Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA BERANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN KES TANGKAP NO. TE-83D-157-03/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN SAZWAN BIN HUSIN (NO. K/P.: 980815-11-5877) ALASAN PENGHAKIMAN
TE-83D-157-03/2022
Magistrates Court of Malaysia8 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“. 25. Analisa Mahkamah adalah seperti berikut. Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [r”
“ika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh. 32. Mahkamah juga merujuk kes Mat v PP [1963] MLJ 263 yang menyatakan prinsip berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept th”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA BERANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN KES TANGKAP NO. TE-83D-157-03/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN SAZWAN BIN HUSIN (NO. K/P.: 980815-11-5877) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) ADB. Di akhir kes pendakwaan, tertuduh telah dipanggil membela diri. Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi. Di akhir kes pembelaan, Mahkamah mendapati keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Disebabkan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah, mahkamah memutuskan supaya tertuduh dilepaskan dan dibebaskan. Terkilan, pihak pendakwa raya memfailkan rayuan.
2
Pertuduhan ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 28/11/2021, jam lebih kurang 2.00 petang bertempat di tepi jalan pekan Ajil 21800 Ajil, di dalam Daerah Hulu Terengganu, di dalam Negeri Terengganu Darul Iman, didapati dalam milikan kamu, dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih (12.75) gram. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama. Hukuman: Penjara tidak kurang 2 tahun, tidak lebih 5 tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara 3 hingga 9 kali.”
3
Alasan penghakiman Mahkamah ini adalah sebagaimana yang dihuraikan selanjutnya.
4
Pihak pendakwaan telah memanggil seramai 5 orang saksi dan 19 ekshibit bagi membuktikan suatu kes Prima Facie terhadap tertuduh. Fakta kes pendakwaan secara ringkasnya seperti berikut: a. Pada 28 November 2021, pukul lebih kurang 2.00 petang, satu serbuan telah dijalankan di tepi jalan Pekan Ajil oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hulu Terengganu, diketuai oleh Insp Sharulhasram bin Ramli (SP3). b. Sebelum serbuan dibuat, satu taklimat telah diberikan diberikan pada pukul 1.30 petang. Pasukan bertolak ke lokasi pada pukul 1.50 petang menaiki dua kenderaan (Proton Wira & Proton Persona). c. Di lokasi kejadian, pada pukul lebih kurang 2.00 petang, SP3 melihat terdapat seorang lelaki melayu yang mencurigakan yang sedang duduk berseorangan di atas motosikal jenis Yamaha Solariz Ego warna merah jambu dan hitam bernombor pendaftaran TBY di tepi jalan. Pemerhatian dilakukan selama lebih kurang seminit, berjarak 10-15 meter dari tempat kejadian. SP3 kemudiannya mengarahkan pemandu kereta Proton Wira yang dinaikinya memberhentikan kereta di hadapan lelaki tersebut dengan jarak lebih kurang 4-5 Meter. SP3 bersama-sama anggota serbuan kemudiannya keluar daripada kereta tersebut untuk merapati dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada lelaki tersebut (tertuduh). d. Namun, secara tiba-tiba, tertuduh melompat daripada motosikalnya dan cuba untuk melarikan diri. SP3 telah melihat tertuduh menggenggam sesuatu pada tangan kirinya sewaktu tertuduh sedang melompat daripada motosikal. SP3 kemudiannya mengarahkan L/Kpl Devillito Devon (SP2) untuk mengejar tertuduh dan telah berjaya menahannya pada jarak lebih kurang 1-2 Meter daripada motosikalnya. Semasa ditahan, telah berlaku pergelutan