akibatnya Plaintif mengalami kerugian dari segi monetari, penat lelah, tekanan mental dan kesihatan. [36] Atas alasan tersebutlah saya berpendapat Plaintif tidak terikat kepada PJB berkenaan kerana ujudnya salahnyataan frod. Ini selaras dengan keputusan kes Polygram Records Sdn Bhd v Hillary Ang & 4 Ors (Collectively Known as The Search) & Anor [1994] 3 MLJ 127: “A party who signs a written contract is bound by the terms of the contract, except in the limited cases where fraud, undue influence or misrepresentation may be established.” [37] Sehubungan itu saya mendapati Defendan 1 telah melakukan salahnyataan frod terhadap Plaintif dan menyebabkan Plaintif mengalami kerugian. Kes Defendan 2 [38] Defendan 2 menghujahkan bahawa pliding Plaintif adalah terhadap salahnyataan frod yang dilakukan oleh Defendan 1 sedangkan Defendan 2 tidak terlibat dengan kausa tindakan tersebut. Defendan 2 menghujahkan Plaintif adalah terikat kepada plidingnya dan dengan demikian tiada kausa tindakan terhadap Defendan 2. [39] Saya meneliti kepada pliding yang difailkan oleh Plaintif dan mendapati kausa tindakan terhadap Defendan 2 iaitu cuai/gagal dalam memberikan nasihat guaman yang munasabah apabila gagal dalam kewajipan berhati-hati (kecuaian prosesional) terhadap Plaintif telah diplidkan dengan jelas di perenggan 27 pernyataan tuntutan terpinda. [40] Selanjutnya Defendan 2 menghujahkan dia telah dapat membuktikan bahawa telah melakukan all possible standard attempt and practice dalam memastikan semua maklumat adalah tepat dalam menyediakan PJB dan seterusnya memperolehi pinjaman dari LPPSA. Setiap dokumen yang dikemukakan dan diperolehinya iaitu dokumen pinjaman, pelan tanah, cabutan hakmilik dan geran hakmilik ganti (eksibit D27) jelas menunjukkan catitan keluasan Hartanah Tersebut sebagai 513 meter persegi dan bukannya 375 kaki persegi. Selain dari itu Plaintif melantik Defendan 2 hanyalah bertujuan untuk memproses pinjaman dengan LPPSA sahaja dan bukannya diperingkat awalan semasa rundingan pembelian. [41] Keterangan Defendan 2 juga menyatakan dia berpendapat disebabkan pengambilan balik oleh kerajaan dibuat pada tahun 1978 dan transaksi jual beli Hartanah Tersebut bermula pada tahun 2015 iaitu suatu tempoh 37 tahun dan tempoh yang lama, maka catitan keluasan pada cabutan hakmilik dan geran hakmilik ganti semestinya telah dikemaskinikan. Oleh yang demikian dihujahkan Defendan 2 telah menjalankan segala tindakan profesionalnya dengan kewajipan yang berhati-hati. Plaintif sendiri gagal mengemukakan seorang pakar atau profesional lain bagi menunjukkan sebaliknya. [42] Berhubung dengan pembelaan Defendan 2 ini, saya berpendapat tanggungjawabnya untuk bertindak secara profesional dan kewajipan berhati-hati dalam mewakili Plaintif bermula sebaik sahaja lantikan dibuat dan meliputi pelbagai aspek. Kedudukan ini telah diputuskan dalam kes Mulpha Kluang Maritime Carriers Sdn Bhd v Philip Koh Tong Ngee & Ors [2015] 8 CLJ 555: “(ii) the court finds that it is the duty of a solicitor, in particular, a conveyancing solicitor to ensure that all the documents pertaining to the transaction of land must be properly prepared, to carry out a thorough inquiry and to ensure that all the details which is stated in the transaction document is correct. .......... Therefore, as a solicitor, the defendants owed the plaintiff a duty of care to exercise professional skill, care and diligence demanded by law in advising all legal aspect with regard to the transactions in handling the S&P of the two lots.” [43] Adalah menjadi amalan asas conveyancing bagi peguam, di mana SD4 (peguam Defendan 2 yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini selama lebih kurang 20 tahun bahawa dalam transaksi sebegini, peguam berkenaan perlu membuat carian atau inkuiri yang lengkap berhubung dengan Hartanah Tersebut terutamanya berhubung dengan pengambilan balik pada tahun 1978. [44] Saya berpendapat dengan pengalaman SD4 selama lebih kurang 20 tahun (seperti keterangannya sendiri), beliau perlu menyelidiki efek catatan pengambilan berkenaan iaitu sama ada keluasan sebenar dan terkini telah dibuat dalam geran atau cabutan hakmilik Hartanah Tersebut. Saya berpendapat SD4 perlu menggunakan pengalamannya dalam conveyancing untuk mendapatkan pengesahan tepat dan terkini berhubung dengan baki