Berikutan kepada kemungkiran daripada Defendan dan rampasan sejumlah RM 200,000.00 oleh Plaintif sebagaimana yang dinyatakan diatas, Klausa 23 Perjanjian Jual Beli Kedua juga memperuntukkan Plaintif untuk memulangkan lebihan wang yang telah dibayar oleh Defendan(jika ada) setakat tarikh tersebut. [7] Plaintif juga telah memasuki Surat Kuasa Wakil bertarikh 22.11.2018 (“Surat Kuasa Wakil Kedua”) dan memberikan kuasa kepada Defendan untuk menguruskan hartanah tersebut dan sebarang transaksi atas hartanah tersebut. [8] Sepanjang Perjanjian Jual Beli Kedua berkuatkuasa, Defendan hanya membuat sebahagian pembayaran harga belian tersebut berjumlah keseluruhan RM 395,000.00 sahaja secara berkala. Defendan sekali lagi gagal untuk membuat bayaran ansuran seperti yang ditetapkan didalam perjanjian jual beli kedua dan gagal menjelaskan baki yang terhutang. Defendan pernah berjumpa dengan Plaintif untuk meneruskan kontrak walaupun tempoh masa pembayaran ansuran telah tamat tetapi Plaintif tidak lagi berminat untuk meneruskan kontrak dengan Defendan sejak Defendan memungkiri Perjanjian Jual Beli Pertama dan Kedua . Plaintif kemudian telah meminta peguamcaranya terdahulu iaitu Tetuan Khamdan & Co untuk mengeluarkan satu surat bertarikh 5.5.2023 kepada Defendan menuntut baki pembayaran harga belian sejumlah RM 3,605.00, namun Defendan gagal menyelesaikan baki ini. [9] Seterusnya, Plaintif telah meminta peguamcaranya Tetuan Zahir Khailani mengeluarkan Notis Penamatan bertarikh 21.9.2023 kepada Defendan, memaklumkan bahawa Perjanjian Jual Beli Kedua juga ditamatkan akibat kemungkiran yang berpanjangan oleh Defendan. Didalam salah satu surat balasan Defendan bertarikh 3.11.2023, Defendan telah membuat pengakuan keingkaran untuk membuat bayaran ansuran sepertimana yang dijadualkan didalam Lampiran 1, perjanjian jual beli kedua. Plaintif seterusnnya telah menghantar Notis Penamatan kepada Defendan beserta Perjanjian Pembatalan Surat Kuasa Wakil namun Defendan enggan menandatangani Perjanjian Pembatalan Surat Kuasa Wakil itu. Plaintif menegaskan tidak ingin meneruskan dengan Perjanjian Jual Beli Pertama dengan Defendan dan akan menguatkuasakan klausa 22 dan 23 didalam Perjanjian Jual Beli Kedua tersebut. B. JAWAPAN DEFENDAN [10] Defendan tidak menafikan Plaintif adalah pemilik hartanah tersebut dan pihak-pihak telah memasuki Perjanjian Jual Beli untuk membeli hartanah tersebut. Defendan tidak menafikan ada membuat bayaran sejumlah RM 395,000.00 dan meninggalkan baki sejumlah RM 3,605,000.00 setakat ini. Defendan juga tidak menafikan Plaintif telah memberikan kuasa kepada Defendan untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan dengan hartanah tersebut. [11] Kegagalan Defendan menjelaskan keseluruhan harga belian kepada Plaintif dibawah Perjanjian Jual Beli Kedua adalah disebabkan oleh pandemic Covid-19 dan syarikat Defendan tidak dapat beroperasi dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Plaintif. Kini, syarikat Defendan sanggup dan bersedia untuk menjelaskan baki harga jual beli tersebut di bawah Perjanjian Jual Beli Kedua tersebut kepada Plaintif, namun Plaintif enggan menerimanya. [12] Walaupun Plaintif sedia maklum akan masalah yang dihadapi oleh Defendan, bertindak melalui peguamcaranya menghantar Notis Penamatan bertarikh 21.9.2023 