Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM RAYUAN JENAYAH NO: 41S-44-9/2017 DI ANTARA SAMSUDIN BIN ABDULLAH … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN
41S-44-9/2017
High Court of Malaysia13 Dec 2017
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM RAYUAN JENAYAH NO: 41S-44-9/2017 DI ANTARA SAMSUDIN BIN ABDULLAH … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN
1
Tertuduh/Perayu telah dituduh di atas satu pertuduhan mencabul kehormatan yang dilakukan ke atas seorang kanak-kanak perempuan, satu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
2
Di akhir kes pembelaan, mahkamah bicara telah mendapati Tertuduh/Perayu bersalah dan telah disabitkan. Tertuduh/Perayu telah dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara dari tarikh jatuh hukum pada 14/7/2016. 2
3
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Tertuduh/Perayu telah merayu kepada mahkamah ini. Setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah ini telah membenarkan sebahagian rayuan Tertuduh/Perayu dimana rayuan terhadap sabitan ditolak dan rayuan terhadap hukuman dibenarkan dimana hukuman dikurangkan kepada 3 tahun dan 6 bulan penjara.
4
Pendakwaraya telah tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, lalu telah menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan mengenai hukuman tersebut.
5
Ini merupakan alasan-alasan kepada keputusan tersebut. Alasan adalah mengenai hukuman sahaja.
6
Pertuduhan adalah sebagaimana berikut: Pertuduhan Asal “Bahawa kamu pada 12.02.2014 antara jam 8.00 malam hingga jam 10.00 malam bertempat di ruang tamu sebuah rumah tanpa nombor, Kampung Jeram, 1411.6 di dalam Daerah Pasir Puteh, di dalam Negeri Kelantan, telah melakukan cabul dengan cara memasukkan jari kamu ke dalam kemaluan Nas Sofia Atiqah binti Mohamad Nasime, No. Kad Pengenalan Kanak-Kanak 100417-03-0378 berumur 3 tahun 10 bulan. Oleh yang demikian, kamu telah 3 melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.” C. KES PENDAKWAAN
7
Untuk menghayati kes terhadap Tertuduh/Perayu, di bawah ini diturunkan dapatan hakim bicara mengenai kes Pendakwaan. “[8] Pendakwaan telah memanggil seramai 11 orang saksi bagi menyokong kes terhadap Tertuduh/Perayu. Mangsa adalah seorang kanak-kanak berumur 3 tahun 10 bulan ketika kejadian dan merupakan cucu saudara kepada tertuduh. Pada petang 12/2/2014 SP1 bersama suaminya SP9 telah ke rumah ibu saudaranya (SD2). Mereka juga membawa anak-anak mereka seramai 4 orang. Tujuan SP1 dan SP9, ke rumah SD2 adalah kerana ingin melawat tapak pembinaan rumah barunya yang terletak lebih kurang 200 meter daripada rumah ibu saudaranya itu. SD2 tinggal bersama dengan suaminya yang dikenali dengan Pok Ngoh iaitu Tertuduh/Perayu dalam kes ini. Memandangkan ketika SP1 dan suaminya sampai di rumah itu sudah Maghrib dan hari nak hujan, mereka telah memutuskan untuk meninggalkan anak-anak mereka bersama SD2 sementara beliau pergi tapak pembinaan rumah barunya.
9
Selepas melawat tapak dan ketika azan Maghrib sudah kedengaran, mereka kembali semula ke rumah SD2 untuk sembahyang Maghrib dan mengambil anak-anak balik. Ketika semua anak-anak lain sudah masuk ke dalam kereta, anak ketiga mereka 4 iaitu mangsa dalam kes ini tidak mahu balik kerana dia hendak mengikut SD2 ke kedai untuk membeli mi sup. SP1 memujuk mangsa supaya mengikutnya balik, tetapi dia tidak mahu. SP1 kemudian masuk ke dalam kereta dan meminta suaminya (SP9) untuk pergi memujuk mangsa, suaminya pun pergi memujuk tetapi mangsa yang dipanggil dengan nama manja “Yaya” bertegas tidak mahu balik dan mahu ikut tinggal di rumah SD2. SD2 juga bertegas tak mahu lepaskan Yaya. SP1 dan SP9 kemudiannya balik ke rumah bersama dengan 3 anak-anak yang lain kecuali mangsa.