keluasan Hartanah Tersebut selepas pengambilan. Pengesahan tepat dan terkini bermaksud adakah tindakan oleh pihak-pihak berkaitan telah dibuat bagi mencatatkan keluasan sebenar. Soalan munasabah yang sepatutnya secara otomatik timbul kepada seorang professional dalam bidang ini adalah, adakah keluasan Hartanah Tersebut yang tercatat pada geran hakmilik itu telah mengambilkira keluasan pengambilan yang dibuat oleh kerajaan pada tahun 1978. [45] Keterangan menunjukkan SD4 sedar ujudnya pengambilan pada tahun 1978 dan mengambil tindakan dengan menyemak maklumat tanah, meneliti geran hakmilik ganti, rekod cabutan hakmilik dan pelan lakar. Dari penelitian itu, SD4 memutuskan rekod-rekod terkini berhubung dengan keluasan terkini Hartanah Tersebut adalah betul serta tidak mengesyaki apa-apa kerana pengambilan telah lama dibuat iaitu 37 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1978. [46] Saya berpendapat SD4 telah gagal melaksanakan kewajipan berhati-hatinya dan kewajipan profesional berhubung dengan pengesahan keluasan yang tepat bagi Hartanah Tersebut. Ini selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Tetuan Theselim Mohd Sahal & Co & Ors v Tan Boon Huat & Anor [2017] 4 MLRA 702: “[30] Thus, whether the first defendant, and in particular the second defendant, who was the solicitor handling the transaction, were negligent may be determined by a consideration of the following questions: i. whether the standard of care practiced by the second defendant was the same standard of reasonably competent solicitors in conveyancing practice; and ii. whether the second defendant had acted with diligence in exercising the reasonable care and skill expected to assist the completion of the SPA." [47] Selanjutnya saya juga tidak dapat menerima pembelaan Defendan 2 bahawa Plaintif sebagai seorang yang berpendidikan tinggi (penjawat awam yang mempunyai ijazah), sepatutnya dapat membaca atau meneliti geran hakmilik/cabutan dengan tepat iaitu sama ada terdapatnya pengambilan pada Hartanah Tersebut dan bertanyakan pada Defendan 1. Saya berpendapat walau pun Plaintif seorang yang berpendidikan tinggi tetapi dalam bidang conveyancing beliau adalah seorang layman. Atas sebab itulah Plaintif melantik firma Defendan 2 untuk urusan transaksi jual beli dan pinjaman Hartanah Tersebut. Sehubungan itu kewajipan berhati-hati Defendan 2 kepada anakguam mereka (Plaintif) masih berterusan walau apa pun status pendidikannya. [48] Akhir sekali saya menyentuh tentang pembelaan Defendan 2 bahawa perlakuan Plaintif menunjukan dia seorang yang tidak jujur apabila mendakwa PJB yang disediakan SD4 hanya mengepilkan muka surat 1 salinan geran ganti atau tidak dikepilkan langsung geran berkenaan dan berlaku perbezaan keterangan dalam mahkamah. Saya berpendapat ini bukanlah isu material kerana pada pengetahuan Plaintif seperti yang dimaklumkan oleh Defendan 1, SD1 dan SD2, keluasan Hartanah Tersebut adalah 513 meter persegi dan itulah yang membuatnya memasuki PJB. [49] Berdasarkan kepada penemuan-penemuan tersebut saya mendapati Defendan 2 telah bertindak dengan cuai dalam menjalankan tanggungjawab berhati-hati dan tanggungjawab fidusiari (breach of duty of care and fudiciary duty) dan selanjutnya menyebabkan kerugian kepada Plaintif. Kes Defendan 3 dan Defendan 4 [50] Defendan 3 dan Defendan 4 dalam keterangan mereka melalui saksi SD5 (Penolong Ketua Jajahan, Pejabat Tanah & Jajahan Kota Bharu) menyatakan mereka telah menjalankan kewajipan statutori sebagai Pentadbir Tanah tanpa gagal dan menjalankan tugas yang sempurna dalam memastikan status Hartanah Tersebut. Mereka juga telah mematuhi prosedur piawaian yang ditetapkan dalam pengeluaran geran ganti Hartanah Tersebut, memindah milik kepada Plaintif dan mendaftarkan gadaian. [51] Bagi menyokong keterangan tersebut, Defendan 3 menghujahkan tindakan telah dibuat untuk mencatitkan status sebenar Hartanah Tersebut pada geran hakmilik iaitu membuat catatan (endorsan) rekod pengambilan dengan “Perserahan No. 457/1978 Jil. 151 Fol. 78, Pengambilan Sebahagian Tanah – Borang K”. Endorsan yang sama juga dibuat dalam geran ganti yang dipohon oleh Defendan 1. [52] Selanjutnya Defendan 3 menyatakan pelan asal Hartanah Tersebut terpaksa dikekalkan dan dilampirkan dengan geran ganti dengan catitan keluasan asal sebelum pengambilan