Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM RAYUAN SIVIL NO: JA-12A-10-12/2024 ANTARA SELIA SELENGGARA SELATAN SDN. BHD. …PERAYU
JA-12A-10-12/2024
High Court of Malaysia30 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“lan yang diselenggarkan oleh Perayu atau lubang itu (jika ada) adalah atas jalan lain yang bukan diselenggarakan oleh Perayu. 56. Saya merujuk kepada kes Lim Jeh Haur v Nicholas Thomas Philip & Anor [2019] MLJU 1016 yang mana Mahkamah Tinggi di dalam memutuskan mengenai keberatan (weight) yang perlu diberikan kepada pe”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM RAYUAN SIVIL NO: JA-12A-10-12/2024 ANTARA SELIA SELENGGARA SELATAN SDN. BHD. …PERAYU
1
1.
2
IMAM BAYDOWI BIN SUMARDI … RESPONDEN [DALAM PERKARA MENGENAI MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU GUAMAN NO. JA-A53KJ-39-01/2023] ANTARA NUR HANA BINTI ISMAIL … PLAINTIF SELIA SELENGGARA SELATAN SDN. BHD. … DEFENDAN IMAM BAYDOWI BIN SUMARDI …PIHAK KETIGA ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini adalah rayuan Perayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) menolak permohonan Perayu di Lampiran 77 untuk kebenaran membuka semula kes Perayu di Makamah Sesyen dan juga rayuan berkenaan liabiliti dan kuantum bagi suatu tuntutan gantirugi terhadap Perayu.
2
Mahkamah pada 30.10.2025 membenarkan rayuan Perayu dengan kos sebanyak RM5,000.00 tertakluk kepada fi alokatur, dibayar oleh Responden-Responden kepada Perayu. Responden-Responden juga diperintahkan untuk memulangkan jumlah wang RM526,300.42 kepada Perayu dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh perintah diberikan.
3
Alasan-alasan saya berkenaan dengan keputusan tersebut adalah seperti yang berikut.
4
Fakta kes adalah berdasarkan kepada kertas-kertas kausa dan rekod-rekod rayuan yang difailkan oleh pihak-pihak.
5
Responden Pertama (“R1”) adalah merupakan pembonceng motosikal dan Responden Kedua (“R2”) merupakan penunggang motosikal nombor pendaftaran JNM 6929.
6
Perayu adalah merupakan syarikat konsesi yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam pada masa yang material.
7
Tuntutan Responden-Responden terhadap Perayu adalah bagi gantirugi am dan khas akibat kecederaan dan kerugian yang dialami akibat kemalangan yang berlaku pada 08.08.2020 jam lebih kurang
8
8.30 malam di KM 15 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam (“Jalan tersebut”).
8
R1 mendakwa kemalangan berlaku akibat motosikal yang ditunggang suaminya iaitu R2 terlanggar satu lubang di Jalan tersebut.
9
R1 juga mendakwa tiada sebarang tanda amaran menunjukkan terdapat lubang pada Jalan tersebut.
10
Laporan polis dibuat dua (2) bulan setelah kemalangan berlaku kerana R1 cedera parah dan R2 menjaga R1 di awal kecederaannya.
11
R2 camkan lokasi kejadian sebagai jalan di hadapan stesen minyak Shell kerana beliau ada kembali ke jalan tersebut untuk mencari selipar dan cincin milik R1 yang tercicir di kawasan kemalangan.
12
R2 tidak membuat laporan polis kerana tidak mengetahui bahawa beliau boleh menuntut daripada Perayu akibat terlanggar jalan berlubang tersebut.
13
Hasil siasatan Pegawai Penyiasat menunjukkan motosikal R2 terlanggar lubang atas jalan raya yang menyebabkan rantai motosikal tercabut. Keputusan kes adalah Refer to Magistrate (RTM) kerana kemalangan melibatkan satu kenderaan sahaja.
14
Perayu memaklumkan syarikat mempunyai tanggungjawab untuk memantau dan selenggara jalan-jalan persekutuan di bawah seliaan syarikat Perayu dan ini termasuklah KM 15 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam.
15
Merujuk kepada Laporan Harian Inspektor Rutin, tiada kerosakan dilaporkan pada hari kejadian pada 08.08.2020. Laporan Harian Inspektor Rutin diisi oleh peronda yang mencatatkan kerosakan pada jalan-jalan yang diselenggara oleh Perayu.
16
SD1 (Pengurusan syarikat Defendan bagi daerah Johor Bahru) tidak dapat mengesahkan kandungan Laporan Harian Inspektor Rutin tersebut, walau bagaimanapun laporan tersebut diperolehi daripada sistem di mana SD1 mempunyai akses terhadapnya.
17
Laporan perubatan R1 mencatatkan kemalangan disebabkan oleh rantai terputus dan bukannya kerana jalan berlubang.
