− Defendan-Defendan) Didengar Bersama (Dalam Mahkamah Sesyen Di Shah Alam Dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia Guaman No.: BA-B53KJ-675-10/2020 − PLAINTIF SAINUDDIN BIN SUKKUR − DEFENDAN) [yang diputuskan oleh Puan Yong Leou Shin, Hakim Mahkamah Sesyen, Shah Alam selepas perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Shah Alam yang diberi pada 19-7-2024] ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Rayuan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam ialah berkenaan dengan suatu tuntutan oleh Plaintif iaitu Muhammad Yusuf bin Sainuddin i. e wakil diri kepada harta pusaka Sainuddin bin Sukkur (Si Mati) terhadap Mohmd Saad bin Ismail dan Zakaria bin Tajuddin (disaman sebagai wakil diri kepada harta pusaka Muhammad Hamadi bin Zakaria, Si Mati Kedua). Dalam rayuan ini, Mahkamah Tinggi merujuk pihak-pihak sebagaimana mereka di Mahkamah Sesyen. [2] Pada 19-7-2024, Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas bicara penuh membuat keputusan liabiliti bahawa Defendan-Defendan bertanggungan 100% dalam kemalangan tersebut. [3] Pada 10-1-2025, Mahkamah Tinggi pada peringkat rayuan memutuskan bahawa keputusan Pn Hakim Mahkamah Sesyen mengenai liabiliti adalah diketepikan. Liabiliti adalah ditanggung secara sama rata iaitu 50:50 di antara Plaintif (Perayu) dan Defendan Pertama (Responden Pertama). Defendan Pertama (Responden Pertama), kini, merayu ke Mahkamah Rayuan mengenai isu liabiliti. Notis Usul oleh Defendan Pertama (Responden Pertama) meminta kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan memerlukan alasan penghakiman sebagai Ikatan Khas (dinyatakan sebagai arahan Mahkamah Rayuan pada 24-2-2025). Alasan rayuan oleh Defendan Pertama (Responden Pertama) ke Mahkamah Rayuan [4] Peguam cara terpelajar Defendan Pertama berhujah bahawa Mahkamah Tinggi khilaf dari segi undang-undang dan dari segi fakta kerana mengakas dan mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen yang mempunyi kelebihan mendengar keterangan “first-hand and observed the demeanour and credibility of the witnesses during trial.”. [5] Peguam cara terpelajar Defendan Pertama berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) mencapai keputusannya atas imbangan kebarangkalian dan HMS tidak khilaf dalam keputusannya kerana keputusan HMS “is firmly supported by credible physical and silent evidence.”. Bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan adalah − a) the evidence comprising of photographs, reports from relevant authorities, damages to vehicles involved, and the location of accident point to the sequence events. b) the evidence of IO findings were complete based on the statements and admission of the Deceased (at the time of statement taken), the accident location, vehicle damage and expert reports, namely from Jabatan Kimia, PUSPAKOM and the report from Jabatan Kerja Raya. [6] Peguam cara terpelajar Defendan Pertama berhujah bahawa beban pembuktian terletak kepada Plaintif untuk menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya itu adalah disebabkan oleh Defendan Pertama. Kegagalan Plaintif untuk melunaskan beban pembuktian ini maka tiada keperluan untuk Defendan Pertama mengemukakan apa-apa keterangan dalam perbicaraan. Tiada keterangan oleh Plaintif untuk menyokong versi Plaintif bahawa Defendan Pertama itu adalah cuai. [7] Maka, menurut peguam cara terpelajar Defendan Pertama lagi keputusan Mahkamah Tinggi yang mengakas keputusan HMS membangkitkan “serious questions that merit appellate review”. Nas undang-undang kes yang dipetik ialah Saminathan v. Pappa [1981] 1 MLJ 121; Ahmad Zulfendy Anuar v. Mohd Shahril Abdul Rahman [2022] MLJU 1587; Inspector M Yusof & Ors v. Chin Hock Wa @ Chan Hock Wa & Ors [2021] 9 MLJ 172 dan Commercial Union Assurance (M) Sdn Bhd v. Ng Chek Hung and another appeal [1997] 2 MLJ 465. Fakta