Schedule
Jadual Pertama (First Schedule) Declaration of Trust bertarikh 28 Disember, 2007 tersebut. [20] Defendan Kedua merujuk kepada fakta bahawa nama Plaintif tidak ada di dalam senarai pembeli-pembeli yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama (First Schedule) Declaration of Trust bertarikh tersebut. [21] Defendan Kedua seterusnya mengesahkan bahawa Defendan Pertama telah mengeluarkan Notis Siasatan (Borang E) yang bertarikh 14 Disember, 2021 untuk pengambilan tanah beranggaran 12,704 meter persegi bagi Hakmilik HSD 134360, PT 127726 (15769), yang didaftarkan atas nama Defendan Kedua, Goh Swee Wan sebanyak 1/1 bahagian (sebagai Pemegang Amanah) dan wang pampasan sebanyak RM 8,253,000.00 telah didepositkan di Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 11 Oktober, 2023. [22] Yang penting ialah penyangkalan oleh Defendan Kedua mengenai dakwaan oleh Plaintiff bahawa beliau merupakan pemilik benefisial (“beneficial owner”) untuk 4 sub-lot tanah yang terlibat. [23] Adalah hujah Defendan Kedua bahawa beban terletak pada Plaintif untuk membuktikan bahawa Plaintif telah membeli Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10, dan Sub-lot 16 dengan sah dan menjadi pemilik yang sah dan juga pemilik benefisial (“beneficial owner”) Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10, dan Sub-lot 16. [24] Untuk menyokong hujahan di atas, Defendan Kedua bergantung kepada seksyen 101 Akta Keterangan 1950 serta Keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Malayan Produce Company Sendirian Bhd v Landbanq Sdn Bhd (in liquidation) & Anor [2023] AMEJ 1638; [2023] 8 CLJ 876; [2023] 6 MLJ 840; [2023] 6 MLRA 190. [25] Meskipun terdapat Perjanjian Jual Beli yang dikemukakan oleh Plaintif sebagai bukti dalam Ekshibit-Ekshibit Lampiran 2 dan Lampiran 5, namun Defendan Kedua menekankan bahawa terdapat beberapa percanggahan maklumat yang ketara yang terdapat pada Ekshibit-Ekshibit tersebut. [26] Percanggahan maklumat ini adalah mengenai nama pembeli yang dicatatkan. Untuk sub-lot 1, nama dua pembeli yang dinyatakan adalah Savandarajan a/l Subramaniam dan Patmawathy a/p Munusamy. Ejaan nama Savandarajan a/l Subramaniam adalah jelas berbeza, mengikut Defendan Kedua, dengan nama Plaintif, iaitu Savandarajan a/l Subramonian. [27] Begitu juga dengan sub-lot 9. Dua orang pembeli yang dinyatakan di dalam “Sale and Purchase Agreement” bertarikh 16 April, 1997 adalah Savandarajah a/l Subramoniam dan Muniandy a/l Subramoniam. Nama Savandarajah a/l Subramoniam, mengikut Defendan Kedua, adalah jelas berbeza dengan nama Plaintif iaitu Savandarajan a/l Subramonian. Selain itu, Geran No. 19551 juga berbeza dengan butiran geran dalam Catatan Carian Persendirian Hakmilik yang menunjukkan Hakmilik terdahulu ialah CT19951. [28] Untuk sub-lot 10, Defendan Kedua menekankan bahawa nama pembeli yang dinyatakan di dalam “Sale and Purchase Agreement” bertarikh 3 Januari, 1997, adalah Savandarajah a/l Subramoniam yang juga jelas berbeza dengan nama Plaintif, iaitu Savandarajan a/l Subramonian. Begitu juga dengan Geran No. 19551 yang dinyatakan di dalam “Sale and Purchase Agreement” tersebut adalah berbeza dengan butiran geran dalam Catatan Carian Persendirian Hakmilik yang menunjukkan Hakmilik terdahulu ialah CT19951. [29] Selanjutnya, Defendan Kedua berhujah