18
Terdapat juga artikel dalam akhbar Harian Metro yang mana penulis artikel akhbar Harian Metro yang menggunakan nama pena Omar Ahmad telah menemuramah R2 dan R1. Artikel akhbar tersebut menyebut kemalangan adalah disebabkan oleh rantai terputus.
19
Perayu berhasrat untuk memanggil seorang saksi lagi iaitu penulis artikel akhbar Harian Metro yang menggunakan nama pena Omar Ahmad, iaitu Siti Nur Aquila Binti Omar. Walau bagaimanapun, pada hari perbicaraan yang ditetapkan pada 31.07.2024 Perayu gagal mendapatkan saksi tersebut. Permohonan penangguhan Perayu tidak dibenarkan oleh HMS dan HMS telah mengarahkan Perayu menutup kesnya.
20
Perayu kemudian telah memfailkan Notis Permohonan Lampiran 77 pada 25.09.2024 untuk kebenaran membuka semula kes kerana penulis artikel akhbar Harian Metro tersebut hanya menghubungi Perayu setelah kes telahpun ditutup. Walau bagaimanapun L77 telah ditolak oleh HMS pada 26.11.2024.
21
Pada hari yang sama iaitu 26.11.2024, HMS telah membenarkan tuntutan R1 dengan kos dan menolak tuntutan balas Perayu terhadap R2 dengan kos.
22
Perayu kemudian telah membuat permohonan untuk menggantungkan pelaksanaan penghakiman yang dibuat oleh HMS sementara menunggu pelupusan rayuan ini (Lampiran 95) dan HMS telah menolak Lampiran 95 pada 27.02.2025.
23
Sebelum Perayu dapat membuat permohonan penggantungan pelaksanaan di Mahkamah ini, R1 telah memfailkan Notis Statutori di bawah seksyen 465 Akta Syarikat 2016 [Akta 777] untuk menggulungkan Perayu.
24
Bagi menentangkan Notis Statutori di bawah seksyen 465 Akta 777, Perayu telah memohon kepada Mahkamah ini suatu perintah perlindungan (preservation order) ke atas jumlah RM526,300.42 (Lampiran 4) yang telah dibayar ke dalam akaun pelanggan The Chambers of Sri yang merupakan peguamcara R1 dan telah dibenarkan oleh Mahkamah pada 19.03.2025 sementara menunggu pelupusan pendengaran rayuan.
25
Pada 12.06.2025, Mahkamah telah membenarkan Lampiran 4 dan kos permohonan ditanggung oleh Perayu. Responden-Responden telah memfailkan rayuan terhadap keputusan ini. ISU-ISU YANG PERLU DITENTUKAN Isu yang perlu ditentukan oleh Mahkamah ini adalah—
a
sama ada kemalangan diakibatkan oleh motosikal yang dibonceng oleh R1 melanggar lubang yang terletak di atas jalan yang diselenggara oleh Perayu atau jalan lain yang bukan diselenggarakan oleh Perayu dan apakah punca kemalangan, sama ada disebabkan rantai motosikal terputus atau motosikal R2 terlanggar lubang atas jalan; dan
b
sama ada Mahkamah wajar membenarkan Notis Permohonan
Lampiran
Lampiran 77 untuk Perayu membuka semula kes di Mahkamah Sesyen. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH (a) Sama ada kemalangan diakibatkan oleh motosikal yang dibonceng oleh R1 melanggar lubang yang terletak di atas jalan yang diselenggara oleh Perayu atau jalan lain yang bukan diselenggarakan oleh Perayu dan apakah punca kemalangan, sama ada disebabkan rantai motosikal terputus R2 terputus atau motosikal R2 terlanggar lubang atas jalan 26. Pihak Perayu tidak pernah pada bila-bila masa mempertikaikan bahawa KM 15 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam adalah dalam kawasan selenggaraannya. 27. Walau bagaimanapun, Perayu mempertikaikan kemalangan tersebut berlaku di atas jalan yang diselenggarakan olehnya dan juga kemalangan berlaku disebabkan motosikal R2 melanggar lubang atas jalan yang diselenggarakan olehnya. Perayu berhujah kemalangan berlaku adalah disebabkan rantai motosikal yang ditunggang oleh R2 dan dibonceng oleh R1 terputus. Keterangan SP1 28. SP1 merupakan Jurutera Daerah Johor Bahru, JKR telah memberikan keterangan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat suatu kemalangan pada 08.08.2020 di kawasan KM 15 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dan maklumat diberikan adalah berdasarkan laporan polis SP2 yang diberikan kepadanya. 29. Saya mendapati bahawa SP1 mengesahkan kandungan surat bertarikh 06.11.2022 yang dibuat oleh bekas rakan kerjanya mengenai kawasan KM 15 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam adalah diselenggarakan oleh Perayu (sila rujuk muka surat 203 Lampiran 7) dan surat itu adalah merupakan maklum balas kepada surat yang dihantar oleh peguam Responden-Responden. Keterangan SP2 30. R2 yang merupakan SP2 telah memberikan keterangan bahawa beliau adalah penunggang motosikal dan tempat kejadian adalah di hadapan stesen minyak Shell di Jalan Skudai (Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam). Namun, SP 2 tidak dapat menyatakan secara spesifik di mana lokasi sebenar kemalangan berlaku dalam laporan polis beliau. 