di mana tertuduh cuba untuk melarikan diri dan meronta-ronta. e. SP3 menemui plastik hijau di tangan suspek yang mengandungi 5 paket plastik biru berisi pil-pil merah dan hijau disyaki dadah. tertuduh mengaku dadah tersebut miliknya dan berada dalam keadaan takut serta menggigil. f. Tertuduh dibawa ke IPD Hulu Terengganu bersama barang kes. Pemeriksaan lanjut dan dokumentasi lengkap dilakukan termasuk penandaan pada barang kes, timbangan anggaran berat kasar dadah, penyerahan tertuduh dan barang kes kepada Pegawai Penyiasat (SP5) serta rakaman gambar barang dan tempat kejadian serta lakaran rajah kasar tempat kejadian. g. Pada 30/11/2021, barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Terengganu. Analisa dijalankan oleh En Zubair Ali bin Sulhi (SP1) dan satu Laporan Kimia bertarikh 07/02/2022 (P3) telah disediakan dan mengesahkan bahawa tablet-tablet merah ialah sejumlah 93.51 gram yang mengandungi 12.62 gram Methamphetamine, manakala tablet-tablet hijau ialah sejumlah 0.96 gram yang mengandungi 0.13 gram Methamphetamine. h. Methamphetamine adalah disenaraikan dalam
Schedule
Jadual Pertama ADB. i. Oleh itu, tertuduh telah dituduh sebagaimana pertuduhan. 5. Antara isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa kes pendakwaan adalah seperti berikut: a. Sama ada terdapat tertuduh seorang sahaja ataupun terdapat individu lain bernama ‘Amirul Syafiq’ semasa di tempat kejadian. b. Kewujudan 1 kenderaan lain di tempat kejadian milik ‘Amirul Syafiq’ yang juga dinaiki bersama dengan anggota serbuan iaitu sebuah Mitsubishi Triton TBF 8466. c. Kesan-kesan tayar pada tanah di lokasi kejadian yang menunjukkan kemungkinan terdapatnya kenderaan Triton. Tiada juga kesan pergelutan atas tanah tersebut. d. Percanggahan keterangan antara saksi pendakwaan. e. Tidak munasabah untuk tertuduh tidak menyedari kehadiran pihak polis dan melarikan diri dengan motorsikal yang dinaikinya. C. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN 6. Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan ialah untuk pihak pendakwaan membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh (seksyen 173(f) Kanun Tatacara Jenayah). Dalam hal ini, Mahkamah hendaklah membuat penilaian maksima ke atas semua keterangan yang dikemukakan semasa kes pendakwaan (rujuk LOOI KOW CHAI & ANOR V PP [2003] 1 CLJ). Mahkamah juga merujuk kepada kes BALACHANDRAN V PUBLIC PROSECUTOR [2005] 2 MLJ 301, yang menyatakan bahawa di akhir kes pendakwaan, Mahkamah hendaklah bertanya pada diri sama ada jika tertuduh dipanggil membela diri dan memlilih untuk berdiam diri, adakah Mahkamah bersedia untuk mensabitkan tertuduh. 7. Mahkamah mendapati semua elemen pertuduhan dipenuhi oleh pihak pendakwaan seperti mana berikut: a. Tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan bahawa berlakunya tangkapan ke atas tertuduh pada pada 28/11/2021, jam lebih kurang 2.00 petang bertempat di tepi jalan pekan Ajil 21800 Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu. b. Berhubung elemen milikan, pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi iaitu SP2 dan SP3 yang menyatakan mereka melihat barang kes berupa plastik hijau (P14) yang dipegang dalam tangan kiri tertuduh. P14 diperiksa oleh SP3 dan didapati di dalamnya mengandungi 5 paket plastik biru (P5) yang mengandungi tablet merah dan hijau yang disyaki mengandungi dadah. SP3 merampas barang kes tersebut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat (SP5). Keterangan SP3 dan SP2 saling menyokong dan juga disokong oleh laporan polis yang dibuat oleh SP3 iaitu P16. SP5 kemudiannya menghantar barang kes kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa dan barang kes diterima oleh SP1. c. Tablet-tablet tersebut telah dianalisa oleh SP1 yang merupakan seorang Ahli Kimia yang kemudiannya mengesahkan melalui keterangannya di Mahkamah berserta dokumen P3 bahawa tablet-tablet merah tersebut ialah sejumlah 93.51 gram yang mengandungi 12.62 gram Methamphetamine, manakala tablet hijau ialah sejumlah 0.96 gram yang mengandungi 0.13 gram Methamphetamine. Tablet-tablet telah dijadikan serbuk dan dikemukakan kepada Mahkamah dengan tandaan P7 dan P9. d. Methamphetamine adalah disenaraikan dalam