10
Lebih kurang jam 10 malam, SP9 telah ke rumah SD2 semula untuk mengambil Yaya, ketika itu Yaya sudah berada dalam bilik tidur bersama Mok Ngoh. SP9 bertanyakan kepada mangsa samada dia balik atau tidak, dia cakap mahu balik tetapi mahukan SP9 mendukungnya, jadi SP9 telah mendukung mangsa masuk ke dalam kereta. Mok Ngoh juga turut ikut SP9 ke kereta sambil berborak-borak. Pada masa yang sama SP9 ada terlihat kelibat tertuduh melalui cermin tingkap nekko rumah tersebut.
11
Pada keesokan harinya, seperti rutin harian biasa, SP1 menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah dan untuk ke tempat kerja. Pada hari tersebut SP1 mendapati Yaya tidak seperti biasa dan merengek, Yaya tidak mahu berjalan dan mahu dimandikan. SP1 tidak mengesyaki apa-apa lagi ketika itu. SP1 kemudian menghantar Yaya ke sekolahnya tadika PASTI. 5
12
Apabila sampai di sekolah, mangsa juga tidak mahu berjalan untuk masuk ke kelas dan mahu SP1 mendukungnya, setelah dipujuk ibunya barulah mangsa berjalan perlahan-lahan masuk ke sekolah. Di sekolah, Guru yang mengajar kelas Yaya iaitu SP3 telah mendapati perlakuan Yaya agak pelik dan suka menyendiri. Yaya juga menjadi lebih manja dengan dia dan duduk atas ribanya. SP3 kemudiannya bertanyakan kepada Yaya kenapa dengan Yaya ni? Yaya kemudiannya memberitahu kepada SP3 bahawa Pok Ngoh (Tertuduh/Perayu) telah bermain kemaluannya. SP3 kemudiannya memarahi mangsa kerana cakap yang bukan-bukan. Mangsa kemudiannya merajuk. Dia duduk jauh dari kawan-kawan dan menyendiri. SP3 kemudiannya memanggil semula mangsa dan bertanyakan kenapa. Mangsa memberitahu “Yaya bagitahu cikgu, tapi cikgu tak nak percaya”. Lepas itu SP3 memujuk mangsa dan memberitahu bahawa dia nak dengar ceritanya. Mangsa kemudianya memberitahu semula apa yang diberitahu tadi, SP3 bertanya sekali lagi untuk kepastian. Mangsa kemudiannya menjawab “betul cikgu, Yaya nak kencing pun sakit”.
13
Lepas tu SP3 baru perasan bahawa mangsa tidak ke bilik air lagi pada hari itu. Memandangkan SP3 belum berkahwin dan tiada pengalaman dalam hal ini, SP3 telah merujuk Yaya (mangsa) kepada Cikgu Asmira (SP4) yang mengajar di kelas sebelah. Yaya sekali lagi memberitahu perkara yang sama kepada SP4. Mangsa memberitahu SP4 bahawa Tertuduh/Perayu bermain kemaluannya atas tilam depan TV dan Tertuduh/Perayu memasukkkan jarinya dalam kemaluan mangsa. SP4 memberitahu bahawa mangsa ada memberitahunya 6 bahawa beliau ketika ada menangis ketika Tertuduh/Perayu lakukan demikian dan ada memberitahu kepada Mok Ngoh (SD2) akan kelakuan Tertuduh/Perayu itu, tetapi SD2 hanya gelak kecil. SP4 menyatakan mangsa ada memberitahunya bahawa SD2 ketika itu sedang berada di dapur menyiang ikan.
14
Apabila diberitahu berkenaan perkara itu oleh SP3 dan mengesahkan kembali dengan mangsa, SP4 telah merujuk perkara itu kepada Guru Besar iaitu SP5. SP5 sekali lagi bertanyakan kepada mangsa apa yang berlaku, tetapi kali ini mangsa macam sudah malas nak bercerita, tetapi setelah dipujuk barulah dia ceritakan semula apa yang berlaku kepada SP5. Lebih kurang jam 12 tengahari SP5 telah membuat panggilan kepada ibu mangsa (SP1) dan menyatakan ada perkara penting untuk diberitahu dan meminta dia segera ke sekolah. Lebih kurang jam 2.30 petang SP1 sampai di sekolah dan SP5 bertanyakan samada mangsa ada tidur di rumah Pok Ngoh dia atau tidak semalam, SP1 menjawab mangsa memang ada tidur di rumah Ngoh dia semalam. Kemudiannya SP5 memberitahu apa yang berlaku dan SP1 amat terkejut dengan kejadian tersebut. SP5 kemudiannya menasihatkan SP1 untuk ke Hospital.