31. SP2 dalam keterangannya telah mengaku bahawa beliau tidak mengambil gambar tempat kejadian kemalangan, tidak pergi ke tempat kejadian bersama Pegawai Penyiasat (SP6) dan hanya camkan tempat kejadian menerusi gambar-gambar yang ditunjukkan oleh SP6. Gambar-gambar motosikal dan tempat kejadian diambil oleh adik SP2 beberapa hari selepas kejadian dan dihantar melalui whatsapp kepada SP6. 32. Selain daripada di atas, SP2 hanya membuat laporan polis (sila rujuk muka surat 147 Lampiran 7) dua (2) bulan setelah kemalangan berlaku. Siasatan yang dilakukan oleh SP 6, termasuk siasatan ke atas lubang di tempat kejadian adalah dua (2) bulan selepas kemalangan berlaku. 33. SP2 telahpun memberikan maklumat kemalangan kepada hospital tentang bagaimana kemalangan berlaku sebaik sahaja kemalangan berlaku pada 08.08.2020. Pegawai Perubatan SP4, Dr. Mohamad Izzat Bin Azman yang menyediakan laporan perubatan pada 12.04.2021 telah merekodkan cerita SP2 mengenai bagaimana kemalangan berlaku, antara yang lain, “belt of MB got stuck, skidded and fall”. Perkara ini diakui oleh SP2 semasa pemeriksaan balas. 34. Semasa memberikan keterangan di Mahkamah, SP4 telah memaklumkan beliau menyampaikan apa yang dimaklumkan oleh SP2. Maklumat mengenai rantai motosikal terputus adalah daripada SP2 dan diterjemah dalam kad merah (sila rujuk muka surat 45 Nota Prosiding (“NOP” di Lampiran 30). 35. Walaupun SP2 menyatakan bahawa beliau telahpun memberikan maklumat tentang punca kemalangan kepada pegawai perubatan adalah disebabkan jalan berlubang, namun Laporan Pakar Neurosurgeri R1 betarikh 21.01.2021 menyatakan tentang “motorbike skidded” dan Laporan Perubatan R1 oleh SP4 bertarikh 21.04.2021 (sila rujuk muka surat 206-210 di Lampiran 3) menyatakan “belt of MB got stuck, skidded and fall”. Ia tidak mencatatkan motosikal terlanggar lubang. 36. Saya berpandangan bahawa dakwaan SP2 mengenai SP4 hanya menulis tentang rantai motosikal R1 tersangkut dan jatuh dan tidak menulis tentang motosikal terlanggar lubang adalah tidak munasabah memandangkan SP4 tidak mengenali R2 sebelum kemalangan berlaku dan tiada alasan SP4 sengaja meninggalkan fakta mengenai motosikal R2 terlanggar lubang dan jatuh. SP4 mencatatkan dalam laporannya berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh SP2 kepadanya. 37. Alasan SP2 mengambil masa dua (2) bulan untuk membuat laporan polis kerana perlu menjaga R1 nampaknya adalah alasan yang munasabah, namun perkara yang dimaklumkan dalam laporan polis adalah bercanggah dengan Laporan Perubatan dan juga artikel akhbar yang dilaporkan oleh wartawan Harian Metro. 38. Kedua-dua Laporan Perubatan dan artikel akhbar Harian Metro merupakan laporan terawal berkaitan kemalangan dan adalah konsisten. Memori tentang kejadian berlaku juga lebih jelas dan terperinci berbanding memori setelah dua (2) bulan berlalu. Tambahan pula, ianya merupakan pengakuan SP2 sendiri bahawa beliau hanya dimaklumkan selepas dua (2) bulan bahawa tindakan boleh diambil terhadap Perayu akibat kemalangan terlanggar lubang. Ternyata tindakan R2 membuat laporan polis selepas dua (2) bulan terhadap Perayu adalah suatu pemikiran terkemudian dan dipertikaikan. Keterangan SP6 39. SP6 memaklumkan terdapat satu stesen minyak Shell di Jalan tersebut dan beliau mengesahkan tempat kejadian berdasarkan laporan polis dan keterangan SP2. SP6 mengesahkan beliau ditemani oleh SP2 dan jurugambar ke tempat kejadian (sila rujuk muka surat 55, 58 dan 60 NOP) dan jurugambar mengambil gambar di tempat kejadian. Namun demikian, SP2 memaklumkan bahawa beliau tidak bawa SP6 ke tempat kejadian dan menunjukkan tempat kejadian kepada SP6. Gambar-gambar diambil oleh adiknya dan diserahkan kepada SP6. 