Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN NO: WA-22NCvC-723-11/2024 ANTARA SAILCOTT (M) INTERNATIONAL SDN BHD (NO. SYARIKAT: 1151394-A) …PLAINTIF
WA-22NCvC-723-11/2024
High Court of Malaysia26 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN NO: WA-22NCvC-723-11/2024 ANTARA SAILCOTT (M) INTERNATIONAL SDN BHD (NO. SYARIKAT: 1151394-A) …PLAINTIF
4
PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA …DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini ialah Alasan Penghakiman yang disediakan terhadap keputusan Mahkamah yang telah membenarkan permohonan Defendan Pertama, Kedua, Ketiga dan Keempat di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM 17/10/2025 09:50:01 WA-22NCvC-723-11/2024 Kand. 38 2012”) untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan Plaintif bagi suatu tindakan terhadap Defendan-Defendan yang telah dikatakan gagal melaksanakan tugas berhati-hati yang munasabah (duty of care), pelanggaran tugas fidusiari, melakukan representasi salah serta kecuaian dalam proses penilaian dan pelantikan tender.
2
Defendan-Defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan Plaintif atas alasan bahawa pernyataan tuntutan Plaintif tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, adalah remeh, menyusahkan serta merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah.
3
Plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan telah memfailkan Notis Rayuan.
4
Plaintif ialah sebuah syarikat sendirian berhad yang di perbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965 dan/atau Akta Syarikat 2016 pada 29.6.2010 dan mempunyai alamat berdaftar di No. 40-1A & 1B, Tingkat 1 Blok 8, Jalan Pahat H 15/H, Kompleks Otomobil. Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
5
Defendan Pertama ialah seorang Ketua Jabatan Fasiliti di Jabatan Pengurusan Fasiliti, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
6
Defendan Kedua ialah seorang Timbalan Pengarah Pengurusan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
7
Defendan Ketiga ialah seorang Profesor, doktor dan Pengarah kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
8
Defendan Keempat ialah suatu badan yang ditubuhkan di bawah Statut Universiti Malaya (Pusat Perubatan Universiti Malaya) 2000, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Perlembagaan Universiti Malaya yang beralamat terkini yang diketahui di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Lembah Pantai, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
9
Defendan Keempat ialah majikan kepada Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menaung, memantau, mengawal dan menyelia serta bertanggungjawab secara vikarius bagi semua tindakan dan kelakuan, kecuaian dan/atau ketinggalan oleh Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga.
10
Plaintif pula merupakan kontraktor dan/atau pembekal kepada Defendan Keempat di dalam menyediakan "Perkhidmatan Pencucian Dan Pembersihan Dalam Bangunan-Bangunan Pusat Perubatan Universiti Malaya" mulai tarikh 1.7.2021 dan telah tamat pada 30.6.2024.
11
Plaintif telah mengambil tindakan terhadap Defendan-Defendan, kerana dikatakan telah dikatakan gagal melaksanakan tugas berhati-hati yang munasabah (reasonable duty of care), pelanggaran tugas fidusiari, melakukan representasi salah serta kecuaian dalam proses penilaian dan pelantikan tender.
12
Plaintif mendakwa bahawa bagi memenuhi kesemua syarat dan kriteria yang ditetapkan dalam tawaran ender oleh pihak Defendan, Plaintif telah membelanjakan sejumlah wang sebanyak RM1,188,415.40 sebagai persediaan untuk memulakan kerja sebaik sahaja dilantik.
13
Namun begitu, apabila keputusan tender diumumkan secara rasmi pada 27.2.2024 oleh Defendan Keempat, didapati Plaintif telah tidak berjaya mendapat tender tersebut. Sebaliknya sebuah syarikat lain telah berjaya dan dilantik oleh Defendan Keempat sebagai kontraktor untuk tender tersebut.
14
Oleh itu, dalam tindakan utama yang dibawa oleh Plaintif tersebut, tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan adalah bahawa Defendan-Defendan telah bertindak cuai dan gagal melaksanakan tugas berhati-hati yang munasabah serta melanggar tugas fidusiari dalam proses penilaian dan pelantikan tender bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang mengakibatkan Plaintif telah mengalami kerugian akibat pelantikan kontraktor lain oleh Defendan Keempat.
