Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR RAYUAN JENAYAH NO: WA-42S-15-12/2024 ANTARA SHEIKH HAZRIL NIZZAM BIN SHEIKH HUSSEIN …PERAYU/ TERTUDUH LAWAN PENDAKWA RAYA …PENDAKWAAN ALASAN PENGHAKIMAN A. Latarbelakang
WA-42S-15-12/2024
High Court of Malaysia26 Feb 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR RAYUAN JENAYAH NO: WA-42S-15-12/2024 ANTARA SHEIKH HAZRIL NIZZAM BIN SHEIKH HUSSEIN …PERAYU/ TERTUDUH LAWAN PENDAKWA RAYA …PENDAKWAAN ALASAN PENGHAKIMAN A. Latarbelakang
1
Perayu iaitu tertuduh ke-2 dalam pertuduhan di Mahkamah Sesyen dengan seorang lagi rakan sejenayah tertuduh 1, secara bersama menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 395 dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama kerana merompak daripada seorang mangsa sebuah telefon bimbit. Kejadian berlaku pada jam 1900hrs (jam 7 pagi) di hadapan perhentian bas Jalan Silang Kuala Lumpur.
2
Kes terhadap tertuduh ke-2 telah diteruskan untuk bicara, selepas tertuduh pertama mengaku salah dan disabitkan atas pengakuan salahnya. Bagi tertuduh ke-2, di akhir kes pembelaan, tertuduh telah didapati bersalah oleh Mahkamah bicara dan dijatuhkan dengan penjara 10 tahun dari sabitan 20.12.2024 dan dikenakan 3 sebatan.
3
Rayuan tertuduh ke-2 pada asalnya adalah terhadap sabitan dan hukuman. Mahkamah ini, setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, telah membenarkan rayuan tertuduh ke-2 dengan mengekalkan sabitan terhadap tertuduh ke-2 tetapi membenarkan rayuan terhadap hukuman. Hukuman 10 tahun penjara oleh Hakim Mahkamah Sesyen diubah kepada 8 tahun penjara bermula dari tarikh sabitan 20.12.2024 manakala hukuman sebat 3 kali dikekalkan. A. Fakta kes secara ringkas.
4
Tertuduh ke-2 merupakan pembonceng bersama tertuduh pertama yang menunggang motorsikal. Pertuduhan terhadap kedua-duanya adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 18/06/2022 dalam jam lebih kurang 1900 hrs, bertempat di hentian bas hadapan Mydin Jalan Silang, Kuala Lumpur, di dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Bandaraya Kuala Lumpur, telah melakukan rompak ke atas seorang lelaki India Muslim bernama Ariivazhagan bin Supramaniam, No. K/P: 750616-10-5373, iaitu telefon jenis Samsung 822 Ultra berwarna burgundy (512GB) (No. IMEI 1: 351338911281649, No. EMEI 2: 35146744l281645). Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama seksyen 34 Kanun yang sama”.
5
Tertuduh ke-2 berusia 19 tahun semasa dia ditangkap pada 21.6.2022. Rakaman CCTV dengan gambar snapshot dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan ia merakamkan sebuah motorsikal meninggalkan kawasan tempat kejadian di hentian bas pada lingkungan masa kejadian. Telefon bimbit milik mangsa SP1 telah dirampas oleh tertuduh pertama di tempat kejadian tersebut.
6
Namun tertuduh termausk tertuduh ke-2 kemudian, dengan menggunakan IC milik seorang penama Nageswaran, telah menjual 4 buah telefon bimbit dengan salah satunya milik mangsa, kepada sebuah kedai di Plaza Low Yatt iaitu kepada SP2 Jonathan pada hari yang sama selepas kejadian samun tersebut iaitu 18.6.2022 (lihat: lampiran 11 mukasurat 19 pdf.)
7
SP2 dan SP3 (majikan SP2) telah mengecam tertuduh ke-2 sebagai penjual handphone mangsa, dijual atas nama Nageswaran. SP1 mangsa pula telah dapat mengecam tertuduh ke-2 sebagai pembonceng yang berkaca mata kerana meskipun suspek memakai topi keledar tetapi suspek iaitu tertuduh ke-2 telah menoleh dan melihat SP1.