40. SP6 menyatakan berdasarkan laporan-laporan polis yang dibuat sebelum ini mengenai kemalangan berlaku di tempat yang sama (sila rujuk muka surat 71 NOP), beliau mengesahkan lokasi kemalangan merupakan tempat kemalangan yang kerap berlaku. Sungguhpun demikian, SP6 tidak mengemukakan sebarang rekod mengenai kemalangan yang berlaku sebelum ini. Sekiranya terdapat rekod yang dikatakan oleh SP6, ia tidak semestinya menunjukkan kemalangan yang berlaku sebelum ini adalah di stesen minyak Shell yang dikatakan oleh SP2. Percanggahan keterangan SP2 dan SP6 41. Melalui carian google map yang dibuat oleh Peguam Perayu, Mahkamah telah dimaklumkan bahawa terdapat beberapa stesen minyak Shell di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala ke Bandar Baru Uda iaitu di KM 15 dan juga KM 12. Jarak kedua-duanya juga tidak jauh dan berada dalam sekitar 3 kilometer. 42. Mahkamah juga dimaklumkan di KM 15 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam pula terdapat dua (2) jalan di hadapan Shell iaitu Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dan satu lagi jalan yang betul-betul berhadapan dengan Shell tersebut yang merupakan jalan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. 43. SP2 tidak menyatakan di dalam laporan polisnya lokasi sebenar kemalangan berlaku. Semasa SP2 memberi keterangan di Mahkamah dan apabila ditunjuk artikel akhbar Harian Metro, SP2 memaklumkan bahawa kemalangan berlaku dekat stesen minyak Shell Jalan Impian Emas dan cuma ada satu stesen minyak Shell sahaja (sila rujuk muka surat 49 NOP). 44. Selanjutnya, SP2 menyatakan dalam keterangan bahawa kemalangan adalah berlaku di KM15. Keterangan ini adalah berbeza daripada laporan polisnya. Perbezaan ini adalah perlepasan yang material (fundamental departure) daripada laporan polis yang dibuat olehnya. Percanggahan keterangan SP2 menjejaskan kebolehpercayaan keterangannya. 45. Apabila SP2 disoal tentang lokasi sebenar kemalangan telah menyatakan tentang kemalangan yang berlaku dekat Shell Impian Emas, lokasi yang jauh tersasar daripada Shell di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam. SP6 menyatakan bahawa SP2 tidak menyatakan nama jalan atau lokasi sebenar kemalangan berlaku. SP2 cuma memaklumkan ia adalah berhampiran dengan stesen minyak Shell. 46. SP6 memaklumkan beliau telah melawat stesen minyak Shell di Jalan Skudai bersama SP2. SP6 didapati gagal menerangkan bagaimana beliau dapat mengenal pasti lokasi sebenar memandangkan SP2 memaklumkan beliau tidak menemani SP6 ke tempat kejadian (sila rujuk muka surat 17 NOP). Oleh itu, keterangan SP6 adalah diragui dan dengan itu, pengenalpastian lokasi oleh SP6 juga diragui. Sekiranya keterangan SP6 adalah benar, saya berpandangan bahawa lawatan dibuat selepas tempoh dua (2) bulan adalah tempoh yang lama dan sudah tentu keadaan jalan boleh jadi berbeza dalam tempoh tersebut. Maka, adalah sukar untuk mengaitkan keadaan jalan setelah dua (2) bulan berlalu kepada kemalangan yang telah berlaku. 47. SP6 sendiri memberi keterangan bahawa hasil siasatan adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh SP2. SP6 tidak membuat pengesahan sendiri mengenai masa dan keadaan lubang yang dinyatakan oleh SP2. SP6 bergantung kepada SP2 yang mempunyai kepentingan dalam tuntutan ini untuk mengesahkan lokasi kemalangan. SP6 didapati membuat keputusan siasatan semata-mata berdasarkan keterangan SP2 dan gambar-gambar yang dikemukakan oleh adik SP2. 48. Selanjutnya, SP6 memaklumkan terdapat lubang yang besar yang berdalaman 3 inci dan kelebaran 1 kaki di lokasi kejadian (sila rujuk muka surat 195 dan 196 di Lampiran 30). Saya mendapati gambar-gambar yang dikatakan diambil oleh SP6 adalah dua (2) bulan selepas kemalangan yang menunjukkan lubang yang dikatakan di hadapan stesen minyak Shell. Selanjutnya, saya berpendapat bahawa dengan kelebaran lubang tersebut, tentu pasti roda motosikal akan bengkok dan motosikal akan calar apabila motosikal terlanggar lubang itu dan terbabas. Namun demikian, berdasarkan kepada gambar-gambar motosikal yang dikemukakan, ia tidak menunjukkan terdapat kesan calar, handle patah dan side mirror pecah dan hanya boleh nampak rantai motosikal putus (sila lihat muka surat 193 dan 194 Lampiran 30). 49. SP6 memaklumkan bahawa beliau tidak memeriksa motosikal yang terlibat dalam kemalangan dan beliau juga tidak menghantar motosikal yang terlibat untuk diperiksa oleh Jabatan Kimia untuk mengesahkan punca kemalangan sama ada ia disebabkan rantai motosikal terputus. SP6 juga memaklumkan beliau tidak dapat mengesahkan motosikal dalam gambar-gambar adalah terlibat dalam kemalangan. 