(iii) kecederaan tersebut tidak disebabkan oleh suatu bangkitan marah yang serius dan secara tiba-tiba kepada OKS sebagaimana yang diperuntukkan dibawah seksyen 334 Kanun Keseksaan. DAPATAN MAHKAMAH KES PRIMA FACIE [14] Setelah meneliti keseluruhan keterangan dalam kes pendakwaan, saya membuat dapatan bahawa pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai untuk membuktikan setiap unsur kesalahan di atas. [15] Bagi unsur kesalahan yang pertama, saksi-saksi pendakwaan telah memberi keterangan yang konsisten bahawa OKS telah mendatangkan kecederaan kepada SP2 dengan cara memukul bahagian bahu kiri SP2. Keterangan-keterangan SP2 dan SP5 adalah konsisten bahawa ketika kejadian, OKS telah meluru ke arah mereka dan memukul bahu kiri SP2. [16] SP2 telah memberi keterangan bahawa pada hari kejadian lebih kurang selepas jam 5 petang, beliau bersama SP5 dan seorang anak guam firma sedang berbincang di dalam sebuah bilik di firma tersebut. Mereka mendengar bunyi bising dari luar bilik tersebut. SP2 kemudiannya bersama SP5 telah pergi ke luar bilik untuk menyiasat bunyi bising tersebut. SP2 menyatakan oleh sebab mereka takut apa-apa terjadi, SP2 telah mengambil sebuah telefon bimbit milik SP5 untuk membuat rakaman video. Setelah keluar bilik tersebut, SP2 dan SP5 melihat OKS bersama adik perempuannya sedang membuat kecoh di ruang menunggu. SP2 menyatakan SP5 ada bertanyakan kepada OKS apa yang berlaku dan kemudian berlakunya pertengkaran. OKS telah menghampiri mereka. SP2 menyatakan OKS menerpa ke arah beliau sambil memarahi SP2 kerana merekod menggunakan sebuah telefon dan kemudiannya memukul bahu SP2. SP2 merasa sakit di bahagian dada sebelah atas kiri. SP2 kemudiannya bersama SP5 telah pergi balai polis untuk urusan membuat laporan polis dan kemudiannya ke Hospital Melaka untuk membuat pemeriksaan. [17] SP5 juga telah memberi keterangan yang konsisten dengan SP2 bahawa OKS telah membuat kecoh di tempat kejadian dan menerpa ke arah SP2 memarahinya kerana merekod kejadian dan memukul bahu SP2. SP5 juga menyatakan SP2 telah merekodkan kejadian menggunakan telefon bimbit miliknya yang biasanya digunapakai untuk kegunaan pejabat. Tambahan lagi, SP5 menyatakan bahawa punca kejadian berlaku adalah disebabkan OKS tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh firma guaman tersebut berkenaan pemfailan Surat Kuasa Mentadbir yang ingin dipohon oleh OKS. OKS tidak berpuas hati setelah mendapat maklumat bahawa fi pemfailan di Mahkamah adalah jauh lebih rendah daripada kos guaman yang tinggi yang telah beliau bayar. [18] Keterangan ini disokong dengan keterangan SP6 yang merupakan seorang peguam kanan di firma tersebut. SP6 menyatakan bahawa OKS dan adik perempuannya pernah hadir ke pejabat firma guaman untuk bertemu dengannya. SP6 menyatakan bahawa OKS telah meminta agar beliau memulangkan semula kos guaman yang telah beliau bayar. SP6 telah menyatakan bahawa adalah tidak munasabah untuk memulangkan wang tersebut kerana kerja-kerja guaman telahpun dijalankan bagi fail tersebut. Namun, SP6 menyatakan bahawa beliau perlukan masa untuk mencari semula fail OKS memandangkan fail tersebut merupakan fail lama. SP6 meminta OKS hadir semula ke pejabatnya di hari yang lain dan beliau akan memaklumkan sama ada wang OKS boleh dipulangkan semula atau tidak. Pada hari kejadian sepertimana pertuduhan, SP6 menyatakan OKS dan adik perempuannya telah datang semula untuk menemui beliau, namun oleh kerana waktu telah petang mereka hanya berjumpa seketika dan SP6 menyuruh mereka pulang terlebih dahulu. OKS dan adik perempuannya keluar dari bilik SP6 dan beberapa ketika kemudian beliau mendengar pertengkaran berlaku. Beliau keluar dan meleraikan pertengkaran tersebut serta mengarahkan OKS dan adik perempuannya beredar dari pejabat firma tersebut dengan segera. [19] Keterangan-keterangan di atas menunjukkan bahawa OKS berada pada tempat dan waktu yang dinyatakan dalam pertuduhan. Beliau telah membuat kecoh di ruang menunggu pejabat firma tersebut. Apabila SP2 dan SP5 bertanyakan kepada OKS apa yang berlaku, OKS telah bertindak untuk menerpa ke arah SP2 dan SP5, memarahi SP2 kerana merakam video dan memukul bahu SP2. Perbuatan ini menyebabkan SP2 mengalami kecederaan di