sebagai 513 meter persegi. Defendan 3 memberi alasan bahawa masih belum menerima dokumen-dokumen yang diperlukan iaitu Pelan Akui (PA) dan B1-TIFF yang mencatitkan keluasan sebenar Hartanah Tersebut selepas pengambilan dari JUPEM. [53] Saya tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh Defendan 3 ini iaitu belum mendapat dokumen-dokumen berkenaan dari JUPEM. Perlu diingat pengambilan balik dibuat pada tahun 1978 dan endorsan dalam geran hakmilik didaftarkan pada 3.12.1978. Namun sehingga tarikh permohonan Defendan 1 untuk mendapatkan geran ganti Hartanah Tersebut pada 16.6.2015 dan dikeluarkan oleh Defendan 3 pada 28.9.2015, iaitu suatu tempoh selama 37 tahun, keluasan yang tertera dalam rekod Defendan 3 dan dalam geran hakmilik masih lagi 513 meter persegi sedangkan seluas 5147 kaki persegi telah dibuat pengambilan dari keluasan asal 5522 kaki persegi. [54] Defendan 3 sebagai sebuah jabatan kerajaan negeri yang mentadbir dan menguruskan urusan hartanah dalam Jajahan Kota Bharu, Kelantan sepatutnya dengan kewajipan statutori, memastikan rekod ke atas Hartanah Tersebut adalah tepat bagi memastikan keluasan terkini. Defendan 3 merupakan sebuah jabatan yang banyak berurusan dengan orang ramai dan orang ramai ini akan bergantung seratus peratus kepada rekod Defendan 3 dalam urusan hartanah dalam Jajahan Kota Bharu. [55] Saya mendapati telah berlaku keingkaran tugas statutori kerana elemen-elemennya telah dibuktikan seperti yang dibentangkan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendaftar Hakmilik, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor v Bank Pertanian Malaysia Berhad [2016] MLJU 15: “[27] The elements to satisfy the tort of breach of duty are as follows: a) The injury suffered by the plaintiff is within the ambit of the statute, b) The statutory duty imposes a liability to civil action, c) The statutory duty is not fulfilled, and d) The breach of the statutory duty has caused his injury.” [56] Tiada keterangan dikemukakan kepada mahkamah untuk menunjukkan usaha berterusan oleh Defendan 3 bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan dari JUPEM bagi mengemaskinikan status Hartanah Tersebut walau pun mempunyai pengetahuan penuh bahawa telah terdapat pengambilan. Sehubungan itu saya berpendapat Defendan 3 telah gagal melaksanakan kewajipan statutorinya dan gagal mematuhi piawaan dalam mengeluarkan geran ganti yang tepat dan terkini. Ini selaras dengan keputusan kes Uptown Properties Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan & Ors [2012] 3 CLJ 271: “[2] Penyelenggaraan pejabat tanah yang efisyen dan butiran yang berterusan tepat adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh defendan pertama kepada setiap orang awam yang membuat dan bergantung pada carian yang dibuat di pejabat tanah yang diselenggarakan oleh defendan pertama. Kebergantungan am ini bermaksud bahawa defendan pertama mempunyai kewajipan berjaga-jaga kepada defendan-defendan bagi memastikan bahawa apabila carian-carian tersebut dibuat di pejabat tanah, mereka bertindak atas maklumat tepat dan yang diselenggarakan sewajarnya dan berdasarkan buku hakmilik yang tepat.” [57] Berdasarkan kepada status Defendan 4 sebagai majikan/prinsipal kepada Defendan 3, maka Defendan 4 bertanggungan kepada liabiliti vikarius terhadap kecuaian Defendan 3 (vicarious liability to the 3rd Defendant) di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6, Akta Prosiding Kerajaan 1956. Perlanggaran kewajipan statutori oleh Defendan 3 telah menyebabkan transaksi jual beli Hartanah Tersebut tidak mempunyai maklumat yang tepat dan terkini walau pun mereka bukan sepihak kepada PJB. Keadaan ini telah menyebabkan Plaintif mengalami kerugian yang membolehkan dia menuntut gantirugi terhadap Defendan 3 serta Defendan 4. Kes Defendan 6 dan Defendan 7 [58] Defendan 6 dan Defendan 7 memberikan keterangan melalui SD6 (Penolong Pegawai Penilaian). SD6 menyatakan dia telah menggunakan standard of care yang diperlukan sebagai seorang Penolong Pegawai Penilaian dalam membuat penilaian Hartanah Tersebut sebanyak RM155,000 dengan keluasan 513 meter persegi melalui laporan penilaian bertarikh 10.1.2016 (eksibit P11). Keterangan SD6 menyatakan dia bergantung penuh kepada dokumen permohonan pembiayaan Hartanah Tersebut kepada LPPSA yang disediakan Defendan