Schedule
Jadual Pertama ADB. e. Mahkamah berpuas hati bahawa rantaian keterangan / barang kes adalah terjaga sehingga tertuduh dituduh di Mahkamah. f. Walaupun pihak pembelaan ada membangkitkan beberapa isu, namun pada peringkat ini, Mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kredibel untuk membuktikan setiap elemen pertuduhan. 8. Mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan ekshibit-ekshibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta mengambil kira hujahan-hujahan bertulis oleh pihak-pihak. Setelah membuat penilaian maksima ke atas keterangan-keterangan tersebut, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama. 9. Justeru, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Maka, tertuduh dipanggil untuk membela diri bagi pertuduhan tersebut. D. KES PEMBELAAN 10. Bagi membela dirinya, tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Hanya tertuduh sahaja yang memberi keterangan bersumpah di peringkat pembelaan. 11. Fakta kes pembelaan adalah seperti berikut: a. Tertuduh mendakwa kewujudan individu bernama Amirul Syafiq serta sebuah kenderaan Mitsubishi Triton (No. pendaftaran TBF 8466) yang dikaitkan dalam insiden tersebut. b. Tertuduh menyatakan kehadirannya pada masa dan di lokasi kejadian adalah kerana dihubungi oleh Syafiq untuk tujuan pembayaran wang. Ketika motosikal yang dinaikinya menghampiri kenderaan Triton Syafiq, pintu kenderaan terbuka secara tiba-tiba, mengenai motosikalnya dan menyebabkan beliau jatuh. c. Ketika itu, anggota polis keluar dan menangkap tertuduh. Satu lagi kenderaan polis tiba kemudian, tidak berada semasa serbuan awal. Kemudian tertuduh telah dibawa ke rumahnya, rumah digeledah dan motosikal dirampas. Tiada barang salah dijumpai di rumahnya. d. Tertuduh menafikan pernah melihat barang kes (dadah) di lokasi kejadian dan hanya melihatnya selepas ditunjukkan oleh pihak polis di balai. e. Hasil ujian air kencing tertuduh juga negatif. 12. Pihak pembelaan menghujahkan bahawa: a. Kehadiran polis ke rumah dan rampasan selepas itu menimbulkan kemungkinan bahawa barang kes tidak dijumpai di tempat kejadian seperti didakwa. b. Versi tertuduh dianggap lebih munasabah berbanding versi pegawai polis dan anggota serbuan, berdasarkan isu kesan tayar pada tanah di lokasi kejadian, tiada kesan pergelutan pada tanah di lokasi kejadian, dan ketidakkonsistenan dalam keterangan pegawai polis. c. Tertuduh menjawab soalan mahkamah dengan demeanor (tingkah laku) yang baik, memberikan justifikasi logik kehadirannya di lokasi. d. Pembelaan turut mempersoalkan logik tindakan tertuduh, iaitu bahawa tidak munasabah untuk beliau tidak cuba melarikan diri lebih awal jika benar dia menyedari diperhatikan oleh dua buah kereta dalam jarak dekat di kawasan sunyi. 13. Pihak pendakwaan pula menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian kosong semata-mata dan tanpa disokong oleh mana-mana keterangan yang lain. Tertuduh mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat laporan polis dan/atau memaklumkan kepada pegawai penyiasat situasi sebenar sewaktu beliau ditangkap, namun tidak berbuat demikian. E. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN (i) Isu kehadiran penama bernama Amirul Syafiq dan kenderaan Mitsubishi Triton pada masa dan di lokasi kejadian. 