mengenai kemalangan jalan raya: [8] Versi Plaintif ialah Sainuddin bin Sukkur, penunggang motorsikal no. WA 867 K, dari Sg. Buloh ke IJM Petaling Jaya melalui Lebuhraya Persekutuan di mana Sainuddin bin Sukkur telah dilanggar oleh Mohmd Saad bin Ismail, penunggang motorsikal no. W 4094 N dari arah belakang. Sainuddin bin Sukkur kemudiannya telah dilanggar oleh Muhammad Hamadi bin Zakaria, penunggang motorsikal no. BMM 6523 dari arah belakang. Muhammad Hamadi bin Zakaria juga meninggal dunia. [9] Siasatan Pegawai Penyiasat (IO) menyatakan bahawa Sainuddin bin Sukkur telah masuk secara tiba-tiba ke laluan motorsikal dari susur masuk yang tidak sah melalui Lebuhraya Persekutuan. Akibat kemalangan itu, Sainuddin bin Sukkur mengalami kecederaan dan beberapa tahun selepas kemalangan meninggal dunia. [10] Mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ini telah memfailkan tuntutan masing-masing di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan kes-kes itu didengar secara bersama. Perbicaraan penuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam [11] Dalam perbicaraan penuh bagi kes antara wakil diri kepada Sainuddin bin Sukkur v. Mohmd Saad bin Ismail & Zakaria bin Tajuddin (wakil diri kepada Muhammad Hamadi bin Zakaria), keterangan saksi-saksi Plaintif ialah IO dan anak kepada Sainuddin bin Sukkur. Manakala pihak Defendan-Defendan tidak memangil mana-mana saksi. [12] Selepas meneliti keterangan dan hujahan pihak-pihak, Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa Plaintif gagal membuktikan kes terhadap Defendan-Defendan. Hakim Mahkamah Sesyen, selanjutnya memberi keputusan mengenai kuantum. [13] Tidak berpuas hati dengan keputusan liabiliti tersebut, Plaintif (Muhammad Yusuf bin Sainuddin i. e wakil diri kepada harta pusaka Sainuddin bin Sukkur, Si Mati) merayu ke Mahkamah Tinggi bagi isu liabiliti dan Defendan Pertama (Mohmd Saad bin Ismail) memfailkan rayuan terhadap keputusan kuantum. Alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) mengenai liabiliti: [14] Keputusan Pn HMS yang bijaksana (selepas Bicara Penuh) ialah Alasan penghakiman Pn HMS (selepas ini disebut “AP”) mengandungi rayuan Plaintif terhadap liabiliti dan rayuan Defendan Pertama terhadap Kuantum. Perenggan dalam AP − • perenggan 28: liabiliti 100% Defendan. • perenggan 30 & 49: Plaintif gagal membuktikan liabiliti dan gagal membuktikan kesnya terhadap kedua-dua Defendan dan tindakan ini ditolak dengan kos. Kos mengikut skala. • perenggan 50: “sekiranya keputusan liabiliti ini diketepikan di Mahkamah Tinggi selepas rayuan, keputusan kuantum adalah seperti di bawah...”. • perenggan 60: peguam Defendan Pertama memohon agar Ganti rugi Am ditolak kerana Plaintif mati lebih kurang 3 tahun selepas kemalangan. Mahkamah tidak membenarkan penolakan. Alasan Mahkamah pada perenggan 67, 68 dan 69. Keputusan rayuan pada 10-1-2025 [15] Dalam rayuan ini, Mahkamah mendapati bahawa keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah ialah hanya daripada pihak Plaintif (Perayu) di mana saksi IO dan anak kepada Si Mati memberikan keterangan lisan dan merujuk kepada keterangan dokumen. Mahkamah tidak menjumpai apa-apa cogent reasons oleh Pn HMS untuk memutuskan bahawa Plaintif (Perayu) gagal membuktikan kesnya. Kematian Si Mati sememangnya mengakibatkan Sainuddin bin Sukkur tidak dapat hadir di Mahkamah. Si Mati meninggal dunia lebih kurang 3 tahun selepas kemalangan. Proses litigasi hanya difailkan pada bulan September 2021 oleh Plaintif. Manakala 2 kes lagi yang difailkan oleh Defendan-Defendan terhadap Plaintif difailkan lebih awal sedikit iaitu pada bulan Oktober dan November 2020. Bagi tindakan-tindakan ini, pihak-pihak telah mencapai penyelesaian di luar Mahkamah. [16] Mahkamah memutuskan bahawa keputusan Pn HMS mengenai liabiliti adalah diketepikan. Liabiliti adalah ditanggung secara sama