kawasan dada atas kiri. [20] SP3 yang merupakan pegawai perubatan yang memeriksa SP2 telah mengesahkan bahawa beliau mendapati ada lebam pada bahagian dada atas kiri OKS. SP3 mengesahkan bahawa SP2 mengalami kecederaan tisu lembut atau soft tissue injury di bahagian dada atas kiri. [21] Bagi unsur kesalahan kedua iaitu OKS telah melakukan perbuatan tersebut dengan niat untuk mencederakan mangsa, saya adalah berpandu kepada prinsip undang-undang yang matan bahawa niat seseorang boleh dibuktikan secara inferens bergantung kepada fakta dan keadaan sekililing sesebuah kes. [22] Dalam kes ini, adalah jelas bahawa OKS sendiri yang hadir ke pejabat firma tersebut untuk mendapatkan penjelasan berkenaan fail beliau. Setelah diberikan penerangan oleh peguam beliau, OKS bertindak untuk terus menunggu di ruang menunggu dan membuat kecoh. Setelah SP2 dan SP5 keluar melihat keadaan OKS, OKS bertindak untuk menerpa ke arah mereka dan memukul bahu SP2 hanya kerana beliau merakam video menggunakan telefon bimbit hingga menyebabkan kecederaan pada dada atas kiri SP2. Dalam keadaan kes pendakwaan setakat ini, mahkamah dapati hanya satu inferens yang boleh dibuat iaitu OKS melakukan perbuatan tersebut dengan niat untuk mencederakan SP2. [23] Berkenaan dengan elemen ketiga iaitu kecederaan tersebut tidak disebabkan oleh suatu bangkitan marah yang serius dan secara tiba-tiba kepada OKS sebagaimana yang diperuntukkan dibawah seksyen 334 Kanun Keseksaan, saya mendapati bahawa tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa terdapatkan bangkitan marah kepada OKS. Merakam video atas faktor keselamatan mengambilkira tindakan OKS yang membuat kekecohan bukanlah satu bentuk provokasi sehingga menyebabkan OKS bertindak lebih ganas dengan menerpa ke arah SP2 dan SP5 dan memukul bahu SP2. Punca bahawa OKS tidak berpuas hati dengan perkhidmatan guaman beliau juga bukanlah satu bentuk provokasi. Hal ini hanyalah berbentuk motif kepada kelakuan OKS melakukan kekecohan di firma tersebut. [24] Pembelaan telah membangkit beberapa isu di peringkat akhir kes pendakwaan. Mahkamah ini mendapati bahawa isu-isu tersebut tidak menjejaskan keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam penilaian maksimum yang dilakukan oleh Mahkamah. [25] Pertamanya, pembelaan menyatakan bahawa P10 iaitu laporan maklumat pertama atau first information report tidak dibuat oleh SP2 sendiri tetapi dibuat oleh SP5. Hal ini menyebabkan maklumat dalam P10 tersebut adalah keterangan dengar cakap atau hearsay semata-mata. Saya merujuk kepada prinsip undang-undang yang matan bahawa FIR bukanlah satu ensiklopedia namun hanyalah dokumen untuk pihak berkuasa memulakan siasatan (lihat: PP v Maniam Paramasivam [2020] 5 LNS 35 pada perenggan [26]-[27]). Jelas bahawa FIR hanya memerlukan maklumat yang mencukupi bagi siasatan dimulakan. Tiada prinsip undang-undang yang mewajibkan FIR mengandungi nama penuh mangsa mahupun pelaku. Bahkan, tiada kewajipan bahawa mangsa sendiri harus membuat laporan FIR tersebut. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, semua saksi material yang terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan. Dalam keadaan ini, OKS tidaklah diprejudiskan kerana mengikut keterangan yang ada setakat ini, OKS telah maklum akan kejadian yang dirujuk dan tidak dikelirukan dengan mana-mana kejadian lain. [26] Keduanya, pembelaan telah memohon kepada Mahkamah selepas SP5 selesai memberikan keterangan dengan mengemukakan video yang dirakan oleh SP2 (P11) untuk Mahkamah melepaskan OKS dibawah seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah. Pembelaan menghujahkan bahawa perbuatan OKS memukul bahu SP2 tidak dapat dilihat melalui P11 dan menunjukkan bahawa pertuduhan ke atas OKS adalah tidak berasas. Berkenaan isu ini, Mahkamah mendapati bahawa walaupun perbuatan memukul bahu SP2 tersebut tidak termasuk dalam rakaman video P11, namun keseluruhan kejadian yang dirakamkan adalah konsisten dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan. SP5 juga telah memberikan keterangan bahawa disebabkan sudut pegang kamera telefon terbabit iaitu SP2 meletakkan telefon tersebut rapat ke bahunya, menyebabkan perbuatan memukul itu sendiri tidak termasuk dalam ruang lingkup