15
Plaintif berhujah bahawa disebabkan syarat-syarat dan/atau kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga seperti keupayaan, skil dan pengalaman, petender-petender telah diletakkan secara terperinci serta ketat dan wajib untuk dpatuhi oleh petender-petender, ia telah secara jelas memberi representasi kepada Plaintif dan petender-petender lain bahawa syarat-syarat dan/atau kriteria-kriteria tersebut adalah wajib untuk dinilai oleh Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga dalam memilih petender yang berjaya kelak, selain harga yang kompetitif.
16
Sehubungan dengan itu, Plaintif mendakwa bahawa Defendan-Defendan telah gagal melaksanakan proses penilaian tender dengan telus dan berintegriti termasuk mendakwa bahawa syarikat yang telah berjaya mendapat tender tidak memenuhi syarat-syarat tender. C. PERMOHONAN DEFENDAN UNTUK MEMBATALKAN TINDAKAN PLAINTIF DI BAWAH ATURAN 18 KAEDAH 19
17
Defendan-Defendan kemudiannya telah memfailkan permohonan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KKM 2012 untuk membatalkan tindakan Plaintif. Alasan permohonan adalah bahawa –
a
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif mendedahkan kausa tindakan yang tidak munasabah menurut Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a) KKM 2012;
b
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif adalah mengaibkan, remeh dan menyusahkan menurut Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b) KKM 2012;
c
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah mulia; atau bidang kuasa sedia ada Mahkamah mulia menurut Aturan 18 Kaedah 19 (1) (d) KKM 2012;
18
Dalam Affidavit Sokongan kepada permohonan ini yang telah diikrarkan oleh Pengarah kepada Defendan Keempat bagi pihak keempat-empat Defendan dalam tindakan ini, dia menyatakan bahawa sebagai sebuah hospital pengajar yang ditubuhkan oleh Universiti Malaya di bawah statut Universiti Malaya (Pusat Perubatan Universiti Malaya) 2000 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Defendan Keempat tidak mempunyai locus untuk disaman. Oleh itu, kausa Plaintif terhadapnya tidak boleh dipertahan.
19
Pada masa yang sama, dalam Affidavit Sokongan itu, ditegaskan bahawa Defendan-Defendan lain hanyalah merupakan penjawat-penjawat awam dan menjalankan tugas atas kapasiti sebagai penjawat awam dan bukan atas kapasiti seorang individu dalam penglibatan mereka bagi apa-apa proses tender.
20
Maka, kesemua Defendan hanya menjalankan tugas sebagai penjawat awam dalam melaksanakan dan/atau menjayakan proses tawaran tender tersebut semata-mata. Defendan-Defendan tidak mempunyai sebarang tugas berjaga-jaga (no duty of care) dan/atau tugas fidusiari (no fiduciary duty) terhadap Plaintif.
21
Pengarah Defendan Keempat juga menyatakan bahawa tiada mana-mana daripada Defendan-Defendan dalam tindakan ini yang telah membuat keputusan atas kapasiti sebagai individu dalam pemilihan petender-petender.
22
Selain itu, Pengarah Defendan Keempat juga menyatakan bahawa bagi tujuan pemilihan dan/atau senarai pendek bagi petender-petender, ia dilakukan berdasarkan kepada laporan teknikal yang dikendalikan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang telah dilantik.
23
Pengarah kepada Defendan Keempat juga menyatakan bahawa apa jua laporan yang disediakan bagi tujuan menilai petender-petender adalah merupakan suatu proses dan pendokumen yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972. Maka petender-petender tidak mempunyai hak munasabah untuk mana-mana prosedur penilaian tawaran tender.
24
Bagi tujuan pemilihan dan/atau senarai pendek petender-petender, ia dilakukan berdasarkan laporan teknikal yang disediakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik dan laporan kewangan juga disediakan oleh Jawatankuasa Kewangan.