rata iaitu 50:50 di antara Plaintif (Perayu) dan Defendan Pertama (Responden Pertama). Analisa dan dapatan Mahkamah pada peringkat rayuan [19] Dalam rayuan di hadapan Mahkamah Tinggi, satu-satunya versi bagaimana berlakunya kemalangan adalah berpaut kepada laporan polis oleh Sainuddin bin Sukkur. [20] Peguam cara terpelajar Plaintif menyalin dan menampal laporan polis tersebut dalam hujahannya (Notis Usul Memohon Kebenaran Merayu ke Mahkamah Rayuan), iaitu − “Pengadu Menyatakan: PADA 23/7/2019 JM LEBIH KURANG 0825 PAGI, SAYA MENUNGGGANG MOTOSIKAL NOMBOR WA867K JENIS SUZUKI AXELO DARI SUBANG KE TEMPAT KERJA DI KERAMAT. PADA KETIKA ITU, APABILA SAYA SAMPAI DI L/RAYA PERSEKUTUAN, PADA MASA YANG SAMA, SEBUAH MOTOSIKAL NOMBOR W4094N JENIS YAMAHA LC135 TELAH MELANGGAR KENDERAAN SAYA DARI ARAH BELAKANG. AKIBAT DARI PELANGGARAN SAYA TERUS TERJATUH KE KIRI DAN SELEPAS SAYA TERJATUH M/SIKAL BERKENAAN SEKALI LAGI DILANGGAR OLEH KENDERAAN NO. DAN JENIS TIDAK PASTI. DALAM KEJADIAN ITU, SAYA MENGALAMI KECEDERAAN POTONG KAKI SEBELAH KIRI KERANA HANCUR SEHINGGA PARAS PEHA, PERGELANGAN KIRI KANAN TANGAN, BAHU KANAN. TERIMA RAWATAN DI KUALA LUMPUR. CUTI SAKIT DARI 23/7/2019 - 19/9/2019. RAWATAN SUSULAN DI HOSPITAL SAMA 19/9/2019. DAN, KEROSAKAN MOTOSIKAL SAYA IALAH COVER SET, BAHAGIAN BELAKANG M/SIKAL, LAMPU, HANDLE, CERMIN SISI, FORK, RIM/TAYAR DEPAN DAN LAIN-LAIN KEROSAKAN BELUM PASTI. SEKIAN, LAPORAN SAYA.". [21] Laporan polis pengadu/Plaintif itu telah diterima sebagai keterangan di bawah seksyen 32(1)(i) Evidence Act 1950 dan ditanda sebagai Ekshibit P5. [22] Defendan-Defendan memilih untuk tidak memanggil mana-mana saksi walaupun Defendan Pertama (Mohmd Saad bin Ismail) itu sedia dan ada. Peguam cara terpelajar Plaintif memetik nas undang-undang kes Subry Hamid v. Husaini Tan Sri Ikhwan & Anor [2006] 4 CLJ 50. Pendapat Mahkamah Tinggi: Mahkamah ini mendapati pilihan untuk memanggil atau tidak memanggil Defendan Pertama (Mohmd Saad bin Ismail) adalah terletak dalam tangan Defendan Pertama. Dalam kes kemalangan jalan raya, fakta bagaimana berlakunya kemalangan dari mula pertembungan dan sehingga pertembungan adalah persoalan fakta. Versi Defendan Pertama khususnya laporan polis Defendan Pertama adalah amat perlu dikemukakan demi memastikan kebolehpercayaan pengaduan Plaintif dan ketepatan fakta. Adalah tidak wajar untuk Defendan Pertama menyatakan bahawa − “Peguam cara terpelajar Defendan Pertama berhujah bahawa beban pembuktian terletak kepada Plaintif untuk menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya itu adalah disebabkan oleh Defendan Pertama. Kegagalan Plaintif untuk melunaskan beban pembuktian ini maka tiada keperluan untuk Defendan Pertama mengemukakan apa-apa keterangan dalam perbicaraan. Tiada keterangan oleh Plaintif untuk menyokong versi Plaintif bahawa Defendan Pertama itu adalah cuai.”. Mahkamah bicara (Mahkamah Sesyen) perlu menilai keterangan dan versi Defendan Pertama melalui dokumen pihak Defendan Pertama sendiri. [23] Keputusan kes Reliance Omnibus Co. Sdn Bhd v. Ishak bin Mohd Jaafar & Anor [1993] 4 CLJ pada mukasurat 293 – “The second appellant/defendant’s failure to keep a proper lookout was, in my opinion, partly the cause of the accident. It is a well-known fact that the power of control is illusory if the driver is not paying attention to the road. … I must stress here that a driver of a motor bus should always anticipate the possible presence of others on the road and should always be able to stop within the range of his permitted vision…”. [24] Kemalangan ini bermula apabila motorsikal Plaintif dilanggar dari belakang oleh motorsikal Defendan Pertama. Defendan Pertama sewajarnya dan semestinya boleh melihat kewujudan mororsikal Plaintif. Jikalaulah, kemalangan ini bukan bermula perlanggaran dari belakang, maka dari arah mana motorsikal Plaintif itu dilanggar hanya dapat dijawab oleh Defendan Pertama sahaja. [25] Dalam kes Vijay A/L S Thoraisamy v. Khirill Helmy bin Kamarudin & Anor [2020] MLJU 2021 mengenai tugas/kewajipan berjaga-jaga yang dikenakan kepada pemandu sesebuah kenderaan iaitu “a strong duty on the part of a driver to keep a good lookout while driving … The sharpness of the lookout required depends upon the circumstances existing at the time. … A driver should always anticipate the possible presence of others on the road and should always be able to stop within the range of his permitted vision. …”. [26] Keterangan IO dalam sesuatu kes kemalangan jalan raya adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana pelaku kesalahan jalan raya. [27] Dalam kes Chan Sau Chuan v Choi Kong Chaw & Yap Yun Chun [1991] 2 CLJ 394, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa – “Taking the evidence of the investigation officer, PW3, first I must mention that this witness has no personal interest in this action between the two parties. The second observation I would like to make is that although PW3 is not an expert witness in the strict sense of the words, nevertheless he is more than competent to give his views because of his experience as an investigation officer in traffic accidents and the quality of the evidence he gave in this trial. To my mind he is skilful enough for this court to take into serous consideration of some of the things said by him in his evidence.”. [28] Peruntukan seksyen 106 Evidence Act 1950 adalah “When any fact is especially within the knowledge of any person, the burden of proving that fact is upon him.”. [29] Rakaman percakapan Sainuddin bin Sukkur telah diambil di bawah seksyen 112 dan 113 Kanun Tatacara Jenayah dan Pn HMS membuat keputusan mengenai pernyataan Plaintif. Tiada apa-apa penemuan oleh Pn HMS berkenaan dengan rakaman percakapan Mohmd Saad bin Ismail (Defendan Pertama). [30] Semasa perbicaraan, laporan kimia telah dikemukakan dan ditanda sebagai Ekshibit P5 dan peguam cara terpelajar Plaintif berhujah bahawa dapatan Pn HMS mengenai bukti yang dikemukakan melalui laporan kimia adalah analisis Pn HMS semata-mata tanpa mendengar penjelasan ahli kimia mengenai penemuan kerosakan dan impak kemalangan antara kedua-dua buah motorsikal. Pendapat Mahkamah Tinggi: Mahkamah ini mendapati sesuatu laporan kimia adalah suatu laporan spesifik yang hanya jelas apabila pembuat laporan kimia itu dapat memberikan penerangan mengenai hasil analisanya. Perenggan 32 alasan penghakiman HMS menyatakan “Versi Plaintif yang menyatakan motorsikalnya dilanggar dari belakang oleh motosikal Defendan Pertama tidak dapat dibuktikan memandangkan laporan kimia jelas menunjukkan tiada pindahan cat antara dua kenderaan ini dan ini sekaligus menggugat versi ini jika tidak mempunyai kesan menyangkal kebenaran versi ini pun.”. Perenggan 33 alasan penghakiman HMS menyatakan “Kerosakan motorsikal jika dilihat tidak menunjukkan impak perlanggaran adalah dari belakang dan kedudukan motorsikal semasa perlanggaran berlaku telahpun dilakarkan oleh Ahli Kimia, kedudukan ini bukan sahaja tiada kaitan dengan Defendan Pertama tetapi juga adalah bercanggah dengan versi laporan polis Si Mati Pertama (Plaintif). Mahkamah ini mendapati persoalan fakta mengenai titik pertembungan hanya dapat dijawab apabila Defendan Pertama dipanggil menjadi saksi untuk mempertahankan versi Defendan Pertama. Memandangkan Plaintif sudah meninggal dunia semasa perbicaraan kes berlangsung, maka hanya Defendan Pertama dapat menyokong laporan kimia tersebut. Adalah amat meragui apabila HMS membuat analisa semata-mata dengan membaca laporan kimia tanpa teringin dan terfikir untuk mendapatkan penjelasan secara terperinci dan lebih mendalam daripada pembuat laporan kimia tersebut. [31] Mahkamah ini juga telah meneliti pembelaan iaitu − “PENYATAAN PEMBELAAN