50. Selanjutnya, saya mendapati siasatan yang dijalankan oleh SP6 adalah sambil lewa dan tidak lengkap. SP6 di dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau tidak mendapatkan laporan perubatan R1 dan tidak berjumpa R1. Oleh itu, SP6 tidak dapat mengesahkan sama ada maklumat yang dinyatakan dalam laporan polis atau laporan perubatan mengenai bagaimana kemalangan berlaku adalah lebih tepat. 51. Sebagaimana yang dinyatakan di perengan 41 dan 42 atas, terdapat banyak stesen minyak Shell di sepanjang Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala ke Bandar Baru Uda iaitu di KM 15 dan juga KM 12, maka bagaimana SP6 dapat mengenal pasti lubang yang dikatakan di hadapan stesen minyak Shell adalah lokasi sebenar kemalangan berlaku dua (2) bulan lepas dan pengesahan lokasi tidak dibuat oleh SP2. 52. Walaupun terdapat percanggahan ketara antara keterangan SP6 dengan SP2, HMS masih berpendapat bahawa keterangan SP6 menyokong SP2 (sila lihat perenggan 32, 33 dan 35 Alasan Penghakiman HMS di muka surat 168 dan 169 Lampiran 30). 53. Saya mendapati HMS terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menerima keterangan SP6 sebagai keterangan yang boleh dipercayai dan menyokong keterangan SP2 walaupun terdapat jurang bukti yang serius. Siasatan yang dijalankan oleh SP6 adalah tanpa pengesahan, lewat dalam menjalankan siasatan dan bergantung kepada sumber yang melayan diri (self-serving sources). 54. Saya mendapati HMS telah tersilap arah dengan gagal menilai keterangan SP 6 yang kekurangan pengesahan bebas, kelewatan dalam penyiasatan, dan pergantungan kepada sumber layan diri. 55. Saya mendapati percanggahan keterangan SP2 dan SP6 adalah material kerana ia menjejaskan kredibiliti SP2 dan SP6 dan seterusnya menimbulkan keraguan mengenai siapa yang memberikan keterangan yang benar mengenai punca kemalangan dan lokasi tempat kejadian sebenar sama ada terdapat lubang di jalan yang diselenggarkan oleh Perayu atau lubang itu (jika ada) adalah atas jalan lain yang bukan diselenggarakan oleh Perayu. 56. Saya merujuk kepada kes Lim Jeh Haur v Nicholas Thomas Philip & Anor [2019] MLJU 1016 yang mana Mahkamah Tinggi di dalam memutuskan mengenai keberatan (weight) yang perlu diberikan kepada pendapat Pegawai Penyiasat telah menyatakan seperti yang berikut: “[24] The court should not attach any weight to the evidence of an IO that a particular party has been negligent or not (or words to that effect) because - (1) whether a party is liable for negligence or otherwise is to be decided by the court; (2) an IO has no personal knowledge regarding the accident. The IO’s knowledge of the accident is derived solely from the results of the IO’s investigation. In other words, the IO’s evidence regarding who is negligent or not, constitutes hearsay evidence. I rely on the following judgment of Ong Hock Thye Ag CJ (Malaya) (sitting as a High Court Judge) in Public Prosecutor v Siew Sung [1966] 1 MLJ 145, at 145, as follows: “The inspector’s evidence that his enquiries led him to believe that the accused was owner of the machine, was rightly struck out as hearsay, upon objection raised by defence counsel.” (emphasis added); and (3) an IO’s evidence regarding who is negligent or otherwise, is purely his or her opinion. The court cannot accept opinion evidence unless there is a relevant issue before the court which is beyond the court’s competence wherein the court may accept an expert opinion under s 45(1) EA. Section 45(1) EA provides as follows: “Opinions of experts 45(1) When the court has to form an opinion upon a point of foreign law or of science or art, or as to identity or genuineness of handwriting or finger impressions, the opinions upon that point of persons specially skilled in that foreign law, science or art, or in questions as to identity or genuineness of handwriting or finger impressions, are relevant facts.” (emphasis added). [25] As explained in the above paragraph 24, no weight should be attached to the opinion evidence of the IO’s that the Defendant was not at fault regarding the Incident.”