25
Malah dalam Affidavit Sokongan kepada permohonan pembatalan ini, Pengarah Defendan menegaskan bahawa syarat-syarat yang disebut dalam tawaran tender itu perlu dipenuhi hanya selepas petender berjaya dan terpilih dan bukannya untuk disediakan oleh kesemua petender termasuk petender termasuk Plaintif.
26
Isu utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah dalam mempertimbangkan Notis Permohonan Defendan-Defendan di
Lampiran
Lampiran 10 ini adalah seperti yang berikut: (a) Sama ada terdapat duty of care antara pihak-pihak dalam proses penilaian tender; (b) Sama ada terdapat hubungan fidusiari antara Plaintif dan Defendan-Defendan; (c) Sama ada wujud representasi salah oleh Defendan-Defendan dalam proses tawaran tender; dan (d) Sama ada tindakan Plaintif mendedahkan kausa tindakan yang munasabah di sisi undang-undang. E. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH (a) Sama ada terdapat kewajipan undang-undang (duty of care) antara pihak-pihak dalam proses penilaian tender 27. Prinsip undang-undang berkaitan tort kecuaian menetapkan bahawa untuk mewujudkan duty of care, ia mesti wujud tiga elemen utama. Mahkamah merujuk prinsip ini berdasarkan keputusan dalam kes Caparo Industries v Dickman [1990] 2 AC 605. 28. Kes Caparo ialah kes penting yang telah mewujudkan ujian tiga peringkat (tripartite test) dalam menentukan kewujudan duty of care. Ujian ini berbeza daripada pendekatan dalam kes terulung Donoghue v Stevenson yang bermula dengan andaian bahawa duty of care memang wujud dan bahawa kemudaratan boleh dijangka (foreseeable) melainkan terdapat alasan kukuh untuk menilai sebaliknya. 29. Sebaliknya, prinsip yang telah diputuskan dalam kes Caparo adalah di mana ia bermula dengan andaian bahawa tiada duty of care wujud, kecuali jika tiga kriteria dalam ujian tersebut dipenuhi, iaitu: (a) Kebolehramalan kemudaratan (foreseeability), (b) Keakraban hubungan antara pihak-pihak (proximity), dan (c) Sama ada adalah adil, munasabah dan wajar (fair, just and reasonable) untuk mengenakan tanggungan sedemikian. 30. Fakta dalam kes tersebut ialah, sebuah firma akauntan telah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa akauntan tersebut mempunyai tugas berhati-hati (a duty of care) kepada pemegang saham (perayu) ketika menyediakan laporan audit yang diwajibkan oleh undang-undang. Tuntutan tersebut berasaskan kenyataan cuai (negligent misstatement). 31. Caparo telah membeli saham dalam syarikat yang laporan auditnya disediakan oleh akauntan itu, sebagai sebahagian daripada pengambilalihan syarikat. Perayu telah bergantung kepada keputusan laporan tersebut. Namun, kemudiannya didapati bahawa laporan itu telah salah nyata keuntungan sebenar syarikat, menyebabkan kerugian kepada Caparo. 32. Dalam fakta kes di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah menerima bahawa walaupun kerugian yang didakwa oleh Plaintif adalah boleh dijangka apabila gagal dalam proses tender, namun elemen proximity tidak wujud. Plaintif ialah salah seorang petender dalam proses tender terbuka atau tertutup dan hubungan tersebut adalah bersifat komersial arms-length tanpa wujud sebarang kebergantungan khas yang mewajarkan duty of care. 33. Tambahan pula, Mahkamah berpandangan bahawa adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk mengenakan duty of care terhadap Defendan berhubung dengan penilaian tender. Membuka pintu kepada duty of care dalam proses tender akan membawa kepada risiko litigasi yang tidak berkesudahan dalam urusan komersial. (b) Sama ada wujud representasi salah oleh Defendan-Defendan dalam proses tawaran tender 34. Dalam hal ini, Mahkamah merujuk kepada prinsip dalam kes Blackpool & Fylde Aero Club Ltd v Blackpool Borough Council [1990] 1 WLR 1195, yang hanya mewujudkan obligasi untuk mempertimbangkan tender yang diterima mengikut prosedur, tetapi tidak memperluaskan kepada kewajipan dalam menilai isi kandungan atau kualiti tender. 