15
Dalam perjalanan ke Hospital SP1 ada bertanyakan kepada mangsa beliau tidak beritahu kepadanya semalam tentang apa yang terjadi, mangsa maklumkan dia bimbang akan dimarahi jika dia maklumkan perkara tersebut kepada SP1. 7
16
SP1 telah membawa mangsa ke Klinik Perdana Islah di Kota Bharu, di klinik tersebut mangsa telah diperiksa oleh Dr.Hafidzah (SP6), hasil pemeriksaan, SP6 mengesahkan terdapat kesan lebam dan kemerahan pada kemaluan mangsa. SP6 berpendapat kesan itu disebabkan objek tumpul seperti jari, kemaluan lelaki atau objek lain.” D. HUJAHAN PIHAK-PIHAK
17
Pihak Pembelaan telah memohon supaya rayuan dibenarkan dimana satu hukuman ringan perlu diberikan di atas sebab-sebab di bawah.
18
Pertamanya adalah Tertuduh/Perayu telah lanjut usia iaitu berumur 62 tahun dan tidak berkeupayaan menjalani hukuman yang panjang.
19
Menurut Peguambela lagi, ini merupakan kesalahan pertama Tertuduh/Perayu dan Tertuduh/Perayu telah pun insaf dan kesal akan kejadian yang berlaku. Tertuduh/Perayu juga telah terkesan dengan kejadian ini kerana akibat daripada kejadian ini hubungan kekeluargaan telah terputus walaupun sebelum ini di antara mereka adalah hubungan rapat.
20
Peguambela juga berhujah bahawa Tertuduh/Perayu pernah mengalami penyakit barah otak dan masih lagi terkesan daripada pembedahan yang telah dilakukan. Juga Tertuduh/Perayu adalah pesalah pertama. 8
21
Pendakwaraya menghujahkan bahawa hukuman 5 tahun penjara perlu dikekalkan di atas sebab-sebab berikut.
22
Ini adalah satu kes serius yang melibatkan mangsa kanak-kanak yang berumur 3 tahun, dan Tertuduh/Perayu merupakan datuk saudara mangsa. Kepentingan awam menghendaki Tertuduh/Perayu dikenakan hukuman sewajarnya.
23
TPR juga menghujahkan kesalahan “sumbang mahram” adalah berleluasa sekarang ini dan perlu dibendung. TPR juga turut menghujahkan bahawa kes ini adalah satu kes bicara penuh yang tidak mewajarkan mahkamah mempertimbangkan apa-apa diskaun diberikan.
24
Perbuatan Tertuduh/Perayu ini telah memberikan kesan negatif terhadap mangsa dimana ianya akan memberi kesan ke atas faktor perkembangan psikologi mangsa dan memberi kesan buruk kepada masa depan mangsa.
25
Undang-undang mengenai rayuan adalah mantap iaitu mahkamah di peringkat rayuan sewajarnya tidak mengganggu keputusan yang dibuat oleh hakim bicara melainkan keputusan itu adalah salah, contohnya hukuman tersebut adalah terlalu berat (manifestly excessive) atau terlalu ringan, (manifestly inadequate). 9
26
Mahkamah ini telah berpandukan beberapa prinsip penghakiman di dalam mempertimbangkan rayuan mengenai hukuman. Di dalam kes Adam Atan v PP [2009] 1 CLJ 33 khususnya di m/s 36 YAA Gopal Ram, Hakim Mahkamah Rayuan berkata: “In an appeal against sentence, the initial function of this court is one of review only. The fact that each of us sitting separately or together would have imposed a lesser sentence is irrelevant. The appellant must satisfy this court that the sentencing court has either erred in principle or imposed a sentence that was manifestly excessive. We find it unnecessary to cite any authority in support of this well established principle”.
27
Di dalam kes Bhandulananda Jayatilake [1981] 1 LNS 139, Almarhum Raja Azlan Shah (KHN ketika itu) telah menyatakan: “For a discreationary judgment of this kind to be reversed by this court, it must be shown to our satisfaction that the learned judge was embarking on some unauthorized or extraneous or irrelevant exercise of discretion”.