. [Emphasis added] 57. Berdasarkan otoriti tersebut, adalah jelas HMS tidak boleh bersandar kepada keterangan SP6 dalam memutuskan tuntutan R1 ini. Saya mendapati HMS telah tersilap dalam menerima pendapat SP6 dalam memutuskan kes ini dan telah mengabaikan percanggahan yang material ini. 58. Adalah merupakan prinsip undang-undang tort yang mantap bahawa liabiliti mesti dibuktikan atas imbangan kebarangkalian dan mesti ada bukti jelas tentang kaitan sebab langsung antara perbuatan atau peninggalan Perayu yang menyebabkan kerugian kepada Responden-Responden. 59. Dalam kes ini, tiada bukti kukuh atau tidak boleh disangkal menunjukkan bahawa Perayu adalah punca tunggal kerugian yang didakwa. 60. Sebagaimana yang diputuskan oleh YA Hashim Yeop A. Sani di dalam kes Ng Chui Sai v Maimon bte Ali [1983] 1 MLJ 110 bahawa beban pembuktian kecuaian adalah terletak pada orang yang membuatnya melainkan terdapat fakta yang didedahkan yang menimbulkan anggapan yang memihak kepada Plaintif and YA mengatakan seperti yang berikut: “In an action for negligence the onus of proving the allegation of negligence rests on the person who makes it unless there are disclosed facts which raise a presumption in favour of the Plaintiff. The Plaintiff must show affirmatively that there has been a breach of a specific or genuine duty by the defendant and this resulted in the damage to the plaintiff. If he fails to prove this the action must fail.” . [Penekanan ditambah] 61. Berdasarkan otoriti tersebut, adalah jelas beban pembuktian adalah atas R1 untuk membuktikan kecuaian Perayu dalam menyelenggarakan Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam pada masa yang material telah mengakibatkan motosikal SP2 masuk ke dalam lubang yang berada di hadapan stesen minyak Shell dan rantai motosikal SP2 terputus. Kecuaian tersebut telah menyebabkan kecederaan dan kerugian kepada R1 dan SP2. Penulis akhbar Harian Metro 62. Perayu juga turut mengekshibitkan ID-6 yang merupakan artikel akhbar Harian Metro bertarikh 31.08.2020 yang melaporkan tentang kemalangan yang berlaku terhadap R1. SP2 telah mengaku bahawa beliau telah ditemuramah oleh penulis artikel akhbar Harian Metro. 63. Setelah meneliti artikel yang dikemukakan, saya dapati bahawa versi kemalangan dalam artikel akhbar Harian Metro ini adalah konsisten dan menyokong apa yang dinyatakan dalam Laporan Perubatan R1. Artikel akhbar tersebut menyebut “Rantai motosikal saya putus dan terbelit pada tayar yang menyebabkan isteri tercampak, manakala saya terseret beberapa meter”. Walau bagaimanapun, Perayu tidak dapat memanggil saksi wartawan yang menyediakan artikel tersebut kerana permohonan penangguhan untuk memanggil saksi ini pada 30.07.20214 tidak dibenarkan oleh HMS. 64. Dalam hal ini, walaupun penulis yang menggunakan nama pena Omar Ahmad tidak dipanggil untuk mengesahkan artikel yang ditulis olehnya, ia tidak menjejaskan fakta bahawa R1 dan SP2 telah ditemuramah olehnya. Perkara ini diakui oleh SP2 sendiri. 65. Saya mengambil kira tiada keterangan daripada penulis artikel akhbar Harian Metro yang nama pena Omar Ahmad, iaitu Siti Nur Aquila Binti Omar tidak dapat dipanggil oleh Perayu disebabkan HMS telah mengarahkan Perayu menutup kes mereka pada 31.07.2024. Sungguhpun begitu, saya memutuskan ketiadaan keterangan Siti Nur Aquila Binti Omar tidak menjejaskan kes Perayu memandangkan R1 telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap Perayu. 66. Perayu telah berhujah mengenai kuantum yang diberikan oleh HMS bagi kerugian yang dialami oleh R1 adalah tidak munasabah dan berlebihan. Saya telah meneliti kuantum yang diberikan oleh HMS dan mendapati award yang diberikan oleh HMS adalah berpandu kepada Revised Compedium of Personal Injury Award 2018 dan jumlah award yang diberikan adalah dalam julat amaun yang diperuntukkan untuk setiap kecederaan. Oleh itu, saya berpendapat jumlah award yang diberikan oleh HMS adalah munasabah dan setimpal dengan kecederaan yang dialamai oleh R1. Maka saya memutuskan bahawa award yang diberikan oleh HMS dikekalkan jika rayuan Responden-Responden dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan. 67. Berdasarkan alasan-alasan di atas, saya berpandangan bahawa R1 telah gagal membuktikan kemalangan tersebut berlaku di atas jalan yang diselenggarakan oleh Perayu dan juga kemalangan berlaku disebabkan motosikal SP2 melanggar lubang atas jalan yang diselenggarakan olehnya. Oleh itu, saya memutuskan R1 telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap Perayu