35. Fakta dalam kes tersebut, Defendan ialah pihak berkuasa tempatan yang mengurus lapangan terbang milik mereka. Mereka telah memberikan plaintif, iaitu sebuah kelab penerbangan, konsesi untuk mengendalikan penerbangan kasual dari lapangan terbang tersebut. Apabila tempoh konsesi tamat, satu jemputan tender dikeluarkan kepada plaintif dan enam syarikat lain. 36. Dokumen tender dalam kes tersebut mengandungi klausa bahawa tender yang diterima selepas tarikh dan masa akhir yang ditetapkan tidak akan dipertimbangkan. Namun, disebakan pekerja kerani di bandar tersebut gagal mengosongkan peti surat pada waktunya, menyebabkan tender plaintif diterima lewat. Defendan dalam kes itu kemudian menerima cadangan lain yang menawarkan harga lebih rendah. 37. Plaintif dalam kes itu kemudiannya memfailkan tindakan menuntut ganti rugi terhadap defendan atas kecuaian dan pelanggaran kontrak. Pada peringkat awal, hakim memutuskan bahawa jemputan tender oleh defendan mewajibkan mereka mempertimbangkan semua tender yang diterima dan oleh itu, defendan bertanggungjawab kepada plaintif. Defendan kemudian merayu keputusan ini. 38. Isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah rayuan dalam kes tersebut adalah sama ada jemputan untuk mengemukakan tawaran tender boleh dianggap sebagai suatu representasi yang mewujudkan niat untuk membentuk kontrak antara pihak-pihak. Namun begitu mahkamah yang mendengar rayuan dalam kes itu telah membuat keputusan dan telah menegaskan bahawa kontrak tidak boleh dianggap wujud secara tersirat tanpa niat yang jelas. Maka Mahkamah menolak rayuan defendan dalam kes tersebut. 39. Pada peringkat ini, dalam kes di hadapan Mahkamah ini, dengan merujuk kepada prinsip dalam kes tersebut, Mahkamah keberatan mengiktiraf duty of care dalam proses komersial seperti tender, kecuali dalam keadaan luar biasa, contohnya, penipuan atau misrepresentation yang disengajakan. 40. Berkenaan representasi salah yang didakwa oleh Plaintif, Mahkamah mendapati bahawa kenyataan dalam dokumen tender berhubung pemilihan berdasarkan kriteria dan harga kompetitif hanyalah dasar pentadbiran dan tidak membentuk jaminan undang-undang. Mahkamah percaya bahawa penganjur tender mempunyai budi bicara penuh untuk menerima atau menolak mana-mana tawaran. 41. Mahkamah juga berpandangan bahawa secara prinsipnya, proses penilaian tender itu sendiri adalah bersifat komersial dan tidak mewujudkan hubungan kontraktual atau fidusiari antara pihak penganjur dan petender. Maka, Mahkamah percaya bahawa Mahkamah hendaklah berhati-hati dalam memperluaskan tanggungjawab tort kepada proses komersial seperti tender. 42. Sehubungan dengan itu juga, Mahkamah percaya bahawa tiada 'duty of care' dalam konteks proses tender melainkan wujud janji khusus atau hubungan yang lebih rapat (proximity). Pada peringkat ini, perlu dilihat sama ada dalam proses tender yang melibatkan Defendan-Defendan ini telah wujud suatu kontrak apabila terdapat janji oleh penganjur tender untuk menilai tawaran secara adil, telus dan mengikut prosedur yang dinyatakan. 43. Oleh sebab didapati ia tiada, maka adalah sukar untuk mendakwa kecuaian dalam penilaian tender atas asas tort. Prinsip kontrak adalah asas kepada sebarang tuntutan, dan Mahkamah dalam hal ini tidak akan mencipta suatu obligasi jika tiada niat untuk mengikat secara kontrak. 