14. Berhubung isu ini, hujahan pihak pembelaan adalah seperti berikut: a. Pembelaan mendakwa wujudnya individu bernama Amirul Syafiq dan kenderaan Mitsubishi Triton TBF 8466, dan maklumat ini telah dikemukakan secara terperinci sejak peringkat pendakwaan. Pendakwaan gagal menyiasat atau mengemukakan bukti berkaitan Syafiq, walaupun mereka mempunyai maklumat yang boleh disemak (seperti nombor pendaftaran kenderaan). b. Walaupun saksi pendakwaan menafikan kewujudan Syafiq dan kenderaan Triton tersebut, namun pihak pembelaan berhujah bahawa kegagalan oleh pihak pendakwaan menyiasat atau mengesahkan maklumat ini merupakan cubaan menyorokkan bukti penting. c. Keterangan Syafiq berpotensi menjejaskan kredibiliti versi pihak pendakwaan dan menyokong versi pembelaan. Oleh itu, keengganan pendakwaan menyiasat dan mengemukakan saksi ini membuka ruang kepada anggapan negatif terhadap kes pendakwaan. d. Pembelaan berhujah bahawa Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai di mana mahkamah boleh membuat "adverse inference" (anggapan bertentangan) terhadap pendakwaan atas kegagalan memanggil saksi penting atau mengemukakan bukti. e. Untuk menyokong hujahan ini, pembelaan merujuk beberapa kes terdahulu: a. Dalam kes Pendakwa Raya lwn Bazleh Saeid Saleh dan satu lagi [2014] 5 MLJ 81 – telefon bimbit yang hilang menyebabkan kelemahan besar dalam kes pendakwaan. b. Dalam kes Kek Chuan v Public Prosecutor [2013] 6 MLJ 885 – ketiadaan rakaman CCTV menyebabkan runtuhnya kes pendakwaan. c. Dalam kes Ti Chuee Hiang v PP [1995] 2 MLJ 433 – diputuskan bahawa pendakwaan wajib memanggil saksi yang perlu untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah; kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pembebasan tertuduh. f. Pembelaan juga menegaskan bahawa beban membuktikan kes tetap berada di pihak pendakwaan, dan mereka tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak pembelaan. g. Kesimpulannya, kegagalan pendakwaan untuk menyiasat dan memanggil saksi penting seperti Syafiq serta tidak mengesahkan kenderaan Triton adalah satu kelemahan serius. Ia membuka ruang untuk anggapan bahawa pendakwaan menyembunyikan bukti, dan justeru itu meruntuhkan kredibiliti kes pendakwaan mengikut prinsip undang-undang yang telah ditetapkan dalam kes-kes terdahulu. 15. Berhubung isu ini, pihak pendakwaan pula menghujahkan seperti berikut: a. Pihak pendakwaan menolak dakwaan pembelaan mengenai kewujudan Amirul Syafiq dan kenderaan Triton, dengan menyatakan bahawa saksi-saksi utama (SP2 & SP3) kekal konsisten bahawa hanya tertuduh berada di tempat kejadian, tanpa kehadiran individu atau kenderaan lain. b. Tiada bukti sokongan dikemukakan oleh pembelaan untuk menyokong dakwaan tersebut — hanya satu gambar (IDD18) tanpa nilai probatif yang sahih. c. Amirul Syafiq tidak dipanggil sebagai saksi pembelaan, dan tiada bukti objektif dikemukakan mengenai kewujudan kenderaan Triton, menjadikan versi pembelaan tidak berasas dan tidak disokong fakta. d. Pendakwaan menekankan bahawa walaupun beban pembuktian utama berada di pihak mereka, versi alternatif yang dikemukakan oleh pembelaan juga perlu disokong dengan bukti yang munasabah, yang gagal dilakukan dalam kes ini. e. Merujuk kes PP v Mohamed Ali [1962] 1 LNS 129, pendakwaan berhujah bahawa keterangan saksi polis harus diterima, selagi ia tidak bercanggah atau bersifat tidak munasabah. Dalam kes ini, tiada percanggahan terhadap keterangan SP2 dan SP3. f. Oleh itu, mahkamah diminta menerima keterangan saksi pendakwaan sebagai lebih kukuh dan dipercayai berbanding versi pembelaan yang tidak disokong. 