dan dengan itu, saya membenarkan rayuan Perayu dengan kos sebanyak RM5,000.00 tertakluk kepada fi alokatur dibayar oleh Responden-Responden kepada Perayu. Responden-Responden juga diperintahkan untuk memulangkan jumlah wang RM526,300.42 kepada Perayu dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh perintah diberikan. (b) sama ada Mahkamah wajar membenarkan Notis Permohonan Lampiran 77 untuk Perayu membuka semula kes di Makamah Sesyen 68. Perayu telah berhujah bahawa HMS telah terkhilaf dalam mengarahkan Perayu menutup kes mereka pada 31.07.2024 apabila Perayu memohon penangguhan pada tarikh tersebut untuk memanggil penulis artikel Harian Metro kerana Perayu tidak dapat mengesan penulis artikel tersebut yang menggunakan nama pena Omar Ahmad. Namun demikain, Perayu memaklumkan penangguhan telah diberikan beberapa kali kepada Responden-Responden untuk mengesan saksi-saksi mereka. Keputusan HMS tersebut adalah tidak adil dan telah menjejaskan kes Perayu. Ia telah menjejaskan peluang Perayu untuk membentangkan pembelaannya. 69. Sehubungan itu, Perayu melalui Lampiran 77 memohon agar keputusan HMS pada 31.07.2024 diketepikan dan kes dibuka semula bagi membolehkan mereka memanggil saksi Siti Nur Aqila Binti Omar, penulis artikel tersebut. 70. Lampiran 77 telah ditolak oleh HMS pada 26.11.2024 iaitu pada hari keputusan kes utama ini. Keputusan HMS telah menafikan hak Perayu untuk mengadakan suatu perbicaraan yang adil. Perayu telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Hong Yik Plastics (M) Sdn. Bhd. v Ho Shen Lee (M) Sdn. Bhd. & Anor. [2020] 1MLJ 743 untuk menyokong hujahannya. 71. Perayu selanjutnya berhujah bahawa HMS tidak memberikan sebarang alasan mengenai penolakan Lampiran 77 dalam Alasan Penghakimannya. Oleh itu, ia memberikan tanggapan bahawa permohonan Perayu untuk membuka dan memanggil semula saksi Perayu telah didengar dan diputuskan. Keputusan HMS untuk memaksa Perayu menutup kesnya pada hari pertama pembelaan, bukan sahaja tidak adil dari segi prosedur tetapi juga salah arah yang serius dalam undang-undang dan fakta. Ini telah melucutkan Perayu daripada perbicaraan penuh dan adil dan mewajarkan campur tangan Mahkamah ini untuk membetulkan ketidakadilan yang berlaku. 72. Perayu juga berhujah bahawa mereka telah berusaha untuk mengesan saksi ini namun mereka tidak dapat membuat demikian disebabkan pada masa pemfailan dokumen ini dalam Mahkamah, nama pena digunakan oleh penulis artikel akhbar Harian Metro. Perayu hanya dapat mengesan dan mengenalpasti identiti penulis artikel ini selepas HMS mengarahkan kes Defendan ditutup pada 31.07.2024. 73. Responden-Responden sebaliknya berhujah bahawa menurut Aturan 55 Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KM 2012”), rekod rayuan adalah tidak termasuk nota keterangan, alasan penghakiman atau apa-apa memorandum rayuan. Maka, HMS terkhilaf kerana tidak menyediakan alasan penghakiman untuk menolak Lampiran 77. 74. Responden-Responden selanjutnya berhujah bahawa undang-undang yang disandar oleh Perayu dalam memfailkan Lampiran 77 adalah salah dan tidak terpakai. Ini adalah subseksyen 138(4) Akta Keterangan 1950 [Akta 56] membenarkan Mahkamah memanggil semula saksi untuk memberi keterangan. Namun demikian, di dalam kes ini, saksi yang akan dipanggil oleh Perayu adalah seorang saksi baru dan bukan saksi yang pernah memberikan keterangan sebelum ini. 75. Responden-Responden juga berhujah bahawa Aturan 92 Kaedah 4 KM 2012 adalah suatu aturan umum dan berpihak kepada Responden untuk mencegah penyalahgunaan proses Mahkamah oleh Perayu. Bagi menyokong hujahannya, Responden-Responden merujuk kepaada kes Mahkamah Rayuan dalam Tan Kah Khiam V. Liew Chin Chuan & Anor. [2006] 4 CLJ 715. 76. Responden-Responden berhujah bahawa artikel akhbar telah difailkan oleh Perayu pada 11.12.2023 dan tarikh spesifik untuk menutup kes telah ditetapkan pada 31.07.2024. Perayu telah diberikan masa selama lebih kurang lapan (8) bulan untuk mendapatkan penulis artikel akhbar Harian Metro tersebut dan diberikan masa dua (2) bulan daripada tarikh arahan diberikan pada 13.05.2024 untuk memanggil saksi ini. Namun demikian, Perayu telah mengabaikan arahan HMS tersebut. Lebih-lebih lagi, Perayu telah mengambil masa dua (2) bulan untuk memfailkan Lampiran 77 pada 25.09.2024 selepas Perayu diarahkan menutup kes pada 31.07.2024. 