bahawa dakwaan Plaintif bahawa beliau telah membeli Sub-lot 16 itu tidak disokong oleh “Deed of Assignment” bertarikh 25 September, 1996 yang ditandakan sebagai Ekshibit “F” di dalam Afidavit Sokongan Plaintif. Hal ini kerana nama Assignee yang dinyatakan di dalam Deed of Assignment bertarikh 25 September, 1996 tersebut, adalah Savandarajah a/l Subramoniam yang jelas berbeza dengan nama Plaintif iaitu Savandarajan a/l Subramonian. [30] Justeru, Defendan Kedua berhujah bahawa percanggahan nama-nama dan fakta penting seperti butiran tanah yang dalam Perjanjian-Perjanjian Jual Beli Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10, dan Sub-lot 16 jelas menunjukkan bahawa Plaintif tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaannya sendiri. [31] Menjawab hujahan balasan oleh Plaintif bahawa percanggahan di atas hanya semata-mata “typing errors” di dalam Perjanjian-Perjanjian Jual Beli Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10, dan Sub-lot 16, Defendan Kedua menjelaskan bahawa Plaintif sendiri tetap tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membetulkan ejaan nama-nama dalam Perjanjian-Perjanjian Jual Beli tersebut. [32] Sebagai hujahan balas kepada dakwaan Plaintif yang kononnya Defendan Kedualah, sebagai Pemegang Amanah, yang seharusnya menghubungi peguamcara yang menyaksikan dan menyempurnakan Perjanjian-Perjanjian Sewa Beli tersebut, yakni Tetuan Gill & Tang dan Tetuan Alexander & Company, Defendan Kedua menekankan bahawa sebelum Saman Pemula difailkan oleh Plaintif pada 26 April, 2024, Defendan Kedua tidak mengetahui kewujudan Perjanjian-Perjanjian Jual Beli keempat Sub-Lot tersebut. Malahan, Defendan Kedua berhujah bahawa sebaliknya, Plaintiflah, sebagai pihak yang membuat dakwaan bahawa beliau adalah pembeli 4 sub-lot berkenaan, yang tanggungjawab untuk menghubungi sendiri Tetuan Gill & Tang dan Tetuan Alexander & Company, dan bukannya Defendan Kedua. [33] Tambahan, Defendan Kedua turut membangkitkan alasan bahawa terdapat keraguan di segi keluasan 4 sub-lot yang terlibat. [34] Defendan Kedua berhujah bahawa dakwaan-dakwaan Plaintif tentang keluasan untuk setiap Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10 dan Sub-lot 16 juga adalah tidak terbukti ataupun dakwaan yang salah memandangkan: • Sale and Purchase Agreement bertarikh 22 Jun, 2009 untuk Sub-lot 1 iaitu Ekshibit “C” tidak menunjukkan keluasan lot seperti yang didakwa oleh Plaintif; • Sale and Purchase Agreement bertarikh 16 April, 1997 untuk Sub-lot 9 iaitu Ekshibit “D” tidak menunjukkan keluasan lot seperti yang didakwa oleh Plaintif; • Sale and Purchase Agreement bertarikh 3 Januari, 1997 untuk Sub-lot 10 iaitu Ekshibit “E” tidak menunjukkan keluasan lot seperti yang didakwa oleh Plaintif; dan • Deed of Assignment bertarikh 25 September, 1996 untuk Sub-lot 16 tidak menunjukkan keluasan lot seperti yang didakwa oleh Plaintif. [35] Defendan Kedua membuat rumusan bahawa memandangkan pernyataan keluasan lot dalam Perjanjian-Perjanjian Jual Beli Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10 dan Sub-lot 16 adalah tidak terbukti ataupun dakwaan yang salah, maka dakwaan pengiraan yang dibuat Plaintif adalah tidak betul dan turut diragui. Oleh yang demikian, tuntutan Plaintif untuk pampasan sebanyak RM1,096,538.46 perlu ditolak dengan