Fakta ringkas tuntutan ganti rugi ini seperti berikut: - i. Adalah suatu fakta yang tidak dinafikan bahawa Plaintif adalah tuan punya hartanah tersebut. Atas permintaan Defendan, Plaintif dan Defendan telah memasuki Perjanjian Jual Beli bertarikh 27.7.2018 (“Perjanjian Jual Beli”) atas hartanah tersebut berjumlah RM4,000,000.00 ditetapkan secara bayaran ansuran sebanyak lima (5) kali bagi pembelian hartanah tersebut. ii. bagi memudahkan urusan hartanah tersebut, Plaintif telah memasuki Surat Kuasa Wakil bertarikh 22.11.2018 (“Surat Kuasa Wakil”) dan memberikan kuasa kepada Defendan untuk menguruskan hartanah tersebut dan sebarang transaksi atas hartanah itu; iii. Namun begitu, selepas itu, terma-terma dan syarat-syarat Perjanjian Jual Beli tersebut telah dimungkiri oleh Defendan dengan keengganan dan/ atau kecuaian Defendan untuk membuat pembayaran ansuran jumlah baki terhutang seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Jual Beli tersebut; 3 iv. Plaintif kemudiannya melalui peguam caranya telah mengeluarkan notis penamatan bertarikh 21.9.2023 dan memaklumkan bahawa Perjanjian Jual Beli tersebut telah ditamatkan akibat kemungkiran yang berpanjangan oleh Defendan. Plaintif seterusnya telah membatalkan Surat Kuasa Wakil tersebut. Namun begitu, Defendan melalui peguam caranya memaklumkan kepada Plaintif bahawa Defendan enggan untuk menandatangani Perjanjian Pembatalan Surat Kuasa wakil tersebut. v. Oleh kerana Defendan enggan menandatangani Perjanjian Pembatalan Surat Kuasa Wakil tersebut, Plaintif telah memfailkan satu Saman Pemula No.: BL-24NCvC-12- 02/2024 di Mahkamah Tinggi Klang untuk mengisytiharkan bahawa Perjanjian Jual Beli bertarikh 27.7.2018 adalah ditamatkan; dan Surat Kuasa Wakil bertarikh 22.11.2018 adalah dibatalkan dan Defendan tidak mempunyai kuasa atas hartanah tersebut. Mahkamah Tinggi Klang telah membenarkan permohonan ini. Peguam cara Plaintif telah mengenakan fee guaman sejumlah RM76,590.40 untuk pemfailan Saman Pemula ini dan sehingga mendapat perintah. 4 vi. Dalam tempoh yang sama, Defendan telah memfailkan Writ Saman No.: BA-22NCvC-26-01/2024 atas Plaintif, namun ditarik balik ketika permohonan interlokutori di bawah Aturan 18 kaedah 19(1) KKM 2012 sedang berjalan. Untuk ini, Plaintif telah dicaj oleh peguam caranya sejumlah RM11,875.80. vii. Defendan juga telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan atas perintah oleh Mahkamah Tinggi Klang dan untuk prosiding di Mahkamah Rayuan, Plaintif dicaj yuran guaman sebanyak RM108,540.00. viii. Bagi memelihara haknya atas hartanah tersebut, Plaintif telah membuat pendaftaran kaveat persendirian atas hartanahnya kerana Surat Kuasa Wakil masih berkuat kuasa pada ketika itu dan untuk ini Plaintif dikenakan yuran guaman sejumlah RM11,593.00. Tidak lama selepas itu, Defendan turut memasukkan kaveat persendirian atas hartanah tersebut pada 6.12.2023. Ini menyebabkan Plaintif menghadapi kesukaran untuk mendapatkan haknya semula. ix. Plaintif kemudiannya meminta Defendan untuk membatalkan kaveat persendirian yang dimasukkan oleh mereka namun Defendan enggan berbuat demikian. Maka sekali lagi, Plaintif terpaksa memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Klang (Saman Pemula No.: BL-24NCvC-148-10/2024) untuk membatalkan kaveat persendirian tersebut dan dibenarkan oleh Mahkamah. Untuk ini, Plaintif dicaj yuran guaman sebanyak RM76,458.40. Plaintif kemudiannya telah meneruskan dengan pendaftaran pembatalan kaveat persendirian di pejabat tanah dan Plaintif telah dicaj yuran guaman sejumlah RM1,363.00. Defendan telah merayu ke Mahkamah Rayuan atas perintah ini dan Plaintif terpaksa membela rayuan ini dan untuk ini dia dicaj yuran guaman sebanyak RM108,518.40.