28
Hakim bicara telah menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara dari tarikh jatuh hukum iaitu pada 14/7/2016. 10
29
Di dalam Alasan Penghakimannya di antara lain di muka surat 23 hingga 24 Rekod Rayuan, hakim bicara telah menyatakan: “Hukuman Pertuduhan dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan. Sebelum menjatuhkan hukuman, peguambela tertuduh telah membuat hujahan mitigasi bagi meringankan hukuman. Tertuduh ketika disabitkan sudah berumur 61 tahun. Tertuduh tidak bekerja dan hanya menjadi pemandu ‘prebet sapu’ sahaja. Tertuduh mempunyai 6 orang anak yang sudah dewasa hasil perkahwinan dengan isteri terdahulu. Dengan isteri sekarang (SD2), beliau tidak mempunyai anak. Isteri tertuduh hanya menjual makanan sahaja. Peguambela memaklumkan tertuduh pernah mengalami barah otak beberapa tahun lalu dan kini masih perlukan rawatan daripada Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM). Tertuduh tiada sebarang rekod kesalahan lampau dan ini merupakan kali pertama tertuduh ditangkap dan disabitkan dengan apa-apa kesalahan jenayah. Peguambela memohon agar tertuduh hanya dijatuhkan hukuman yang minimum sahaja mengambil kira faktor-faktor di atas. 11 Pihak pendakwaan pula memohon agar satu hukuman yang berat dijatuhkan ke atas tertuduh sesuai dengan jenayah yang telah dilakukan oleh tertuduh. Ibu mangsa iaitu SP1 telah memberikan keterangan impak mangsa ‘victim impact statement’ sebelum itu. Ibu mangsa telah memohon agar mahkamah menjatuhkan satu hukuman yang setimpal dengan kesalahan kerana perbuatan tertuduh telah memberi impak terhadap mangsa, mangsa selalu terjaga di tengah malam dan menangis-nangis meminta tolong. Ibu mangsa menyatakan bahawa anaknya (mangsa) kini sudah tidak seperti sebelum ini. Emosi mangsa mudah terganggu. Mangsa asyik bertanyakan samada Pok Ngoh (tertuduh) sudah masuk penjara ke belum kerana dia takut sehinggakan setiap kali melalui di hadapan rumah tertuduh, mangsa akan menyorok dibawah ‘dashboard’ kereta.”
30
Mahkamah mendapati hakim bicara di dalam mengikuti prinsip-prinsip hukuman adalah tidak terkhilaf apabila memberi keutamaan kepada kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi Tertuduh/Perayu seperti mana yang ditekankan di dalam kes PP v Loo Choon Fatt (1976) 2 MLJ 256.
31
Namun begitu kepentingan seseorang Tertuduh/Perayu tidak boleh diketepikan langsung. (Lihat kes Tan Sri Abdul Rahim Noor v PP (2001) 1 MLJ 193). Terdapat keadaan di mana kepentingan awam sendiri mewajarkan seseorang tertuduh itu tidak dimasukkan ke dalam penjara di 12 dalam tempoh yang panjang kerana ia akan membawa banyak keburukan dan kemudaratan daripada kebaikan, dimana seseorang pesalah itu akan menjadi penjenayah tegar (hardened criminal) selepas menjalani hukuman penjara.
32
Justeru mahkamah perlu menjalankan satu kaedah pengimbangan (balancing exercise) untuk memastikan keadilan dilaksanakan kepada mangsa/orang awam dan juga tertuduh di dalam menentukan hukuman yang perlu dijatuhkan. Ke arah itu mahkamah telah menggunakan kaedah ini di dalam menjatuhkan hukuman yang sesuai di dalam kes ini.
33
Berbalik kepada kes di hadapan mahkamah ini, mahkamah mendapati hakim bicara telah terkhilaf kerana tidak mengambil kira 2 fakta penting mengenai diri Tertuduh/Perayu. Pertamanya Tertuduh/Perayu adalah pesakit barah otak. Hakim bicara telah mengambil maklum mengenai fakta ini tetapi tidak memberi apa-apa pertimbangan yang “significant” kerana beliau tidak menyatakan apa-apa pertimbangan mengenai fakta ini di dalam Alasan Penghakimannya. Peguambela telah berhujah bahawa pembedahan telah dilakukan dan di dalam proses-proses sebelum dan seterusnya banyak sel-sel berkenaan telah dimatikan.
34
Ringkasnya seseorang yang menghidap barah otak dan melalui pembedahan yang “delicate” akan terkesan akibat daripadanya. Di dalam erti kata lain, seseorang yang menghidapi barah otak sudah pastinya tidak mampu berkelakuan sebagai seorang “reasonable man” yang normal. Apatah lagi, pembedahan tersebut sudah pastinya memberi kesan iaitu “post operation effect” terhadap Tertuduh/Perayu baik dari segi mental dan 13 juga fizikal. Tertuduh/Perayu masih lagi menjalani rawatan susulannya. Mahkamah berpendapat jika Tertuduh/Perayu berkeadaan normal, Tertuduh/Perayu tidak akan melakukan jenayah ini memandangkan Tertuduh/Perayu merupakan datuk saudara sendiri kepada mangsa dan mangsa hanyalah anak kecil berumur 3 tahun. Dari segi hukum akal juga seorang tua yang “reasonable” dan normal tidak akan mendapati bahawa seorang kanak-kanak kecil seperti mangsa mampu mendatangkan keghairahan seksual kepadanya.