kos. [36] Seterusnya, Defendan Kedua merujuk kepada kegagalan Plaintif untuk membuktikan bahawa Plaintif telah memberi balasan bagi pembelian Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10 dan Sub-lot 16. Dengan ketiadaan resit rasmi, bukti pembayaran, bayaran guaman dan invois yang dikemukakan untuk membuktikan dakwaan pembelian Sub-lot 1, Sub-lot 9, Sub-lot 10 dan Sub-lot 16 tersebut, tuntutan Plaintif harus ditolak. Defendan Kedua bergantung kepada keputusan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes He-Con Sdn Bhd v Bulyah bt Ishak & Anor (as administrators for the estate of Nor Zainir bin Rahmat, the deceased) and another appeal [2020] 5 AMR 645; [2020] 7 CLJ 271; [2020] 4 MLJ 662; [2020] 5 MLRA 98 untuk menyokong hujahan ini. Dapatan Mahkamah [37] Mahkamah ini ingin menekankan bahawa tugas Mahkamah ini adalah untuk menguji keterangan affidavit yang dikemukakan terhadap keadaan sekeliling dan dokumen semasa. (Lihat Guan Teik Sdn Bhd v Haji Mohd Noor bin Haji Yakob [2000] 4 CLJ 324; [2000] 4 MLJ 433 di ms 439; [2000] 1 MLRA 617; Ab Latef & Associates (M) Sdn Bhd v Govindasamy a/l Suppiah [2016] 10 CLJ 1; [2016] 5 MLJ 508; [2016] 4 MLRA 163 dan Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng v Gan Yook Chin [2003] 2 AMR 357; [2003] 2 CLJ 19; [2003] 2 MLJ 97; [2003] 1 MLRA 95. [38] Setelah meneliti segala peruntukan undang-undang, keterangan, hujahan serta prinsip undang-undang yang terpakai, Mahkamah mendapati, antara lain, “Sale and Purchase Agreements” dan “Deed of Assignment” yang dikemukakan oleh Plaintif dipenuhi dengan kesilapan – di luar daripada apa yang boleh dianggap sebagai kesilapan menaip. [39] Mahkamah ini juga berpendapat bahawa nombor geran yang berlainan bukan satu perkara yang remeh. [40] Keluasan sub-lot-sub-lot yang terlibat masih merupakan satu tanda tanya yang relevan. [41] Kegagalan Plaintif mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk melindungi kepentingan beliau sejak berpuluh tahun lagi juga menimbulkan tanda tanya. [42] Mahkamah ini menggangap kegagalan memasukkan “kenyataan” mengenai kepentingan Plaintiff di dalam “Trust Deed” yang dibuat selepas kepentingan Plaintif yang dikatakan telah ujud juga menjadi satu persoalan – ditambah dengan kepentingan yang seharusnya dijamin/dilindungi oleh peguamcara yang sama – yang terlibat dalam penyediaan “Sale and Purchase Agreements” serta “Deed of Trust” tersebut. [43] Turut mempengaruhi Mahkamah ini adalah keterangan bahawa Carian Rasmi yang mengesahkan bahawa tanah tersebut masih di atas nama Defendan Kedua (sebagai Pemegang Amanah). [44] Berdasarkan kepada dapatan-dapatan oleh Mahkamah seperti di atas, Mahkamah mendapati bahawa keterangan Plaintif, apabila dinilai, kurang daripada nilai kesaksian yang diperlukan untuk memujuk Mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Plaintif. [45] Lantaran, Lampiran 1 adalah ditolak dengan kos dan Plaintif diperintahkan membayar kos sebanyak RM1,000 kepada Defendan Pertama dan RM5,000.00 kepada Defendan Kedua. Bertarikh: 6 Jun, 2025 sgd [CHOONG YEOW CHOY] Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam Peguam: Plaintif – mewakili diri sendiri Noor Fadzila binti Ishak bagi pihak Defendan Pertama (Jabatan Peguam Negara, Putrajaya) Nur Adilah binti Anuar bagi pihak Defendan Kedua (Tetuan K S Ong & Co.)