8
SP1 juga dapat mengecam tertuduh ke-2 kerana meskipun kejadian pantas, motorsikal suspek melalui laluan sempit di antara sebuah kereta yang berhenti berdepan dengan tempat di mana SP1 menunggu. Menurut SP1 lagi, motorsikal tersebut telah melalui laluan ini dengan kedua-dua tertuduh menolak motorsikal dengan kaki, sebelum tertuduh pertama merampas telefon bimbit mangsa SP1. Mereka telah memecut setelah melepasi kereta yang berhenti di hadapan SP1 tersebut. Ini membolehkan SP1 melihat wajah tertuduh ke-2 kerana ada tempoh tersebut.
9
Walau bagaimanapun, rayuan tertuduh ke-2 ke Mahkamah Rayuan adalah terhadap hukuman sahaja. Oleh itu isu pengecaman tertuduh ke-2 oleh saksi dan identiti tertuduh tidak lagi menjadi suatu yang boleh menimbulkan keraguan. Namun, fakta kes di atas dibentangkan oleh Mahkamah ini kerana sebagaimana kes-kes duluan, hukuman sesuatu kesalahan bergantung kepada fakta. Fakta ini juga boleh menunjukkan tahap penglibatan tertuduh.
10
Hakim Hashim Yeop A Sani J dalam kes Public Prosecutor v Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256 menegaskan prinsip penghukuman seperti berikut: “when it comes to the imposition of punishment, each case depends on its own facts”. B. Keputusan Mahkamah ini atas rayuan terhadap hukuman.
11
Oleh itu, dengan keputusan Mahkamah ini mengekalkan sabitan terhadap tertuduh ke-2, tertuduh kini merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap hukuman sahaja. Oleh itu alasan penghakiman ini akan memberi tumpuan terhadap aspek sama ada hukuman adalah “manisfestly excessive” dan kenapa Mahkamah ini mengekalkan hukuman bermula dari tarikh sabitan.
12
Seksyen 282 Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) memperuntukkan peraturan awal atau lazim bersabit kuasa budi bicara Hakim Bicara dalam menjatuhkan hukuman seperti berikut: Section 282. Provisions as to execution of sentences of imprisonment. With regard to sentences of imprisonment the following provisions shall be followed:
a
…
b
…
c
…
d
every sentence of imprisonment shall take effect from the date on which it was passed unless the Court passing the sentence otherwise directs.
13
Dalam erti kata lain, kaedah umum dalam menentukan tarikh bermulanya hukuman pemenjaraan seseorang tertuduh dengan berdasarkan seksyen 282, ialah ia hendaklah bermula daripada tarikh sabitan direkodkan terhadap tertuduh iaitu tarikh tertuduh didapati bersalah. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, tarikh tersebut ialah 20.12.2024.
14
Tertuduh ke-2 telah ditangkap pada 21.6.2022. Dalam rayuan mitigasi, peguam memohon satu bon berkelakuan baik di bawah seksyen 294 KTJ. Untuk makluman, tertuduh pertama telah dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan 2 sebatan atas pengakuan salahnya. Bon berkelakuan baik bukanlah satu bentuk hukuman yang sesuai mengambil kira kepentingan awam.
15
Ini adalah kerana kejadian samun ini berlaku di tempat awam. Masyarakat perlu berasa selamat tidak kira di mana mereka berada. Oleh itu, memberikan bon berkelakuan baik atas alasan tertuduh ke-2 hanya berusia 19 tahun tidak sesuai kerana tahap penglibatannya dalam kes ini. C. Prinsip dan tren penghukuman
16
Mahkamah telah meneliti alasan penghakiman Hakim Bicara dan juga mengingatkan diri bersabit prinsip penghukuman. Peranan utama kejadian samun ini berlaku apabila tertuduh pertama merampas telefon bimbit milik mangsa SP1 manakala tertuduh ke- 2 perayu membonceng di belakang. Namun kedua-duanya sama-sama menolak motorsikal melalui laluan di sebelah kereta berdepan SP1 untuk tujuan mencapai matlamat untuk menyamun SP1.
17
Kedua-duanya juga telah hadir ke Low Yatt untuk menjual telefon bimbit mangsa. Namun, Mahkamah berpendapat factor usia tertuduh ke-2 tidak wajar diabaikan dan perlulah juga diberi pertimbangan. Ini adalah kerana jika tidak, pelaku kesalahan akan kekal berada dalam penjara tanpa peluang untuk kembali ke masyarakat. Ini mengambil kira prinsip penghukuman mempunyai beberapa tujuan atau focus. Antaranya adalah “retribution, deterrence, rehabilitation”.