16. Dapatan Mahkamah berhubung isu ini adalah seperti berikut: a. Beban pembuktian kekal di pihak pendakwaan. Walaupun pembelaan mengemukakan versi alternatif, beban pembuktian utama masih berada pada pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. b. Konsistensi keterangan SP2 dan SP3 semata-mata tidak mencukupi sekiranya wujud isu-isu yang tidak disiasat atau ditangani oleh pihak pendakwaan, seperti dakwaan tentang Amirul Syafiq dan Triton. Harus diingatkan juga bahawa SP2 dan SP3 kedua-duanya adalah saksi pegawai dan anggota polis dan bukannya saksi bebas yang melihat kejadian tersebut. c. Pembelaan telah membawa isu Amirul Syafiq dan kenderaan Triton secara terperinci sejak peringkat awal, termasuk nombor pendaftaran. Pendakwaan tidak menyiasat atau sekurang-kurangnya menunjukkan bukti bahawa siasatan telah dilakukan terhadap maklumat ini. Ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap kelengkapan siasatan. d. Malah, semasa peringkat pemeriksaan semula ke atas SP2 dan SP3, tiada langsung penjelasan lanjut daripada SP2 dan SP3 berkenaan isu ini walaupun kedua-duanya telah disoal balas tentang kehadiran Syafiq dan kenderaan Triton tersebut. e. Walaupun versi pembelaan tidak sepenuhnya dapat disahkan, tetapi tidak boleh ditolak bulat-bulat. Walaupun pembelaan gagal memanggil Syafiq atau membuktikan kewujudan Triton secara dokumentari, namun pihak pendakwaan yang mempunyai kuasa menyiasat juga tidak melakukan tindakan sewajarnya untuk mengesahkan atau menafikan kewujudan ini. f. Kelemahan ini memberi ruang keraguan munasabah, kerana versi pembelaan tidak dapat dipatahkan sepenuhnya oleh pendakwaan. g. Mahkamah tidak membuat dapatan muktamad bahawa Amirul Syafiq dan Triton benar-benar wujud, tetapi mendapati bahawa kegagalan pihak pendakwaan untuk menyiasat dan menolak secara konkrit versi pembelaan telah mewujudkan keraguan yang munasabah terhadap keseluruhan naratif kes pendakwaan. h. Maka, dalam konteks isu ini, mahkamah memutuskan bahawa keraguan munasabah telah wujud terhadap versi pendakwaan. (ii) Isu Versi Tangkapan Tertuduh 17. Berhubung isu ini, Mahkamah telah dibentangkan dengan dua versi berbeza oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. 18. Dalam pembelaannya, tertuduh telah memberikan penjelasan bahawa semasa kejadian, tertuduh dengan menaiki motosikal telah ke tempat kejadian dan menghampiri kenderaan Triton yang sebelum ini memang diketahuinya dinaiki Syafiq. Pintu kenderaan Triton dibuka dari dalam secara tiba-tiba dan mengenai motosikal tertuduh, tertuduh jatuh dan seterusnya ditangkap oleh anggota serbuan. Tertuduh telah memberikan keterangan secara konsisten dan selaras dengan versi pembelaan yang telah dibangkitkan semasa kes pendakwaan. 19. Dalam hal ini, Mahkamah telah menilai semula keterangan pihak pendakwaan yang sememangnya terdapat percanggahan dari segi keterangan saksi-saksi pendakwaan yang dikemukakan berhubung fakta mengenai tangkapan. SP2 dan SP3 menyatakan bahawa tertuduh telah melompat dari motornya dan cuba melarikan diri, SP3 mengejar, bergelut dan kemudiannya tertuduh berjaya ditangkap oleh SP3. Namun SP5, selaku pegawai penyiasat dalam keterangan bersumpahnya menyatakan bahawa berdasarkan siasatan beliau, tertuduh ditangkap semasa sedang di atas sebuah motosikal (rujuk perenggan 30 PSP 3). 