes ini memenuhi kriteria penerimaan spesimen di mana botol urin serta spesimen urin berada dalam keadaan baik dan tiada pencemaran urin berlaku. 12. Hasil analisis SP1 mendapati urin Perayu adalah positif bagi kumpulan dadah jenis Amphetamine Types Stimulants (ATS) dan kemudiannya mengesahkan mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine melalui ujian pengesahan menggunakan kaedah Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS). Ujian-ujian yang dijalankan oleh SP1 telah diterangkan dengan jelasnya melalui penyata saksi yang disediakan (ekshibit WS-SP1 dirujuk) serta soalan tambahan yang telah dilontarkan semasa Pemeriksaan Utama. 13. Responden menghujahkan bahawa rantaian perjalanan barang kes tidak pernah terputus dan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh SP1, SP2, serta SP4 adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Rantaian perjalanan barang kes ke Jabatan Patologi juga dihujahkan tidak terputus dan tindakan yang diambil oleh SP1 dalam memperolehi kandungan sebenar urin milik Perayu adalah tepat dan urin tersebut tidak pernah tercemar sehingga Laporan Patologi (ekshibit P5 dirujuk) disediakan. 14. Dalam membuktikan elemen pertama seperti yang dinyatakan pada perenggan 7 di atas, Responden telah mengguna pakai seksyen 37(k) ADB iaitu dengan menggunakan anggapan atau andaian bahawa Perayu telah memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya memandangkan urin Perayu didapati positif dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine setelah pemeriksaan terhadap urin Perayu dijalankan selaras dengan seksyen 31A ADB. 15. Selain itu, Responden turut menghujahkan dapatan SP1 bahawa urin Perayu mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine telah diperolehi mengikut prosedur yang betul dan merujuk pada Bahagian III
Schedule
Jadual Pertama ADB, kedua-dua dadah berbahaya ini tersenarai dalam Bahagian tersebut. Oleh itu, elemen kedua pertuduhan ini berjaya dipenuhi. Kesimpulannya, Responden yakin satu kes prima facie berjaya dibuktikan terhadap Perayu berdasarkan penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan dan bukti yang dikemukakan di mahkamah. 16. Pihak Pembelaan telah mempersoalkan kebarangkalian botol sampel urin Perayu tertukar dengan botol sampel urin milik individu yang lain. Selain itu, nama pegawai “Inspektor Azura” kerap kali ditimbulkan dan pihak Pembelaan mendakwa bahawa Perayu sebenarnya tidak memberikan sampel urin di hadapan SP2 dan SP4. 17. Walau bagaimanapun, menurut SP2, Inspektor Azura merupakan pegawai yang telah mengarahkan SP2 untuk menjalankan ujian saringan awal urin terhadap Perayu. Setelah Perayu diserahkan kepada SP2, proses ujian saringan awal urin telah dilakukan tanpa bantuan Inspektor Azura mahupun anggotanya. Tambahan pula, didapati hanya urin dari dua (2) orang suspek didapati positif dadah dari empat (4) orang suspek yang diperiksa setelah ujian saringan awal dijalankan secara bergilir-gilir – dan urin salah seorang suspek yang didapati positif itu adalah milik Perayu. 18. Pada hemat Mahkamah ini, kedua-dua elemen pertuduhan yang dinyatakan di atas berjaya dipenuhi dalam kes ini. Setelah diperhalusi, Mahkamah mendapati bahawa tiada kelompangan dari keterangan saksi-saksi Pendakwaan lebih-lebih lagi dari keterangan SP2 dan SP4 yang selari dalam menjelaskan keseluruhan prosedur pengambilan sampel urin Perayu bagi tujuan ujian saringan awal urin. 19. Ujian saringan awal urin bagi setiap suspek telah dijalankan satu demi satu dan jumlah suspek yang didapati positif dadah hanyalah dua (2) orang. Maka, sukar untuk botol urin Perayu tertukar dengan botol urin milik individu lain, lebih-lebih lagi apabila label ditulis dan ditampal pada botol urin di hadapan Perayu sendiri. 20. Keterangan SP1 juga jelas di mana ujian tidak akan dilakukan terhadap spesimen urin yang tidak memenuhi kriteria semasa proses penyerahan. Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak Responden di mana suatu dapatan yang positif tidak akan diperolehi sekiranya sampel urin telah tercemar. SP1 telah menjelaskan keadaan botol yang mengandungi sampel urin Perayu berada dalam keadaan tidak tercemar, baik, dan rapi yang akhirnya berupaya mengesan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. 21. Pada peringkat pendakwaan, setelah mengaplikasikan prinsip penilaian maksima ke atas bukti-bukti yang dikemukakan, Mahkamah ini berpuas hati elemen-elemen pertuduhan dipenuhi dan Responden telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu di akhir kes pendakwaan. Di dalam kes ini, Perayu yang dipanggil untuk membela diri telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi selepas tiga (3) pilihan membela diri diterangkan kepadanya. Kes Pembelaan 22. Pada tahap pembelaan pula, hanya Perayu (Tertuduh) seorang yang telah memberikan keterangan. 23. Perayu dalam keterangan melalui penyata saksi menafikan telah memberikan sampel urin di hadapan SP2 dan SP4. Semasa Pemeriksaan Balas, Perayu mengatakan telah diarah untuk tunggu di Bilik Maklumat sejurus selepas menyerahkan botol yang mengandungi sampel urin dan tidak berada berdekatan dengan tempat di mana ujian saringan dilakukan. Perayu juga mendakwa bahawa dia hanya telah menurunkan tandatangan pada pelekat label botol sampel urin tetapi butiran nama dan nombor kad pengenalan bukan ditulis olehnya. [F] ULASAN DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KESELURUHAN KES 24. Berdasarkan Notis Rayuan yang difailkan pada 18 Julai 2025, Perayu telah membuat rayuan ke atas sabitan dan hukuman yang diperintahkan ke atasnya. Oleh yang demikian, saya akan menerangkan alasan bagi keputusan yang telah saya berikan ke atas Perayu. 25. Mahkamah ini mempunyai tanggungjawab untuk menilai keterangan dari pihak pendakwaan dan pembelaan secara keseluruhannya. Penilaian ini harus dibuat pada tahap maksima bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan sama ada pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan atau pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Perkara ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 182A KTJ. 26. Rujukan ke atas kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v PP (supra) sekali lagi dibuat, di mana antara lain menyatakan seperti berikut: “To earn an acquittal, the court may not be convinced of the truth of the defence story or version. Raising a reasonable doubt in the guilt of the accused will suffice. … … the court must not convict until it asks a further question, that even if the court does not accept or believe the defence explanation, does it nevertheless raise a reasonable doubt as to his guilt?”. [penekanan ditambah] 27. Rujukan juga telah dibuat pada kes PP v Saimin [1971] 2 MLJ 16 yang antara lain memutuskan: “… a reasonable doubt is the doubt which makes you hesitate as to the correctness of the conclusion which you reach… … It is a doubt which settles in your judgment and finds a resting place there. It must be a doubt so solemn and substantial so as to produce in the mind of the jurors some certainty as to the verdict to be given.”. [penekanan ditambah] 28. Perayu dalam Hujahan Bertulis menghujahkan adalah perlu untuk “Inspektor Azura” dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah kerana beliau merupakan saksi penting dan tanpa keterangannya, seksyen 114(g) Akta Keterangan adalah terpakai dan anggapan di bawah peruntukan ini boleh dibuat oleh Mahkamah. Perayu juga semasa perbicaraan berlangsung telah menafikan memberi sampel urin di hadapan SP2 dan SP4. Perayu mendakwa telah diarahkan untuk tunggu di Bilik Maklumat sementara ujian saringan dijalankan. 29. Responden pula dalam Hujahan Bertulis menghujahkan bahawa keterangan Perayu hanyalah penafian semata-mata (bare denial) dan merupakan satu pemikiran terkemudian (afterthought) yang direka-reka. Turut dihujahkan keterangan Perayu tidak konsisten dan perkara ini perlu diambil kira oleh Mahkamah ini. 30. Berdasarkan pemerhatian Mahkamah, Perayu semasa beri keterangan di mahkamah hanya fokus pada keterangan bahawa dia tidak berikan sampel urin di hadapan SP2 dan SP4. Walau bagaimanapun, Perayu tidak menafikan bahawa sampel urin telah diberikan dan juga telah mengesahkan bahawa dia terlibat dalam proses pemberian sampel urin itu. Malahan, Perayu juga memaklumkan pada mahkamah bahawa dia telah diarahkan untuk tunggu di Bilik Maklumat sementara ujian saringan dilakukan. 