18
Tempoh 10 tahun yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen lebih menjurus kepada memenuhi prinsip “retribution” tetapi tidak menyentuh ke arah prinsip “deterrence” dan “rehabilitation”. Suatu tempoh yang panjang hanya mencadangkan tertuduh ke-2 tidak mempunyai potensi untuk dipulihkan dan dihalang daripada mengulangi kesalahan yang sama.
19
Ini bermaksud, meskipun ini kesalahan pertama tertuduh ke-2, Mahkamah telah menghukum tertuduh ke-2 dengan serius tanpa memberi peluang kepada tertuduh ke-2 untuk bergantung kepada rekod bersihnya sebelum ini. Perlu diingatkan, apa-apa dapatan Hakim Bicara bersabit kes pembelaan berhubung isu pembelaan satu “afterthought”, tiada “notis alibi” merupakan pematuhan kepada prinsip dan peraturan undang-undang yang lebih sesuai diletakkan tanggungjawab terhadap pematuhannya ke atas peguam.
20
Namun, ketidapatuhannya dalam kes ini juga mungkin diakibatkan ia timbul atas perubahan versi pembelaan oleh tertuduh di saat akhir. Fakta juga menunjukkan pelaku kesalahan yang merampas telefon bimbit mangsa adalah tertuduh pertama. Oleh itu, tempoh hukuman penjara pada tahap ini tidak wajar disandarkan atas dapatan Hakim Bicara berhubung analisa kes pembelaan tanpa memperincikan fakta tahap kebersalahan “culpability” di antara tertuduh-tertuduh.
21
Pendekatan ini adalah tidak salah kerana di dalam kes PP v Tan Chee Seng & Ors [2004] 1 MLJ 392, Jeffrey Tan J menggunapakai kaedah ini iaitu hukuman bergantung kepada tahap penglibatan tertuduh di dalam sesuatu kesalahan tersebut. Hakim Jeffrey Tan menyatakan seperti berikut;\: “15. Where two or more offenders are to be sentenced for the participation in the same offence, ‘the sentence to be passed on them should be the same, unless there is a relevant difference in their responsibility for the offence or their personal circumstances’ (Archbold 1993, and quoted in PP v Nazarudin bin Ahmad & Ors [1993] 2 MLJ 9 refd). ‘... the general rule is that any unjust disparity should be avoided. However, there is nothing to prevent the court from imposing a range of sentences on the accused persons if there are important considerations for so doing’. ‘A difference in the sentences imposed on co-defendants may be justified by their different roles in the offence ...’ (Archbold 2002 para 5-170). The ages of the accused persons, the degrees [2004] 1 MLJ 392 at 398 of culpability and the differences in mitigation are amongst some of the important factors which warrant a disparity in sentences’ (Public Prosecutor v Ravindran & Ors [1993] 1 MLJ 45, and quoted in PP v Mohd Amin bin Mohd Razali & Ors [2002] 5 MLJ 406 refd). A first offender may be given a lighter sentence; Fu Foo Tong & Ors v Public Prosecutor [1995] 1 SLR 448 folld), but a serious disparity of sentences should be avoided Public Prosecutor v Ramlee and another action [1998]
16
In the instant case, there was a call to impose a similar sentence on all three accused persons. But there are important considerations that warrant a disparity in the sentences, namely, the adolescence of OKT2 who was 16 at the material time, and the lesser role of OKT2 who had been omnipresent but had none the less not participated in the actual attack on the deceased. Given those considerations, it would hardly be right to hold OKT2 as culpable as OKT1 and OKT3”.
22
Berdasarkan keseluruhan alasan di atas, Mahkamah ini berpendapat tempoh 10 tahun penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara wajar diubah. Mahkamah dengan ini membenarkan rayuan tertuduh ke-2 dengan menggantikan hukuman 10 tahun penjara kepada 8 tahun penjara bermula dari tarikh sabitan. Hukuman sebat dikekalkan. Bertarikh 26hb Februari 2026 -t.t.- (NURULHUDA NUR’AINI BINTI MOHAMAD NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU Timbalan Pendakwa Raya : Cik. Anis Wahidah Pejabat Pendakwaan WPKL Peguam Tertuduh : En. Mathavan Manikam d/a Pengarah Penjara Kajang
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.