20. Selanjutnya, Mahkamah juga telah meneliti P11 iaitu gambar tempat kejadian dan gambar motosikal tertuduh dalam P12. Mahkamah mendapati gambar-gambar yang dikemukakan sebagai ekshibit pihak pendakwaan ini adalah lebih konsisten dengan penjelasan yang diberikan oleh tertuduh berbanding dengan fakta yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan. 21. Terdapat kesan tayar pada tanah di lokasi kejadian (rujuk ekshibit P11) namun tidak disiasat oleh SP5 dengan sewajarnya sama ada kesan tayar yang ada pada tanah konsisten dengan tayar yang dikatakan digunakan oleh pegawai dan anggota serbuan atau termasuk tayar kenderaan lain atau bagaimana. Tiada juga siasatan yang dijalankan sama ada sememangnya ketiadaan kesan pergelutan atas tanah disebabkan pergelutan berlaku adalah kecil atau bagaimana? Bukankah pegawai penyiasat sepatutnya menyiasat dari sudut pandang pihak ketiga dan bukannya menerima bulat-bulat apa yang diadukan oleh pegawai dan anggota serbuan? 22. Tertuduh juga dalam pembelaannya telah menunjukkan kepada Mahkamah melalui P11 kedudukan motosikalnya jatuh adalah di gambar C. Dalam hal ini, Mahkamah juga telah merujuk silang gambar motosikal di Gambar C dalam Ekshibit P12. Dalam gambar tersebut, terdapat kesan tanah pada bahagian eksos motosikal. Mahkamah berpandangan, silent evidence ini adalah konsisten dengan keterangan tertuduh yang menyatakan motosikalnya telah terbalik setelah terkena pintu Triton yang dibuka dari dalam. Sebaliknya tiada penjelasan dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kesan tanah pada ekzos motosikal tersebut sepanjang kes dibicarakan. 23. Penjelasan yang diberikan oleh tertuduh ini telah meruntuhkan kes pendakwaan. Penerimaan Mahkamah terhadap versi tangkapan yang dikemukakan oleh tertuduh juga telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap keseluruhan versi pihak pendakwaan. Sekiranya versi tangkapan sudah tidak dapat diterima, maka adalah sukar bagi Mahkamah untuk menerima keseluruhan naratif kes pendakwaan tanpa sebarang keraguan. (iii) Sama Ada Keterangan Tertuduh Adalah Penafian Kosong 24. Pihak pendakwaan berhujah bahawa pembelaan tertuduh hanyalah penafian kosong tanpa sebarang sokongan keterangan lain. Tertuduh juga mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat laporan polis atau memaklumkan perkara sebenar kepada pegawai penyiasat ketika ditangkap, tetapi gagal berbuat demikian. 25. Analisa Mahkamah adalah seperti berikut. Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [rujuk Chay Hon Song v Public Prosecutor [1967] 1 MLJ 210 at 211] dan tertuduh juga tidak perlu membuktikan fakta yang menjadi asas kepada pembelaannya [rujuk Nagappan a/l Kuppusamy v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 53, [1988] 1 CLJ 283, SC]. Dalam erti kata lain, tertuduh tidak perlu meyakinkan mahkamah bahawa penjelasannya adalah benar. Jikapun Mahkamah tidak percaya dengan kebenaran penjelasan tersebut, adalah memadai jika penjelasan itu reasonably be true and probable (rujuk Murugiah v Public Prosecutor [1941] 1 MLJ 17b]. 26. Mahkamah juga mengambil maklum bahawa kewujudan keraguan munasabah bergantung kepada keseluruhan keterangan dan perlu dinilai secara adil dan munasabah berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan, bukan secara terasing. Penafian semata-mata atau memberikan cerita kosong tentang tidak bersalah, tidak boleh dianggap sebagai menimbulkan keraguan munasabah [rujuk Ali Tan bin Abdullah v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 676, CA]. 27. Waima apapun, the falsity of the defence juga tidak melepaskan pihak pendakwaan daripada tanggungjawab untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah [rujuk PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16]. 28. Mahkamah turut merujuk kes Mohamad Radhi bin Yaakub v Public Prosecutor [1991] 3 MLJ 169 at 171, SC yang memutuskan bahawa apabila kes jenayah diputuskan berdasarkan kebenaran kes pendakwaan melawan the falsity of the defence story, Mahkamah hendaklah mengikut prinsip yang ditetapkan dalam kes Mat v Public Prosecutor [1963] 2 MLJ 263. 