77. Responden-Responden seterusnya berhujah jika permohonan Perayu dibenarkan ia akan memprejudiskan Responden-Responden dan panggilan saksi tersebut tidak dapat mengubah keputusan HMS memandangkan keterangan yang akan diberikan oleh saksi itu adalah keterangan dengar cakap (hearsay) dan tidak membawa sebarang berat kepada kes ini. Responden-Responden merujuk kepada kes Karpal Singh v. Sultan Of Selangor [1987] CLJ Rep. dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan & Anor. v. Dr. Tan Kee Kwong [2012] 3 CLJ 87 untuk menyokong hujahannya. 78. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa HMS telah terkhilaf dalam mengarahkan Perayu menutup kesnya pada hari pertama kes pembelaan pada 31.07.2024. Tindakan HMS adalah tidak adil kepada Perayu memandangkan HMS telah memberikan banyak kali penangguhan kes atas permohonan Responden-Responden. Keputusan HMS tersebut telah menyebabkan ketidakadilan kepada Perayu untuk mengadakan suatu perbicaraan yang adil dan saksama. 79. Saya selanjutnya berpandangkan kes Karpal Singh v. Sultan Of Selangor (supra) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan & Anor. v. Dr. Tan Kee Kwong (supra) dapat dibezakan daripada kes ini. Ini adalah kerana di dalam kedua-dua kes, laporan akhbar yang dibuat oleh penulis artikel tidak disahkan oleh pemberi maklumat dan maklumat adalah diberikan oleh penulis artikel kepada penyunting untuk menyunting maklumat berkenaan sebelum disiarkan dalam akhbar. 80. Namun di dalam kes ini, keterangan penulis artikel jika diberikan di Mahkamah adalah maklumat yang diberikan oleh SP2 kepada penulis artikel berkenaan dan perkara ini disahkan oleh SP2 sendiri semasa memberikan keterangan di Mahkamah. SP2 memaklumkan bahawa beliau yang memberikan maklumat berkenaan kemalangan berlaku pada 08.08.2020 kepada penulis artikel tersebut dan juga memaklumkan bahawa punca kemalangan adalah rantai motosikal putus. Namun, SP2 memaklumkan bahawa perkara berkenaan motosikalnya terlanggar lubang tidak disebut dalam artikel itu. 81. Saya berpendapat bahawa keterangan yang diberikan oleh penulis artikel ini, jika ada, bukanlah keterangan dengar cakap memandangkan SP2 mengesahkan maklumat yang diberikan. Saya berpendapat bahawa perkara mengenai motosikal masuk lubang tidak dinyatakan dalam artikel tersebut adalah suatu pemikiran terkemudian oleh SP2. Sekiranya benar, SP2 seharusnya memakluman penulis artikel tersebut untuk membetulkan artikel akhar itu. SP2 hanya memaklumkan perkara ini semasa memberikan keterangan di Mahkamah. 82. Sebagaimana yang diputuskan oleh saya di perenggan 38 atas, perkara yang disebut oleh SP2 kepada penulis artikel adalah konsisten dengan apa yang SP2 memaklumkan kepada SP4 pada 08.08.2020. 83. Saya seterusnya berpandangan bahawa HMS patut menyediakan alasan penghakiman berkenaan alasannya menolak Lampiran 77 memandangkan rayuan telah difailkan oleh Perayu berkenaan dengan keputusan itu. 84. Sehubungan itu, saya mendapati bahawa HMS telah terkilaf dalam mengarahkan Perayu menutup kes Perayu pada hari pertama kes pembelaan Perayu pada 31.07.2024. Memandangkan di dalam hal ini, saya mendapati bahawa Responden-Responden telah gagal membuktikan kes terhadap Perayu atas imbangan kebarangkalian, maka saya berpendapat tiada keperluan untuk Perayu membuka semula kes mereka untuk memanggil penulis artikel tersebut. Maka saya tidak membuat apa-apa perintah berkenaan dengan Lampiran 77. 85. KESIMPULAN Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, saya membenarkan rayuan oleh Perayu dengan kos sebanyak RM5,000.00 tertakluk kepada fi alokatur, dibayar oleh Responden-Responden kepada Perayu. Responden-Responden juga diperintahkan untuk memulangkan jumlah wang RM526,300.42 kepada Perayu dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh perintah diberikan. 86. Kuantum yang diawardkan oleh HMS dikekalkan. Bertarikh 18 Februari 2026. Ditandatangan: t.t ………………………………… Wong Mee Ling Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Johor Bahru Johor Darul Takzim Peguam bagi pihak Perayu: En. J S Naicker Tetuan Naicker & Associates Peguam bagi pihak Responden: En. Rajan Ayappan bersama En. G Shanmuka Thasan Tetuan The Chambers of Sri
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.