untuk membatalkan Perjanjian Jual Beli kedua dan juga Surat Kuasa Wakil tersebut. Ekoran dari ini, Defendan telah memasukkan kaveat persendirian atas hartanah tersebut pada 12.10.2023 melalui Perserahan No.: 7374/2023 bagi menjaga kepentingan Defendan atas hartanah tersebut. Ini adalah kerana Defendan telah menjalankan kerja-kerja pembangunan atas hartanah tersebut dan menyebabkan Defendan telah menanggung pelbagai kos dan perbelanjaan. Defendan melakukan kerja-kerja ini atas kepercayaan bahawa satu perlanjutan masa telah dipersetujui antara Defendan dan Plaintif berikutan dengan Pandemik Covid 19. Defendan akan mengalami kerugian sekiranya Perjanjian Jual Beli ini tidak diteruskan. C. KEPUTUSAN MAHKAMAH [13] Tuntutan Plaintif melalui Saman Pemula ini adalah dia ingin menamatkan Perjanjian Jual Beli Pertama dan Kedua dan juga Surat Kuasa Wakil yang dimasuki dengan Defendan. Ini adalah kerana Defendan telah gagal mematuhi terma-terma perjanjian jual beli yang dimasuki oleh pihak-pihak, dimana Defendan gagal menjelaskan baki bayaran harga belian walaupun peluang diberi melalui Perjanjian Jual Beli Kedua iaitu bayaran secara ansuran. [14] Akibat daripada keingkaran ini, Plaintif telah menghantar Notis Penamatan bertarikh 21.9.2023 kepada Defendan. Defendan kemudian membalas Notis Penamatan dan membuat pengakuan berkenaan dengan keingkaran dalam membuat bayaran ansuran sepertimana yang tertakluk didalam Perjanjian Jual Beli Kedua tersebut. Namun, Defendan enggan menandatangani Perjanjian Pembatalan Surat Kuasa Wakil yang dihantar oleh Peguamcara Plaintif. [15] Selain daripada pengakuan melalui surat, Defendan juga didalam affidavit balasan mereka iaitu Lampiran 7 iaitu di perenggan 11, 12, 22, 22.1 mengakui akan keingkaran mereka membayar penuh harga belian hartanah tersebut kerana syarikat Defendan tidak boleh beroperasi akibat pandemic Covid-19. Pengakuan Defendan ini terjumlah kepada pengakuan dibawah Aturan 27 kaedah 3 KKM 2012 yang membolehkan satu penghakiman diberikan memihak kepada Plaintif. A.27 k. 3 KKM 2012 memperuntukkan: - “(1) Jika pengakuan fakta dibuat oleh satu pihak kepada suatu kausa atau perkara sama ada melalui plidingnya atau selainnya, mana mana pihak lain kepada kausa atau perkara itu boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan apa-apa penghakiman atau perintah sebagaimana yang berhak didapatinya berdasarkan pengakuan itu, tanpa menunggu penentuan apa-apa persoalan lain antara pihak-pihak, dan Mahkamah boleh memberikan apa-apa penghakiman, atau membuat apa-apa perintah, atas permohonan itu sebagaimana yang difikirkannya adil”. [16] Defendan didalam affidavit jawapan dan hujahannya menyatakan mereka telah melakukan beberapa kerja awalan untuk memastikan projek perumahan itu berjalan lancar; namun ianya tidak boleh menjustifikasikan obligasi Defendan untuk menyelesaikan sepenuhnya harga belian di bawah Perjanjian Jual Beli Kedua. Kerja-kerja yang dilakukan oleh Defendan atas hartanah tersebut adalah satu risiko yang perlu diambil oleh Defendan kerana mereka mempunyai pengetahuan bahawa harga belian hartanah tersebut belum dijelaskan sepenuhnya dan mereka juga telah memungkiri Perjanjian Jual Beli Kedua. [17] Klausa 22 Perjanjian Jual Beli Kedua memperuntukkan: - “22. Pihak-pihak bersetuju bahawa sekiranya Pembeli -