44. Sehubungan dengan itu, Mahkamah mendapati Plaintif tiada asas untuk membuat tuntutan ganti rugi atas kos yang telah dikeluarkan oleh Plaintif dalam penyediaan bagi memasuki tawaran tender oleh pihak Defendan. 45. Mahkamah percaya, dalam prinsip am tender, pihak yang membida perlu menanggung kos persediaan sendiri, melainkan wujud janji bertulis atau representasi yang jelas daripada penganjur tender untuk menanggung kos tersebut. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah dapati tiada wujud kontrak, maka tiada hak menuntut balik kos persediaan. Pembida hendaklah menanggung kos sendiri dalam proses tender. 46. Sehubungan dengan itu, walaupun Plaintif dikatakan telah membelanjakan RM1,188,415.40 untuk memenuhi spesifikasi tender sebagai persediaan "sekiranya dilantik", namun disebabkan tiada bukti bahawa Defendan-Defendan telah membuat sebarang representasi yang mewujudkan kontrak atau sebarang janji tentang pemulangan kos. Oleh itu tuntutan Plaintif adalah tidak dapat dipertahankan dari sudut undang-undang kontrak. (c) Sama ada terdapat hubungan fidusiari antara Plaintif dan Defendan-Defendan 47. Dakwaan Plaintif bahawa Defendan-Defendan mempunyai tugas fidusiari juga tidak dapat diterima. Hubungan antara pentender dan penganjur tender bukanlah hubungan amanah seperti antara peguam dan anak guam atau pengarah dan syarikat. Mahkamah berpandangan bahawa kecuaian dalam tugas pentadbiran dalaman tidak dengan sendirinya mewujudkan pelanggaran fidusiari. (d) Sama ada tindakan Plaintif mendedahkan kausa tindakan yang munasabah di sisi undang-undang 48. Setelah membuat penelitian menyeluruh terhadap tuntutan Plaintif, permohonan pembatalan oleh Defendan-Defendan, terhadap Writ dan Pernyataan Tuntutan Plaintif, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Defendan-Defendan bahawa tindakan Plaintif tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah. 49. Dakwaan oleh Plaintif mengenai kecuaian, fiduciary duty, dan representasi salah tidak mempunyai asas di sisi undang-undang dalam tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan. 50. Tuntutan ini, pada pandangan Mahkamah adalah jelas tidak mempunyai asas kontrak atau tort yang kukuh, dan merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah dan wajar dibatalkan. 51. Berdasarkan alasan-alasan tersebut, Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan Plaintif adalah tidak berasas dan tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah di sisi undang-undang. 52. Oleh yang demikian, permohonan Defendan-Defendan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KKM 2012 adalah dibenarkan. Writ dan Pernyataan Tuntutan Plaintif dengan ini dibatalkan dengan kos sebanyak RM3,000 kepada Defendan-Defendan, tertakluk kepada alokatur. 53. Mahkamah juga mengambil perhatian tentang isu yang dibangkitkan dalam permohonan Lampiran 13. Setelah mengambil kira sifat permohonan yang dibangkitkan dalam Lampiran tersebut, iaitu suatu permohonan di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk memeriksa dokumen-dokumen, maka berikutan keputusan Mahkamah dalam Lampiran 10 yang telah juga memuktamadkan persoalan utama berkaitan dengan tindakan utama di Lampiran 1, maka permohonan di Lampiran 13 tersebut menjadi akademik. Oleh itu, Mahkamah tidak perlu membuat dapatan lanjut mengenainya. Bertarikh : 17 Oktober 2025 ……………………………………………… (YA PUAN MAHAZAN BINTI MAT TAIB) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR Peguam Plaintif : Ainul Azwan @ Ainul Azirahman & Azam Rashid Messrs. Ainul Azirahman & Co Advocates & Solicitors Peguam Defendan- : Julia Nur Najwa Binti Zainal Defendan Messrs. Adam Abdullah & Mani Advocates & Solicitors
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.