31. Dalam kes ini, tiada keterangan tambahan atau bukti yang dikemukakan oleh pihak Perayu bagi menyokong keterangannya, langsung menimbulkan keraguan dan meniadakan keterangan saksi Pendakwaan. Perayu gagal mengemukakan saksi atau bukti lain untuk menyokong penafian ini. 12 32. Setelah diteliti juga, Mahkamah ini mendapati terdapat keterangan Perayu yang tidak konsisten semasa perbicaraan berlangsung. Sebagai contoh, Perayu semasa Pemeriksaan Balas telah memberi indikasi bahawa terdapat individu lain yang berada di tandas semasa sampel urin diberikan memandangkan dia mendakwa tidak beri sampel urin di hadapan SP2 dan SP4. Namun, semasa sesi Pemeriksaan Semula, Perayu maklum telah diarahkan untuk beri sampel urin dan telah berpatah balik tanpa diiringi oleh sesiapa pun. Timbul kemusykilan pada Mahkamah ini untuk menerima keterangan Perayu. 33. Berkenaan dengan isu pemanggilan “Inspektor Azura” sebagai saksi, Mahkamah ini mendapati tiada keperluan untuk perkara ini dipertimbangkan memandangkan keterangan saksi-saksi termasuk keterangan Perayu sendiri adalah mencukupi untuk Mahkamah ini menilai kes ini secara keseluruhannya di tahap maksima. Pada hemat Mahkamah ini, tidak wujud kelompangan yang boleh menimbulkan keraguan ke atas kesahihan kes pendakwaan. 34. Mahkamah ini juga percaya bahawa rantaian bukti (chain of evidence) dari saat proses sampel urin diambil sehinggalah dihantar ke Jabatan Patologi untuk dianalisis yang kemudiannya menghasilkan satu laporan positif tidak terputus dan telah dilakukan mengikut prosedur yang betul. 35. Justeru, dengan mengaplikasikan prinsip di dalam kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v PP (supra) dan PP v Saimin (supra) yang telah dibincangkan sebelum ini dan setelah membuat pertimbangan pada tahap maksimum ke atas keterangan dan ekshibit yang dibentangkan di hadapan Mahkamah, Mahkamah ini membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah dan pihak pembelaan telah gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kesahihan kes pendakwaan di akhir kes pembelaan. [G] HUKUMAN 36. Setelah menimbangkan kedudukan kes ini, rayuan oleh Perayu melalui peguambela dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan (Responden) berhubung dengan hukuman di sini, saya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 dan jika gagal bayar, 4 bulan pemenjaraan. Perayu juga telah diperintahkan untuk menjalani pengawasan oleh pegawai seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama 3 tahun. 37. Dalam menjatuhkan hukuman sedemikian, saya telah mengambil kira faktor-faktor berikut: a) Peruntukan hukuman di bawah seksyen 15(1)(a) ADB berserta had hukuman di bawah bidang kuasa Majistret selaras dengan seksyen 87 Akta Mahkamah Rendah 1948; b) Peruntukan perintah pengawasan selaras dengan seksyen 38B ADB; c) Perayu didapati bersalah selepas perbicaraan penuh; d) Kepentingan awam; e) Keseriusan dan kekerapan kesalahan sebegini yang berlaku; f) Rayuan Perayu, umur, dan keinsafan Perayu ke atas kesalahan yang dilakukan; g) Perayu merupakan seorang anggota polis yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa kesalahan dilakukan; dan h) Masa dan kos saksi-saksi pendakwaan yang telah dihabiskan sepanjang kes ini dijalankan. 38. Oleh itu, berdasarkan pada alasan dan penemuan yang telah dijelaskan dan dinyatakan di atas, keputusan saya yang mendapati Perayu bersalah dan mensabitkannya dengan kesalahan dan juga hukuman yang dijatuhkan adalah wajar, adil di sisi undang-undang, dan berlandaskan peruntukan di bawah seksyen 173(m)(ii) KTJ. NOORELYNNA HANIM BTE ABD HALIM Majistret Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Timbalan Pendakwa Raya: Nor Aisyah Binti Mohamed Zanyuin Peguambela : Rosmizan Bin Sulaiman
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.