35
Keduanya Tertuduh/Perayu adalah seorang yang berusia iaitu 62 tahun. Faktor ini perlu diambil kira kerana dengan usia sebegitu lanjut dengan kematangan fikiran yang semakin kurang. Tertuduh/Perayu tidak lagi mampu bersifat sebagai “reasonable man”. Tertuduh/Perayu tidak berkeupayaan untuk menjalani hukuman yang begitu panjang. Ianya akan membawa kesan yang “crushing” terhadapnya. Tambah-tambah lagi Tertuduh/Perayu masih lagi menjalani rawatan susulan terhadap penyakit barah otaknya. Kedua-dua fakta ini gagal dipertimbangkan secara mendalam oleh hakim bicara yang mewajarkan mahkamah ini mengganggu keputusannya.
36
Mahkamah juga mendapati bahawa hakim bicara telah gagal untuk mengikuti trend hukuman bagi kesalahan sebegini. Di dalam kes PP v Mohd Rosli bin Ishak (2017) 1LNS 1309, yang mana faktanya adalah sama, OKT (bapa kepada mangsa) telah memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa di dalam beberapa siri kejadian. Di peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi, OKT dijatuhkan hukuman penjara selama 1 tahun 5 bulan sahaja bagi setiap pertuduhan. Di dalam kes PP v Abdul Wahab bin 14 Gafor (2017) 1 LNS 215, OKT dijatuhkan hukuman penjara selama 1 tahun penjara sahaja di peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi. Di dalam kes Zulkifli bin Hashim (2017) 1 LNS 1768, OKT seorang guru kepada mangsa telah dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara dan denda RM2,000 selepas perbicaraan penuh oleh majistret. Mahkamah Tinggi telah mengesahkannya. Di dalam kes PP v Mohd Yunus Hassan (2017) 1 LNS 1214, OKT dijatuhkan hukuman 1 hari penjara dan denda RM4,000 yang mana telah diubah oleh Mahkamah Tinggi kepada 15 bulan penjara dan denda RM4,000 kekal. Di dalam kes Lim Chee Soon v PP (2016) 1 LNS 1347, hukuman 15 bulan penjara telah dikurangkan kepada 6 bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi.
37
Justeru itu, daripada trend hukuman, hukuman yang lazim diberikan adalah di dalam lingkungan ½ tahun (6 bulan) penjara sehingga 2 tahun penjara sahaja. Namun di dalam kes ini, mahkamah mendapati ianya tidak begitu sesuai. Justeru itu, mahkamah ini telah mengenakan hukuman penjara selama 3 ½ tahun.
38
Tertuduh/Perayu juga adalah pesalah pertama. Di dalam erti kata lain Tertuduh/Perayu tidak pernah melakukan kesalahan jenayah melainkan kesalahan ini yang dilakukan pada usia yang lanjut. Faktor ini perlu diberi pertimbangan juga untuk memberi peluang kepada Tertuduh/Perayu memperbetulkan dirinya. (Lihat kes Muhamad Hafizan Fauzi v PP (2017) 1 LNS 1579). 15
39
Mahkamah mendapati bahawa hakim bicara telah terkhilaf di dalam menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara atas alasan seperti mana diterangkan oleh mahkamah ini seperti di atas dengan mengambil kira keadaan kes (circumstances of the case) dan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kepentingan Tertuduh/Perayu. Mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan mahkamah ini adalah amat berpatutan dan selamat berdasarkan fakta kes dan “circumstance of the case” di mana ianya adalah tidak terlalu “excessive” dan “crushing” dan tidak pula “manifestly inadequate”. Rayuan Tertuduh/Perayu terhadap hukuman dengan ini dibenarkan dan mahkamah mengenepikan hukuman 5 tahun penjara dan digantikan dengan hukuman 3 ½ tahun penjara berkuatkuasa dari tarikh jatuh hukum pada 14/7/2016. Tarikh: 15 Mac 2018. (DATO’ AHMAD BIN BACHE) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Kelantan. 16 Pendakwa Raya/ TPR Puan Ainul Wardah binti Shahidan, Responden: Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Blok 5, Tingkat Bawah, Kota Darulnaim, 15050 Kota Bharu, Kelantan Peguamcara/Perayu: Hj. Mohd Zulfiqri bin Hj Zakaria Tetuan Zulfiqri Zakaria & Co, No. 70 & 70-1, Jalan TU 42, Taman Tasek Utama, Hang Tuah Jaya, 75450 Ayer Keroh, Melaka.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.