29. Bersasarkan prinsip undang-undang yang dinyatakan di atas dan dapatan mahkamah berhubung isu-isu berbangkit yang telah dihuraikan sebelum ini, Mahkamah berpandangan bahawa penjelasan tertuduh bukanlah penafian kosong semata-mata namun telah disokong secara tidak langsung oleh kelemahan kes pendakwaan dan juga penilaian ke atas keseluruhan keterangan yang ada. 30. Selain itu, Mahkamah juga telah menilai demeanor (tingkah laku) tertuduh dan mendapati bahawa tertuduh telah menjawab soalan dengan baik, serta kekal konsisten sepanjang memberi keterangannya di Mahkamah. F. KEPUTUSAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN 31. Dalam membuat keputusan di akhir kes pembelaan, Mahkamah merujuk Seksyen 173(m) KTJ yang memperuntukkan bahawa setelah perbicaraan selesai, Mahkamah hendaklah menilai semua keterangan yang telah dikemukakan dan memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa tertuduh bersalah dan boleh mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh. 32. Mahkamah juga merujuk kes Mat v PP [1963] MLJ 263 yang menyatakan prinsip berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept the explanation given by or on behalf of the accused, you must of course acquit. But this does not entitle you to convict if you do not believe that explanation, for he is still entitled to an acquittal if it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt, as the onus of proving his guilt lies throughout on the prosecution. If upon the whole evidence you are left in a real state of doubt, the prosecution has failed to satisfy the onus of proof which lies upon it. The position may be conveniently stated as follows: (a) If you are satisfied beyond reasonable doubt as to the accused's guilt ........ Convict. (b) If you accept or believe the accused's explanation.. Acquit. (c) If you do not accept or believe the accused's explanation.. Do not convict but consider the next steps below. (d) If you do not accept or believe the accused's explanation and that explanation does not raise in your mind a reasonable doubt as to his guilt........ Convict (e) If you do not accept or believe the accused's explanation but nevertheless it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt.. Acquit Magistrates would assist the appellate Court if they indicate in their grounds that they are aware of the tests laid down in steps (d) and (e) above.” 33. Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 34. Berdasarkan prinsip dalam kes Mat v PP, secara ringkasnya, sekiranya Mahkamah menerima penjelasan yang diberikan oleh pihak pembelaan, Mahkamah hendaklah melepaskan tertuduh. 35. Setelah mahkamah meneliti keterangan pihak pembelaan dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, dan setelah mahkamah meneliti kes ini secara keseluruhannya, Mahkamah mendapati penjelasan yang diberikan oleh tertuduh dalam pembelaannya adalah munasabah dan boleh dipercayai. Dengan itu, keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Maka, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah. 36. Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. BERTARIKH PADA 21 SEPTEMBER 2025 Disediakan oleh .................................................................... NORYUSRIZA BINTI ZULKIFLI MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET KUALA BERANG Kaunsel Bagi pihak pendakwaan Nur Atifah binti Manaf Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu Tingkat 14, Wisma Darul Iman 20200 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman Bagi pihak Tertuduh Tetuan Sallehudin Harun & Partners No. 3483 C, Tingkat 1, Wisma Sri Panji Alam Jalan Panji Alam 21100 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.