rakaman. [27] Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai untuk membuktikan setiap unsur kesalahan. Satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap OKS dan OKS dipanggil untuk membela diri. KES PEMBELAAN [28] OKS telah memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah di kandang saksi sebagai SD1. Keterangan SD1 secara umumnya adalah selari dengan kes pendakwaan. Keterangan SD1 juga disokong dengan keterangan SD2 iaitu adik perempuannya. [29] Keterangan dan naratif yang dibangkitkan oleh SD1 dan SD2 boleh disimpulkan seperti berikut. SD1 menyatakan bahawa beliau telah melantik firma guaman SP6 untuk menguruskan permohonan Surat Kuasa Mentadbir bagi sebidang tanah milik nenek beliau yang akan dipindahmilik kepada lima penama. Lantikan ini adalah menerusi SP5 yang mana OKS telah berurusan secara terus dengan SP5 berkenaan apa-apa urusan. Pembayaran kos guaman juga adalah dibuat apabila diarahkan oleh SP5. Namun, OKS tidak berpuas hati kerana kerja-kerja tersebut masih belum selesai dan beliau masih belum mendapat apa-apa Surat Kuasa Mentadbir. OKS menyatakan hal ini mungkin disebab SP5 tidak berpuas hati kerana OKS tidak memilih firma guaman mereka untuk proses penjualan hartanah tersebut. OKS menyatakan ini disebabkan bayaran guaman yang diminta oleh SP5 bagi tujuan tersebut adalah terlalu tinggi. Disebabkan tiada apa-apa kemajuan bagi isu Surat Kuasa Mentadbir OKS, OKS bertindak untuk hadir sendiri ke mahkamah untuk menyiasat dengan lebih lanjut. Pada ketika inilah OKS mendapat maklumat bahawa yuran pemfailan SKM di mahkamah adalah jauh lebih rendah daripada kos guaman yang telah beliau belanjakan. [30] Disebabkan hal ini, OKS bertindak untuk terus berhubung dengan SP6 sendiri tanpa melalui SP5. SD1 menyatakan bahawa dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh kejadian, beliau telah pergi ke pejabat firma guaman tersebut dan berjumpa dengan SP6 untuk mengadakan perbincangan berkenaan isu Surat Kuasa Mentadbir tersebut. Hal ini, menurut SD1 berjalan dengan baik dan berlaku tanpa kehadiran SP5. Hasil perbincangan tersebut, SP6 telah setuju untuk mengeluarkan surat rasmi menyatakan hasil kerja serta yuran guaman yang perlu dibayarkan oleh SD1 atau yang perlu dipulangkan semula kepada SD1. SP6 telah meminta SD1 untuk hadir semula pada hari lain setelah SP6 menyemak fail SD1. [31] Kemudiannya pada hari kejadian, OKS memaklumkan bahawa beliau dan SD2 hanya dapat berhubung dengan kerani firma yang memaklumkan bahawa SP6 sedang sibuk. Atas desakan SD2, mereka hanya berjumpa dengan SP6 seketika. SP6 enggan adakan perbincangan dengan SD1 dan SD2 atas alasan tiada temujanji dilakukan. SP6 menyuruh SD1 dan SD2 pulang. Tidak berpuas hati dengan perkara itu, SD2 meminta SD1 untuk tetap tunggu kerana telah dijanjikan untuk diberikan surat rasmi tersebut. Ketika di ruang menunggu tersebut, SP5 telah muncul di hadapan pintu sebuah bilik dan pertengkaran telah berlaku antara SD1, SD2 dan SP5. SD1 melihat SP2 sedang memegang telefon merakam video dan SD1 tidak berpuas hati dirinya dirakam. SD1 menyatakan bahawa beliau hanya menaikkan jari telunjuk melarang SP2 daripada terus merakam. Kemudiannya SP6 keluar dan terus menghalau SD1 dan SD2 dari firma tersebut. DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR PERBICARAAN [32] Berdasarkan keterangan pembelaan di atas, saya mendapati adalah sukar untuk mempercayai versi keterangan OKS bahawa beliau hanya menunjukkan jari telunjuknya kepada SP2 untuk melarang SP2 terus merakam video. Tiada keterangan lain yang menyokong fakta ini. Jika dibandingkan dengan keterangan SP2 yang disokong dengan keterangan SP5 serta dilihat selari dengan kejadian yang dirakam dalam P11, fakta bahawa OKS sememangnya menyentuh atau memukul bahu SP2 adalah lebih berasas dan boleh dipercayai. [33] Walaubagaimanapun, keterangan yang dibangkit oleh pembelaan masih perlu diteliti sama ada menimbulkan sebarang keterangan munasabah. [34] Setelah diteliti semula semua keterangan pembelaan, saya telah mengambilkira fakta-fakta berikut yang selari dengan fakta kes pendakwaan yang menunjukkan latar belakang yang membawa kepada situasi pertengkaran dan keadaan minda (state of mind) OKS ketika kejadian: